(Agenda Daily) – Presiden PKR, Datuk Seri
Dr Wan Azizah Wan Azizah perlu dikekalkan selaku Ketua Pembangkang dan
tidak timbul nama Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai individu yang layak
menerajui kumpulan pembangkang apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(PRIBUMI) diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS)
kelak.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk
Dr Ahmad Yunus Hairi berkata perkara itu tidak patutpun dibincangkan
pada ketika ini, sebaliknya tumpuan pembangkang perlu diberikan kepada
persiapan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU14) akan datang.
“Pada pandangan saya, apa yang ada pada
hari ini perlu dikekalkan, blok pembangkang seharusnya perlu bekerja
kuat untuk mencapai kemenangan terlebih dahulu.
“Lepas PRU14, bincanglah siapa pun nak
jadi ketua pembangkang atau perdana menteri. Sebaiknya yang mengetuai
blok pembangkang juga merupakan ketua pembangkang di Parlimen,” kata Dr
Ahmad Yunus pada Jumaat.
Menurut beliau adalah tidak sesuai
pembangkang membincangkan tentang kredibiliti Muhyiddin memandangkan
kemampuan beliau dalam memperjuangkan reformasi masih belum jelas
“Saya belum nampak komitmen beliau.
Beliau terlalu baru untuk dilihat kekuatannya membawa reformasi. Saya
khuatir, blok pembangkang semakin berpecah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan PKR
Selangor Shuhaimi Shafiei menegaskan kepimpinan PKR di Selangor akan
mengikut keputusan dibuat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dalam isu
pemilihan ketua pembangkang.
Menurutnya, pihaknya dan parti di peringkat negeri akan akur pada keputusan kepimpinan pusat.
“Pastinya perkara ini akan dibincangkan, diperhalusi dan diputuskan setelah mengambil kira pandangan semua pihak dalam parti.
“Tidak timbul isu Muhyiddin layak atau tidak bagi memegang jawatan sebagai ketua pembangkang,” katanya.
Kelmarin, Naib Presiden PKR Nurul Izzah
Anwar dilaporkan berkata, Pakatan Harapan (PH) sedia bekerjasama dengan
mana-mana pihak, selagi syarat utama (reformasi) dihormati.
No comments:
Post a Comment