Khamis, 29 Oktober 2009

Mayat juruterbang pesawat terhempas ditemui

BERNAMA


RAWANG: Juruterbang pesawat latihan Kelab Penerbangan Diraja Selangor yang terhempas berhampiran Kelab Golf Beringin di Lembah Beringin dekat sini ditemui mati malam semalam akibat cedera parah di kepala.

Mohd Ehsan Sayyid Abu Tahir, 22, yang tercampak keluar daripada pesawat itu ditemui di satu kawasan tanah lot berhampiran kelab itu pada pukul 8.20 malam oleh Unit Udara Polis.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Norel Azmi Affandi Yahya berkata: "Mohd Ehsan yang berbaju T dan berseluar jeans itu tercampak keluar daripada pesawat kira-kira 30 meter setelah hilang kawalan dan kemudiannya terhempas selepas hujan lebat ketika Mohd Ehsan mencari kawasan yang sesuai untuk mendarat."

Mangsa turut mengalami kecederaan teruk di kaki kiri, katanya.

Pesawat, yang dinamakan Eagle itu dihasilkan oleh Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM), ditemui berada dalam keadaan baik tanpa remuk, kecuali bahagian cerminnya pecah, katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini malam semalam.

Menara Kawalan Jabatan Penerbangan Awam memaklumkan pesawat itu gagal dikesan oleh radar dan dipercayai hilang kawalan kira-kira pukul 4 petang.

"Unit Udara Polis berjaya mengesan lokasi pesawat itu terhempas dan memaklumkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan menyelamat pada kira-kira 6 petang," katanya.

Norel Azmi berkata Jabatan Penerbangan Awam akan menyiasat punca kejadian.

Katanya Mohd Ehsan, yang berasal dari Taman Nirwana Ampang memandu pesawat ringan itu dari Ipoh menuju ke Subang, sedang dalam penerbangan ujian solo terakhir sebelum dibenarkan menduduki peperiksaan akhir bagi mendapatkan lesen pemanduan pesawat.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

Seorang saksi, Suhaimi Abdul Aziz, 29, berkata beliau ternampak pesawat berkenaan berlegar-legar selama 50 minit untuk mencari tapak mendarat sebelum terhempas.

"Saya nampak pesawat itu berlegar-legar di udara pukul 5.30 petang dan saya bersama kawan-kawan yang sedang minum di kedai kopi yang terletak kira-kira dua kilometer dari sini sempat bergurau cakap orang tengah belajar nak mendarat, akhirnya terhempas," katanya yang bertugas sebagai mekanik di Kelab Golf Beringin.

Tiada ulasan: