Khamis, 29 Oktober 2009

Kelantan akur keputusan Mursyidul Am Pas

BERITA HARIAN ONLINE


KOTA BHARU: Semua ahli Badan Perhubungan Pas Kelantan akan tetap berdiri teguh di belakang Pesuruhjayanya yang juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, walau apa keputusan dibuat Jawatankuasa Pas Pusat.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata apa saja keputusan yang diputuskan, Pas negeri tiada sebarang masalah untuk menerimanya selepas menyerahkan mandat penuh kepada Nik Aziz.

Katanya, tujuan utama Nik Aziz hadir ke mesyuarat khas Jawatankuasa Pas Pusat ialah untuk memberi penjelasan sebenar mengenai maksud dari tulisan beliau dalam blognya itu yang menimbulkan beberapa kekeliruan, termasuk mengandaikan Menteri Besar Kelantan itu membuat kenyataan kepada individu tertentu.

"Hari ini, kami bersama dengan Nik Aziz, apa saja keputusan malam ini, kita tidak ada masalah, kita tidak ada terdesak apa-apa. Kita serahkan mandat sepenuhnya kepada Menteri Besar, apa berlaku kita berdiri di belakang beliau.

"Badan Perhubungan Pas negeri akan berdiri teguh dengan pendirian yang dibuat oleh Nik Aziz dan akan menyokong sebarang penjelasan dalam mesyuarat yang dibawa beliau dalam mesyuarat khas itu," katanya.

Beliau yang mewakili Nik Aziz memberitahu pemberita demikian selepas mesyuarat khas Pas Kelantan yang berlangsung di kediaman rasmi Menteri Besar, JKR 10, dekat sini, semalam.

Mohd Amar berkata, dari penjelasan yang dibuat Nik Aziz tadi, jelas sekali tujuan utama beliau membuat kenyataan dalam blog itu adalah ke arah memperkukuhkan komitmennya kepada parti selain memantapkan lagi hubungan Pas dengan parti pembangkang.

Tiada ulasan: