Khamis, 14 September 2017

Ciri keselamatan pusat tahfiz akan diteliti - Jamil Khir

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pihaknya akan memastikan siasatan penuh dapat dijalankan termasuk ciri-ciri keselamatan di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung yang terbakar awal pagi tadi. 
 
Ujar Jamil, beliau juga meminta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk memberikan segala bantuan yang perlu bagi meringankan beban pusat tahfiz berkenaan.  
 
Sambil melahirkan rasa sedih, Jamil turut meminta mereka yang terlibat agar bersabar dengan musibah yang mengorbankan 24 nyawa setakat ini. 
 
“Saya amat sedih dengan tragedi itu. Saya mendoakan kesemua mangsa mendapat tempat di syurga Allah SWT. Saya berharap pihak pengurusan dan ahli keluarga mangsa dapat bersabar menghadapi dugaan ini.
 
“Punca kebakaran masih disiasat tetapi pihak kami akan turut melihat ciri-ciri keselamatan di pusat tahfiz itu serta pusat-pusat tahfiz yang lain,” katanya dipetik Utusan Online. 
 
Tragedi yang berlaku sekitar jam 5.15 pagi itu dipercayai berpunca daripada litar pintas.
 
Berdasarkan maklumat awal yang diperoleh, api dipercayai bermula dari tingkat atas pusat tahfiz yang menempatkan sebahagian pelajar dan ustaz yang sedang tidur.
 
Lebih 20 lagi pelajar sempat menyelamatkan diri dengan terjun menerusi tingkap di tingkat dua, manakala mangsa lain yang gagal selamatkan diri dipercayai ditemui berdekatan pintu keluar.
 
 

Tiada ulasan: