PUTRAJAYA: Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Kedua Datuk
Johari Abdul Ghani, Mohd Amran Hashim, 51, meninggal dunia akibat
serangan jantung pada Jumaat.
Allahyarham meninggal dunia pada 11.38 pagi ketika dalam perjalanan
dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke sini untuk
menghadiri satu mesyuarat.
Menurut Setiausaha Sulit Johari, Wan Hartini Wan Ngah, Allahyarham
tiba-tiba sahaja pengsan di dalam kenderaan yang dinaikinya dan
dipercayai meninggal dunia sebelum sempat dibawa ke Hospital Putrajaya.
"Allahyarham baru sahaja mendarat di KLIA dari Terengganu kerana mengikut menteri menghadiri mesyuarat di sana.
Beliau mungkin mendapat serangan jantung kerana terlalu penat," katanya ketika dihubungi Bernama.
Jenazah Mohd Amran dibawa pulang ke kediamannya di Bangi Golf Resort,
Bandar Baru Bangi, Selangor sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan
Islam Sungai Ramal Luar, Kajang.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri Khursiah Abdul Aziz dan dua anak perempuan berumur 23 dan 18 tahun. -Bernama
No comments:
Post a Comment