Ibu mangsa ketika ditemui berkata dia bagaikan tidak
percaya selepas diberitahu anggota bomba anaknya dihanyutkan arus banjir
deras ketika dalam perjalanan ke tempat kerja dari Relau ke Paya
Terubong.
GEORGE TOWN: Seorang pekerja kilang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang di Jalan Paya Terubong ketika menunggang motosikal meredahi banjir pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang berkata seorang saksi kejadian ternampak, mangsa Noor Afidah Yajunas, 29, terjatuh daripada motosikal dan dihanyutkan arus deras.
“Operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang dijalankan namun hujan lebat dengan paras air agak tinggi menyukarkan operasi pencarian,” katanya kepada pemberita hari ini.
Hadisah Jalil, ibu Noor Afidah, ketika ditemui berkata dia bagaikan tidak percaya selepas diberitahu anggota bomba anaknya dihanyutkan arus banjir deras ketika dalam perjalanan ke tempat kerja dari Relau ke Paya Terubong.
Hujan sejak 3.00 pagi tadi dengan air laut pasang setinggi 2.1m mengakibatkan 100 kawasan di Pulau Pinang ditenggelami air.
Sementara itu, jurucakap bomba berkata satu kejadian tanah runtuh berlaku di pangsapuri Kayangan Puri Mutiara di Tanjung Bungah mengakibatkan 6 buah kenderaan terletak di kawasan berhampiran ditimbus tanah runtuh.
Katanya, sejurus menerima panggilan pada 7.00 pagi, 8 anggota termasuk penyelia dan ketua balai bomba Bagan Jermal bergegas ke tempat kejadian.
“Ketika sampai di lokasi kejadian, kelihatan 6 buah kenderaan ditimbus tanah runtuh dari bukit berhampiran namun tiada mangsa terperangkap di dalam kenderaan,” katanya.
Beliau berkata kerja-kerja mengeluarkan kenderaan tertimbus dibantu oleh pekerja dari Jabatan Kerja Raya dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang dengan menggunakan jengkaut.
Katanya keadaan hujan renyai dan air yang turun dari atas bukit menyukarkan lagi operasi mengeluarkan kenderaan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan