shahbudindotcom
Dalam
satu keputusan yang dianggap tamparan dan memalukan, Ketua Polis
Negara, Khalid Abu Bakar berkata, siasatan berhubung laporan polis yang
dibuat Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun terhadap Tiga Tan Sri
atas dakwaan berkonspirasi mahu menjatuhkan Perdana Menteri dan
kerajaan, telah ditutup.
Kata
beliau, siasatan polis mendapati laporan polis yang dibuat oleh Khairul
Azwan atau lebih dikenali Azwanbro itu hanyalah berdasarkan andaian
semata-mata.
"Kita sudah merakam percakapan dia dan kita mendapati Khairul Azwan membuat laporan itu berdasarkan andaian-andaian sahaja.
"Tidak dapat mengemukakan apa-apa bukti untuk menyokong apa juga yang dia nyatakan dalam laporan.
"Untuk itu, pihak polis tidak akan meneruskan siasatan. Kita telah menghentikan siasatan," kata Khalid lagi.
Dalam
bahasa yang mudah, bermakna kes ini telah tutup fail dengan
serta-merta. Tiga Tan Sri yang didakwa oleh Khairul Azwan iaitu Abu
Kassim Mohamed, Gani Patail dan Dr Zeti Akhtar Aziz juga tidak akan
dipanggil polis untuk memberi apa-apa keterangannya lagi.
Jika
hanya berdasarkan andaian-andaiain saja, kenapa Khairul Azwan tergamak
membuat laporan polis terhadap tiga tokoh terkemuka terbabit?
Hello bro, bukankah andaian lebih sesuai dijadikan modal sembang kedai kopi sahaja?
Mana
wibawa dan harga dirinya sebagai Naib Ketua Pemuda dan Ahli Majlis
Tertinggi UMNO Malaysia, jika berdasarkan andaian saja sudah sanggup
pergi ke balai polis untuk membuat dakwaan terhadap orang lain?
Masa
buat laporan polis, bukan main gempak lagi ayat-ayat yang keluar
daripada mulutnya. Cuba kita imbas semula yang diperkatakan oleh Khairul
Azwan pada 26 Julai lalu sebaik saja selesai membuat laporan polisnya.
- Ketiga-tiga mereka yang disyaki itu didakwa memberi dokumen dan maklumat sulit kepada agensi luar negara, termasuk FBI.
-
Mereka memberikan maklumat sulit tersebut kepada pihak asing tanpa
kelulusan yang sah daripada pihak berkuasa Malaysia, termasuk Jabatan
Peguam Negara.
-
Sebahagian besar maklumat dan dokumen yang dikemukakan adalah palsu,
diputar-belit dan direka untuk mencapai agenda jahat mereka.
Ditanya
berkenaan dokumen yang dibekalkan oleh ketiga-tiga individu berkenaan,
Khairul Azwan berkata, beliau hanya akan berkongsi maklumat tersebut
dengan menteri yang bertanggungjawab dan terpulang kepada pihak polis
menentukan bila beliau boleh berbuat demikian.
Makna kata, ketika membuat laporan polis itu, Khairul Azwan ada bukti dan dokumen-dokumen tertentu dalam tangannya.
Kenapa alih-alih selepas dipanggil polis, semua dakwaan disahkan pihak polis hanya berdasarkan andaian-andaian sahaja?
Mengapa tiada sebarang bukti dapat ditunjukkan kepada pihak polis?
Apa
jadi ni beb? Tak malukah buat perangai sedemikian sedangkan pegang
jawatan Naib Ketua Pemuda dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia?
Dengan kenyataan dan pengesahan Khalid itu, apa yang akan dilakukan oleh Khairul Azwan selepas ini?
Adakah
beliau akan memohon maaf secara terbuka kepada ketiga-tiga Tan Sri itu
dan membeli iklan di akhbar-akhbar arus perdana bagi tujuan yang sama?
Atau hanya akan berdiam diri dan selamba saja?
Tetapi, bagaimana dengan ketiga-tiga Tan Sri yang telah diaibkan dengan tuduhan-tuduhan berat dan palsu oleh Khairul Azwan itu?
Bagaimana nama mereka mahu dibersihkan setelah dicemarkan dengan tuduhan-tuduhan yang rupa-rupanya hanya berdasarkan andaian?
No comments:
Post a Comment