MELAKA: Susulan beberapa pemimpinnya yang bertindak keluar parti
baru-baru ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang baru berusia
setahun itu dilihat tidak mampu "belayar" lebih jauh.
Ketua Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, tindakan
pengasas serta pemimpin kanan parti itu yang keluar parti jelas
membuktikan bahawa PPBM bukan sebuah parti yang ditubuhkan untuk
memperjuangkan nasib rakyat, berbeza dengan Umno dan parti komponen
Barisan Nasional (BN) ketika ini.
"Tindakan Kak Midah (Naib Presiden PPBM, Datuk Hamidah Osman) dan Anina
(pengasas PPBM, Anina Saadudin) memang sudah diduga kerana parti itu
tidak pernah pun berjuang untuk kepentingan ahli dan rakyat, malah lebih
kepada peribadi serta kroni.
"Dengan suasana ini, saya yakin PPBM tidak akan kekal lama dan kita
bakal menyaksikan satu demi satu pemimpin mereka meninggalkan parti.
Saya jangka akan lebih ramai mengikut jejak Hamidah dan Anina untuk
keluar parti," katanya dipetik Berita Harian.
Semalam, Anina mengumumkan keluar parti selepas mendakwa PPBM tidak
lagi menepati prinsip perjuangan ketika diasaskan tahun lalu, sebaliknya
berasa diperalatkan untuk kepentingan politik individu tertentu dan
berlandaskan dasar kronisme.
Menyusul selepas itu, Hamidah pula mengambil tindakan sama dan ia
disahkan Setiausaha Agung PPBM, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.
Mengulas lanjut, Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri Pelancongan
dan Kebudayaan, berharap Hamidah dan Anina tidak menyesal dan bersedih
kerana terpaksa bergelumang dengan kelompok pemimpin yang tidak ikhlas
serta berjuang berasaskan dendam.
"Jangan bersedih dan berduka kerana 'kapal' yang anda sendiri bina dan
ukir reka bentuknya belum sempat untuk belayar jauh, ia kini berada
dalam tangan pemimpin yang bakal menghancurkan asas pembinaan kapal
terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan