Sabtu, 31 Oktober 2009

Tentera Amerika Syarikat musnahkan ratusan masjid Iraq

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Tentera Amerika Syarikat (AS) didakwa tidak menghormati undang-undang antarabangsa apabila mereka turut menyerang dan memusnahkan ratusan masjid di Iraq sewaktu menceroboh negara itu.

Lebih teruk, kebanyakan masjid diserang dan dimusnahkan ketika dipenuhi oleh jemaah.

Setiap serangan tentera penceroboh itu pula menyebabkan ratusan penduduk terkorban.

Seorang mangsa perang dari Iraq, Abbas Zaid Obaid memberitahu, tindakan itu membuktikan bahawa AS langsung tidak menghormati nyawa penduduk awam.

"Mereka seolah-olah seronok apabila dapat memusnahkan masjid dan membunuh ribuan nyawa.

"Bukan itu sahaja, dengan menggunakan bom berteknologi tinggi, tentera AS turut memusnahkan sekolah-sekolah di Iraq," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan kepada Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCC) berhubung kekejaman tentera AS sewaktu menduduki Iraq selepas menceroboh negara itu pada 20 Mac 2003.

Suruhanjaya itu dipengerusikan oleh peguam terkemuka negara, Zainur Zakaria.

Ahli panel lain terdiri daripada Profesor Hans Von Sponeck (Amerika Syarikat), Dennis Halliday (Irealand), Musa Ismail (Malaysia), Profesor Gurdial Nijar (Australia), Dr. Zulaiha Ismail (Malaysia) dan Profesor Dr. Mohd. Akram Shair Mohamed (Malaysia).

Abbas turut meluahkan kekecewaannya apabila haknya untuk dibicarakan di mahkamah dinafikan oleh tentera AS.

"Saya dan rakan-rakan lain langsung tidak diberi peluang untuk dibawa ke mahkamah dan kerana itu kami tidak dapat membela diri walaupun kami ditahan tanpa sebarang kesalahan.

"Saya bersyukur kepada Allah, kerana Malaysia memberi saya peluang untuk setidak-tidaknya memberitahu kepada dunia bahawa saya tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan, saya akan terus mendoakan kesejahteraan negara ini," katanya yang pernah ditahan di penjara di Abu Gharib itu.

Beliau turut menyertai saksi-saksi lain menyeru semua pihak berganding bahu mengheret pemimpin yang melancarkan perang ke atas Iraq dihadapkan ke mahkamah antarabangsa atas tuduhan melakukan jenayah kemanusiaan dan jenayah perang.

Tiada ulasan: