Sabtu, 23 September 2017

Sistem ILKSB penyelesaian terbaik tangani pelajar tercicir

Wartawan MalaysiaGazette


KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Bertindak Institut Latihan Kemahiran Swasta dan Bumiputera (JBIB) melihat isu remaja tercicir kini telah mencapai tahap membimbangkan.

Ia termasuk jenayah berat seperti dakwaan membakar asrama mahaad tahfiz baru-baru ini.

“Justeru JBIB berpandangan, sistem latihan kemahiran bersepadu yang dijalankan oleh Institut Latihan Kemahiran Swasta dan Bumiputera (ILKSB) adalah antara penyelesaian terbaik
memandangkan ILKSB mempunyai pengalaman penuh mengendalikan kumpulan pelajar tercicir sejak berpuluh tahun melalui pendekatan vokasional swasta.

“ILKSB menjadi perintis kepada program Pendidikan Vokasional Menengah Atas (PVMA) swasta yang dijalankan di sekolah harian dan pendekatan PVMA swasta yang sama di ILKSB,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Pengerusi JBIB, Nordin Abdul Malek, program itu menumpukan kepada golongan pelajar tercicir di sekolah harian dalam anggaran 10 hingga 40 pelajar di kebanyakan sekolah harian.

Pendekatan PVMA swasta ialah dengan mengambil para pelajar berkenaan masuk ke ILKSB secara sepenuh masa dan mengikuti kurikulum nasional yang sama dengan sekolah harian.

“Sistem berpusat ini membolehkan ILKSB memberi perhatian khusus kepada pembangunan kemahiran, kurikulum akademik yang menepati syarat lulus SPM dan pembangunan sahsiah pelajar.

“Daripada aspek perlaksanaan TEVT, ILKSB yang menjadi perintis kepada PVMA terutama PVMA swasta terbukti menepati kehendak TEVT, industri dan alternatif pencegahan penyakit sosial dan pelajar tercicir,” tegasnya.

Ini dibuktikan apabila ada ILKSB yang dijadikan penanda aras kepada perlaksanaan PVMA swasta oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, kata Nordin.

Daripada aspek pensijilan dan pengiktirafan pula, konsep ala PVMA yang telah dijalankan oleh ILKSB telah diperakui menepati pengiktirafan nasional kerana menggabungkan modul Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan kurikulum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serentak.- MalaysiaGazette


Tiada ulasan: