Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
SHAH ALAM: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan
puluhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sedang mengusahakan himpunan
sejuta orang bagi mengecam kezaliman ke atas etnik Rohingya di Myanmar.
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid memberitahu selain Malaysia
sekurang-kurangnya 50 ibu negara seluruh dunia akan diajak untuk turut
serta menyatakan bantahan terhadap Myanmar.
"Kita paling dekat dengan Myanmar. Kalau kita jauh (Myammar mungkin tak
rasa apa-apa). Jadi mereka akan terus membunuh. Myanmar perlu rasa
'cubitan' itu.
"Isu Rohingya sedang meningkat. Sekarang tak boleh nak elak (daripada
orang bercakap). Sekarang semua orang tengah bercakap (perihal itu).
Nigeria tak pernah bercakap (tapi) kini mereka bercakap (mengenainya),"
katanya dalam sidang medianya selepas mesyuarat Perhimpunan Semangat
Sejuta Umat (PASU), di Karangkraf, hari ini.
Sejak beberapa minggu lepas, tidak kurang daripada 164,000 orang Islam
Rohingya terpaksa melarikan diri ke Bangladesh bagi menyelamatkan diri
daripada kekejaman tentera junta Myanmar yang membakar kediaman dan
kampung mereka serta melakukan pembunuhan besar-besaran.
Operasi penghapusan etnik Rohingya di Arakan yang semakin meruncing
mutakhir ini tidak sedikit pun mendapat simpati daripada Kerajaan
Myanmar.
Azmi yang mesra disapa Cikgu Azmi dalam pada itu memberitahu pihaknya
masih berbincang mengenai tarikh serta lokasi penganjuran himpunan itu
namun menyenarai pendekkan dua tarikh iaitu 28 September atau 4 Oktober
2017.
Cikgu Azmi yakin sasaran untuk himpunan itu mencapai angka sejuta orang
tidak mustahil berikutan rakyat negara ini begitu terkenal dengan sikap
sukakan keamanan dan benci pada kezaliman.
"Kalau PM sendiri boleh sampai mesej bahawa 'Saya akan hadir' ia
sendiri boleh menghimpunkan minima 100,000 peserta. Tapi kita nak sejuta
peserta. Saya kira tidak mustahil sebab mesejnya kuat.
"Bila kita berhimpun ramai-ramai, PM boleh kata 'lihat, rakyat saya
mendesak saya. Kamu (kerajaan Myanmar) perlu hentikan (pembunuhan)
ini'," katanya lagi.
Cikgu Azmi yang juga pengarah kepada himpunan itu menyeru rakyat
Malaysia agar menolak fahaman politik dan melihat penganjuran program
itu atas premis yang lebih besar iaitu hak asasi manusia serta kebajikan
ummah.
"Saya nak merayu kepada seluruh rakyat bahawa pilihan raya umum (PRU)
adalah tanggungjawab kita. Ini menunjukkan Malaysia akan jadi negara
contoh, pilihan raya berjalan seperti yang kita mahu tapi isu dunia
tidak diketepikan.
"Kalau ada yang mengatakan tunggu PRU selesai, saya rasa itu adalah
tidak bertanggungjawab. Hanya kerana mahu bertanding pilihan raya kamu
biar orang dibunuh," katanya.
Beliau berkata demikian apabila ditanya pemberita apakah responnya
apabila himpunan itu bakal dikaitkan dengan fahaman politik dan juga isu
PRU, memandangkan parti-parti politik juga dijemput untuk menghadiri
bakal melibatkan ahli serta parti politik.
Himpunan bertemakan 'Hari Kemarahan Dunia' itu juga bakal menggunakan
satu logo, satu tema pakaian, satu deklarasi seragam seluruh dunia malah
akan melibatkan ramai tokoh keamanan luar negara seperti bekas
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PPB), Kofi Annan
serta beberapa penerima anugerah Nobel Keamanan Dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan