Belum sempat perdana menteri dan Putrajaya hendak 'berkokok' selepas pengumuman pertumbuhan 5.8% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua tahun ini, tokoh perbankan Datuk Nazir Razak yang juga adik Datuk Seri Najib Razak mengingatkan bahawa pertumbuhan ekonomi bagi separuh kedua tahun 2017 dijangka lebih perlahan.
Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan dalam suku pertama (1Q) 2017 sebanyak 5.6% dengan purata pertumbuhan pada separuh tahun 2017 (1H 2017) di tahap 5.7%.
"Nazir dan juga penganalisis dari bank-bank pelaburan lain, meramalkan suku ketiga (3Q) dan keempat (4Q) tahun 2017 ini, ekonomi akan tumbuh lebih perlahan.
"Ini menjadikan separuh tahun kedua (2H 2017) purata pertumbuhan lebih rendah. Pun begitu, pertumbuhan KDNK tahun 2017 pastinya lebih tinggi berbanding pencapaian 4.2% untuk 2016," ulas pengarah strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad.
Menurut Dr Dzulkefly, disamping faktor 'pertumbuhan' (growth) sebagai target 'ekonomi makro' (macroeconomy), dua lagi aspek ekonomi makro yang tidak kurang pentingnya bagi sesebuah negara adalah inflasi dan kadar pengangguran.
Sehubungan itu, beliau menasihati Datuk Seri Najib Razak agar tidak semata-mata bergantung kepada angka-angka pertumbuhan ekonomi apabila menjelaskan kepada rakyat tentang ekonomi negara.
"Amat menasabah Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), merakamkan bahawa data ekonomi pertumbuhan ini tidak pula diterjemahkan dalam realiti kehidupan rakyat.
"Wujud satu 'disconnect' atau 'kesenjangan' antara data ekonomi dan sentimen serta realiti rakyat," katanya.
Perkara ini, tambah Dr Dzulkefly disahkan oleh kajian tentang Indeks Sentimen Pengguna (ISP) oleh Malaysian lnstitute Economic Research (Mier).
ISP negara, jelas beliau masih berada di bawah 'aras optimistik' 100 dengan 76.6% pada suku tahun pertama kepada 80.7% pada suku tahun kedua.
Namun pada pada suku tahun ke-4 2016, ujarnya lSP jatuh ke paras 69.8% menunjukkan kegusaran rakyat dan pengguna.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan