MALAYSIAKINI
Sebuah portal pro-Umno mengingatkan parti itu mengenai 'tragedi'
Sepang yang menyaksikan BN kalah di kawasan itu akibat pepecahan yang
berlaku ke atas undi di kalangan Umno semasa pilihan raya umum ke-13.
Pada pilihan raya itu, kerusi parlimen Sepang dimenangi oleh calon
PAS, Mohamed Hanipa Maidin buat kali pertama setelah berdepan dengan
tiga calon yang semua datang daripada Umno.
Selain calon Umno yang bertanding atas tiket BN, Datuk Seri Mohd Zain
Mohamed, dua lagi calon bebas adalah AJK Umno Bahagian Sepang iaitu
Hanafiah Mohamad dan Datuk Suhaimi Mohd Ghazali.
Portal itu, mykmu.net berkata, justeru, pandangan Tengku
Razaleigh Hamzah atau lebih mesra dengan panggilan Ku Li wajar diberi
perhatian serius dalam mencari cara dan metodologi untuk menangani
ancaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
"Sejarah terukir dan terpahat di dalam memori kedukaan BN dan Umno
apabila Parlimen Sepang menjadi saksi pada PRU yang lepas, bagaimana
“warlord” UMNO Selangor yang dikenali sebagai Zin Badak, tumbang
menyembah bumi apabila undi Umno terbahagi diantara dirinya dan calon
bebas, iaitu Ketua Pemuda Umno Bahagian.
"Tercabut ego dan keangkuhan Zin Badak, yang sebelum itu mewar-warkan
tahap keyakinan yang tinggi, bahawa dirinya akan menang dengan culaan
kemenangan majoriti tinggi.
"Jangan terpedaya dengan keyakinan yang tiada berasas, dan jangan
terbuai dilambung pujian. Jangan sombong, jangan bongkak," kata portal
itu lagi.
Semalam, Ku Li dipetik sebagai berkata, pemimpin Umno jangan
mengambil mudah serta memperlekehkan penubuhan BERSATU kerana parti itu
dianggotai mereka yang berpengaruh serta pernah berada dalam Umno.
Menurut ahli parlimen Gua Musang itu, ini lebih-lebih lagi dengan
kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mengasas parti
berkenaan.
"Kedua-dua pemimpin ini mempunyai pengaruh, berpengalaman dan kita
tidak boleh memandang rendah terhadap mereka," katanya yang dipetik oleh
Berita Harian Online.
Mengulas lanjut, mykmu.net berkata, nasihat orang lama yang
sudah terbiasa dengan sepak terajang politik seperti Ku Li tidak boleh
dipandang enteng dan sebelah mata.
"Apatah lagi, beliau juga pernah berada bersama-sama Mahathir di dalam parti dan kerajaan suatu ketika dahulu.
Ku Li, katanya, tentu tahu bahawa Mahathir masih mempunyai pengaruh
di kalangan rakyat, di samping watak utama seperti Muhyiddin Yassin.
"Sedikit sebanyak, pasti mereka juga mempunyai pengikut-pengikut yang taksub," ujarnya.
Kerusi parlimen Sepang dan tiga kerusi dewan undangan negeri (DUN)
menjadi kubu kuat BN di Selangor sejak sekian lama walaupun tsunami
politik berlaku pada pilihan raya umum ke-12 pada tahun 2008.
Namun, semasa pilihan raya umum tahun 2013, kerusi parlimen Sepang
bersama kesemua tiga DUN di dalamnya iaitu Sungai Pelek, Tanjung Sepat
dan Dengkil berjaya dirampas pembangkang buat pertama kali.
No comments:
Post a Comment