Jumaat, 30 Oktober 2009

MCA Paya Besar gesa jawatankuasa Pusat dibubarkan

BERNAMA


KUANTAN — MCA Bahagian Paya Besar menggesa Jawatankuasa Pusat (CC) parti itu dibubarkan bagi membolehkan pemilihan kepimpinan baru parti dilakukan sekali gus menyelesaikan kemelut dalaman parti berkenaan.

Ketuanya, Senator Ng Fook Heng berkata pembubaran CC itu membolehkan mereka yang layak bertanding berpeluang menerajui kepimpinan parti selepas mendapat sokongan daripada anggota.

Beliau berkata, masalah dalaman MCA sepatutnya selesai selepas parti itu mengadakan Mesyuarat Luar Biasa (EGM) pada 10 Okt lepas, namun masalah itu masih berterusan walaupun setelah lebih 20 hari EGM berlalu.

"Dulu musuh, sekarang jadi kawan pula manakala ada yang dulu kawan sekarang sudah jadi musuh, nampaknya ahli akar umbi sangat sedih keadaan parti sekarang dan apa yang penting bagi ahli akar umbi ialah MCA bersatu padu untuk menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya cadangan itu turut mendapat persetujuan daripada semua 12 ketua cawangan dan 4,000 anggotanya dan bukan dilakukan secara paksaan dan gesaan daripada mana-mana pihak.

Tiada ulasan: