DATUK KHALED NORDIN
LIHAT VIDEO DI SINI
Saya ingin merujuk kepada pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung
kebangkitan nasionalisme Johor dan konsep Bangsa Johor semalam.
Saya mempunyai pendirian yang berlainan dan menyanggah dengan tegas kenyataan tersebut.
Pendirian saya adalah selari dengan pandangan Sultan Johor berhubung perkara ini.
Pertama, kebangkitan nasionalisme Johor - dalam apa cara sekalipun -
tidak bertujuan untuk menjurus kepada perpisahan dari Persekutuan
Malaysia.
Johor adalah sebuah negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia dan
akan terus mendukung hubungan eratnya dengan kerajaan persekutuan.
Namun, hubungan kerajaan negeri dengan persekutuan mesti
diterjemahkan selayaknya atas semangat sebuah persekutuan dan bukannya
sebagai sebuah negara satuan atau unitary.
Kedua, Bangsa Johor adalah satu identiti politik Johor yang menjurus
kepada perpaduan dan sikap muhibah. Ia menyeru kepada muafakat pelbagai
kaum, malah menjadi matan yang menyatukan segala kerencaman bangsa,
agama dan keturunan di bawah satu identiti kenegerian yang bersandarkan
kepada keharmonian, persefahaman dan toleransi.
Ketiga, Bangsa Johor yang bersatu padu, maju, harmoni dan berada
dalam keadaan terbaik bukan saja akan menjadikan Johor dan masyarakatnya
lebih baik, malah akan menjadikan Malaysia dan masyarakatnya juga lebih
baik.
Ia dengan sendirinya akan mengukuhkan Malaysia sebagai sebuah
Persekutuan. Negeri-negeri yang kuat, dengan masyarakat yang kuat akan
membentuk persekutuan yang kuat.
Keempat, nasionalisme Johor dan konsep Bangsa Johor adalah identiti
unik yang telah lama sebati dengan Johor dan amalan masyarakatnya.
Seawal 1920-an Almarhum Sultan Sir Ibrahim (sudah) memperkenal dan menggunakan istilah tersebut.
Ini bermakna, penggunaan Bangsa Johor sudah wujud lebih awal daripada kemerdekaan dan kewujudan Malaysia.
Kelima, terimalah kebangkitan nasionalisme Johor dan Bangsa Johor ini
sebagai sebahagian daripada kepelbagaian dan kerencaman Malaysia.
Malaysia mempunyai pelbagai cerita terbaik. Kemajmukan inilah yang menjadikan Malaysia kuat dan istimewa.
Saya menyeru semua pihak untuk meneladani kebangkitan Johor dan
nasionalismenya. Ia harus menjadi pacuan moral untuk kita lebih
menghargai kepelbagaian berbangsa dan bernegara secara progresif dan
sihat.
Kepada Dr Mahathir, saya beranggapan tidak perlulah untuk beliau
bercakap dan mengulas tentang perkara yang bukan menjadi bidang
kearifannya. (Ini) sesuatu yang beliau tidak dapat hargai atau jiwai.
Kami di Johor akan terus berbangga memelihara dan berusaha
mempertahankan segala warisan dan konsep yang boleh menjayakan dan
menyatakan segenap rakyat negeri ini.
DATUK KHALED NORDIN adalah Menteri Besar Johor
No comments:
Post a Comment