Oleh Ainor Rahim & Athirah Hanapiah
CYBERJAYA: Gagasan Sejahtera (Gagasan) malam tadi mengumumkan manifesto
mendepani Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), yang merangkumi sembilan
Teras, Tawaran Utama dan Tawaran Khas.
Manifesto yang bertemakan "Malaysia Sejahtera" berkenaan dilancarkan
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam Majlis Syarahan Perdana
yang diadakan di Astana Banquet Hall, Cyberjaya.
Pengumuman yang dibuat Abdul Hadi itu juga menyentuh 9 teras utama yang menjadi dasar manifesto Gagasan.
Menyifatkan manifesto ditawarkan sebagai satu tawaran realistik,
Gagasan mensasarkan kumpulan sasaran dalam bentuk polisi dan solusi yang
mampu menyelesaikan masalah bebanan rakyat dalam
jangkamasa pendek dan jangkamasa panjang.
Sementara itu, antara 20 tawaran utama yang ditawarkan gagasan itu,
menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan menggantikannya
dengan sistem percukaian yang lebih adil seperti Cukai Atas Simpanan
Korporat dan Cukai Saham di Bursah Saham Malaysia.
Selain, berhasrat melupuskan hutang peminjam-peminjam PTPTN yang sedia
ada, dan memberikan bantuan makanan asasi kepada golongan fakir dan
miskin secara bulanan.
Gagasan juga menjanjikan untuk melaksanakan penstrukturan semula kadar
bayaran tol untuk mengurangkan kos hidup rakyat menerusi semakan semula
perjanjian konsesi tol yang melebihi 15 tahun.
Manifesto berkenaan juga terkandung perkara memperkasakan peruntukan
Islam sebagai agama persekutuan dengan melaksanakan tuntutan Islam
sebagai Al Din, selain menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda.
Mainfesto ini adalah lanjutan daripada dokumen rasmi yang dihasilkan
oleh anggota komponen Gagasan seperti Deklarasi Kongres Rakyat, Budaya
Politik Matang dan Sejahtera, Dokumen Hijau dan Wawasan Induk Negara
Sejahtera (WINS).
Gagasan merupakan gabungan politik yang dianggotai PAS, Ikatan, BERJASA, serta lebih 200 Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan NGI.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan