Jumaat, 30 Oktober 2009

'Pejabat Ketua Audit Negara patut ditutup saja!'

Oleh HARIATI AZIZAN, JOSEPH LOH dan RASHVINJEET S BEDI


Minggu lepas, Laporan Ketua Audit Negara menjadi tajuk utama sekali lagi kerana ia mendedahkan lebih banyak kepincangan pentadbiran serta salah urus dana. Apakah tindakan lebih tegas akan diambil terhadap pesalah-pesalah yang terlibat kali ini?

Bayangkan RM42,320 digunakan untuk membeli sebuah komputer riba yang sudah ketinggalan zaman. Sebuah kerusi berputar pula berharga di antara RM810 dan RM1,050.

Ya, sekali lagi untuk setahun ini kita tercungap-cungap terkejut melihatkan pemerolehan luar biasa dan kecuaian kewangan perkhidmatan awam kita.

Laporan Ketua Audit Negara 2008 dikemukakan ke Parlimen Isnin lepas, dan sebagaimana dalam tahun-tahun yang lalu, ia menekankan soal salah urus wang rakyat oleh mereka yang diamanahkan menseimbangkan buku kira-kira negara.

Jumlah perbelanjaan yang disebut di atas telah dibuat oleh Kolej Kemahiran Tinggi Mara Balik Pulau, Pulau Pinang, yang turut membelanjakan RM2.08 juta membeli perisian komputer yang dikatakan tidak perlu.

Kelihatannya macam semalam sahaja maktab latihan kerajaan yang lain, iaitu Institut Kemahiran Belia Negara atau IKBN (di bawah pentadbiran Kementerian Belia dan Sukan), ditegur kerana perbelanjaan RM8.39 juta di atas harga pasaran untuk peralatan tertentu - termasuk satu pemutar skru RM224 satu set (empat) yang mana harga pasaran hanya RM40; satu set jack kereta RM5,700 yang kebiasaannya berharga hanya RM50; dan kamera digital RM8,254 yang dijual secara runcit pada RM2,990.

Dan bagaimana dengan RM418,145 bantuan kebajikan yang dikeluarkan kepada 184 individu yang tidak didokumenkan - atau mungkin tidak wujud - di mana 26 telah daripadanya telah disahkan mati? Laporan 2006 juga menunjukkan bahawa ramai di antara mereka yang lain yang telah "mati" turut menerima bantuan kebajikan.

Hal itu didedahkan oleh Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dan Jabatan Audit Negara (JAN) tahun ini sekali lagi mendedahkan kelemahan-kelemahan dalam sistem awam, yang membenarkan ketidakcekapan dan pelanggaran berlaku.

Lebih buruk, laporan itu menekankan bahawa kementerian dan jabatan persekutuan umumnya belum menunjukkan banyak kemajuan dalam pengurusan kewangan mereka tahun lepas walaupun langkah-langkah telah diambil untuk memperbaiki kelemahan dalam sistem itu.

Bahkan, laporan itu menyatakan banyak jabatan telah berbelanja melebihi belanjawan mereka.

Namun demikian, walaupun terdapat liputan media yang meluas, perbincangan hangat antara orang awam serta tindak balas yang kuat daripada pengkritik kerajaan yang mengikuti laporan bagi salah urus dana-dana yang berlaku tahun lepas, kelemahan itu masih terus berlaku.

Mengapa kes-kes penyalahgunaan wang rakyat, pelaburan-pelaburan kerajaan yang tidak bijak, dan kelewatan dalam projek-projek utama kerajaan masih berlaku?

Dan soalan penting yang perlu dijawab: "Apakah tindakan akan diambil terhadap mereka yang didapati bersalah mengamalkan rasuah seperti yang tercatat dalam laporan itu?"

Ambrin berkali-kali berkata bahawa JAN tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap pesalah-pesalah yang dinyatakan dalam laporan itu.

"JAN tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa. Kuasa untuk mengenakan penalti terhadap perbuatan jenayah terletak di tangan mahkamah, manakala kuasa mengenakan surcaj untuk pegawai-pegawai terbabit adalah pada Kementerian Kewangan. Sebarang tindakan disiplin pula adalah tanggungjawab ketua-ketua jabatan," katanya kepada wartawan tahun lepas.

Jika terdapat amalan rasuah yang boleh dibuktikan di mahkamah, mahkamah akan mengenakan penalti yang sesuai, kata beliau, sekali gus menjelaskan bahawa perbuatan rasuah perlu dibuktikan menurut undang-undang, dan ia juga perlu disertakan dengan bukti dan saksi.

Oleh itu, siasatan hanya boleh dibuat oleh pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis.

SPRM memberi jaminan bahawa yang ia akan mengambil tindakan perlu jika ia menemui sebarang kejanggalan dalam laporan AG 2008, yang sedang dikaji untuk menggali unsur-unsur rasuah, salah laku dan penyalahgunaan kuasa dalam pengurusan wang rakyat.

Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak juga cepat mengatakan bahawa tindakan akan diambil terhadap mereka yang didapati bersalah menyalahgunakan wang kerajaan.

Dengan melahirkan rasa kekecewaannya terhadap salah laku dan penyalahgunaan dalam sektor awam, beliau memberi jaminan bahawa "hukuman" akan dikenakan terhadap mereka yang dikenal pasti melakukan jenayah tersebut.

Pada bulan April tahun lepas, Najib, yang pada waktu itu TPM, juga telah berikrar untuk membetulkan kepincangan dalam sistem awam setelah didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2006.

Untuk mengotakan janjinya, beliau mewujudkan indeks prestasi utama (KPIs) dan daerah keputusan utama (KRAs) untuk mengukur prestasi perkhidmatan awam, sebagai sebahagian daripada sistem pentadbiran yang baik.

Sama juga pada 2007, selepas laporan Ketua Audit dibentangkan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan siasatan akan dilakukan ke atas pegawai dan kakitangan kerajaan yang terlibat melakukan rasuah dan salah urus wang rakyat seperti yang terdapat dalam laporan itu.

Beliau memberi jaminan bahawa mereka akan sama ada akan didakwa di mahkamah atau menghadapi tindakan disiplin, dan menambah bahawa kerajaan akan mendedahkan kepada umum hukuman yang dikenakan kepada mereka.

Sidek kemudiannya mengisytiharkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam juga akan mengeluarkan senarai "turun pangkat dan kena disiplin" setiap suku tahun supaya rakyat tahu tindakan yang telah diambil.

Manakala beberapa langkah yang dijanjikan telah dilaksanakan seperti rangkaian penangkapan yang dillibatkan telah dilaporkan, namun keberkesanan langkah-langkah "pembersihan" nampaknya masih belum kelihatan.

Sehingga hari ini, kurang daripada 20 orang dilaporkan telah ditangkap berhubung penyalahgunaan dan salah laku seperti yang terdapat dalam Laporan Ketua Audit Negara 2006.

Lagu lama yang keluar daripada laporan baru-baru ini menunjukkan bahawa masalah utama yang timbul dulu masih belum diselesaikan.

Tunku Abdul Aziz Ibrahim, bekas presiden Transparency International Malaysia (TI-M), ragu sama ada tindakan akan diambil ke atas pesalah terbabit atau sebaliknya.

"Berdasarkan rekod-rekod lepas, saya meragui apa yang akan dilakukan. Dan tahun depan akan berlaku ulangan perkara serupa. Mereka yang terbabit tidak pernah disiasat. Ini berlaku kerana di sana tidak ada kemahuan politik," kata Tunku Aziz yang juga bekas penasihat khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berhubung penubuhan etika pejabat.

Beliau menekankan bahawa kebanyakan kes yang ditekankan oleh laporan audit adalah serupa dengan kesalahan jenayah kerana ia melibatkan penipuan dan pecah amanah.

"Sejak bertahun-tahun, tiada apa yang telah dibuat dan mengapa pula ia menjadi berlainan sekarang. Ketua juru audit telah menekankan beberapa contoh pentadbiran lemah yang cukup serius, yang tidak sepatutnya diberikan tolak ansur," keluh beliau dan menambah bahawa dalam kebanyakan negara, laporan audit dihadapi dengan cukup serius.

"Di sini laporan Ketua Audit malah tidak dibincang dalam Parlimen atau diberikan perhatian yang wajar," kata beliau.

Bekas pegawai audit Gursharan Singh bersetuju.

"Kekurangan tindakan memberikan nama buruk kepada pihak-pihak yang terlibat, daripada eksekutif (kerajaan) kepada agensi-agensi penguat kuasa serta badan kehakiman. Kebanyakan orang mungkin berfikir bahawa mereka berpakat di antara satu sama lain," kata pesara yang pernah bekerja dengan LAN selama lebih 30 tahun itu.

Setiausaha Agung TI-M, Dr Loi Kheng Min bersetuju bahawa adalah penting bagi penguasa untuk menunjukkan bahawa mereka serius dalam usaha menyelesaikan masalah.

"Mereka perlu menunjukkan bahawa ia bukan hanya cakap kosong. Walaupun kita telah mempunyai agensi-agensi perlu seperti SPRM, namun keutamaan masih bukan di sana dan ramai yang masih tidak berani," kata beliau seraya menekankan bahawa adalah penting buat kerajaan untuk meningkatkan keberkesanan agensi-agensi terbabit.

Dr Loi mencadangkan sebuah jawatankuasa ditubuhkan untuk mengambil tindakan susulan terhadap kes-kes salah laku danpenyalahgunaan yang dilaporkan oleh Ketua Audit.

"Jawatankuasa tersebut boleh menumpukan pada menyemak laporan dan mencadangkan tindakan yang sesuai untuk diambil."

Naib Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Dr Tan Seng Giaw mengatakan PAC adalah sebuah badan yang sesuai untuk meneliti laporan tersebut dan mencadangkan tindakan yang sesuai.

"Bahkan kami akan berjumpa Ketua Audit dan pasukannya pada hari Rabu untuk satu taklimat penuh mengenai laporan itu dan kami kemudian akan membincangkan kandungannya dan mempertimbangkan tindakan yang akan diambil," katanya.

Walaupun kecewa bahawa dalam Laporan Ketua Audit 2008 mendedahkan lebih banyak salah urus wang rakyat, Dr Tan bagaimanapun yakin bahawa sistem itu sebenarnya telah memadai untuk membawa individu-individu terbabit ke muka pengadilan.

Namun beliau menekankan bahawa modus operandi pentadbiran pejabat awam perlu dikaji semula.

Dr Loi turut setuju dan berkata: "Kita perlu mengkaji semula perolehan garis panduan yang sedia ada. Adakah ia telah ketinggalan zaman? Kita juga perlu untuk lebih terbuka dan telus dalam sistem tender kita. Ini mungkin membantu mengurangkan penyalahgunaan kewangan awam."

Gursharan Singh juga berkata bahawa kita memerlukan sistem tender yang lebih terbuka dan telus.

"Di Malaysia, kontrak sebahagian besarnya dianugerahi atas asas pertimbangan. Ia biasanya akan menterjemahkan kualiti yang rendah, perancangan yang buruk dan penyelenggaraan buruk," katanya dan menambah bahawa sistem tender rakyat Malaysia sepatutnya digunakan untuk berdaya saing tetapi ia rosak selepas satu perubahan dasar pentadbiran pada 1982.

Tunku Aziz begitu yakin bahawa kerajaan mesti melakukan sesuatu bagi menunjukkan bahawa mereka tidak bertolak ansur dengan apa yang berlaku - atau jika tidak ia akan menghilangkan keyakinan awam.

"Jika mereka tidak bersungguh-sungguh, rakyat akan hilang keyakinan terhadap mereka. Saya juga bercakap mengenai agensi Kerajaan. Kepimpinan yang teruk dalam pelbagai agensi dan jabatan akan memburukkan lagi keadaan," katanya.

"Jika tidak, tidak ada gunanya mempunyai pejabat Ketua Audit. Ia sepatutnya ditutup."

Memetik contoh Kolej Kemahiran Tinggi Mara di Pulau Pinang, Tunku Aziz berkata institusi itu sepatutnya ditutup kerana salah urus kewangan.

"Ini adalah wang rakyat dan seseorang perlu dipertanggungjawabkan," katanya.

Tiada ulasan: