Sabtu, 31 Oktober 2009

Sebuah NGO OKU rugi RM20,000 disamun dua lelaki

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk orang kurang upaya (OKU) kerugian hampir RM20,000 dalam sekelip mata selepas disamun dua lelaki yang berpurapura mahu menghulurkan bantuan kepada pertubuhan itu di Taman Garing, Rawang dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, Independent Living and Training Centre yang dihuni 12 OKU didatangi dua lelaki berparang dalam lingkungan umur 30an membawa makanan dan minuman untuk dihulur kepada penghuni pusat itu.

Setiausaha NGO itu, Gurdip Kaur yang berada di pusat itu semasa kejadian berkata beliau bersama dua penghuni lain sedang mengemas dan tidak mengesyaki niat buruk keduadua lelaki berkenaan.

"Mereka datang pada pukul 10 pagi dan memberitahu mahu menderma kepada badan ini. Saya gembira dan meminta mereka datang pada tengah hari untuk berjumpa presiden.

"Selepas 20 minit mereka datang kembali dengan membawa berpaketpaket roti canai, roti ban dan air kotak. Selepas meletakkan barangan itu keduadua lelaki terbabit menutup pintu depan memekik mengarah saya menyerah barangan berharga," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat itu.

Gurdip berkata beliau hampir pengsan apabila suspek meletakkan parang di lehernya serta ditumbuk beberapa kali.

Beliau berkata selain wang tunai RM10,000 perompak itu turut melarikan beg tangannya, komputer riba, dua telefon bimbit dan barang kemas.

"Saya sedih dengan apa yang berlaku hari ini. Tindakan sewajarnya patut dikenakan kepada penjenayah itu. Wang itu (RM10,000) dikumpul hasil dari ehsan orang awam dan hasil jualan tiket konsert amal bagi membiayai kos pembinaan bangunan baru menempatkan badan berkenaan tahun depan," katanya.

Beliau juga kesal kerana sistem penggera keselamatan tidak dihiraukan oleh jiran tetangga dan wang tidak didepositkan ke dalam bank.

Presiden persatuan itu, Francis Siva yang mengetuai 165 ahli pertubuhan selama 10 tahun itu berkata beliau berasa bertanggungjawab di atas apa yang berlaku.

"Ini kejadian pertama berlaku, kami sudah rasa tidak selamat dan inginkan perlindungan. Penjenayah kini memfokuskan untuk merompak OKU seperti kami pula," kata Francis yang berkerusi roda.

Francis dan beberapa penghuni lain tidak berada di rumah kebajikan itu ketika kejadian kerana menghadiri satu majlis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Tiada ulasan: