Khamis, 29 Oktober 2009

Seminar hapus persepsi salah terhadap PAS

Hazayani zakaria


KUALA LUMPUR : PAS yakin keputusan menggantikan muktamar khas (EGM) dengan seminar pemerkasaan parti akan memberikan kebaikan kepada parti sekaligus melenyapkan segala tuduhan jahat pihak-pihak tertentu terhadap parti itu.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, matlamat seminar berkenaan adalah untuk menegaskan bahawa PAS akan memperkasakan kedudukan dan peranannya untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

"Apa yang hendak dicapai dalam seminar itu, untuk mempertegas bahawa PAS akan memperkasakan kedudukan dalam Pakatan Rakyat," katanya.

"Ini akan melenyapkan segala persepsi dan tuduhan yang dimainkan oleh pihak tertentu kononnya PAS tidak serius dan tidak begitu berminat untuk bersama Pakatan Rakyat," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di lobi Parlimen tengahari tadi.

Salahuddin yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian turut menyifatkan seminar berkenaan lebih efektif berbanding EGM kerana ia memberi peluang kepada orang luar berbanding EGM yang hanya terbuka kepada ahli sahaja.

Seminar itu juga kata Salahuddin membuktikan bahawa PAS sebuah parti yang terbuka dan sedia menerima segala kritikan orang luar untuk meningkatkan prestasi parti.

"Forum ni sangat sesuai supaya PAS dapat dengar dengan baik kritikan yang mungkin ikhlas dari orang luar dan boleh jadikannya pandangan kedua parti."

"Ini menunjukkan PAS parti terbuka, berlapang dada. Sebab itu kita adakan forum yang sesuai untuk orang luar datang dan memberikan pandangan," katanya.

Ditanya berhubung ketetapan mesyuarat malam tadi agar Lembaga Disiplin PAS menyiasat semua dakwaan terhadap PAS Selangor, beliau berkata perkara itu telah diserahkan kepada pengerusi Lembaga Disiplin Parti, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga naib presiden PAS.

"Mesyuarat malam tadi menyerahkan kepada Tuan Ibrahim untuk uruskan isu itu. Jadi bukan bidang kuasa saya untuk menjawabnya," ujarnya.

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa mesyuarat malam tadi diadakan bagi membuat keputusan untuk membuang beberapa pimpinan parti yang bermasalah.

"Isu kononnya PAS akan membuang beberapa kerat pemimpin parti tidak berbangkit langsung malam tadi," tegasnya.

PAS juga tegasnya menutup rapat isu kerajaan perpaduan yang dimainkan media dan memberi jaminan isu itu tidak akan berbangkit lagi.

Seminar dijadualkan berlangsung pada 7 November ini di Dewan Datuk Fadzil Nor, Markaz Tarbiyah PAS, Taman Melewar, Gombak bermula jam 9 pagi._

Tiada ulasan: