Ahad, 17 September 2017

'Maaf, saya tiada niat bangsatkan sesiapa'

MALAYSIAKINI


Pengacara Naz memohon maaf sekiranya pandangan yang diluahkan di laman Twitter mengenai kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Iftifaqiyyah baru-baru ini mengguriskan perasaan netizen.

"Maaf kepada yang terguris/salah faham akan konteks saya. Tiada niat bangsatkan sesiapa, harap isu safety tidak luput," katanya menerusi laman sosial itu.

Menurut Naz, meskipun perkataan 'bangsat' tersebut merujuk kepada kenyataan pengetua pusat tahfiz itu, namun ia bukan ditujukan kepadanya.

"Bangsat was a strong word, walaupun ditujukan kepada statement pengetuanya, bukan pengetuanya sendiri," jelasnya.

Sementara itu, memetik laporan media, Naz berkata dia bukan mempertikaikan kenyataan 'mati syahid' yang diperkatakan terhadap mangsa, sebaliknya mahu pihak yang menguruskan pusat itu mengutamakan keselamatan pelajar.

"Ini bukan kali pertama berlaku, sudah banyak kes kebakaran asrama yang membabitkan kematian kanak-kanak.

"Saya bukan menafikan tentang hal mati syahid tetapi saya mempertikaikan tentang keselamatan yang sepatutnya dititikberatkan.

"Sampai bila kita mahu menerima alasan yang sama apabila ia membabitkan kematian," kata Naz atau nama sebenarnya Nazrudin Habibur Rahman, 39 kepada mStar Online.

Menerusi akaun Twitter @nazrudinrahman, dia menulis 'Mati syahid? What a bangsat cop out answer. Tell me something I don't know'.

Postingnya itu mendapat hampir 6,000 retweet dan ratusan komen daripada pengikut di laman sosial itu.

Naz memberi pandangan itu dengan memetik laporan mengenai kenyataan pengetua pusat tahfiz berkenaan, Muhammad Zahid Mahmod yang menganggap 21 pelajar dan dua warden mereka mati syahid dalam kebakaran yang berlaku 14 September lalu.

Tak kecil hati

Dalam pada itu, Naz berharap kenyataannya itu mampu membuka mata ramai pihak terutama pihak berkuasa mengenai keselamatan pusat pendidikan.

"Niat saya untuk membuka mata pihak berwajib mengenai kepentingan keselamatan.

"Tidak kiralah pusat pendidikan apa sekalipun, soal keselamatan harus menjadi keutamaan dan bayangkan jika berlaku kecemasan, mereka ini tidak dapat menyelamatkan diri," katanya.

Pengacara program Jalan-Jalan Cari Makan itu bagaimanapun tidak berkecil hati dengan komen netizen yang menghentam kenyataannya itu.

"Mungkin mereka yang baca tweet tersebut tidak faham maksud saya kerana tidak membaca catatan yang berikutnya.

"Tidak apa lah, sekurang-kurangnya ada yang menyokong dan memahami apa mesej yang ingin saya sampaikan dalam tulisan tersebut," katanya yang aktif dengan badan kebajikan sejak beberapa tahun yang lalu.

Dalam kejadian 14 September lalu, seramai 23 orang maut selepas pusat tahfiz berkenaan terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat.

Tiada ulasan: