Jumaat, 1 September 2017

PRU14: Ku Nan berharap PAS akan kerjasama dengan BN

 
Bagaimanapun, Tengku Adnan memberitahu, BN perlu tunggu dan lihat sama ada kedua-dua pihaknya boleh bekerjasama atau tidak.


Tengku-Adnan_pas_bn_600


PETALING JAYA: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berharap PAS akan bekerjasama dengan perikatan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sehubungan itu beliau yang juga setiausaha agung Umno berkata, keputusan Pakatan Harapan (PH) enggan bekerjasama dengan PAS pada PRU14 akan memberi kelebihan kepada BN.

Dipetik BH Online, katanya, kekuatan PH sebenarnya banyak bergantung kepada PAS kerana ia adalah parti yang berstruktur berbanding parti-parti lain dalam pakatan pembangkang.

“Sudah tentu apabila mereka (PAS) tidak lagi bekerjasama (akan memberi kelebihan kepada BN).
Alhamdulillah, mereka (PAS) sudah sedar (sisi sebenar) pakatan pembangkang dan kita harap mereka boleh bekerjasama (dalam PRU14) dengan kita. Itu saja harapan kita.”

Bagaimanapun, Tengku Adnan memberitahu, BN perlu tunggu dan lihat sama ada kedua-dua pihaknya boleh bekerjasama atau tidak.

“Hanya Tuhan yang tahu. Saya tidak dapat menjawabnya,” katanya mengulas keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan yang memutuskan pendirian tidak bekerjasama dengan PAS pada PRU-14 dan sudah merangka strategi menghadapi kemungkinan pertandingan 3 penjuru.

Selasa lalu, PH memutuskan tidak akan bekerjasama dengan PAS bagi mengelakkan pertandingan 3 penjuru pada pada PRU14.

Majlis Presiden PH turut memaklumkan ia sedang merangka strategi bagi menghadapi pertandingan 3 penjuru dengan PAS dan BN.

Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad juga berkata: “Kami berjaya menyelesaikan masalah berhubung pelantikan pemimpin negeri.”

Kebanyakan pemimpin tertinggi PH, termasuk Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menghadiri mesyuarat itu, kecuali Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.

Sehari kemudian, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan PAS demi kebaikan rakyat, selepas parti itu kini bersendirian apabila memutuskan hubungan dengan pakatan pembangkang.

Menurut Annuar, kerjasama itu bagaimanapun tidak memerlukan PAS dan Umno bergabung sebagai parti politik, sebaliknya lebih atas dasar permuafakatan untuk kebaikan dan perpaduan masyarakat Islam negara ini.

Beliau berkata, PAS tidak perlu menyertai Umno tetapi apa yang penting kedua-dua parti perlu bekerjasama mencari formula terbaik demi kebaikan kedua belah pihak.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, parti itu secara rasmi sudah tiada apa-apa hubungan dengan Pakatan Harapan.

Tiada ulasan: