Khamis, 29 Oktober 2009

Bekas setpol MB Perlis nafi sertai PKR

Abdul Rahim Sabri


Bekas setiausaha politik menteri besar Perlis, Ameir Hassan menafikan dakwaan bahawa beliau akan keluar daripada Umno untuk menyertai PKR.

Dihubungi Malaysiakini petang ini, Ameir juga berkata beliau tidak pernah menerima sebarang tawaran untuk menyertai parti itu.

Beliau diminta mengulas dakwaan ketua cabang PKR Arau, Hashim Bakar yang menghantar emel kepada Malaysiakini bahawa Ameir "telah menyatakan hasratnya untuk menyertai PKR dalam masa yang terdekat ini".

"Kalau ada tawaran, ini adalah tidak benar. Saya letak jawatan setiausaha politik sejak April 2009, bukan apa-apa krisis dalam Umno Perlis,” jelas Ameir.

"Tetapi saya rasa tidak mampu untuk memberi perkhidmatan kepada kerajaan Umno Perlis yang ada sekarang.

"Saya akan bersama dengan mana-mana parti politik yang memperjuangkan nasib bangsa Melayu,” kata Ameir sambil menegaskan beliau masih lagi percaya, Umno masih mampu memperjuangkan nasib bangsa Melayu.

"Sehingga hari ini, saya percaya Umno masih lagi, mampu memperjuangkan bangsa Melayu. Bagi saya, hilangnya Umno di atas muka bumi Malaysia ini, lenyaplah kuasa Melayu," kata Amier yang juga bekas naib ketua Umno bahagian Arau.

Sementara itu, Hashim ketika dimaklumkan mengenai penafian Ameir itu berkata, beliau ada bertemu Ameir dalam satu majlis di ibunegara semalam dan secara peribadi bertanyakan kesungguhannya untuk menyertai PKR.

"Saya tanya serius atau tidak. Dia kata OKlah, tak semestinya beri jawatan," kata Hashim yang juga timbalan majlis pimpinan PKR Perlis.

Hashim juga mendakwa Ameir sendiri telah dimaklumkan kepada pimpinan dan akar umbi PKR Perlis hasratnya untuk menyertai parti tersebut.

"Tapi kalau berbolak balik begini, tak payahlah. Kita tak nak orang berbolak balik seperti ini," katanya dengan nada kesal.

Jun lalu, PKR Perlis kini berjaya menubuhkan 21 cawangan baru menjadikan jumlah kesemuanya 26 setakat.

Tiada ulasan: