ROKETKINI.COM
DAP tidak akan meneruskan rancangan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dan mengadakan pilihan raya negeri. Keputusan ini dibuat setelah melakukan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin parti dan negeri Pulau Pinang selepas Timbalan Presiden PKR merangkap Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali memberitahu saya semalam bahawa kepimpinan PKR tidak setuju dengan cadangan mengadakan pilihan raya awal.
Datuk Seri Azmin, Naib Presiden PKR Nurul Izzah dan Pengarah Pilihan Raya PKR, Saifudin Nasution telah berjumpa dengan saya dan Pengerusi DAP negeri Chow Kon Yeow di Pulau Pinang pada 20.7.2016 untuk mendengar sebab-sebab kami mahu mengadakan pilihan raya negeri.
Kami telah menjelaskan bahawa ia merupakan strategi yang proaktif, bukan sahaja untuk membenarkan rakyat membuat keputusan sama ada saya perlu terus menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang semasa didakwa dengan tuduhan rasuah yang direka-reka atau tidak, tetapi apa yang lebih penting adalah ‘memberi’ hukuman kepada apa yang didedahkan oleh Peguam Negara Amerika Syarikat semasa mengemukakan saman untuk merampas aset bernilai AS$1 bilion yang dicuri oleh 1MDB dari rakyat Malaysia.
Tidak salah untuk mengembalikan mandat kepada rakyat kerana ia merupakan elemen terpenting dalam demokrasi. Untuk tidak berasa takut mengembalikan semula mandat kepada rakyat bagi membuat keputusan tentang pendedahan skandal 1MDB serta pemerintahan, kredibiliti dan kesahihan kerajaan negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh saya, adalah strategi yang betul apabila BN menentang pilihan raya negeri ini diadakan. Tidak ada sebab untuk BN menentangnya apabila mereka membuat perkara yang sama di Kelantan, Sabah dan Sarawak.
Semasa pertemuan pada 20 Julai, kebimbangan yang wajar tentang pilihan raya negeri itu telah dibangkitkan, bahawa PKR berisiko kehilangan lebih banyak kerusi berbanding DAP. Satu cadangan telah dibuat bahawa DAP memberi satu atau dua kerusi negeri yang sedia ada di Pulau Pinang kepada PKR agar cadangan mengadakan pilihan raya negeri itu lebih diterima oleh PKR. Walau bagaimanapun, kami diberitahu ia tidak dapat dilaksanakan.
Memandangkan PKR tidak bersetuju dengan cadangan tersebut, DAP tidak akan meneruskan hasratnya untuk mengadakan pilihan raya negeri. Walaupun Amanah bersetuju dengan DAP, kita telah mengumumkan bahawa DAP akan hanya membuat keputusan tersebut jika mendapat persetujuan bersama ketiga-tiga parti dalam Pakatan Harapan.
DAP berpegang kepada proses rundingan secara kolektif. Walaupun dikritik secara tidak adil, kita akan berpegang kepada janji dan prinsip amanah sebagai asas menjalinkan hubungan lebih erat dalam Pakatan Harapan. Tidak seperti BN yang kleptokrat, pemimpin-pemimpin DAP adalah demokrat yang berusaha untuk membina dan mengukuhkan kepercayaan bersama.
Pulau Pinang Sebagai Negeri Keusahawanan dan Berkebajikan
Pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan kini harus memberi fokus dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai model urus tadbir yang baik dan kepimpinan yang bersih untuk membangunkan Pulau Pinang agar menjadi sebuah negara keusahawanan dan berkebajikan. Ini berlawanan dengan kapitalisme kroni dan rasuah BN.
Walaupun tidak mempunyai sumber semula jadi dan ketandusan peruntukan dari Kerajaan Persekutuan, Pulau Pinang telah berjaya membangun dengan berbekalkan urus tadbir yang baik, membina bakat sumber manusia serta bergantung kepada sektor swasta dan masyarakat sivil dalam rangka kerja Kerjasama Awam-Swasta (PPP). Dengan kerajaan negeri memperuntukkan wang modal atau pembiayaan penuh projek/inisiatif, kita mengalu-alukan sektor swasta melaburkan dana atau kepakaran dalam pembangunan berterusan.
Walaupun dibiayai secara awam, banyak projek/inisiatif ini dijalankan oleh sektor swasta atau masyarakat sivil, dengan minimum atau tidak ada campur tangan dari kerajaan negeri. Projek Penang Science Cafe yang bernilai RM20 juta untuk memberi kelas percuma kepada kanak-kanak dalam sains aplikasi dan robotik, Tech Dome di Pulau Pinang yang bernilai RM28 juta untuk meningkatkan minat dalam sains dan teknologi, skim Latihan Dual Vokasional German bernilai RM6 milion yang menawarkan kursus diploma lanjutan 42 bulan di mana para pelajar boleh mengetahui lebih lanjut tentang pekerjaan di kilang-kilang yang diiktiraf termasuk di German, perpustakaan digital Pulau Pinang bernilai RM3 juta yang baru, dan juga Festival George Town tahunan menunjukkan kejayaan model negeri keusahawanan Pulau Pinang.
Pulau Pinang juga merupakan negeri berkebajikan yang tidak mengabaikan masyarakat miskin dan tidak bernasib baik. Sejak 2008, lebih RM400 juta telah diperuntukkan untuk sekolah, warga emas, bayi baru lahir, ibu tunggal, orang kurang upaya, suri rumah, pemandu teksi, nelayan, penarik beca, serta pelajar sekolah rendah, menengah dan universiti.
Kami memperuntukkan 12% dari bajet tahunan untuk pertolongan secara wang tunai, malah, menjamin pendapatan isi rumah bulanan minimum sebanyak RM790 dengan menambah pendapatan mereka yang kurang daripada RM790. Dalam erti kata lain, jika pendapatan isi rumah bulanan anda adalah RM600 sebulan, kerajaan akan membayar RM190 setiap bulan. Mungkin inilah sebab mengapa pekali Gini tentang ketidaksamaan pendapatan di Pulau Pinang telah berkurang daripada 0.42 pada 2009 kepada 0.364 pada 2014, satu peningkatan lebih 13% dalam masa 5 tahun, jika dibandingkan dengan purata negara sebanyak 0.401.
Program perumahan awam dan berpatutan kita sebanyak 22,512 unit, telah menarik minat yang meluas seperti yang ditunjukkan oleh sambutan hangat orang ramai ke ekspo perumahan mampu milik di Prangin Mall sejak dua hari lalu.
Negeri keusahawanan dan berkebajikan hanya dapat dicapai kerana kita merekodkan lebihan bajet tahunan melalui pentadbiran bersih. Pentadbiran CAT Pulau Pinang dalam Keupayaan, kebertanggungjawaban dan Ketelusan telah membenarkan rizab kita meningkat daripada RM850 juta kepada hampir RM1.6 bilion dalam 8 tahun. Hutang negeri Pulau Pinang telah dikurangkan sebanyak 90% kepada hanya RM69 juta – yang terendah di Malaysia. Malah, kadar pengangguran Pulau Pinang sebanyak 1.5% menawarkan pelbagai jenis peluang pekerjaan.
Lebih banyak usaha akar umbi perlu dibuat supaya rakyat dimaklumkan dengan dasar-dasar baik oleh kerajaan negeri Pulau Pinang yang bekerja keras untuk kepentingan rakyat dan bukan kroni. Hanya dengan cara itu kita akan yakin untuk menghadapi pilihan raya akan datang serta tidak takut kehilangan kerusi. Kita mesti menang bukan kerana kegagalan, salah guna kuasa dan rasuah oleh BN, tetapi disebabkan kekuatan kerja keras kita sendiri dalam mewujudkan sebuah negeri keusahawanan dan berkebajikan.
*Kenyataan media oleh Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di Komtar, George Town pada 31 Julai 2016
No comments:
Post a Comment