Jumaat, 30 Oktober 2009

Pulau Pinang ikrar tingkat integriti

Mohd Sabri Said


BUTTERWORTH : Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menegaskan, kerajaan negeri akan memantau dan membaiki ketidakcekapan pengurusan pentadbiran negeri untuk memberi jaminan integriti terpelihara dan tidak terus dipergunakan oleh perasuah atau kegiatan penyelewengan.

Kegagalan pengawasan integriti bermakna runtuh segala pengharapan rakyat untuk melihat Pulau Pinang maju demi setapak membebaskan diri daripada gejala tidak bermoral sekaligus tentunya menjejaskan integriti kerajaan sendiri tambahan lagi dengan slogan "Cekap, Akauntabiliti dan Telus" atau CAT.

"Integriti bukan sahaja bersangkutan dengan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa semata-mata malah terdapat banyak lagi yang harus dipantau dan diperbaiki seperti ketidakcekapan, penipuan, masalah sosial, kesetiaan dan perilaku tidak beretika yang merupakan penyumbang kepada kemerosotan integriti," ujarnya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Integriti Peringkat Negeri Pulau Pinang di Dewan Tunku Geodesic Dome, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) semalam.

"Jika berdasarkan anggaran setiap RM1 yang dilaporkan ada RM10 lagi kegiatan tidak bermoral itu tidak didedahkan. Ia amat menggerunkan, " jelasnya.

Selain daripada itu lapuran Ketua Audit Negara amat mengejutkan di mana berlaku penyelewengan ketara termasuk RM1.14 bilion di atas kegagalan menyiapkan Landasan Berkembar Elektrik Rawang ke Ipoh, pembeliah sebuah laptop dengan harga RM42,320 dan sebuah monitor komputer 19 inci berharga RM8,500 sebuah serta kerugian RM7.1 bilion kerana kemungkinan Syarikat Prasarana Negara Berhad yang gagal memenuhi keperluan bon berkaitan urusan pengangkutan dan Monorel Kuala Lumpur.

Image Akibat rasuah juga mengakibatkan bangunan stadium dan masjid runtuh dan bertambah menyakitkan hati rasuah turut mengorbankan beberapa orang kanak-kanak sekolah apabila jambatan gantung di Kuala Dipang, Perak runtuh ke sungai walaupun pembinaanya baru siap dua minggu.

Jesteru itu, kerajaan negeri memerlukan pegawai yang cekap, berkesan dan inovatif serta mampu untuk mengerakan semula sistem pengurusan agar tidak beku, jumud atau penuh dengan karenah birokrasi.

"Memandangkan terlalu banyak perasuah hasil kerajaan terdahulu, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat telah mengumumkan ganjaran sebanyak RM10 ribu kepada mana-mana individu yang dapat membongkar segala bentuk penyelewengan. Ganjaran yang digelar hadiah "i" (integriti) akan diberikan untuk menilai integriti individu. Ia akan dinilai oleh pegawai kewangan negeri bagi memupuk semangat integriti di kalangan kakitangan kerajaan negeri, " ujar beliau.

Melalui program tersebut Hadiah "i" itu buat kali pertamanya dimenangi oleh Ketua Hakim Syarie, Tuan Haji Yusuf Musa yang telah berjaya membongkarkan penyelewengan melibatkan wang melebihi RM500 ribu di Mahkamah Syarie yang melibatkan pembayaran balik bon jamin yang dilesapkan.

Hasil daripada kes berkenaan Kerajaan Negeri berharap hadiah "i" ini akan diberikan kepada penjawat awam setiap bulan bila mereka tampil membawa kes rasuah, penyelewengan dan sebagainya.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri 1, Dr Mansor Othman, Timbalan Ketua Menteri 2, Dr P Ramasamy, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainal Rahim Seman, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain, Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Faiza Zulkifli dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Farizan Darus. _

Tiada ulasan: