Khamis, 29 Oktober 2009

Pemuda PAS rayu sultan selesai krisis

MALAYSIA KINI


Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) sekali lagi merayu kepada Sultan Perak dan juga Raja Muda Perak supaya membantu menyelesaikan segera krisis politik di negeri ini melalui jalan musyawarah dan keluhuran perlembagaan.

Setiausahanya, Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata, dewan itu amat sedih dan cukup bimbang dengan suasana di Perak, terutama yang berlaku semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Katanya, krisis yang sudah hampir lapan bulan berlalu ini seolah-olah tiada jalan penyelesaiannya.

Dewan itu juga, katanya, melihat bahawa krisis yang sepatutnya diselesaikan oleh rakyat telah diketepikan kerana wujudnya sikap "gilakan kuasa dan sikap tidak sabar" sehingga sanggup membelakangkan nilai-nilai adab ketimuran serta adab tertib kepimpinan.

"DPPN Pk sedar bahawa suara yang telah kami sembahkan kepada DYTM Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah semasa mengadap baginda tempohari, tidak membuahkan hasil sepertimana yang rakyat Perak harapkan.

"DPPN Pk amat bersimpati kepada seluruh rakyat Perak khasnya dan rakyat Malaysia amnya, malah masyarakat antarabangsa yang melihat sendiri krisis yang masih berlarutan ini tanpa penyelesaian konkrit serta terkuburnya demokrasi dan undang-undang yang menjadi asas keluruhan dalam Rukun negara Malaysia.

"DPPN Pk sekali lagi merafak sembah merayu kepada Paduka Seri Sultan Perak dan juga Raja Muda Perak membantu kami dan rakyat yang cintakan demokrasi untuk memastikan krisis ini dapat diselesaikan secepat mungkin melalui jalan musyawarah dan keluhuran perlembagaan," katanya.

Tiada ulasan: