Sabtu, 31 Oktober 2009

Kurup dinasihatkan jangan sibuk menjaga tepi kain orang lain

Oleh: Mail Mathew

NABAWAN: Timbalan Ketua Bahagian Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pensiangan Affendy Abdullah @ Tukang 57, (gambar) menggesa Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup agar tidak mencampuri urusan dalaman PKR yang sedang dilanda krisis kepimpinan ketika ini, sebaliknya Kurup lebih mulia jika beliau menumpukan tugasannya daripada sibuk menjaga tepi kain orang lain.


Katanya, beliau seolah olah tidak sopan apabila beliau bangkit mengungkit ungkit perkara yang telah berlalu (isu lama) mengenai pergeseran politiknya dengan Dr Jeffrey ketika Jeffrey kini sedang berhadapan dengan krisis kepimpinan dalaman PKR.

“ Kalau Kurup merasakan bahawa beliau sudah cukup berpengaruh diPensiangan…adalah lebih baik Kurup meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pensiangan dan bertanding semula disitu…kerana kerusi Parlimen Pensiangan bukan dimenangi atas undian rakyat tetapi ia ditentukan oleh Mahkamah,” kata beliau dalam satu kenyataan disini pada Khamis.

Affendi yang merupakan bekas seorang pendidik berkata demikian kepada media ketika mengulas kenyataan Kurup baru baru ini berhubung kemelut isu krisis kepimpinan PKR Sabah yang melibatkan mantan Naib Presiden PKR Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Kurup yang juga Timbalan Menteri Persekutuan dipetik sebagai berkata menerusi media baru baru ini menyatakan bahawa beliau tidak terkejut malah sudah diduga kelibat politik Datuk Dr Jeffrey Kitingan sejak beliau berada dalam PBRS ketika era penubuhannya sekitar tahun 1994.

Malahan tambah Affendy, beliau tergamak menuduh Jeffrey memainkan peranan (orchestrated) dalam penyingkiran mantan Pengerusi Perhubungan PKR Sabah (yang bersifat sementara) Azmin Ali, supaya jawatan itu digantikan oleh beliau.

“ Kami menyifatkan tuduhan Kurup itu sebagai serius kerana jika perkataan seumpama ini yang lahir daripada mulut seorang pemimpin tertinggi BN telah tersebar luas kepada rakyat…sudah tentulah reputasi dan maruah Jeffrey terus tercemar dimata rakyat…dan sudah tentulah Kurup harus menebus kerosakan yang tinggi nilainya terhadap Jeffrey yang difitnah dan dimalukannya itu,” ujar Affendy.

Dalam pada itu, Affendy turut mencabar Kurup supaya menegur kerajaan BN pimpinan Dato’Seri Najib bilakah hospital Nabawan dimulakan pembinaannya yang Najib telah umumkan sekitar tahun 1994 (ketika itu Najib Menteri Pertahanan) dimana kini masih terbengkalai dan menjadi bualan harian rakyat.

Tiada ulasan: