Sabtu, 16 September 2017
PRU 14 : Amanah Jadikan Isu ‘Halimah Presiden Singapura’ Bahan Kempen
Apabila nama Halimah Yacob diumumkan sebagai Presiden Republik Singapura yang kelapan, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub merupakan tokoh politik Malaysia yang memberi tindak balas.
“Parti Amanah Negara (AMANAH) mengucapkan tahniah kepada Halimah Yacob yang telah dilantik secara rasmi sebagai Presiden Singapura. AMANAH turut menumpang bangga di atas perlantikan beliau yang juga merupakan wanita dan Melayu Islam pertama dilantik ke jawatan itu.
“AMANAH menganggap bahawa perlantikan itu bukan sekadar mengisi kuota dan secara kebetulan sebagai seorang Melayu Islam tetapi lebih dari itu adalah suatu keyakiann yang terbina di atas sebuah perjuangan yang dilalui orang Melayu Singapura yang kini muncul dengan cemerlang dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan Melayu itu sendiri.
“Bagi AMANAH, selayaknya beliau menerima pengiktirafan sebagai mewakili Melayu Singapura abad ini. Kita berharap dengan imej Melayu Islam dan bertudung ini bukan sekadar mengangkat Melayu Singapura tetapi juga boleh mewakili kelompok Melayu di rantau Nusantara yang sering kali dipandang serong khususnya oleh pihak Barat,”kata Salahuddin dalam kenyataannya semalam.
Keterujaan yang sama turut diluahkan oleh Penyelaras AMANAH Parlimen Parit, Tarmizi Mohd Jam.
“Mereka berjaya menghambat ketakutan yang datang entah dari mana dan akhirnya mereka sedar bahawa darah mereka sama merah walaupun dari keturunan dan agama yang berbeza, tulis Sdra Aris Awang.
“Singapura berpresidenkan seorang wanita yang disayangi rakyatnya, Halimah Yaakob. Amacam?,”katanya dalam Facebook.
Sementara itu, Ketua Pemuda AMANAH Perak Hasnul Zulkarnain menyelar kenyataan adik kepada Naib Presiden PPBM, Datuk Hamidah Osman yang meminta agar berhati-hati dengan politik Cina DAP di Malaysia.
Adik Hamidah, Hamizura Osman meminta tokoh-tokoh politik pembangkang tidak terlalu melutut kepada Cina DAP kerana negara ini dianggap sebagai Tanah Melayu.
“Dalam usaha kita nak turunkan Najib… Dalam masa yang sama.. Jangan bagi Cina pijak kita.. Tak perlu la nak memuji-muji sang Cina dikalangan kita. Cina lah yang sepatutnya merayu-rayu kepada Melayu….. Ini bumi Melayu…,kata Hamizura dalam Facebook.
Ketua Pemuda AMANAH Perak menyifatkan kenyataan Hamizura itu berunsur rasis perkauman sempit.
“Sifat perkauman seperti itu ujarnya, tidak sepatutnya disuarakan oleh pimpinan mahupun ahli di gabungan pembangkang ini.
“Hamizura cuba mewujudkan persepsi kononnya kaum cina cuba ‘memijak’ orang Melayu di dalam Pakatan Harapan sedangkan perkara tersebut tidak langsung wujud dan ia hanyalah paranoid semata-mata. Seperti yang diketahui Pakatan Harapan wujud dengan semangat
kesaksamaan antara satu sama lain.
“Beliau juga menyatakan Malaysia adalah bumi melayu, kami menegaskan tiada istilah seperti itu sebaliknya negara ini adalah bumi kepada rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia. Tidak ada istilah rayu merayu kepada kepada mana-mana kaum,” ujarnya dalam kenyataan.
Hasnul berkata Pakatan Harapan mendukung semangat keharmonian kaum dalam kalangan masyarakat pelbagai bangsa di negara ini yang berbeza dengan UMNO dan PAS.
“UMNO-BN menjadikan isu perkauman sebagai senjata untuk memastikan mereka kekal berkuasa di dalam negara ini. Isu perkauman ini juga telah terjangkit kepada ‘sahabat karib’ mereka iaitu PAS yang kini turut menggunakan senjata yang sama.
“Oleh yang demikian, kami berpandangan Hamizura yang juga isteri bekas Ketua Penaja PPBM Bahagian Ipoh Timur, Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar telah melanggar semangat Pakatan Harapan yang menolak sekeras-kerasnya sentimen perkauman itu,” ujarnya.
Justeru itu, dia mendesak PPBM mengenakan tindakan disiplin kepada Hamizura yang disifatkannya sebagai cuba menghidupkan semangat perkauman dalam Pakatan Harapan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan