MALAYSIAKINI
Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) cawangan Utusan Melayu menyatakan
kesetiaan dan sokongan kepada pihak pengurusan terutama Pengarah Urusan
Kumpulan Utusan, Datuk Noordin Abbas walaupun gaji mereka telah terlewat
bayar.
Dalam kenyataannya, NUJ Utusan berkata, pihak kesatuan kerana percaya
usaha yang dilakukan Noordin ketika ini bagi menyelamatkan syarikat.
"Noordin bersama-sama Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz
Ishak berusaha meningkatkan pendapatan dan keuntungan syarikat dengan
mencari sumber pendapatan lain dan tidak bergantung sahaja kepada
penjualan akhbar, majalah dan iklan.
"Lebih dari itu, 'bukan senang nak bersihkan tahi' yang dilakukan
kepimpinan tertinggi syarikat sebelum ini," jelas kesatuan itu.
Sebelum ini, bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Zainuddin
Maidin yang popular dengan panggilan Zam mendedahkan bahawa syarikat
akhbar berbahasa Melayu itu sedang 'sakit'.
Dalam blognya, Zainuddin memetik kenyataan Presiden Kelab Veteran
Utusan Melayu(KVUM), Datuk Raja Ahmad Niza yang menyeru supaya langkah
segera diambil bagi menyelamatkan Utusan Melayu (Utusan Malaysia) yang sedang berada dalam keadaan 'sakit'.
"Ini adalah berikutan kegagalan syarikat itu membayar gaji mengikut
jadualnya kepada kakitangan termasuk para wartawan sebaliknya akan di
bayar lewat iaitu pada 5 Ogos ini.
"Mereka telah diberitahu menerusi suatu surat pekeliling Pengarah
Urusan Kumpulan Utusan Melayu, Datuk Mohd Noordin Abbas bertarikh 21
Julai 2016," petik Zainuddin sambil memuat naik satu memorandum
pekeliling berkenaan apa yang dikatakan Raja Ahmad.
Mengulas lanjut, NUJ Utusan berkata, Kumpulan Utusan sedang mengambil
langkah terbaik dalam mengurangkan kos operasi dan mencari peluang
perniagaan baru tanpa membuang pekerja buat masa ini.
Kesatuan berharap masyarakat tidak bersangka buruk dan mempercayai
dakyah pembangkang yang memburukkan Utusan dan UMNO membabitkan keadaan
yang berlaku.
"Kesatuan juga menyeru masyarakat Melayu dapat memberi sokongan padu
kepada satu-satunya syarikat akhbar pejuang masyarakat Melayu yang masih
wujud sehingga kini.
"Kesatuan menyeru masyarkat Melayu kembali mengamalkan semangat membaca akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan Kosmo," ujarnya lagi.
No comments:
Post a Comment