Sabtu, 31 Oktober 2009

Jenazah Mantik Hani ke Surabaya hari ini

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR – Jenazah pembantu rumah warga Indonesia, Mantik Hani yang meninggal dunia dipercayai angkara perbuatan keji majikannya baru-baru ini, akan dihantar pulang ke kampung halamannya di Surabaya, Indonesia, esok.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Difahamkan, jenazah Mantik akan diterbangkan dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan pesawat MAS MH871 pukul 8.15 pagi esok dengan diiringi seorang pegawai Pejabat Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.

Jenazahnya dijangka tiba di Lapangan Terbang Indonesia kira-kira 9.55 pagi.

Segala urusan penghantaran pulang itu ditanggung oleh kerajaan Malaysia.

Beberapa pegawai kedutaan berkenaan pula dikatakan telah tiba di Indonesia semalam bagi menguruskan urusan pengkebumian jenazah.

Sementara itu, Setiausaha Ketiga Bahagian Perhubungan Maklumat Kedutaan Indonesia di Malaysia, Soneta Asmara berkata, pihaknya menyerahkan kes itu sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat kerana yakin akan mendapat pengadilan yang sewajarnya.

Selain itu, kata beliau, pihaknya akan mendapatkan baki gaji tertunggak berjumlah kira-kira RM4,000 yang belum diselesaikan oleh majikan mangsa.

“Itu hak dia (Mantik). Kenapa perlu dibiarkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ditanya mengenai hasil bedah siasat, Soneta memberitahu:

“Saya belum melihat lagi laporan bedah siasat itu. Apa yang saya tahu bedah siasat telah dilakukan kelmarin dan laporan itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.”

Tiada ulasan: