Jumaat, 30 Oktober 2009

Mangsa simbahan asid akan dibantu menduduki SPM

BERNAMA


PULAU PINANG: Kementerian Pelajaran akan menyediakan pembantu bagi membolehkan mangsa simbahan asid, Tan Hooi Ling, yang mengalami masalah penglihatan berikutan kejadian itu, menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata pihaknya akan cuba sedaya upaya untuk memenuhi hasrat mangsa, yang juga pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Convent Datuk Keramat di sini untuk menduduki peperiksaan itu walaupun mengalami masalah penglihatan.

Beliau berkata Kementerian akan menyediakan bilik khas serta seorang pembantu untuk membacakan soalan serta menulis jawapan yang akan diberikan pelajar berkenaan secara lisan.

"Saya berbual dengan Tan dan kagum dengan semangatnya yang ingin menduduki peperiksaan SPM, tetapi dia tidak mengetahui cara untuk meneruskan hasratnya itu berikutan kecederaan yang dialami pada bahagian matanya," katanya kepada pemberita selepas melawat Tan di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.

Dalam lawatan ke Unit Rawatan Rapi HPP itu, Mohd Puad yang ditemani abang mangsa, Tan Jun Hong, 20, sempat berbual hampir 30 minit dan bertanya khabar remaja berkenaan serta menyampaikan sumbangan peribadi RM1,000.

Mohd Puad berkata kementerian juga akan menguruskan tuntutan insurans yang disediakan untuk pelajar itu termasuk bantuan kewangan.

"Saya sudah mengarahkan Jabatan Pelajaran Negeri untuk memaklumkan perkembangan Tan dari semasa ke semasa supaya kebajikannya tidak terabai," katanya.

Beliau juga berharap pihak hospital dapat memberikan rawatan terbaik kepada Tan supaya penglihatannya dapat dipulihkan seperti sedia kala.

Sabtu lepas, Tan dan ibunya, Cheong Swee Lin, 50, disimbah dengan asid oleh bapanya sendiri sewaktu sedang tidur berikutan perselisihan faham kedua ibu bapanya itu di rumah mereka di Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim, Jelutong pada kira-kira pukul 3 pagi.

Akibatnya, Cheong, yang terbakar 80 peratus kulit badannya, meninggal dunia sembilan jam kemudian manakala Tan cedera di muka dan dadanya.

Sehingga saat ini, Tan masih tidak mengetahui yang ibunya meninggal dunia dalam kejadian itu.

Kementerian Pelajaran akan menyediakan pembantu bagi membolehkan mangsa simbahan asid, Tan Hooi Ling, yang mengalami masalah penglihatan berikutan kejadian itu, menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan.

Akibat perselisihan faham, seorang suri rumah maut, manakala anak perempuannya buta selepas disimbah asid oleh suaminya di rumah teres di Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim, Jelutong, di sini, kira-kira pukul 3 pagi.

Mangsa Cheong Swee Lin, 50, terbakar hampir 80 peratus badannya dan meninggal dunia sembilan jam kemudian, manakala Tan Hooi Ling, 17, yang terbakar di muka dan dada ketika sedang tidur menerima rawatan di HPP.

Tiada ulasan: