Sabtu, 31 Oktober 2009

Hilang kepercayaan kepada parti tidak sahkan tutup pusat khidmat

Harakahdaily


SHAH ALAM: Adun Perlabuhan Klang, Badrol Hisham Abdullah tidak patut menutup pusat khidmat kepada rakyat di kawasannya sungguhpun benar dia hilang kepercayaan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ini kerana, beliau memikul amanah pengundi kawasannya dan tidak boleh menafikan hak mereka untuk mendapatkan khidmat dari beliau.

Demikian kata rakan Adunnya, Nik Nazmi Nik Ahmad. Nik Nazmi adalah Adun Seri Setia yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor sebagaimana dilaporkan laman web Selangorkini.

Badrol mengumumkan keluar dari PKR disebuah hotel dekat Kuala Lumpur petang semalam. Pagi semalam, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam kenyataannya berkata, beliau telah mencadangkan kepada PKR agar Badrol meletakkan jawatan.

Nik Nazmi menyelar kenyataan Badrul bahawa beliau hilang kepercayaan kepada parti lalu keluar dari PKR. Ketua Pembangkang Dun Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo pula sebagaimana dijangka berkata sedia menerima 'orang buangan' dari PKR ini.

Nik Nazmi berkata, PKR terlebih dahulu hilang kepercayaan kepada Badrul setelah beliau gagal menjalankan tugas sebagai wakil rakyat di situ.

ImageMenurutnya, Badrul tidak seharusnya bertindak menutup Pusat Khidmat DUNnya, sekalipun hilang keyakinan kepada pucuk pimpinan parti.

Katanya, tindakan Badrul meninggalkan PKR dilihat sebagai membantu Kerajaan Selangor untuk membersihkan pemimpin Pakatan Rakyat dari dibelenggu wakil rakyat yang bermasalah.

Setiausaha Polilitik Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata tindakan ini disambut baik setelah Badrul enggan menerima sebarang bentuk bantuan dari kerajaan negeri dan parti bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.

"Kita selama ni cuba untuk perbaiki selepas dapat banyak respon tentang rekod dia, tentang prestasi dia sebagai seorang wakil rakyat dan kita cuba berjumpa, kita cuba membantu tetapi dia nampak dia tidak mahu menerima bantuan kita, dia dah tutup pusat khidmat dia, kita bergerak lama tanpa dia jadi kita ucapkan selamat jalan lah pada dia," katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Badrol tidak lagi layak mewakili PKR dan Pakatan Rakyat kerana beliau gagal berkhidmat untuk rakyat walaupun berulang kali ditegur oleh pimpinan parti.

Khalid berkata beliau mengalu-alukan pengumuman Badrol bahawa beliau kini akan menjadi Adun bebas dan menyokong Barisan Nasional.

"Kita merasakan YB Badrul Hisham tidak boleh mewakili Pakatan Rakyat, melihat kepada rekod kerja beliau yang tidak memuaskan," kata Khalid.

"Beliau dilihat tidak boleh, dan tidak mahu berkhidmat kepada rakyat. Demikian itu, Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat tidak boleh bertolak-ansur," tambahnya.

Khalid berkata Badrul sepatutnya mengambil langkah terhormat dengan meletak jawatan dan memberi laluan kepada pihak yang mampu melaksanakan amanah penduduk Pelabuhan Kelang.

"Kita tidak halang beliau menjadi wakil rakyat bebas, tetapi belia dianggap telah menyalahguna parti untuk menjadi calon," kata Khalid._

Tiada ulasan: