Sabtu, 31 Oktober 2009

Puspakom:Kita Kena Macam Dulu-dulu Juga

Oleh laniisma


Senangnya mereka menjana harta, syorkan pada kepada kerajaan, kenderaan lebih 15 tahun kita 'pulun' .Kita disembelih lagi..macam dulu-dulu juga..Kata mereka ingin meningkatkan daya saing industri automotif tempatan serta menawarkan kenderaan lebih selamat, mesra alam dan berteknologi tinggi. Sedapnya bunyinya.

Pok Mat dari Keruak Hulu Besut Terengganu pemilik kereta Toyota KE20 dua pintu, berulang alik ke masjid sesekali ke Jerteh mencari keperluan dengan kelajuan 60kms. Katanya cukai jalan perlu sebab keretanya ke Jerteh, dia tak takut disaman tetapi dia takut duitnya habis membayar saman.

Maka pergilah Pok Mat ke Puspakom Kota Bharu kerana Puspakom Kuala Terengganu lebih jauh. Setelah berpeluh sampai ke keting maka selesailah urusan Pok Mat. Dihitungnya dekat RM100 terbang dengan minyak dan keperluan lain. Itu pun nasib Pok Mat merokok cap topi merah aja. Setelah selesai maka jadilah KE20 Pot Mat tadi lebih selamat, mesra alam dan berteknologi tinggi. Itulah kelentong mereka.

Rakyat didahulukan dengan kesusahan. Tentang kenderaan kita dipulas tangan kebelakang, ditutup mata dan ditonyoh lagi. Bab insuran kita yang kena, insuran pihak ketiga berganda-ganda selepas itu puspakom pula.

Satu juta kenderaan Rm40 sudah berapa, tapi laungan mereka semakin deras rakyat didahulukan. Kita terkena aja semacam tak sepadan dengan apa yang kita dapat tapi entahlah apa difikiran mereka.

Kita kena macam dulu-dulu juga, dihulur RM1 dikautnya RM10 tapi yang tak faham-faham dapat RM1 senyumnya ke telinga. Alahai...

Wawancara eksklusif dengan Nizar:Kisah benar 28 Oktober

DETIK DAILY

SIDANG Dun Perak yang berjalan 28 Oktober lalu menyaksikan satu lagi 'titik hitam' yang terlakar dalam sejarah Dewan Undangan Negeri Perak setelah rampasan kuasa Februari lalu menjadi titik tolak permulaan sejarahnya.Dua sidang dun berjalan serentak dalam satu dewan menyaksikan sekali lagi satu tragedi malang terus menimpa demokrasi di Perak.

Walaupun jalan penyudah iaitu dengan membubarkan Dun dicadangkan dan diminta 90 peratus warga Perak, namun kerajaan BN Perak yang diterajui Dato' Dr Zambry Abdul Kadir masih berkeras.Membincangkan pendirian Pakatan Rakyat Perak dalam isu dua sidang Dun dalam satu dewan pada tarikh yang sama, keabsahannya diperkatakan oleh Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin kepada Wartawan Kanan Harakah, WAN NORDIN WAN YAACOB bersama TVAntara ketika diterjah di Lobi Parlimen pada 29 Oktober lalu.Ikuti telahan Nizar.


Soalan: Bagaimana perjalanan sidang Dun Perak pada 28 Oktober lalu apabila kita lihat dua sidang dun diadakan dalam satu dewan, boleh ceritakan sedikit apa yang terhadi sebenarnya?


Nizar : Saya tidak mahu membayangkan bagaimana nanti di Malaysia kita lihat di lobi ini berkeliaran polis merata-rata dan dalam dewan (dewan rakyat) nanti penuh dengan samseng-samseng untuk menjaga dewan, saya tak mahu membayangkan hal ini berlaku, tetapi di Perak berlaku, sebagaimana 28 Oktober dan 7 Mei lalu dengan Sivakumar yang diheret dari tempat duduknya selaku speaker, dengan anggota polis mengawal.

Sementara terbaru sidang pada 28 Oktober pula samseng dipakaikan dengan baju awam bukan 15 tetapi 22 orang, yang itu di hadapan yang kawal Ganesan, di belakang yang kawal kami masih banyak, kami ditahan.

Dengan 28 orang Adun kami ditahan oleh check point polis sebanyak lima kali, cuba bayangkan, ini seolah-olah sengaja dibuat agar kami tak boleh sampai masuk jam 10.00 pagi, sebelum kami dapat masuk ke pagar besar, kami dicheck lagi dan selepas masuk dalam gate, kami ditahan lagi oleh polis yang lain, mereka mahu rampas baju jubah Speakar, kami beredar keluar sebentar.

Kami masuk semula, dan ditolak ke tempat kereta di bawah agar tak dilihat dan disitulah mereka jalankan operasi mencekik Sivakumar, saya berada di sana bersamanya, ini satu tindakan yang amat memalukan. Kalaulah dinafikan oleh Ketua Polis Perak dan KPN dan dinafikan oleh Menteri KDN dan mana-mana, ini satu pembohongan yang jelas, kami tak boleh terima pembohongan ini.

Saya lihat seorang ASP yang merampas songkok Sivakumar dihadapan kami, kenapa dia pulak yang melakukan ini. Dia merampas di depan kami, yang cekik ini berlaku, dan Sivakumar juga dihentak perutnya, kerana mereka nak ambil jubah Sivakumar.

Ini jelas menunjukkan bagaimana kejam dan ganasnya mereka dihadapan kami, mereka buat ini di parkir kereta, pintu lain dikunci dan kami dibenarkan masuk dengan satu laluan, barangan kami iaitu notebook dan kamera video dirampas ini berlaku dalam Malaysia iaitu di Perak dan bukan di Myanmar.

Apa yang berlaku di Perak ini boleh berlaku di negeri-negeri lain, ini mereka boleh lalukan di mana sahaja.Walaupun kami tertekan kami tetap masuk dewan dan mulakan persidangan, walaupun tak dapat duduk ditempat kerajaan tapi kami duduk di tempat pembangkang, kita terus jalankan sidang dengan Sivakumar mempengerusikannya.

Kami telah tangguhkan sebentar pada jam 11.20.

Apa yang berlaku 28 Oktober itu kami laksanakan tugas kami, cuma kami telah ditahan pihak berkuasa yang ratusan anggotanya dengan alat-alat mereka dengan jentera mereka dan kenderaan mereka seolah-olah Perak macam zon perang, itulah yang terjadi, dan kemelut ini tak boleh selesai kecuali dengan satu keputusan biarkan rakyat Perak memilih semula kerajaan negeri dengan pilihan raya kecil.

Soalan : Dua sidang Dun berjalan sekali, apakah kesan dan bagaimana kedudukannya?

Nizar : Sidang Dun berjalan serentak dengan dua speaker dalam satu dewan jalan serentak oleh kerana kami dah membahas dan lulus tiga usul itu, maka speaker Sivakumar telah menyatakan penagguhan dewan ke satu tarikh yang bakal diberitahu kelak.

Dalam sidang yang dikendalikan oleh Sivakumar, Adun-adun Pakatan Rakyat telah meluluskan tiga usul, pertamanya "Supaya semua kem program latihan khidmat negara dan program luaran lain digantung sehingga selesai siasatan tragedi di Kampar.

Keduanya menerima laporan Ketua Audit Negara bagi Perak, sewaktu pentadbiran Pakatan; dan seterusnya mencadangkan melantik bekas pengerusi KeADILan Perak, Osman Abdul Rahman sebagai senator bagi mewakili negeri di Dewan Negara.Ini semua telah kita luluskan.

Maka selepas itu, kami pun keluar dari dewan, kami keluar dan mereka BN meneruskan dewan dengan saya difahamkan belanjawan yang dibentangkan oleh BN dalam masa yang sama mereka meluluskan tanpa bahas, dan mereka juga meneruskan dengan soalan lisan serta beberapa rang undang-undang , tidak sampai dua jam seluruhnya dibuat dengan tergesa-gesa tanpa mengikut tradisi sebelum ini.

Jadi apa yang saya nak nyatakan ialah BN agak tersepit kerana mereka mesti adakan sidang tersebut sebelum tarikh yang akhir iaitu sebelum 7 November, dan mereka ini seolah-olah mengyunakan sidang haram ini untuk menjalankan apa sahaja dalam konteks lulus dan mereka luluskan apa sahaja bagi mereka agar speaker mereka yang haram itu mengesahkan kedudukannya, sementara MB mereka yang haram mengesahkan kerajaan kerajaan dan mengesahkan belanjawan mereka.

Itulah sasana yang ada iaitu satu persidangan yang sah dan satu persidangan yang haram iaitu sidang yang sah ialah sidang yang Speaker Sivakumar (Adun Tronoh) yang kendalikan, sementara sidang yang tidak sah ialah sidang yang dikendalikan oleh Speaker haram, Dato' R Ganesan.

Bagi saya persidangan yang mereka jalankan itu tak sah dan segala-gala yang mereka bincangkan, bentangkan atau bahaskan itu semuanya tidak sah kerana speaker yang kendalikan itu tidak sah, jadi apa yang kami bincang ialah yang sah, itu saya rasa komen secara jelas ringkas.


Soalan : Mengenai campur tangan mahkamah yang gunakan exparte dalam melarang peserta dan pihak yang masuk ke bangunan Dewan Undangan Negeri Perak, apakah pandangan Dato' Seri?


Sebenarnya ia perkara ini tidak timbul, tetapi oleh kerana mereka telah menggunakan mahkamah untuk membuat satu perisytiharan dalam lingkungana 50 meter yang mereka tak boleh hampri bangunan itu tak sepatutnya dalam perkara exparte kerana maklumat untuk membuat exparte ini hanyalah jika ia menuju kepada keadaan specifik, kerana ini hal yang diketahui umum.

Mana mungkin kita tak boleh pergi sebab tiga minggu lagi kita telah diberitahu dengan persidangan ini, tak silap saya dari speaker haram dan sah tarikhnya dalam 13 Oktober iaitu dua minggu sebelum ini. Jadi apakah rasionalnya untuk menggunakan mahkamah bagi mengeluarkan arahan agar pengisytiharan exparte ini menunjukkan mahkamah digunakan oleh kemungkinan pihak tertentu atau pihak pimpinan BN. Iinilah penggunanan dan mempengaruhi mahkamah bagi bagi mengikuti telunjuk BN.


Soalan : Adakah Dato Seri melihat insiden 28 Oktober lalu lebih teruk berbanding insiden di tenpat yang sama pada 7 Mei lalu?



Nizar : Dari segi penghormatan rakyat kepada PR sudah tentilah kita memenuhi segala yang kita hasratkan, Umno/BN dengan mereka lantik bentara dengan 22 orang yang tidak dikenali mengawal Ganesan agar Ganesan terus duduk di kerusinya walaupun beliau adalah seorang spekar yang tidak sah.

Anggota polis digunakan semahunya dengan menahan kami di luar dengan mengasari sepaker yang sah, nampak seolah-olah wujudnya satu suasana 'negara polis' sama semacam insiden sidang dun pada 7 Mei lalu. Tetapi oleh kerana kali ini kami telah menjangkakan bahawa mereka harapkan kami buat kecoh, itu sebab mereka sabotaj kami dengan hentikan lif, kunci padlock pintu-pintu masuk dan ini membahayakan banyak nyawa jika berlaku kebakaran.

Soalan : Apa sebabnya mereka lakukan begitu?

Nizar : Semua ini mereka sengaja buat dan lakukan hanya untuk kecoh, dan semua itu dalam pembacaan (agakan) kami dan kami telah menduga, kami kawal walaupun ada perang mulut - itu biasa - jadi kami juga mengawal kedudukan kami supaya tak nampak kami masuk dalam perangkap Barisan Nasional (BN).

Jadi apa ayang saya lihat itu sebenarnya dalam dewan nampak macam tak kecoh, tetapi suasana di luar dewan sebenarnya lebih parah lagi dari 7 Mei lalu, oleh kerana mereka gunakan anggota polis untuk merampas jubah speaker yang sah (V.Sivakumar).

Sebenarnya jubah spekara ini hanyalah satu perkara yang 'konvensional'. Saya pelik kenapa ada arahan polis untuk waran dan tangkap Sivakumar bagi mengambil balik jubah itu, sedangkan Sivakumar tidak dapat langsung nak duduk di kerusinya sebagai Speaker yang sah,.

Ini saya tak nampak mana rasionalnya tindakan polis itu, jubah itu simbol sahaja, kenapa polis beria-ia merampas jubah itu sehingga mencekik Sivakumar.

Ini saya nampak macam satu tindakan kebudak-budakan, sementara beberapa adegan kekasaran terhadap YB Nga Kor Ming (DAP-Pantai Remis) dan Chang Meng Kai agak keterlaluan.

Jadi saya amat kesal dengan insiden ini yang menggambarkan bahawa hal ini boleh berlaku dimana-mana sahaja termasuk di Dewan Rakyat dan Dun-dun yang lain.

Soalan : Bagaimana pula perkembangan mengenai kes perbicaraan di Mahkamah Persekutuan?

Nizar : Pada 5 November ini kami akan berada di Putrajaya di Mahakamah Persekutuan, kita mahukan full bench panel hakim kerana kes Perak ini kes besar yang mesti diambil oleh hakim semaksimanya dalam membuat keputusan agar kes ini jadi kes yang menjadi perujuk kepada kes-kes nantinya.

Nik Aziz dedah penggantinya

Oleh Lanjusoh & Mohd Nor Yahya


Umpama bulan dan matahari, apabila sang suria bersembunyi di sebalik ufuk barat maka cahaya bulan akan mulai kelihatan.Itulah perumpamaan yang digambarkan Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika ditanya siapa penggantinya.

Kata beliau selagi ada matahari, cahaya bulan tidak akan kelihatan dengan jelas.Rahsia itu didedahkan ketika ditemui semasa berkunjung di sini pada akhir Ramadan lalu.

Katanya pengganti yang dimaksudkan itu sudah ada, cuma tidak menonjol kerana beliau masih ada (ketua).

“Kalau saya tiada orang itu akan muncul dengan sendirinya. Samalah seperti ketika zaman Datuk Asri Muda dahulu, ramai orang berkata PAS akan berkubur tanpa Asri.

“Namun selepas Asri menyertai parti lain, PAS terus kuat sehingga semakin gagah sekarang,” katanya.

Ditanya siapa nama penggantinya, kata beliau memang sudah ada. Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan siapa orang berkenaan.

Sementara itu di majlis berasingan di Kota Bharu 3 Syawal lalu, Menteri Besar berkata, kejayaan sesebuah negara bagi meneruskan legasi pentadbirannya bergantung kepada barisan pelapis yang ditinggalkan.

“Maka mahasiswa sebagai golongan terpelajar akan menjadi pemimpin pelapis kepada negara pada masa akan datang.

“Ini kerana golongan mahasiswa diberikan kelebihan ilmu. Tidak semua anggota masyarakat berkemampuan untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada majlis Mesra Aidiltitri Mahasiswa Kelantan Balai Islam.

Program itu dianjur Markaz Siswazah Kelantan (MSK) dan kerjasama Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO.

Bagaimanapun Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, kelebihan ilmu itu tidak akan ke mana-mana sekiranya cara berfikir dan tingkah laku masih dibelenggu fahaman sekular.

Pada majlis itu beliau berharap agar anak-anak tidak melupai jasa dan penat lelah ibu bapa yang menyara mereka sejak kecil sehingga dewasa.

Beliau juga berharap mahasiswa menghayati prinsip asas ilmu iaitu taat kepada Allah dan Rasulullah saw dalam segenap lapangan hidup.

“Sijil, diploma dan ijazah serta pekerjaan bukannya matlamat terakhir dalam pencarian ilmu, sebaliknya jadikanlah ia sebagai kunci untuk terus menggali khazanah ilmu dan menimba pengalaman,” ujarnya.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO, Haji Abdul Fattah Mahmood dan Ketua Pemuda PAS Negeri, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman.

Turut hadir Pengarah Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO, Abdul Aziz Abdul Rahman dan Presiden MSK, Borhanuddin Ahmad.

Abdul Fatah ketika berucap berkata, terpulang kepada mahasiswa yang ada sekarang meneruskan kesinambungan pemerintahan Kelantan pada masa akan datang.

“Adalah menjadi harapan kerajaan negeri untuk melihat pemimpin akan datang juga mampu melakar sejarah,” katanya.

Program itu turut diselit dengan wacana siswa bertajuk “Mahasiswa Memacu Perubahan”. Tiga panelis iaitu pensyarah UPM, Prof Madya Dr Mat Rofa Ismail, aktivis masyarakat, Kamarudzaman Mohamad dan Pangarah Nisa’ Kelantan, Ilvira Mohd Dasuki.


Naib Presiden MSK, Ustaz Abdul Fatah Jaafar bertindak sebagai pengantara.

MB:Konvokesyen Ke4 Unisel Tanda Kejayaan Lahirkan Graduan Berkualiti

NADIA MOHSIN(TV SELANGOR)


Shah Alam -Seramai 2,043 graduan Universiti Industri Selangor (Unisel) diraikan dalam satu majlis Konvokesyen ke 4 universiti tersebut di Kampus Utama Unisel,Bestari Jaya pagi tadi.

Konvekesyen empat sidang yang yang bermula hari ini menghimpunkan graduan dari 87 program yang ditawarkan unisel dari pelbagai peringkat.

Menurut Menteri Besar, Abdul Khalid Ibrahim berkata konvesyen ini membuktikan Unisel merupakan salah sebuah institusi pengajian tinggi yang berjaya melahirkan graduan berkualiti.

Katanya, graduan berkenaan merupakan asset penting dalam bidang industri di negeri ini.

“Apa yang penting bagi universiti ialah hasil graduan yang dikeluarkan.Kita merasakan universiti Unisel telah mempunyai nidge atau kepakaran yang tersendiri berbanding dengan universiti2 yang ada di Malaysia dalam beberapa bidang”,katanya.

Majlis konvokesyen berkenaan disempurnakan Canselor Unisel, Datin Sri Paduka Rosmah Mansor.

Penerima Anugerah Emas Caunselor Hazeeq Hazwan dengan Iijazah Sarjana Muda Kepujian Bioteknologi merumuskan bahawa kejayaannya hari ini merupakan suntikan semangat untuk dia terus mendalami bidang yang diceburi.

“Di luar negara,di UK,insyaallah,Sekarang saya sedang cuba dapatkan biasiswa,dan secara hitam putih belum lagi.Tapi melalui mulut,mereka telah sahkan kemasukkan saya ke sana,Universiti Oxford”,kata Hazeeq.

Bagi penerima Anugerah Pengerusi,Azuwa Kasnan,beliau menyifatkan kejayaannya hari ini merupakan titik tolak kepada usahanya untuk melanjutkan pengajian pada masa depan.

“Sekarang ni saya dah bekerja,mungkin nak sambung belajar tapi saya kerja dulu cari pengalaman kemudian saya nak sambung belajar”,komennya.

Khalid: Usul Badrul Letak Jawatan Lambang Ketelusan Kerajaan Negeri

TV SELANGOR


SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyambut baik kritikan-kritikan yang diterima dari Umno-Barisan Nasional atas tindakan beliau meminta Adun Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan itu.

Menurutnya, beliau membuat keputusan tepat dan mengotakan janji kepada rakyat untuk mengambil tindakan terhadap Badrul apabila peluang dan tempoh masa yang diberikan sebelum ini dipersiakan.

Kata Khalid, tindakannya itu sekaligus menunjukkan ketelusan Pakatan Rakyat dalam mentadbir kerajaan negeri.

“Saya tak terkejut walaupun ada yang mengkritik tindakan saya mengusulkan kepada pucuk pimpinan meminta Adun tersebut meletakkan jawatan, keputusan ini dibuat kerana saya telah berjanji dengan orang ramai untuk mengambil tindakan dan ini menunjukkan ketelusan Pakatan Rakyat,” katanya

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku Anwar On Trial – In The Face Of Injustice di Perpustakaan raja Tun Uda, Shah Alam, hari ini.

Menjawab persoalan, semakin ramai pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatan, Khalid menjelaskan sebaliknya kerana bilangan ahli yang aktif dalam parti itu semakin bertambah.

Katanya, tindakan keluar parti seorang dua ahli PKR sengaja disensasikan sesetengah pihak sebaliknya kemasukkan ahli baru tidak langsung pernah dibangkitkan.

“Takde juga, tak ramai…saya nak bagitau sebagai contoh di Selangor sahaja, semasa saya mula aktif dalam PKR pada 2005 dan 2006, tak sampai 50 orang yang aktif, tetapi sekarang lebih 2000 orang aktif, kadang-kadang yang keluar parti seorang, tapi yang masuk 400 orang, saya rasa itu bukanlah masalah, orang keluar seorang bising, tapi ramai yang masuk diam,” katanya.

Jelas Khalid lagi, Umno-Barisan Nasional perlu menasihatkan Badrul supaya meletakkan jawatan bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan.

Katanya ia bagi menjaga maruah Umno-Barisan Nasional dan membuktikan parti berkenaan masih mempunyai semangat juang seperti pada pilihan raya kecil bagan pinang 11 oktober lalu.

“Ya, we thought if Badrul Hisham resign, then we look forward by election because if UMNO feels they got motivation from Bagan Pinang, they should persuade Badrul Hisham to resign, therefore we compete then what we think it. I hope Datuk Seri Najib will advice Badrul Hisham for sake Umno, he resign,” katanya.

Khalid menambah, apa yang berlaku sekarang adalah sebagai pengajaran kepada PKR untuk berhati-hati memilih calon pada masa akan datang dan hanya akan memilih calon yang benar-benar memahami falsafah parti.

“Ini perkara yang menjadi pengajaran kepada kita dan untuk masa depan, pemilihan untuk mereka dan calon-calon perlu diperketatkan supaya mereka mempunyai ketahanan untuk memperjuangkan keadilan dan falsafah parti,” katanya.

Terdahulu, Badrul bertindak mengumumkan keputusan keluar dari parti keadilan dan menjadi ADUN bebas menyokong Barisan Nasional setelah Tan Sri Khalid mengusulkan kepada pucuk pimpinan Keadilan supaya Adun itu meletak jawatan.

Usul itu dibuat setelah Badrul gagal membela penduduk Pelabuhan Kelang, malah enggan membuka pusat khidmatnya.

Hilang kepercayaan kepada parti tidak sahkan tutup pusat khidmat

Harakahdaily


SHAH ALAM: Adun Perlabuhan Klang, Badrol Hisham Abdullah tidak patut menutup pusat khidmat kepada rakyat di kawasannya sungguhpun benar dia hilang kepercayaan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ini kerana, beliau memikul amanah pengundi kawasannya dan tidak boleh menafikan hak mereka untuk mendapatkan khidmat dari beliau.

Demikian kata rakan Adunnya, Nik Nazmi Nik Ahmad. Nik Nazmi adalah Adun Seri Setia yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor sebagaimana dilaporkan laman web Selangorkini.

Badrol mengumumkan keluar dari PKR disebuah hotel dekat Kuala Lumpur petang semalam. Pagi semalam, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam kenyataannya berkata, beliau telah mencadangkan kepada PKR agar Badrol meletakkan jawatan.

Nik Nazmi menyelar kenyataan Badrul bahawa beliau hilang kepercayaan kepada parti lalu keluar dari PKR. Ketua Pembangkang Dun Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo pula sebagaimana dijangka berkata sedia menerima 'orang buangan' dari PKR ini.

Nik Nazmi berkata, PKR terlebih dahulu hilang kepercayaan kepada Badrul setelah beliau gagal menjalankan tugas sebagai wakil rakyat di situ.

ImageMenurutnya, Badrul tidak seharusnya bertindak menutup Pusat Khidmat DUNnya, sekalipun hilang keyakinan kepada pucuk pimpinan parti.

Katanya, tindakan Badrul meninggalkan PKR dilihat sebagai membantu Kerajaan Selangor untuk membersihkan pemimpin Pakatan Rakyat dari dibelenggu wakil rakyat yang bermasalah.

Setiausaha Polilitik Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata tindakan ini disambut baik setelah Badrul enggan menerima sebarang bentuk bantuan dari kerajaan negeri dan parti bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.

"Kita selama ni cuba untuk perbaiki selepas dapat banyak respon tentang rekod dia, tentang prestasi dia sebagai seorang wakil rakyat dan kita cuba berjumpa, kita cuba membantu tetapi dia nampak dia tidak mahu menerima bantuan kita, dia dah tutup pusat khidmat dia, kita bergerak lama tanpa dia jadi kita ucapkan selamat jalan lah pada dia," katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Badrol tidak lagi layak mewakili PKR dan Pakatan Rakyat kerana beliau gagal berkhidmat untuk rakyat walaupun berulang kali ditegur oleh pimpinan parti.

Khalid berkata beliau mengalu-alukan pengumuman Badrol bahawa beliau kini akan menjadi Adun bebas dan menyokong Barisan Nasional.

"Kita merasakan YB Badrul Hisham tidak boleh mewakili Pakatan Rakyat, melihat kepada rekod kerja beliau yang tidak memuaskan," kata Khalid.

"Beliau dilihat tidak boleh, dan tidak mahu berkhidmat kepada rakyat. Demikian itu, Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat tidak boleh bertolak-ansur," tambahnya.

Khalid berkata Badrul sepatutnya mengambil langkah terhormat dengan meletak jawatan dan memberi laluan kepada pihak yang mampu melaksanakan amanah penduduk Pelabuhan Kelang.

"Kita tidak halang beliau menjadi wakil rakyat bebas, tetapi belia dianggap telah menyalahguna parti untuk menjadi calon," kata Khalid._

Pinda ISA, bukan hasrat rakyat-GMI

Dzulfikar Mashoor


KUALA LUMPUR : Gerakan Mansuh ISA (GMI) menegaskan keputusan kerajaan untuk meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bersandarkan sokongan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) tidak mencerminkan sokongan sebenar rakyat Malaysia.

Malah NGO terbabit langsung tidak dilihat mewakili rakyat terbanyak, tetapi mereka adalah penyokong setia dasar kerajaan.

"Kelab Penyokong BN dan BTN (Biro Tata Negara)...mewakili suara rakyat, atau memang pertubuhan yang jelas menyokong dasar-dasar kerajaan dan Umno seperti sokong ISA," kata Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh ketika dihubungi Harakahdaily.

"Hishamuddin jemput beberapa pertubuhan yang sudah menyokong kerajaan bersama Majlis Peguam Negara. Walaupun Majlis Peguam tidak bersetuju, masih tidak memadai untuk kerajaan putuskan seluruh rakyat sokong ISA."

Ujarnya, sekiranya kerajaan jujur mahu mendengar suara rakyat, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein sewajarnya turut menjemput GMI untuk memberi pandangan tentang akta tersebut.

Ini kerana pertubuhan tersebut sejak tahun 1987 lagi lantang menentang ISA dan layak memberi pandangan tentang akta tersebut.

"GMI bukan sebuah NGO, tapi sebuah gabungan 87 pertubuhan termasuk badan bukan kerajaan (NGO), badan berkanun Kerajaan, parti-parti politik, badan wanita dan beberapa pertubuhan pelajar," jelasnya.

"Dalam GMI ada JiM (Jamaah Islah Malaysia), keahliannya 10 ribu orang. Parti PAS, PKR, DAP yang bersama GMI semuanya tentang ISA, jika minimum ahli satu juta, bermakna sudah ada lebih tiga juta. Ini baru mencerminkan suara sebenar rakyat."

Tambahnya lagi, Hishamuddin juga sepatutnya memanggil NGO berlatarbelakangkan perundangan dan hak asasi menusia, seperi Suara Rakyat Malaysia (SUARAM).

Beliau juga menasihatkan Hishamuddin agar melihat bersama beberapa penanda aras yang lain, selain pendirian beberapa NGO terbabit.

"Satu lagi aras tanda, lebih 40 hingga 50 ribu rakyat berhimpun aman desak ISA dimansuhkan pada 1 Ogos lalu, sedangkan penyokongnya (pro ISA) boleh dibilang dengan jari, maksudnya jumlahnya cukup kecil."

"Satu lagi aras tanda, keputusan PRU (pilihan raya umum) lepas, kita (GMI) percaya kempen anti ISA adalah salah satu faktor BN hilang majoriti besar di Parlimen dan hilang empat negeri (Selangor, Kedah, Perak dan Pulau Pinang) lagi."

Ekoran keputusan Hishamuddin itu juga, Said Ibrahim bercadang mengadakan suatu dialog tergempar di Parlimen demi melobi para Ahli Parlimen menolak draf pindaan ISA kelak.

Semalam, Bernama melaporkan Hishamuddin mahu meminda iSA sahaja, setelah mendapat sokongan dari Kelab Penyokong Barisan Nasional, BTN, Majlis Pertubuhan Wanita Kebangsaan (NCWO).

Hishamuddin juga dilaporkan yakin membentangkan draf pindaan akta itu untuk bacaan pertama dalam sidang parlimen sekarang.

Tegasnya lagi, akta tersebut diperlukan demi mempertahankan keselamatan negara dari ancaman militan dan pengganas.

Sekiranya pindaan pada akta tersebut masih mengekalkan amalan 'tahanan tanpa bicara' bermakna akta tersebut akan kekal diprotes oleh rakyat, termasuk GMI._

Opera Cina dalam MCA

Safar Jumaat
(ANALISIS)


KRISIS MCA nampaknya tiada penghujung. Ketika banyak pihak menyifatkan pelan perpaduan yang mahu dilaksanakan Datuk Seri Ong Tee Keat sebagai 'opera Cina' beberapa pihak lain melihat Tee Keat terlalu takut jika dia kehilangan jawatan.

Selama ini, MCA yang dikatakan bakal berubah apabila Ong Ka Ting mengundurkan diri serentak dengan Chan Kong Choy, rupa-rupanya terbeban dengan kisah RM10 juta wang dari 'taikun PKFZ' yang didakwa diberikan kepada Tee Keat.

Ketika Tee Keat berhempas pulas mahu membersihkan namanya dari palitan dakwaan menerima RM10 juta itu, dia dikatakan berusaha juga mahu mengenepikan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang pernah dikatakan mahu menjatuhkannya.

Kini, selepas Soi Lek Berjaya diketepikan dari jawatan Timbalan Presiden, Tee Keat masih tidak tenteram kerana kawan yang selama ini dipercayai menyokongnya sehidup semati, Datuk Seri Liow Tiong Lai disifatkan sebagai 'kawan makan kawan'.

Tee Keat mencabar Tiong Lai berterus-terang jika timbalannya itu mahu beliau meletakkan jawatan supaya dia boleh mengambil alih pucuk kepimpinan parti.

Nampaknya, sejarah kepimpinan parti-parti dalam komponen BN berulang. Hubungan antara Timbalan dengan Presiden sering tidak sehaluan.

Dalam Umno, apakah kita masih ingat bagaimana teruknya 'pertembungan' antara Tun Musa Hitam dengan Dr. Mahathir?

Kemudiannya, Tun Ghafar Baba (Allahyarham) dikecewakan oleh Dr. Mahathir sebelum pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Dr. Mahathir.

Dalam PBB (Sarawak), hubungan Tan Sri Abdul Taib Mahmud dengan Datuk Abang Abu Bakar Mustapa, Tan Sri Dr. Sulaiman Daud dan kini dengan Datuk Abang Johari Tun Abang Openg juga sudah menjadi rahsia umum.

Dalam MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu bertelagah dengan timbalannya, Datuk S. Subramaniam. Tan Sri Dr. Lim Kheng Yeik dengan timbalannya Datuk Kerk Choo Ting juga bukan rahsia lagi.

Dalam MCA sendiri, dalam era Tun Dr. Ling Liong Sik, timbalannya, Tan Sri Lee Kim Sai pernah tersungkur. Kemudiannya, Tan Sri Lim Ah Lek tidak menjamah kerusi Presiden kerana 'masalah' antara Presiden dan Timbalan.

Jika Tee Keat yang menimbulkan masalah awal dengan Soi Lek kerana 'mengesyaki' Soi Lek berusaha menjatuhkannya, kini selepas Tee Keat berjaya menjatuhkan Soi Lek, pengganti Soi Lek pula, Tiong Lai dilihat sudah bermasalah dengan Presiden.

Hari ini, hubungan antara Tee Keat dengan Tiong Lai sudah sukar untuk diperbaiki. Tiong Lai kelihatan sudah dapat sokongan dari Pergerakan Pemuda dan Wanita MCA. Tee Keat terpaksa 'berbalah' dengan kedua-dua sayap parti ini kerana melihat Tiong Lai sudah 'dapat sokongan' dari kedua-dua sayap parti itu.

Kenapa agaknya Tee Keat masih mahu bertahan di kerusi Presiden? Kenapa dia tidak mahu berundur seketika untuk menyelesaikan perbalahannya dengan 'taikun PKFZ' Datuk Seri Tiong King Sing sebelum berdepan dengan masalah dalaman MCA?

Jika Tee Keat tidak menimbulkan masalah Soi Lek beberapa bulan lalu, apa yang berlaku dalam MCA sekarang termasuk EGM tidak perlu diadakan.

Malangnya, Tee Keat yang bercita-cita mahu menjadi hero MCA terlupa, lubang yang dikoreknya itu memerangkap dirinya sendiri.

Walaupun pelan perpaduan yang diperkenalkan mungkin Berjaya, tetapi tidak mustahil Soi Lek boleh meninggalkan Tee Keat ketika ini bagi menyokong Tiong Lai yang dikatakan pernah dibisikkan kata-kata oleh Tee Keat sebaik sahaja mahu bercuti selepas EGM, yang dia (Tee Keat) mahu berundur.

Ketika pemimpin lain dalam MCA berusaha menambah kawan-kawan, Tee Keat nampaknya menambah musuh. Dia sudah berbalah dengan ramai orang dan banyak pihak. Kini, MP Seri Gading, datuk Mohamad Aziz pula mencadangkan di Parlimen supaya Tee Keat meletakkan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan kerana 'rakyat sudah tidak memerlukannya' lagi.

Memetik kata-kata Tee Keat, "pemimpin tertentu mendesak supaya menghormati keputusan mesyuarat agung luar biasa (EGM). Ini jelas bermaksud mahu saya meletak jawatan tetapi pada masa sama, mereka mendakwa tidak memaksa saya meletak jawatan.

"Saya secara peribadi mendapati pendekatan mereka ini amat mengelirukan. Jika Timbalan Presiden (Liow) yang baru dilantik mahu saya meletakkan jawatan supaya beliau boleh menjadi Presiden, saya percaya beliau perlu membuat pendirian yang jelas.

"Kita tidak akan dapat menyelesaikan masalah dengan 'bali batu sorok tangan'," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam blognya, semalam.

Masalah Tee Keat ialah dia tidak pernah menjadi Timbalan Presiden sebelum menjadi Presiden. Kekosongan yang berlaku bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden (Ka Ting dan Kong Choy) berhenti serentak menyebabkan Tee Keat yang ketika itu menjadi Naib Presiden bertanding jawatan Presiden manakala Soi Lek yang melepaskan jawatan Naib Presiden membuat 'comeback' dengan menawarkan diri bertanding kerusi Timbalan Presiden.

Tee Keat mungkin menyokong calon lain supaya menang kerusi Timbalan Presiden, kerana ketika itu bekas Setiausaha Agung MCA, Datuk Ong Ka Chuan turut bertanding jawatan Timbalan Presiden, tetapi yang menang ialah Soi Lek.

Tee Keat nampaknya tidak selesa dengan kemenangan Soi Lek. Jika kelazimannya Timbalan Presiden MCA akan dilantik menjadi Menteri, tetapi Soi Lek yang merupakan bekas Menteri Kesihatan tidak ditawarkan apa-apa jawatan.

Ada yang mengatakan Perdana Menteri tidak mahukan Soi Lek tetapi ada juga pihak yang mendakwa tee Keat tidak mengangkat nama Soi Lek kepada Perdana Menteri untuk dicadangkan dilantik menjadi Menteri.

Tiong Lai yang turut menerima kesan tidak sehaluan dengan Presiden apabila timbul cerita isterinya dihadiahkan sebuah kereta bernilai RM600,000 meminta SPRM dan polis menyiasat dakwaan tersebut. Hari ini, pergaduhan antara beberapa pemimpin ini menimbulkan banyak cerita 'tersembunyi' selain kisah-kisah skandal seks.

Sama-samalah kita lihat siapakah yang akan tersungkur kali ini apabila berlaku pertembungan antara Tiong Lai dengan Tee Keat? Adakah Soi Lek akan tampil menjadi jaguh mempertahankan Tee Keat dalam pertembungan Tee Keat-Tiong Lai ini? Atau, kesemua mereka, Tee Keat, Soi Lek dan Tiong Lai akan hanyut dan MCA bakal menyaksikan kepimpinan baru yang bersih dari cerita RM10 juta, skandal seks dan hadiah kereta dari kontraktor?

Atau MCA bakal terus dipimpin oleh mereka yang lebih gemar mencari masalah dan berbalah dengan tidak mempunyai banyak masa untuk turun ke bawah menemui rakyat yang mengharapkan pembelaan dari mereka ini. _

Pemuda Gerakan cadang tubuhkan parti tunggal gantikan BN

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Pemuda Gerakan mencadangkan ditubuhkan parti tunggal yang mewakili semua kaum bagi menggantikan Barisan Nasional (BN) yang kini dianggotai parti-parti komponen yang mewakili kaum tertentu.

Ketuanya Lim Si Pin berkata penubuhan parti tunggal itu diyakini akan dapat menarik minat semua kaum untuk menyertainya dan dapat mengelakkan timbulnya sebarang masalah perkauman.

"Kalau kita (parti-parti komponen) masih menggunakan cara perkauman untuk mengatasi masalah, kita hanya akan menjadi semakin mundur dan tidak dapat menuju ke hadapan," katanya dalam ucapan dasar pada persidangan Pemuda Gerakan di Menara PGRM di sini pada Sabtu.

Sehubungan itu, Lim mencadangkan satu jawatankuasa Pemuda Barisan Nasional (BN) ditubuhkan untuk mengkaji bagaimana struktur parti tunggal sedemikian dapat direalisasikan.

"Saya berharap, Pemuda BN yang kini di bawah pucuk pimpinan saudara Khairy Jamaluddin tidak mengambil ringan cadangan ini tetapi sebaliknya mengambil cadangan untuk menerokai kemungkinan diwujudkan satu parti sedemikian," katanya.

Sementara itu, Lim berkata kesepakatan dan kerjasama perlu dicapai antara semua parti komponen BN dengan menjadikan kekalahan pada pilihan raya umum ke-12 tahun lepas sebagai iktibar dan mendapatkan semula sokongan pengundi pada pilihan raya umum dan kecil yang akan datang.

Katanya keputusan pilihan raya umum ke-12 jelas menunjukkan bahawa aspirasi dan hasrat pengundi dan rakyat jelata telah menjangkaui batasan kaum.

"Banyak kerja pemulihan perlu dilaksanakan, misalnya semua rancangan sedia ada harus dikemaskinikan dan dikaji semula untuk meningkatkan semula imej parti Barisan Nasional," katanya.

Mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Lim berharap kerajaan dapat membuat pindaan yang menyeluruh ke atas akta itu dan bila tiba masa yang sesuai dimansuhkan dan digantikan dengan satu akta yang lebih berperikemanusiaan.

Penduduk beberapa kampung di Besut didakwa amal kepercayaan terpesong

BERNAMA


BESUT: Penduduk di bebeberapa buah kampung di daerah ini dikesan mengamalkan kepercayaan terpesong kononnya akan beroleh pahala jika mereka tidur bersama dengan gambar seorang pemimpin parti pembangkang di negara ini.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Idris Jusoh ketika mendedahkan perkara itu mahu pihak berkuasa relevan dan ilmu Islam di negara ini supaya mengambil tindakan segera bagi memperbetulkan penyelewengan akidah yang dipercayai didalangi pihak tertentu.

"Selain tidur bersama gambar dan percaya apabila melihat gambar pemimpin berkenaan akan memproleh pahala, penyokongnya juga ditanamkan dengan kepercayaan bahawa sekiranya bermimpi bertemu pemimpin itu maka pahala berganda akan diperolehi oleh orang tersebut.

"Ini satu perkara serius yang patut diperbetulkan kerana ia jelas telah memesongkan akidah yang bertujuan untuk mengekalkan populariti dalam politik," kata Idris kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Jualan Mega peringkat daerah di sini hari ini.

Katanya isu itu pernah timbul sebelum ini, namun akhir-akhir ini ia dikesan semakin menular di kalangan penduduk beberapa kampung di daerah ini.

Idris yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Jertih berkata pihaknya mendapat laporan bahawa gambar pemimpin berkenaan bukan setakat dipamerkan di rumah malah pada kenderaan penyokong parti berkenaan.

Sementara itu, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin berkata kepercayaan dan taksub kepada pemimpin sehingga tahap sedemikian jelas terpesong daripada akidah.

Katanya mereka perlu balik ke pangkal jalan dan beristiqamah kerana hukum hakam agama tidak boleh dipermainmainkan.

Beliau berharap pemimpin berkenaan memperbetulkan keadaan dan memberikan penjelasan kepada pengikutnya.

Isu PAS Selangor: Jawatankuasa disiplin kenal pasti pihak perlu beri keterangan

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Jawatankuasa Disiplin PAS yang bermesyuarat kali pertama hari ini bagi menyiasat isu membabitkan beberapa tuduhan terhadap PAS Selangor telah mengenal pasti beberapa pihak yang terlibat untuk memberikan keterangan.

Pengerusi jawatankuasa tersebut, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihak-pihak berkenaan akan dihubungi dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

"Kita dah kenal pasti beberapa pihak yang akan dipanggil untuk berikan keterangan.

"Kita perlu berikan peluang kepada pihak-pihak terbabit untuk beri penjelasan berhubung beberapa perkara," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Ditanya sama ada Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali termasuk dalam senarai pihak-pihak yang akan dipanggil memberi keterangan itu, Tuan Ibrahim enggan mendedahkannya.

"Saya tak boleh komen lebih, perkara ini masih diperingkat siasatan," katanya.

Pada mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat Rabu lalu, Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengarahkan jawatankuasa disiplin parti itu supaya menyiasat mengenai beberapa tuduhan yang dilemparkan terhadap PAS Selangor.

Bagaimanapun Abdul Hadi menafikan siasatan yang dijalankan itu memfokuskan kepada Hassan sebaliknya menegaskan ia akan dijalankan terhadap PAS Selangor secara keseluruhannya.

Isu ini timbul ekoran kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyenaraikan nama Hassan sebagai salah seorang yang perlu 'dibersihkan' daripada parti kerana dikatakan pro-kerajaan perpaduan.

Selain Hassan, Nik Abdul Aziz juga melalui blognya menamakan Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata pada mesyuarat yang berlangsung lebih tiga jam bermula pukul 10.30 pagi tadi telah meneliti beberapa dokumen yang berkaitan.

"Pihak jawatankuasa disiplin telah meneliti beberapa dokumen, dari situ baru kita kenal pasti pihak-pihak yang berkaitan itu," katanya.

Beliau berkata pihak pengurusan parti akan mengeluarkan surat kepada pihak berkenaan dalam masa terdekat dan mereka perlu memberi jawapan dalam tempoh 14 hari.

"Kita akan berikan surat kepada mereka dalam masa terdekat, mereka perlu jawab dalam masa 14 hari.

"Mereka ada peluang untuk jelaskan kepada kita sebelum apa-apa tindakan lanjut diambil," katanya.

Sebalik tabir: Dr Hassan jadi sasaran

Jimadie Shah Othman
(kemaskini 7.32pm)


Tindakan menyeret PAS Selangor ke depan jawatankuasa disiplin belum dapat meredakan konflik dalaman apabila komen-komen negatif berhubung perjalanan mesyuarat khas parti itu kelmarin mula tersebar.

Beberapa blog yang mengamat perkembangan PAS menggambarkan seolah-olah terdapat sesuatu yang tidak kena dalam mesyuarat panjang sehingga jam 1 pagi di kalangan anggota-anggota jawatankuasa pusat dan barisan pesuruhjaya negerinya.

Penulis politik Mohd Sayuti Omar berkata mesyuarat khas PAS itu memberikan fokus kepada exco kerajaan Selangor, yang juga pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Hassan Ali.

Katanya, ada cadangan meminta Dr Hasan dipecat daripada mengetuai PAS negeri dan juga exco hal-ehwal Islam kerajaan negeri.

"Alasannya, kerana terlibat untuk mengadakan pakatan dengan Umno.

"Bagaimanapun (presiden PAS Datuk Seri) Abdul Hadi (Awang) dikatakan telah mempertahankan Dr Hassan dengan meminta agar tuduhan itu disiasat," tulisnya di blog peribadi Merah Tinta sejurus selepas tamat mesyuarat itu.

"Alasan Abdul Hadi, kalau ada tuduhan, penyiasatan perlu dilakukan.

"Sehubungan itu jawatankuasa disiplin PAS yang diketuai (Datuk) Tuan Ibrahim Tuan Man akan menjalankan siasatan ke atas Dr Hassan bersama ahli jawatankuasanya."

Sumber-sumber dalaman PAS, yang hadir dalam pertemuan itu, memberitahu Malaysiakini, mesyuarat tersebut sebenarnya memutuskan hanya Dr Hassan dihadapkan ke jawatankuasa disiplin, bukannya seluruh barisan kepemimpinan PAS Selangor.

"(Keputusannya) ada lain sikit (daripada kenyataan Abdul Hadi). Dr Hassan yang dihadapkan ke jawatankuasa dispilin, bukan PAS Selangor," kata satu sumber.

Sementara satu lagi sumber berkata, walaupun presiden menyebut PAS Selangor akan disiasat, ia ditujukan kepada Dr Hassan, seperti diputuskan dalam mesyuarat.

"Bila (beliau) kata PAS Selangor, maksudnya Dr Hassanlah, sebab dia pesuruhjayanya," jelas sumber.

Sumber sama juga mengesahkan terdapat cadangan supaya Dr Hassan dipecat daripada mengetuai PAS Selangor, tetapi menafikan Abdul Hadi mempertahankannya.

Tiga lagi pemimpin PAS ketika dihubungi enggan mendedahkan butiran mesyuarat panjang tersebut.

Sementara blog Malaysian Waves pula mendakwa sebanyak 75 peratus ahli mesyuarat pada malam itu mahukan Dr Hassan digugurkan daripada jawatan pesuruhjaya PAS Selangor.

"Namun, permintaan majoriti ahli jawatankuasa pusat PAS ditolak begitu sahaja dan dibuat pengumuman bahawa keseluruhan PAS Selangor akan dihadapkan ke jawatankuasa disiplin," tulis Tulang Besi, penulis blog yang sering mendedahkan konflik dalaman parti.

"Keputusan yang diumumkan oleh Tuan Guru Presiden malam tadi bukan keputusan yang dipersetujui oleh para ahli jawatankuasa pusat PAS.

"75 peratus daripada keseluruhan ahli jawatankuasa yang hadir bercakap dan hanya Cikgu Pa (setiausaha agung, Datuk Mustafa Ali) serta Datuk Abu Bakar Chik sahaja yang menyokong Dr Hassan.

"Yang lebih menyedihkan apabila Tok Guru (mursyidul am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) yang membentangkan tulisan beliau dalam blog beliau jelas tidak mahu berganjak daripada apa yang dituliskan oleh beliau.

"Yakni, jelas beliau mahu ketiga-tiga yang dinamakan dalam blog beliau dibuang."

Selain Dr Hassan dan Mustafa, Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa juga disebut di Blog Tok Guru yang dianggap antara "beberapa kerat pemimpin bermasalah."

Kesemua sumber enggan mendedahkan jumlah sokongan terhadap pemecatan Dr Hassan sebagai pesuruhjaya Selangor.

Berhubung dakwaan Nik Aziz berkeras mahu PAS menggugurkan tiga pemimpin kontroversinya itu, Malaysiakini difahamkan perkara itu "tidak benar".

"Kita bincang banyak pasal EGM (muktamar khas). Nama Dr Hassan itu muncul sebab berkait keputusan pilihan raya kecil Bagan Pinang yang ditulis (pensyarah Universiti Islam Antarabangsa) Dr Aziz Bari.

"Tetapi perkara ini agenda nombor tiga, nombor empat," kata sumber.

Kesemua lima pemimpin PAS - daripada kedua-dua pihak, sama ada dianggap pro-kerajaan perpaduan dan juga "kumpulan Erdogan" - yang dihubungi enggan nama mereka didedahkan.

Sementara itu, sumber-sumber lain memberitahu, terdapat ahli jawatankuasa mesyuarat tersebut membawa surat yang mempertikaikan tindak-tanduk Dr Hassan di Selangor – yang didakwa diserahkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Turut diserahkan kepada mesyuarat itu, rakaman audio perbualan dalam pertemuan sekumpulan penulis blog – sebahagiannya didakwa dekat dengan Umno – bersama Dr Hassan dan Nasharuddin, tambah sumber.

Bagaimanapun, seorang pemimpin PAS yang hadir dalam mesyuarat itu menafikannya kewujudan surat dan rakaman suara itu.

"Kita dalam PAS tidak sampai buat tindakan macam itu sekali," jelasnya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, lembaga disiplin PAS akan bertemu buat pertama kalinya esok mulai jam 10.30 pagi, kata Tuan Ibrahim kepada media rasmi parti Harakahdaily.net hari ini.

Tidak ada sidang media atau kenyataan berkaitan perkara tersebut sehinggalah keputusan diserahkan kepada jawatankuasa pusat, tambahnya.

"Kami akan bermesyuarat esok dan akan melihat dokumen-dokumen yang ada sebelum membuat apa-apa tindakan lanjut," Tuan Ibrahim dipetik berkata.

Lembaga ini dilaporkan mempunyai lima anggota termasuk beliau. yang terdiri daripada peguam, tokoh agama dan anggota veteran PAS.

Menurutnya lagi, beliau telah menerima beberapa dokumen yang disampaikan kepada beliau, termasuk daripada presiden dan setiausaha agung.

Lembaga disiplin akan meneliti segala dokumen itu sama ada ia bertentangan dengan disiplin atau ia hanya ijtihad peribadi individu.

'Rakyat marah Gerakan gagal tangani masalah'

Jimadie Shah Othman


Gerakan digesa segera berubah dengan membetulkan pendekatan kerja dan menjuarai pelbagai isu berbangkit dalam negara - seperti Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) - bagi meraih kembali sokongan rakyat.

Kebimbangan parti itu yang kini tinggal dua kerusi dalam parlimen dan hilang sokongan di kubu kuatnya di Pulau Pinang itu, jelas tergambar dalam ucapan Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn hari ini.

Berucap ketika merasmikan persidangan tahunanrPemuda dan Wanita Gerakan ke-22 di Cheras hari ini, Chang berkata, kegagalan parti itu menangani pelbagai masalah telah menimbulkan kemarahan rakyat.

"Jangan ulang! Sekarang banyak isu, antaranya PKFZ, kalau kita ambil tindakan cepat. Itu cara untuk mendapat balik kepercayaan rakyat.

"Bagaimanapun, saya yakin Gerakan dan BN akan berubah untuk kembali mendapat keyakinan rakyat. Kita mesti menggunakan kesempatan yang ada berbincang isu-isu rakyat," katanya.

Chang berkata, kegagalan parti itu bersaing pandangan di media - yang didakwa lebih pro-demokrasi selepas zaman perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi - juga telah memburukkan keadaan.

"Ada kritikan yang berasas dan tidak berasas. Dan kita ada kerajaan yang tidak respons dengan berkesan dan positif," katanya.

Mengulas keperluan menjenamakan semula Gerakan, Chang berkata, parti harus mencontohi imej kerajaan dengan memperkenalkan gagasan 1Malaysia.

"Kalau Coca Cola pun kena tukar bungkusan dalam pasaran, BN kena tengok perkara ini (penjenamaan semula). Inilah masanya untuk kita cari jalan bagaimana untuk menghadapi masalah yang sedang dihadapi," katanya.

Demo Pemuda Gerakan kecam MP Seri Gading

Mohd Jimadie Shah Othman


Kira-kira 50 anggota Pemuda Gerakan berdemonstrasi membantah kenyataan ahli parlimen BN Seri Gading Datuk Mohamad Aziz yang meminta presiden parti itu Tan sri Koh Tsu Koon berundur daripada kabinet atas alasan gagal menunjukkan prestasi yang baik.

Diketuai timbalannya, Oh Teong Keong, mereka berkumpul di lobi bangunan PGRM di Cheras - tempat Gerakan mengadakan persidangan tahunannya.

Mereka turut membawa beberapa sepanduk dan kain rentang, selain melaungkan jeritan anti-Mohamad.

Kumpulan itu menuntut BN supaya mengambil tindakan tegas terhadap Mohamad kerana didakwa membuat kekacauaan dalam parti sendiri.

Ditemui media selepas demonstrasi itu, Oh berkata, dewan tertinggi BN patut mengambil tindakan tegas terhadap wakil rakyat Umno itu.

“Umno dan Gerakan sama-sama parti komponen dalam BN. Mohamad tidak patut mengguris perasaan rakan sendiri.

“Kami harap dewan tertinggi BN dalam mengambil tindakan terhadap beliau,” katanya.

Sementara itu, bercakap dalam sidang media selepas merasmikan persidangan tahunan sayap Gerakan itu, timbalan presiden parti itu, Datuk Chang Ko Youn meminta ahli parti itu supaya tidak terlalu memikirkan kenyataan Mohamad kerana banyak lagi isu lain yang perlu ditangani.

Bercakap dalam sesi yang sama, ketua wanitanya, Datuk Tan Lian Hoe pula mengingatkan supaya semua ahli dalam komponen BN tidak mewujudkan persengketaan terbuka sesama parti dalam BN.

“Apa terjadi dalam parti komponen BN akan jejaskan parti lain. Sebagai keluarga besar, tindak-tanduk harus dijaja. Jangan berkelahi secara terbuka,” katanya

Reaksi Dr Koh

Sementara itu, Bernama melaporkan Dr Koh berkata, beliau tidak tercalar dengan gesaan Mohamad itu.

"Jawapan saya kepada beliau ialah tidak. Itu adalah salah. Kami tidak akan terganggu. Kami komited terhadap apa yang kami mahu lakukan.

"Ini merupakan tempoh yang amat penting di mana kami perlu bekerja bersama-sama," katanya.

Menurut Dr Koh lagi, di bawah kerajaan baru pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, berlaku banyak perubahan dan juga cabaran dan seseorang perlu bertanya bagaimana seseorang itu dapat menyumbang kepada proses perubahan itu.

Koh menyifatkan kenyataan Mohamad sebagai "kuasa negatif" dan menegaskan ia bercanggah dengan semangat BN, tetapi menurutnya beliau yakin dengan sokongan semua anggota parti, kuasa positif akhirnya akan mengatasi kuasa negatif itu.

"Sudah tentu, akan ada kuasa negatif yang tidak bersetuju...dalam BN, dalam kalangan parti-parti komponen, malahan dalam Gerakan. Mereka akan terus menyalahkan pihak lain," katanya semasa merasmikan Perhimpunan Agung Anggota Seumur Hidup Gerakan hari ini.

Pemuda Gerakan tolak usul keluar BN

Jimadie Shah Othman


Cadangan supaya Gerakan membuat pertimbangan serius untuk keluar daripada BN dalam masa setahun mencetuskan pelbagai reaksi dalam persidangan Pemuda parti itu.

"Ia (keluar BN) merupakan satu cadangan. Bagaimanapun, menimbulkan banyak reaksi daripada perwakilan kerana ia tidak dapat diterima sama sekali.

"Jadi, dengan sebulat suara, kami tolak cadangan itu," kata Ketua Pemuda Gerakan, Lim Si Pin.

Tidak dapat dipastikan sejauh mana reaksi perwakilan terhadap usul tersebut kerana persidangan tahunan Pemuda dan Wanita Gerakan dilangsungkan secara tertutup.

Beliau diminta menjelaskan sama ada usul kontroversi itu diterima setelah Pemuda Gerakan selesai melangsungkan persidangan tahunannya ke-22 kira-kira jam 3.30 petang tadi.

Usul daripada negeri yang dirahsiakan itu menyebut: "Pemuda Gerakan menyeru agar parti Gerakan membuat pertimbangan dengan serius sama ada untuk berundur dari BN dalam tempoh satu tahun yang seterusnya."

Ditemui selepas persidangan pergerakan itu ditangguhkan, Lim mengibaratkan Gerakan sebagai penumpang dalam sebuah kereta, iaitu BN.

"Kalau kamu sedang berada dalam sebuah kereta yang laju, kamu tidak akan buka tingkap dan lompat keluar. Ini tidak masuk akal. Bila berada dalam kereta, kita kena pastikan kereta itu berjalan lancar dan sampai ke destinasinya.

"Bila sampai ke sana, baru kita boleh buat keputusan, kamu hendak masuk balik atau tidak dalam kereta, itu masalah kamu," katanya.

Ditanya kenapa usul tersebut dimuatkan untuk dibincang, beliau berkata:

"Untuk berlaku adil, kita kena terima semua resolusi daripada negeri. Kalau tidak, apa gunanya mengadakan persidangan tahunan."

Lim menegaskan, setelah berbincang terdapat cadangan yang diterima, ditolak dan diterima dengan pindaan.

Usul yang telah dikemaskini akan diserahkan kepada media selepas ini, tambahnya.

Sebanyak sepuluh usul dibincangkan, antaranya mendesak kerajaan memansuhkan ISA, meminda Akta Penerbitan dan mesin Cetak dan mengambil alih Lebuhraya Utara Selatan bagi mengurangkan beban rakyat.

GERAKAN: Tak perlu musuh kalau ada kawan seperti Mohd Aziz

MERDEKA REVIEW



Ahli Parlimen Simpang Renggam-Gerakan, Liang Teck Meng membidas ahli parlimen Sri Gading-UMNO, Mohamad Aziz yang menyerang pemimpin parti komponan BN lain. Hujah Mohamad Aziz disifatkan sebagai "angkuh", "gagal bezakan antara kawan dengan lawan", "menari mengikut rentak pembangkang", malah tidak selaras dengan pengalaman beliau sebagai ahli parlimen BN untuk tiga penggal.

Dalam satu kenyataan media oleh Liang Teck Meng, beliau menyelar Mohamad Aziz (gambar kiri) kerana mendesak agar Presiden MCA dan Gerakan untuk meletak jawatan di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau mengemukakan tiga alasan untuk membuktikan "keangkuhan" Mohamad Aziz itu bagaikan membuka pekung di dada. Pertama, berhidung tinggi, tidak memandang berat pada dewan yang mulia, Perdana Menteri dan komponen parti BN, tetapi disyaki bersekongkol dengan pembangkang, menyerang pemimpin tertinggi parti komponan BN, mengingkari semangat dan disiplin BN.

Keduanya, hujah Mohamad Aziz memutar-belitkan fakta, menyongsangkan antara yang betul dengan yang salah. Sejak menyandang jawatan sebagai ahli Dewan Negara dan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Koh Tsu Koon (gambar kanan) sentiasa hadir dalam persidangan parlimen, kecuali sekali yang disebabkan hal kecemasan.

Liang Teck Meng berkata, rekod kehadiran parlimen boleh membuktikan kadar kehadiran Koh di parlimen. Ini tidak boleh diputar-belitkan oleh orang seperti Mohamad Aziz. Dakwaan Mohamad Aziz bahawa Koh Tsu Koon hanya muncul semasa PM hadir di parlimen, mungkin mempunyai motif dan agenda tersendiri.

Yang paling penting, tindak-tanduk Mohamad Aziz memperkukuhkan persepsi rakyat bahawa pemimpin UMNO adalah angkuh dan sombong, menjejaskan usaha Pengerusi BN, Najib Razak untuk membentuk semula satu parti yang berimej sederhana, terbuka dan bertoleransi.

Beliau menekankan bahawa, "kalau mempunyai kawan seperti Mohamad Aziz, maka BN tidak memerlukan musuh lagi!"

*Kenyataan media Liang Teck Meng, selaku ahli parlimen Simpang Renggam-Gerakan dalam bahasa Cina, diterjemahkan kemudiannya.

BERSIH Fokus Hapus Undi Pos Menjelang PRU 13

BULETIN ONLINE


Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) Haji Mohamad Sabu berkata gabungan NGO tersebut akan terus bergerak dan menumpukan usaha dalam menghapuskan undi pos menjelang pilihanraya akan datang.

”Kita akan terus bersama NGO, akan terus berbincang diantaranya (terutama) masalah undi pos, ia (undi pos) jadi talian hayat kepada parti pemerintah, undi pos patut dihapuskan,”katanya ketika ditemui selepas ceramah sempena permulaan program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) disini semalam.

Menurutnya dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang baru-baru ini, sepatutnya undi pos hanyalah untuk anggota tentera yang bertugas di luar, bukan kepada isteri-isteri merka yang tinggal di dalam kem.

Beliau berkata dari awal lagi PAS telah kalah dari segi ’saikologi’ di Bagan Pinang kerana terdapat lebih empat ribu.

Katanya, eksploitasi terhadap undi pos kini telah menyelamatkan 25 kerusi parlimen Barisan Naional (BN) dan rancangan Menteri Pertahanan mahu mengujudkan satu kem tentera disetiap DUN bakal menjadikan pilihanraya semakin ‘teruk’.

“Sekarang ini undi pos menyelamat 25 kerusi parlimen Barisan Nasional, sepatutnya, ketiadaan undi pos kita (Pakatan Rakyat) bertambah lagi (kerusi parlimen) 80 tambah 25, sudah hampir boleh memerintah,

“Ya (menambahkan satu kem dalam satu DUN) akan menambahkan teruk lagi, dia mahu memperbanyakkan lagi undi pos, kita terus menentang!,”tegasnya

Normal 0 false false false MicrosoftInternetExplorer4 /* Style Definitions */ table.MsoNormalTable {mso-style-name:”Table Normal”; mso-tstyle-rowband-size:0; mso-tstyle-colband-size:0; mso-style-noshow:yes; mso-style-parent:”"; mso-padding-alt:0in 5.4pt 0in 5.4pt; mso-para-margin:0in; mso-para-margin-bottom:.0001pt; mso-pagination:widow-orphan; font-size:10.0pt; font-family:”Times New Roman”; mso-ansi-language:#0400; mso-fareast-language:#0400; mso-bidi-language:#0400;}
Katanya, samada BERSIH akan turun atau tidak ke jalan raya, berdemonstrasi bagi menuntut Suruhanjaya Pilihanraya menghapuskan undi pos, adalah bergantung kepada keputusan perbincangan dengan semua NGO yang bergabung.

Mengenai bukti menunjukkan daftar pemilih SPR masih tidak bersih dengan penemuan 200 nama yang bertindih, beliau berkata BERSIH akan membawa perkara tersebut kepada pihak antarabangsa.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, PAS juga akan menjalankan segala usaha bagi menjadikan pilihanraya di negara sebagai satu pilihanraya yang bnar-benar bersih dan adil.

“(BERSIH) akan terus membawa ke peringkat antarabangsa, (PAS) akan membawa perkara tersebut diperingkat pemuda, semua pihak, supaya kita betul-betul jadikan pilihanraya kita benar-benar bersih, barulah (nanti) siapa yang menang pun tidak ada rungutan,”jelasnya.

Beliau menjangkakan pertentangan dan pertelingkahan antara pihak pemerintah dengan parti-parti pembangkang dalam usaha menuntut pilihanraya yang bersih dan adil ini akan menjadi lebih hebat pada masa akan datang.

Thamrin nafi ramai Pemimpin PKR Sabah letak jawatan

SABAH DAILY


Khabar angin yang mengatakan ramai pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri ini akan meletak jawatan bagi mengikut jejak langkah Datuk Jeffrey Kitingan adalah tidak benar.

Pengerusi Perhubungan PKR Sabah yang baru, Ahmad Thamrin Zaini berkata, pada masa ini beliau tidak mendengar apa-apa laporan mengenai perkara itu dan menganggapnya sebagai hanya sebagai satu spekulasi.

“Biarlah keadaan yang akan menentukannya, buat masa ini kita anggap dakwaan itu hanya spekulasi …. kalau betul pun ia mungkin hanya melibatkan segelintir sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.

Beliau mengulas mengenai kemelut PKR Sabah yang dilihat semakin meruncing selepas Jeffrey meletakkan semua jawatan dalam parti itu dan ia diikuti Ketua Cabang Kota Kinabalu, Christina Liew yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi parti itu, kelmarin.

Keputusan yang dibuat oleh kedua-dua pemimpin kanan PKR itu dibuat kerana tidak berpuas hati dengan cara kepimpinan tertinggi parti itu melayan kehendak PKR Sabah sejak dahulu lagi.

Menurut Thamrin beliau tidak nampak dakwaan tersebut berasas kerana pada masa ini beliau mendapat sokongan daripada ahli akar umbi.

“Setakat ini saya nampak ahli parti dan pemimpin akar umbi akur dengan keputusan yang dibuat pucuk pimpinan,” jelasnya.

Dalam pada itu ketika ditanya, mengenai tindakan yang akan dilakukannya bagi menghadapi krisis semasa yang melanda PKR beliau berkata akan menjelaskannya kemudian.

Ahmad Tamrin juga memaklumkan, beliau akan membuat kenyataan petang esok (hari ini) dalam sidang media yang akan diadakan selepas mengadakan mesyuarat bersama pemimpin PKR Negeri.

Kurup dinasihatkan jangan sibuk menjaga tepi kain orang lain

Oleh: Mail Mathew

NABAWAN: Timbalan Ketua Bahagian Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pensiangan Affendy Abdullah @ Tukang 57, (gambar) menggesa Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup agar tidak mencampuri urusan dalaman PKR yang sedang dilanda krisis kepimpinan ketika ini, sebaliknya Kurup lebih mulia jika beliau menumpukan tugasannya daripada sibuk menjaga tepi kain orang lain.


Katanya, beliau seolah olah tidak sopan apabila beliau bangkit mengungkit ungkit perkara yang telah berlalu (isu lama) mengenai pergeseran politiknya dengan Dr Jeffrey ketika Jeffrey kini sedang berhadapan dengan krisis kepimpinan dalaman PKR.

“ Kalau Kurup merasakan bahawa beliau sudah cukup berpengaruh diPensiangan…adalah lebih baik Kurup meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pensiangan dan bertanding semula disitu…kerana kerusi Parlimen Pensiangan bukan dimenangi atas undian rakyat tetapi ia ditentukan oleh Mahkamah,” kata beliau dalam satu kenyataan disini pada Khamis.

Affendi yang merupakan bekas seorang pendidik berkata demikian kepada media ketika mengulas kenyataan Kurup baru baru ini berhubung kemelut isu krisis kepimpinan PKR Sabah yang melibatkan mantan Naib Presiden PKR Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Kurup yang juga Timbalan Menteri Persekutuan dipetik sebagai berkata menerusi media baru baru ini menyatakan bahawa beliau tidak terkejut malah sudah diduga kelibat politik Datuk Dr Jeffrey Kitingan sejak beliau berada dalam PBRS ketika era penubuhannya sekitar tahun 1994.

Malahan tambah Affendy, beliau tergamak menuduh Jeffrey memainkan peranan (orchestrated) dalam penyingkiran mantan Pengerusi Perhubungan PKR Sabah (yang bersifat sementara) Azmin Ali, supaya jawatan itu digantikan oleh beliau.

“ Kami menyifatkan tuduhan Kurup itu sebagai serius kerana jika perkataan seumpama ini yang lahir daripada mulut seorang pemimpin tertinggi BN telah tersebar luas kepada rakyat…sudah tentulah reputasi dan maruah Jeffrey terus tercemar dimata rakyat…dan sudah tentulah Kurup harus menebus kerosakan yang tinggi nilainya terhadap Jeffrey yang difitnah dan dimalukannya itu,” ujar Affendy.

Dalam pada itu, Affendy turut mencabar Kurup supaya menegur kerajaan BN pimpinan Dato’Seri Najib bilakah hospital Nabawan dimulakan pembinaannya yang Najib telah umumkan sekitar tahun 1994 (ketika itu Najib Menteri Pertahanan) dimana kini masih terbengkalai dan menjadi bualan harian rakyat.

Sebuah NGO OKU rugi RM20,000 disamun dua lelaki

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk orang kurang upaya (OKU) kerugian hampir RM20,000 dalam sekelip mata selepas disamun dua lelaki yang berpurapura mahu menghulurkan bantuan kepada pertubuhan itu di Taman Garing, Rawang dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, Independent Living and Training Centre yang dihuni 12 OKU didatangi dua lelaki berparang dalam lingkungan umur 30an membawa makanan dan minuman untuk dihulur kepada penghuni pusat itu.

Setiausaha NGO itu, Gurdip Kaur yang berada di pusat itu semasa kejadian berkata beliau bersama dua penghuni lain sedang mengemas dan tidak mengesyaki niat buruk keduadua lelaki berkenaan.

"Mereka datang pada pukul 10 pagi dan memberitahu mahu menderma kepada badan ini. Saya gembira dan meminta mereka datang pada tengah hari untuk berjumpa presiden.

"Selepas 20 minit mereka datang kembali dengan membawa berpaketpaket roti canai, roti ban dan air kotak. Selepas meletakkan barangan itu keduadua lelaki terbabit menutup pintu depan memekik mengarah saya menyerah barangan berharga," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat itu.

Gurdip berkata beliau hampir pengsan apabila suspek meletakkan parang di lehernya serta ditumbuk beberapa kali.

Beliau berkata selain wang tunai RM10,000 perompak itu turut melarikan beg tangannya, komputer riba, dua telefon bimbit dan barang kemas.

"Saya sedih dengan apa yang berlaku hari ini. Tindakan sewajarnya patut dikenakan kepada penjenayah itu. Wang itu (RM10,000) dikumpul hasil dari ehsan orang awam dan hasil jualan tiket konsert amal bagi membiayai kos pembinaan bangunan baru menempatkan badan berkenaan tahun depan," katanya.

Beliau juga kesal kerana sistem penggera keselamatan tidak dihiraukan oleh jiran tetangga dan wang tidak didepositkan ke dalam bank.

Presiden persatuan itu, Francis Siva yang mengetuai 165 ahli pertubuhan selama 10 tahun itu berkata beliau berasa bertanggungjawab di atas apa yang berlaku.

"Ini kejadian pertama berlaku, kami sudah rasa tidak selamat dan inginkan perlindungan. Penjenayah kini memfokuskan untuk merompak OKU seperti kami pula," kata Francis yang berkerusi roda.

Francis dan beberapa penghuni lain tidak berada di rumah kebajikan itu ketika kejadian kerana menghadiri satu majlis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Penjual air tebu didakwa bunuh pembantu rumah Indonesia, Mantik

BERNAMA




Penjual Air Tebu A.Murugan, 35, dihadapkan ke Mahkamah
Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh pembantu
rumah warga Indonesia. Dia didakwa membunuh Mantik Bani
di No.11, Jalan Datuk Yusuf Shahbudin 6, Taman Sentosa,
antara 18 Oktober dan 20 Oktober lepas. Murugan tidak
diwakili peguam dan tiada pengakuan direkodkan.-
Foto THE STAR Oleh: K.K. SHAM.

KLANG: Seorang penjual air tebu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh pembantu rumah Indonesia, Mantik Bani di rumahnya di Taman Sentosa di sini.

A.Murugan, 35, didakwa membunuh Muntik, 36, di No: 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, antara 18 Okt dan 20 Oktober lepas.

Tiaga pengakuan direkodkan. Murugan tidak diwakili peguam.

Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup memohon mahkamah memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan segera atas alasan kes itu menarik perhatian umum.

Majistret Afifah Mamat@Yusof membenarkan permohonan itu dan menetapkan 3 November ini untuk sebutan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Mantik yang berasal dari Surabaya meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini, pada pukul 10 pagi, 26 Oktober lepas setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.

MIC dan MCA tidak setuju sistem pendidikan satu aliran

BERNAMA


KUALA LUMPUR: MIC dan MCA menentang cadangan melaksanakan sistem pendidikan satu aliran, dengan mengatakan bahawa sekolah jenis kebangsaan yang ada sekarang tidak akan menghalang usaha ke arah mewujudkan perpaduan nasional.

Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu hari ini berkata sekiranya cadangan itu dikemukakan dalam usaha menjalin perpaduan kaum, ada banyak cara lain lagi untuk melakukannya dan bukan melalui sistem pendidikan satu aliran.

"Bagi sekolah Tamil, pelajar (India) akan berpeluang bergaul dengan kanak-kanak daripada kaum lain apabila mereka memasuki sekolah menengah," katanya kepada pemberita sebelum menyerahkan cek bernilai RM1 juta kepada lebih 50 kuil Hindu di sini.

Samy Vellu mengulas mengenai isu itu yang dibangkitkan barubaru ini oleh tokoh akademik dan sejarawan Tan Sri Prof Emeritus Dr Khoo Kay Kim.

Beberapa anggota Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang menyokong sistem satu aliran itu ketika di Dewan Rakyat pada Rabu lepas.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata beliau mahu semua pihak supaya meneruskan perbincangan mengenai perkara itu supaya semua cadangan berhubung perkara itu boleh diteroka.

Samy Velly berkata sistem sekarang berjalan dengan baik, sambil menambah adalah tidak wajar untuk "menjolok sarang tebuan" apabila persetujuan telah pun dicapai semasa Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri bahawa sekolah jenis kebangsaan akan dilindungi dan dibenarkan wujud.

Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong berpendapat sistem persekolahan pelbagai aliran patut diteruskan kerana ia tidak akan menjejaskan perpaduan di kalangan masyarakat majmuk negara ini.

"Ia bukan penghalang kepada perpaduan nasional, sebaliknya bantu menerapkan semangat bersatu padu di kalangan masyarakat majmuk," kata Wee kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemuda MCA di Wisma MCA hari ini.

Dr Wee yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata walaupun bahasa pengantar di sekolah pelbagai aliran bukannya bahasa kebangsaan namun ia tidak menggugat pelajar untuk menghayati konsep 1Malaysia.

Dedah kandungan pelan perpaduan

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong meminta Presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat mendedahkan kandungan 'Pelan Perpaduan Lebih Unggul MCA' yang dipersetujui antara beliau dan bekas timbalannya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Ka Siong berkata, permintaan itu tidak bermakna beliau menentang pelan perpaduan tersebut sebaliknya Tee Keat tidak boleh menganggap Jawatankuasa Pusat (CC) MCA boleh menerima begitu sahaja tanpa melihat isi kandungannya.

“Beliau (Tee Keat) tidak boleh anggap yang Jawatankuasa Pusat akan terima pelan perpaduan tersebut begitu sahaja tanpa mengetahui isi kandungannya.

“Jawatankuasa Pusat bukan mahu menentang pelan perpaduan itu, sebaliknya kita cuma mahu tahu isi kandungannya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, semalam.

Pelan Perpaduan itu merupakan satu rancangan yang dipersetujui Tee Keat dan Soi Lek minggu lepas dalam usaha menyelesaikan perbalahan antara mereka demi perpaduan MCA.

Pelan itu juga mendapat restu dan sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun Selasa lepas,, beberapa orang anggota CC, diketuai Timbalan Presiden MCA yang baru, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Wanita, Datin Paduka Chew Mei Fun mendakwa tidak tahu mengenai pelan itu kerana tidak dijemput untuk berunding mengenainya.

Ka Siong berkata, semua anggota parti tidak mempunyai masalah dengan pelan perpaduan yang dipersetujui itu tetapi sebagai anggota parti mereka juga berhak mengetahui apakah isi kandungannya.

Menurutnya, MCA bukannya milik individu malah parti itu adalah milik semua dan dengan yang demikian semua anggota perlu dibawa berbincang kerana jika tidak tiada maknalah melantik barisan pemimpin.

“Kita di sini bukan untuk bergaduh sesama sendiri, sebaliknya untuk menyatupadukan semua anggota. Perpaduan tidak seharusnya terhad kepada satu atau dua ahli dalam parti sahaja,” katanya.

Jawatankuasa Disiplin Pas beri amaran ‘tutup mulut’

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Disiplin Pas memberi amaran dan tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan kepada mana-mana ahli mahupun pemimpin parti yang bertindak membincangkan semula masalah yang telah diselesaikan.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jawatankuasa memandang serius perkara ini walaupun perkara itu disuarakan di laman blog kerana parti mempunyai pelbagai mekanisma bagi menangani isu dalaman parti yang berlaku.

“Sekiranya ada dikalangan ahli biasa atau pimpinan yang cuba mengheret parti kepada permasalahan yang telah kita putuskan, maka mereka mesti bersedia untuk diambil tindakan.

“Awasilah media perdana yang berusaha melaga-laga pimpinan dengan memberi gambaran buruk kepada satu pihak dan selah-olah memberi gambaran baik pada pihak lain kerana mereka sedang berusaha memecahbelahkan dan merosakkan hubungan baik dalam Pakatan Rakyat,” katanya dipetik dari laman blog beliau semalam.

Menurutnya, segala permasalahan parti mestilah menggunakan saluran parti yang sedia ada.

“Gunakan saluran parti, jangan bertindak sendirian dengan membelakangi saluran parti kerana tindakan sedemikian tidak menguntungkan parti.

“Jawatankuasa Disiplin Parti kini sedang memantau beberapa artikel dalam media perdana serta laman-laman blog tertentu yang menulis berkaitan parti sebelum mesyuarat khas Jawatankuasa Pusat, kelmarin,” katanya.

Sehingga kini, katanya Jawatankuasa Disiplin telah menerima empat laporan rasmi dan telah mengambil tindakan kepada tiga laporan, manakala satu lagi sedang diteliti.

“Sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab menegakkan keutuhan parti serta hak ahli parti, maka semua pertuduhan dan pendakwaan mestilah mampu menegakkan keadilan bagi yang kena tuduh, manakala yang membuat tuduhan mestilah bersedia dengan bukti yang jelas,” katanya.

Khalid tidak peduli Badrul lompat parti

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau tidak peduli jika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah menjadi wakil rakyat Bebas atau melompat ke mana-mana parti.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri tidak akan menyimpan sesiapa juga yang tidak tahu membuat kerja kerana beberapa masalah akan timbul dan menyukarkan kerajaan untuk membangunkan kebajikan dan sosial rakyat.

“Saya tak kira... dia wakil rakyat, dia mewakili semua rakyat sebab dia sudah terpaksa buat kerja ... nak jadi Bebas, Keadilan, UMNO, MCA itu terpulang kepada dia, yang penting dia buat kerja,” katanya, semalam.

Abdul Khalid, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor berkata demikian ketika ditenui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor di sini, semalam.

Menurutnya, PKR hanya sanggup menerima Badrul jika beliau sanggup bekerja menyempurnakan amanah yang diberikan rakyat kepadanya.

“Masalah dia kenapa dia ingin masuk pilihan raya berjanji kepada rakyat untuk tolong rakyat lepas tu dia tak nak buat kerja? Masalah dia nak pergi ke mana-mana tidak kira,” katanya.

Sebelum ini, Abdul Khalid menasihatkan Badrul supaya berhenti daripada menjadi wakil rakyat Pelabuhan Klang sekiranya tidak lagi mempunyai keinginan untuk berkhidmat kepada masyarakat yang diwakilinya.

Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Kerajaan Negeri tidak akan bertolak ansur dengan pemimpin yang tidak bertanggungjawab kerana menggagalkan usaha meningkatkan taraf ekonomi dan sosial rakyat.

“Kerajaan Negeri prihatin terhadap aduan penduduk di Pelabuhan Klang berkenaan dengan ketidakupayaan ADUN mereka dalam menjalankan kewajipan sebagai wakil rakyat.” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurutnya, sejak surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada Badrul pada 20 Ogos yang lalu, beliau tidak mengambil sebarang langkah untuk memperbaiki prestasi kerja beliau.

Nik Nazmi berkata, dalam surat jawapannya, Badrul telah menyatakan kesudian untuk berjumpa dengan pimpinan negeri dan parti.

Wan Azizah rayu rakyat terus beri sokongan kepada PKR

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail merayu kepada rakyat agar terus memberi kepercayaan dan bersabar dalam memberi sokongan kepada misi PKR dan parti pakatan pembangkang.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam, beliau mengakui perubahan mendadak yang berlaku dalam kepimpinan PKR menimbulkan kekeliruan dan kejutan kepada ahli parti.

“Perjuangan politik kepartian terbukti berhadapan dengan jalan berliku, dan permuafakatan politik tidaklah menjelma sekelip mata.

“Tanggungjawab kita adalah untuk meningkatkan kemajuan dan pengumuman yang dilakukan minggu ini adalah keputusan sebulat suara dan perundingan dalam parti ke arah masa depan lebih baik,” katanya.

Kenyataan Dr Wan Azizah itu dikeluarkan sehari selepas Datuk Dr Jeffrey Kitingan meletak jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan Ahli Majlis Tertinggi serta Biro Politik parti diikuti Ketua Bahagian PKR Kota Kinabalu, Christina Liew yang melepaskan jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi.

“Rasa kecewa sebilangan rakan dalam parti dan oleh sebahagian penyokong adalah benar dan saya terbuka untuk berunding atas prinsip saling hormat menghormati, memahami dan komitmen terhadap prinsip adil dan saksama," katanya.

Fikir baik buruk sebelum terima Ibrahim dalam Umno

SIASAH DAILY


PANDANGAN sesetengah pihak yang mahukan Datuk Ibrahim Ali kembali ke dalam Umno telah menimbulkan pendapat yang berbelah bahagi di kalangan Umno baik di peringkat nasional, negeri dan juga Umno Pasir Mas sendiri.

Ada yang merasakan ‘kepulangan’ Ibrhim wajar kerana beliau dikatakan dapat memperkuatkan kedudukan parti dan memberi ancaman baru kepada PAS.

Sebaliknya bagi mereka yang kurang senang dengan kerencaman gaya politik ahli Parlimen bebas itu merasakan elok kalau Ibrahim dibiarkan terkontang kanting tanpa berjejak di bumi nyata untuk memberi kesedaran kepadanya.

Salah seorang ahli Umno Bahagian Pasir Mas, Datuk Dr Wan Suhaimi Wan Daud melihat cadangan untuk membawa masuk Ibrahim ke dalam Umno sebagai subjktif, ada baik dan ada buruknya.

Bagi beliau cadangan membawa masuk itu hendaklah difikir secara mendalam dan direnungi dari berbagai sudut dan tidak dibuat secara terburu-buru.

Gali semula kubur Teoh, mahkamah dengar permohonan Rabu depan

BERNAMA


SHAH ALAM: Mahkamah Koroner di sini, hari ini menetapkan Rabu depan bagi mendengar permohonan menggali semula mayat Teoh Beng Hock, bagi membolehkan bedah siasat kedua dilakukan oleh pakar patoloji Thailand, Dr Porntip Rojanasunan.

Ketika dihubungi, peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, mengesahkan tarikh pendengaran permohonan tersebut.

Pada Selasa lalu, abang mendiang, Teoh Meng Kee, memfailkan satu permohonan di Mahkamah Tinggi di sini supaya mayat adiknya dikeluarkan semula daripada tanah perkuburan untuk tujuan bedah siasat kedua dan mendapatkan pandangan kedua daripada Dr Porntip.

Sebelum ini, Dr Porntip memberitahu inkues bahawa ada 80 peratus kemungkinan setiausaha politik kepada ahli exco Selangor, Ean Yong Hian Wah itu mati dibunuh dan kesan-kesan kecederaan dialami semasa mangsa masih hidup.

Pada 16 Julai lalu, Beng Hock, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam selepas memberi kenyataan mengenai dakwaan salahguna peruntukan kerajaan negeri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di bangunan yang sama.

Mayatnya sudah dikebumikan empat hari kemudian di Nirwana Memorial Park, Semenyih, Selangor.

Majlis Peguam diminta teliti 5 perkara ISA

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA – Majlis Peguam diminta meneliti dahulu lima perkara yang sering menjadi pertikaian berhubung Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum bertegas mahu akta itu dimansuhkan.

Lima perkara itu membabitkan soal tempoh tahanan, layanan ke atas tahanan dan nasib ahli keluarga mereka, kuasa menteri persepsi tentang penyalahgunaan ISA bagi kepentingan politik dan penahanan tanpa bicara.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sekiranya mereka membuat penilaian secara terperinci, tidak ada sebab akta itu dihapuskan dan digantikan dengan akta baru.

‘‘Saya minta Majlis Peguam meneliti dahulu lima perkara itu sebelum membuat pendirian untuk memansuhkan akta tersebut.

‘‘Dalam hal ini, sesi kita untuk berjumpa dengan pihak-pihak berkenaan merupakan satu pendekatan yang baik dan membawa hasil yang membantu daripada kita membuat pendirian yang beremosi atau berdemonstrasi di tengah-tengah jalan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet kementeriannya di sini hari ini.

Kementerian Dalam Negeri sebelum ini mengadakan lima sesi pertemuan awam melibatkan agensi-agensi penguat kuasa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar-pakar akademik, pengamal undang-undang, ahli-ahli politik, ahli-ahli Parlimen serta individu-individu.

Pertemuan terakhir semalam pula melibatkan Majlis Peguam, Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Biro Tatanegara, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam dan Majlis Pertubuhan Wanita Kebangsaan (NCWO).

Jenazah Mantik Hani ke Surabaya hari ini

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR – Jenazah pembantu rumah warga Indonesia, Mantik Hani yang meninggal dunia dipercayai angkara perbuatan keji majikannya baru-baru ini, akan dihantar pulang ke kampung halamannya di Surabaya, Indonesia, esok.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Difahamkan, jenazah Mantik akan diterbangkan dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan pesawat MAS MH871 pukul 8.15 pagi esok dengan diiringi seorang pegawai Pejabat Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.

Jenazahnya dijangka tiba di Lapangan Terbang Indonesia kira-kira 9.55 pagi.

Segala urusan penghantaran pulang itu ditanggung oleh kerajaan Malaysia.

Beberapa pegawai kedutaan berkenaan pula dikatakan telah tiba di Indonesia semalam bagi menguruskan urusan pengkebumian jenazah.

Sementara itu, Setiausaha Ketiga Bahagian Perhubungan Maklumat Kedutaan Indonesia di Malaysia, Soneta Asmara berkata, pihaknya menyerahkan kes itu sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat kerana yakin akan mendapat pengadilan yang sewajarnya.

Selain itu, kata beliau, pihaknya akan mendapatkan baki gaji tertunggak berjumlah kira-kira RM4,000 yang belum diselesaikan oleh majikan mangsa.

“Itu hak dia (Mantik). Kenapa perlu dibiarkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ditanya mengenai hasil bedah siasat, Soneta memberitahu:

“Saya belum melihat lagi laporan bedah siasat itu. Apa yang saya tahu bedah siasat telah dilakukan kelmarin dan laporan itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.”

Samy kesal bahasa Tamil tidak diguna dalam DVD pelancongan negara

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu kesal dengan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen yang tidak memberi keutamaan kepada bahasa Tamil dalam cakera padat digital (DVD) bagi mempromosikan sektor pelancongan negara ini.

Menurutnya, beberapa bahasa lain termasuk bahasa kebangsaan, bahasa Cina, bahasa Korea dan bahasa Indonesia dimuatkan dalam DVD itu yang digunakan oleh pelancong asing dari seluruh dunia untuk mengetahui budaya dan tradisi negara ini.

''Malangnya, Yen Yen tidak menghiraukan bahasa Tamil yang merupakan bahasa ibunda kepada kaum minoriti di negara ini.

''MIC memandang serius tindakan yang tidak memberi penghormatan kepada bahasa Tamil,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sebelum menyampaikan cek berjumlah RM1 juta kepada 54 kuil Hindu di seluruh negara di sini hari ini.

Tambah Samy Vellu, Malaysia merupakan destinasi pilihan utama pelancong India dan jumlah mereka semakin meningkat dari setahun ke setahun.

''Sepatutnya Yen Yen memberi keutamaan kepada bahasa Tamil seperti juga beliau memberi perhatian kepada bahasa ibundanya iaitu bahasa Cina,'' katanya.

Dalam pada itu, kata Samy Vellu, MIC tidak setuju dengan sistem persekolahan satu aliran yang disarankan oleh tokoh akademik, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim baru-baru ini.

Katanya, sekolah pelbagai aliran yang dilaksanakan sekarang sudah memadai untuk memupuk nilai perpaduan di antara pelbagai kaum di negara ini.

''Isu bahasa adalah perkara paling sensitif di dunia ini. Setiap individu mempunyai persepsi tersendiri berhubung isu itu.

''Maka, kerajaan harus meneliti dengan lebih telus sebelum mengambil apa-apa keputusan. Keputusan itu patut tidak memberi impak kepada sesiapa terutamanya kepada pelajar-pelajar sekolah,'' jelasnya.

Katanya, ketika Allahyarham Tun Abdul Razak menerajui negara, setiap orang dari pelbagai kaum menyambut baik kewujudan sekolah pelbagai aliran.

''Ia kerana sistem itu tidak menyebabkan krisis perkauman di negara ini serta membantu memperkukuhkan pembangunan negara dan memperbanyakkan sumber budaya dan bahasa Malaysia,'' katanya.

Tentera Amerika Syarikat musnahkan ratusan masjid Iraq

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Tentera Amerika Syarikat (AS) didakwa tidak menghormati undang-undang antarabangsa apabila mereka turut menyerang dan memusnahkan ratusan masjid di Iraq sewaktu menceroboh negara itu.

Lebih teruk, kebanyakan masjid diserang dan dimusnahkan ketika dipenuhi oleh jemaah.

Setiap serangan tentera penceroboh itu pula menyebabkan ratusan penduduk terkorban.

Seorang mangsa perang dari Iraq, Abbas Zaid Obaid memberitahu, tindakan itu membuktikan bahawa AS langsung tidak menghormati nyawa penduduk awam.

"Mereka seolah-olah seronok apabila dapat memusnahkan masjid dan membunuh ribuan nyawa.

"Bukan itu sahaja, dengan menggunakan bom berteknologi tinggi, tentera AS turut memusnahkan sekolah-sekolah di Iraq," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan kepada Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCC) berhubung kekejaman tentera AS sewaktu menduduki Iraq selepas menceroboh negara itu pada 20 Mac 2003.

Suruhanjaya itu dipengerusikan oleh peguam terkemuka negara, Zainur Zakaria.

Ahli panel lain terdiri daripada Profesor Hans Von Sponeck (Amerika Syarikat), Dennis Halliday (Irealand), Musa Ismail (Malaysia), Profesor Gurdial Nijar (Australia), Dr. Zulaiha Ismail (Malaysia) dan Profesor Dr. Mohd. Akram Shair Mohamed (Malaysia).

Abbas turut meluahkan kekecewaannya apabila haknya untuk dibicarakan di mahkamah dinafikan oleh tentera AS.

"Saya dan rakan-rakan lain langsung tidak diberi peluang untuk dibawa ke mahkamah dan kerana itu kami tidak dapat membela diri walaupun kami ditahan tanpa sebarang kesalahan.

"Saya bersyukur kepada Allah, kerana Malaysia memberi saya peluang untuk setidak-tidaknya memberitahu kepada dunia bahawa saya tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan, saya akan terus mendoakan kesejahteraan negara ini," katanya yang pernah ditahan di penjara di Abu Gharib itu.

Beliau turut menyertai saksi-saksi lain menyeru semua pihak berganding bahu mengheret pemimpin yang melancarkan perang ke atas Iraq dihadapkan ke mahkamah antarabangsa atas tuduhan melakukan jenayah kemanusiaan dan jenayah perang.

Jumaat, 30 Oktober 2009

Kemelut MCA untungkan UMNO?

Lim Hong Siang



"Pelan Perpaduan" (Greater Unity Plan) gagal membubuh noktah kepada kemelut MCA yang berlanjutan, malah mengheret pergelutan kuasa dalaman tersebut memasuki babak baru, menyaksikan pertentangan antara lapisan pimpinan muda dengan gandingan "lawan jadi kawan", Ong Tee Keat dan Chua Soi Lek.

Kemelut parti komponen Barisan Nasional kedua terbesar ini dilihat mencelarukan langkah yang disusun-atur oleh Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Najib Razak (gambar kiri) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13. Masyarakat Cina semakin muak dengan episod pergelutan kuasa yang berlangsung kini, dijangka menterjemahkan sentimen ini kepada undi pada PRU yang akan datang.

Namun demikian, kemelut MCA yang mencalit imej setiap pemimpin dalam pucuk pimpinan ini, tidak semestinya sesuatu yang negatif dalam mata UMNO. Malah, UMNO mungkin tersenyum dengan senario sedemikian, kerana pemimpin MCA ini akan meletakkan MCA ke dalam genggaman kuasa UMNO.

Analisa sedemikian menemui munasabahnya, apabila ahli parlimen Sri Gading-UMNO, Mohamad Aziz mendesak Presiden MCA, Ong Tee Keat untuk meletak jawatan, semalam.

MCA sedar apa yang berlaku...

Apakah MCA tidak sedar permainan politik sedemikian? Jawapannya, tidak. Pemimpin MCA sebenarnya amat sedar pencaturan politik UMNO. Ia diperlihatkan melalui serangan Ong Tee Keat terhadap Chua Soi Lek sebelum ini, dengan amaran bahawa skandal seks Chua bakal digunakan UMNO untuk menundukkan segala tuntutan MCA.

Dalam operasi kuasa di bawah struktur BN, MCA perlu berdepan dengan UMNO ketika "memperjuangkan kepentingan komuniti Cina". Logiknya, jikalau pemimpin tertinggi MCA itu tidak memenuhi syarat-syarat seperti senioriti, kredibiliti, ketegasan, keberanian untuk menyuarakan pendangan dan sebagainya, maka "tuntutan kepentingan Cina" itu tidak sampai ke mana.

Misalnya, "pelan pendamaian" yang melabuh tirai kepada pergelutan antara Ling Liong Sik dengan Lim Ah Lek, telah menjejaskan pelan peralihan kuasa "semula jadi" dalam MCA. Umur Ong Ka Ting dan Chan Kong Choy belum genap 50 tahun ketika mengambil alih pucuk pimpinan tertinggi. Malah, pengalaman mereka dalam kabinet juga cetek, bahkan Chan Kong Choy yang menyandang jawatan terpenting untuk MCA, Menteri Pengangkutan tidak pernah terlibat dalam mesyuarat kabinet sebelum itu (Timbalan Menteri Kewangan sehingga tahun 2003).

Oleh itu, kedua-dua mereka yang digelar "budak" itu terpaksa "merendah diri" dalam budaya politik BN yang mementingkan senioriti. Malah Lim Keng Aik (Presiden Gerakan ketika itu), dan Samy Vellu (Presiden MIC) lebih lantang bersuara kerana pengalaman berpuluh tahun dalam kabinet.

Sri Gading memberi amaran...

Berbalik kepada isu Ong-Chua, Ong pernah secara tersiratnya mengingatkan perwakilan MCA dan masyarakat Cina, bahawa seandainya Chua Soi Lek dipilih untuk menerajui MCA, maka kepentingan komuniti Cina akan tergadai kerana UMNO bakal mengugut Chua pada bila-bila masa dengan skandal "seks oral" yang dilakukan Chua.

Tetapi, Ong kini juga berdepan dengan masalah yang sama, iaitu imej yang tercalitnya itu kerana "cakap tak serupa bikin", bakal dijadikan senjata oleh UMNO untuk menundukkan Ong. Kepimpinan Ong telah dinafikan perwakilan, walaupun hanya dengan majoriti 14 undi. Apa yang terpampang nyata di depan mata adalah, Ong telah hilang sokongan majoriti dalam parti.

Kini, Ong mengekalkan kedudukannya sebagai Presiden, dan Menteri Pengangkutan, kerana "Pelan Perpaduan" disokong Presiden UMNO. Ia amat bercanggah dengan pendirian tegas Ong sebelumnya, bahawa MCA seharusnya menolak sebarang campur tangan UMNO. Lebih penting, UMNO boleh mengambil kesempatan ke atas "keengganan Ong mengundur diri walaupun tidak mendapat kepercayaan majoriti perwakilan".

Mesej UMNO disampaikan apabila Mohamad Aziz, ahli parlimen Sri Gading berkata dalam Dewan Rakyat, "Kalau ada harga diri ada maruah berhenti, jangan susahkan Perdana Menteri. Awak Presiden MCA yang tidak lagi dapat kepercayaan ahli... berhentilah, ramai lagi pemimpin MCA boleh memimpin parti. Apa, you ingat you seorang sahaja yang pandai?"

Kesannya kepada MCA

Hujah Mohamad Aziz ada munasabahnya, dan mungkin mendapat sokongan sebahagian ahli MCA dan masyarakat Cina. Hujah sedemikian menghakis legitimasi Ong Tee Keat sebagai Presiden MCA. Seandainya Ong perlu mencegah hujah sedemikian diulangi, diluaskan pengaruhnya, maka beliau perlu kompromi dengan UMNO.

Dengan kata lain, tekad Ong untuk menyiasat skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) mungkin patah di tengah jalan. Seandainya keadaan ini berlaku, maka Ong akan kehilangan sokongan masyarakat Cina. Siasatan PKFZ sebelum ini telah mencungkil kesangsian dan rungutan sesetengah orang, bahawa hanya beberapa kerat orang didedahkan, tetapi dalang di sebaliknya yang mungkin melibatkan kepentingan UMNO tidak berani disentuh.

Dengan kata lain, jikalau Ong akur kepada ugutan UMNO, maka beliau bakal menggadaikan modal politiknya, iaitu imej moralnya yang terkenal dengan berani dan tegas. Imej inilah satu-satunya senjata Ong yang dilihat boleh menyelamatkan MCA dari kekalahan PRU ke-12.

Namun, jikalau Ong kehilangan modal politik ini, dan pergelutan kuasa dalam MCA gagal ditamatkan, maka MCA-lah bakal menanggung padahnya. Penganalisa politik, Ooi Heng pernah membuat perhitungan berdasarkan keputusan PRU ke-12, di mana MCA hanya menang 15 kerusi parlimen daripada 40 yang ditandingnya.

Pada PRU ke-13, seandainya lebih 5% undi beralih ke Pakatan Rakyat (PR), maka MCA hanya tinggal 9 kerusi Dewan Rakyat; seandainya 10% undi yang beralih ke PR, maka MCA hanya tinggal 6 kerusi Dewan Rakyat, menurut perhitungan Ooi Heng.

Kesannya kepada BN

Kekalahan MCA semestinya melemahkan BN. Najib semestinya sedar bahawa kemelut MCA ini tidak akan menemui jalan penyelesaian yang sempurna. walau pimpinan diserahkan kepada Liow Tiong Lai (Timbalan Presiden MCA yang baru dilantik) sekalipun, pemimpin yang sudah tercalit imejnya sebagai "pengkhianat" ini turut berdepan dengan krisis kredibiliti.

Senario ini sebenarnya menguntungkan PR, seandainya mengambil kesempatan untuk menarik ahli MCA yang kecewa dan hilang yakin terhadap pemimpin mereka. Namun, PR turut menghadapi krisis sendiri, apabila PAS dan PKR memberi persepsi kekecohan kerana pergelutan dalaman.

Najib yang melaungkan slogan 1Malaysia, semestinya sedar bahawa sokongan bukan Melayu masih diperlukan, bukan sahaja diterjemahkan dalam bentuk undi, malah juga "kerusi" dalam Dewan Rakyat. BN hanya bergelar UMNO seandainya tiada wakil kaum lain. Kerajaan gagal dibentuk seandainya tiada wakil rakyat daripada kaum lain. Itulah sebabnya Mah Hang Soon (Exco Negeri Perak) dicemuh kerana menjayakan pembentukan kerajaan UMNO-BN di negeri Perak.

Oleh itu, apa jalan keluarnya? UMNO sebelum ini menyatakan niat mereka untuk mengambil alih beberapa kawasan yang ditanding parti komponen yang lain. Tetapi bagaimana pula seandainya tiada kerusi yang dimenangi MCA?

Sekiranya diimbas kembali, bekas PM Abdullah Ahmad Badawi pernah mencadangkan agar BN mengambil ahli secara terus, menyasarkan mereka yang menyokong BN tetapi tidak berniat menyertai mana-mana parti komponen BN. Dengan kata lain, seandainya BN berjaya melobi tokoh-tokoh yang disanjungi untuk dijadikan calon BN, maka masih ada peluang untuk BN mengekalkan model "perkongsian kuasa antara kaum" ini.

Pendek kata, kemelut MCA ini menguntungkan UMNO dari segi mengeratkan genggamannya terhadap pemimpin MCA, tetapi berdepan dengan risiko hilangnya penguasaan BN terhadap masyarakat Cina. Cuma, apakah politik perkauman masih relevan untuk masyarakat Malaysia pada masa depan?

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.

Subsidi: Indah Khabar dari Rupa?

Oleh Dr Mohamad Khir Toyo


Bajet 2010 telah pun dibentangkan. Seperti biasa riuh rendah yang dilihat ialah apa aku dapat dan apa kamu dapat. Hakikatnya jarang sekali Bajet kita tidak memberi rangsangan positif sehingga segala ulasan dan pujian menjadi klise.

2. Sesetengah pengulas pula sudah mula membuat pujian sebelum pembentangan dibuat pun. Dan ada pula yang membuatnya sebaik sahaja selesai mendengar ucapan

3. Banyak isu boleh dibahaskan dan dipersoalkan termasuk isu pemberian keistimewaan potongan cukai profesional di Iskandar Malaysia tetapi tidak kepada koridor-koridor wilayah yang lain, yang lebih penting dari segi potongan cukai ini kerana berada di luar lingkungan skala ekonomi yang mapan seperti Iskandar Malaysia yang berhampiran Singapura.

4. Jika mahu diberi potongan cukai kepada profesional yang sanggup berkhidmat di koridor (wilayah) ekonomi yang diwujudkan kerajaan tentulah wilayah-wilayah ekonomi di Malaysia Timur, Pantai Timur dan Utara lebih wajar diberi keistimewaan kerana kedudukan geografi dan tumpuan ekonomi yang lebih sukar menarik pelaburan dan tenaga profesional.

Buruk Sangatkah Masyarakat Bersubsidi?

5. Saya bukanlah seorang yang terdidik dalam bidang ekonomi. Justeru secara akademiknya saya tidak layak untuk mengulas kenyataan beberapa pemimpin kerajaan baru-baru ini mengenai subsidi.

6. Namun sebagai orang pernah menjadi Menteri Besar sebuah negeri termaju di Malaysia dan mencatatkan pertumbuhan ekonomi memberangsangkan selama pentadbiran saya, tentulah sedikit sebanyak saya fikir boleh memberi buah fikiran dan pandangan mengenai ekonomi negara.

7. Sejak sebulan yang lalu terdapat dua atau tiga menteri bercakap soal penghapusan subsidi dan pemberian subsidi kepada golongan yang layak sahaja. Mereka bercakap seolah-olah subsidi ini begitu buruk dan tidak sewajarnya berterusan dilaksanakan oleh kerajaan.

8. Pemikiran ini tidaklah ada bezanya dengan pemikiran semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi. Ketika itu kita menyaksikan peningkatan mendadak harga petrol, tol, harga barang dan kos sara hidup.

9. Alasan-alasan yang sama akan terus diulang-ulang iaitu subsidi tidak membawa kemampanan (kekukuhan) ekonomi serta merugikan rakyat dan kerajaan.

10. Alasan-alasan ini dicipta oleh pemikir ekonomi berasaskan pemikiran atas kertas dan ada juga kerana mereka yang telah maju mahu mengekalkan kualiti hidup mereka dengan kesusahan kita. Hakikatnya di Eropah dan Amerika Syarikat sendiri jumlah subsidi mereka mencecah berbilion dollar.

11. Subsidi sungguhpun ada keburukan kepada ekonomi negara namun dalam banyak hal ia juga membantu rakyat dan ekonomi. Ada Subsidi membantu mengawal kestabilan ekonomi dan kos sara hidup sekaligus merancakkan pusingan ekonomi hasil daripada nikmat subsidi seperti mana subsidi petrol.

Subsidi Petrol

12. Saya terkejut dengan kenyataan dua Menteri yang menyatakan subsidi petrol hanya akan diberikan kepada kumpulan sasar yakni rakyat berpendapatan rendah.

13. Secara sepintas lalu saya berpendapat ia bukan sahaja sukar dilaksanakan tetapi juga akan memberi kos tambahan kepada pengurusan kerajaan untuk menjalankan sistem pemberian subsidi, penguatkuasaan dan akhirnya akan wujud pelbagai penyelewengan.

14. Memang benar kerajaan tidak mungkin dapat memberi subsidi petrol yang begitu besar kepada rakyat. Sebab itu hari ini rata-rata rakyat yang rasional menerima keputusan pemberian subsidi 30 sen seliter.

15. Siapakah golongan berpendapatan rendah hari ini? Katakanlah kita ambil mereka yang berpendapatan RM 3, 000 dan ke bawah sebulan? Apakah mereka yang berpendapatan RM 3, 000 sebulan di Alor Setar lebih susah daripada mereka yang berpendapatan RM 5, 000 di Kuala Lumpur? Saya tidak ragu menyatakan bahawa mereka yang berpendapatan RM 5, 000 sebulan di Kuala Lumpur lebih miskin daripada mereka yang berpendapatan RM 3, 000 di Alor Setar.

16. Sebenarnya pemberian subsidi petrol seperti sekarang lebih besar faedahnya kepada kerajaan. Kerajaan mungkin terpaksa berbelanja lebih untuk subsidi petrol, namun ia memberi kelegaan kepada golongan berpendapatan rendah dan membolehkan golongan berpendapatan sederhana dan tinggi berbelanja lebih untuk merancakkan ekonomi.

17. Sebagai seorang yang tidak arif dalam ekonomi, saya tertanya-tanya apakah akan terjadi jika golongan berpendapatan sederhana dan tinggi yang terpaksa mengeluarkan begitu banyak wang untuk petrol, cukai pendapatan, cukai jalan mula berjimat, membeli barangan yang sebelum ini hanya untuk golongan bawahan, membeli rumah yang murah dan berhenti berbelanja hujung minggu?

18. Apa akan terjadi kepada putaran ekonomi negara?

19. Pembuat dasar atau polisi tidaklah boleh melihat sesuatu isu ekonomi terutama subsidi barangan penting kepada seluruh rakyat seperti petrol dalam bentuk yang mikro sehingga gagal melihat secara makro.

Subsidi Beras

20. Menyentuh mengenai subsidi ini juga saya tertanya-tanya apakah rasional untuk menghapuskan subsidi kepada pengilang beras yang bertujuan mengawal harga beras ST 15.

21. Menurut Menteri Pertanian, Datuk Noh Omar, penghapusan subsidi ini bertujuan untuk menjimat wang kerajaan sebanyak RM 60 juta sebulan dan mengelakkan mereka yang tidak layak menikmatinya.

22. Kerajaan khabarnya akan mengurangkan kos subsidi beras gred ST15 (15 peratus hancur) sebanyak RM51.5 juta apabila pelaksanaan kupon beras percuma kepada 200,000 keluarga miskin di seluruh negara dilaksanakan bermula 1 Disember ini.

23. Pada masa ini harga sekilo beras ST 15 ialah RM 1.80. Ini bermakna sekampit (10 kilo) beras ST 15 berharga RM 18.00. Dan mengikut maklumat ia akan naik kepada RM 24 sekampit.

24. Berdasarkan harga semasa dan harga tanpa subsidi yang dinyatakan kerajaan, ini bermakna rakyat perlu menampung kenaikan sebanyak RM 6 sekampit. Berasaskan penggunaan biasa, satu isi rumah mungkin memerlukan sekitar 20 kilogram beras sebulan. Sebanyak RM 12 sebulan perlu ditambah dalam perbelanjaan bulanan.

25. Mungkin bagi kabinet kenaikan ini tampak kecil namun ia memberi banyak kesan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

26. Berasaskan penggunaan purata 20 kilogram sebulan, susbsidi kerajaan sebanyak RM 60 juta sebulan; maka dianggarkan terdapat 5 juta rumah yang menggunakan beras jenis ini, (5 juta x RM 12).

27. Katakanlah terdapat kegunaan untuk kedai makan dan asrama, anggaran kovensional ialah sekitar 2 juta rumah yang menggunakannya. Jika terdapat dua hingga tiga orang di dalam rumah tersebut, maka kerajaan BN telah menyebabkan kemarahan hampir 3 juta rakyat yang akan diterjemahkan dalam pilihan raya akan datang.

28. Jika mereka mampu membeli beras yang lebih baik grednya tentulah mereka ini tidak membeli beras ST15. Bayangkan bila kenaikan ini berlaku.

29.Demikian juga di kalangan industri makanan seperti asrama dan kedai makan kecil yang margin keuntungan tidak seberapa terpaksa menanggung kos kenaikan ini?

30. Masalah ini akan berlarutan pula kepada proses pemberian dan pengambilan kupon subsidi. Ahli Parlimen akan mendapat beban politik kerana akan ada yang marah kerana tidak dapat kupon tersebut.

31. Pemberian kupon di Sabah dan Sarawak akan lebih bermasalah. Keadaan geografi dan pengangkutan di kawasan pendalaman mungkin menyebabkan kos pengangkutan untuk mereka yang miskin mendapat kupon lebih tinggi daripada harga kupon sendiri.

32. Ini belum lagi masalah keengganan peruncit untuk menerima kupon.

33. Jika kerajaan mahu menghapuskan subsidi beras ini maka kerajaan juga perlu menghapuskan sebarang kawalan ke atas idustri beras termasuk pemilikan permit masuk dan pelbagai sekatan untuk membawa masuk beras luar?

34. Kerajaan tidak boleh melakukan dua perkara yang kontradik dalam masa yang sama. Dalam keadaan kerajaan tidak mahu menanggung beban kewangan, kerajaan pula mahu bertindak sebagai penguasa yang menghalang rakyat mendapat barangan murah.

35. Kita semua ada membuat kesilapan baik semasa mentadbir, namun gunakanlah pengalaman tersebut untuk membetulkannya bukannya meneruskan kenyataan-kenyataan tidak berpijak kepada realiti rakyat banyak.

36. Janganlah jadi seperti seorang bekas menteri baru-baru ini membuat kenyataan bahawa beliau terkejut dengan begitu banyak kadar tol yang perlu dibayar sedangkan beliau berada di dalam kabinet semasa membuat keputusan menaikkan kadar tol.

37. Ketika saya menulis sebelum ini bahawa kita tidak mengharapkan kerajaan menjadi sebuah negara kebajikan tetapi negara sejahtera, tentulah saya tidak sama sekali bermaksudkan kerajaan perlu menarik subsidi-subsidi penting seperti petrol dan beras.

38. Kerajaan terlalu banyak membantu golongan miskin dan orang tua sehingga melupakan golongan muda dan berpendapatan sederhana sedangkan mereka ini merupakan majoriti pengundi hari ini.

39. Dalam pilihan raya lalu, Barisan Nasional hampir kalah kerana polisi-polisinya mengabaikan kelompok pengundi terbesar iaitu orang muda dan kumpulan berpendapatan sederhana.

40. Bagaimanakah boleh menjadi sebuah negara sejahtera jika kumpulan majoriti terabai? Jangan nanti subsidi yang diberikan indah khabar dari rupa.