Jumaat, 30 Oktober 2009

Ong cabar Liow berterus terang...

MALAYSIA KINI


Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat hari ini mencabar timbalannya yang baru dilantik, Datuk Seri Liow Tiong Lai supaya jangan berselindung tetapi sebaliknya berterus terang sekiranya mahu beliau meletak jawatan.

"Pemimpin tertentu parti tidak habis-habis bercakap yang saya perlu menghormati keputusan EGM. Ini jelas bermakna mereka mahu saya meletakkan jawatan.

"(Tapi), pada masa yang sama, mereka mendakwa merekatidak memaksa saya supaya meletak jawatan. "Saya secara peribadi mendapati cara itu mengelirukan," tulis Ong dalam blognya hari ini.

"Jika timbalan presiden yang baru dilantik mahu saya meletak jawatan, supaya beliau boleh menjadi presiden, maka beliau harus berterus terang tentang pendiriannya itu.

"Kita tidak menyelesaikan masalah jika berselindung di sebalik semak," tulis Ong dalam blognya hari ini.

Menurutnya, pihak-pihak berkenaan juga menegaskan perlunya dihormati perlembagaan parti, yang merupakan kuasa tertinggi dalam mentadbir parti.

Perlembagaan parti, tambah Ong, telah menyatakan dengan jelas terma-terma yang diperlukan bagi menukar anggota yang dipilih, serta kuasa presiden dan penjawatan jawatan yang lain.

"Saya memberi jaminan kepada semua pihak, termasuk timbalan presiden dan mereka yang menyokong pandangannya, bahawa saya - dalam kapasiti saya sebagai presiden - tidak akan berbuat atau bertindak dalam apa cara sekalipun yang bercanggah atau menjalankan kuasa, di luar perlembagaan parti," katanya.

Ong berkata, sebagai presiden yang mempengerusi jawatankuasa pusat (CC), beliau maklum mengenai komposisi dan kuasa jawatankuasa tersebut.

Oleh itu, katanya, beliau tidak percaya bahawa jawatankuasa tersebut telah pernah melantik timbalan presiden atau ketua Pemuda atau ketua Wanita MCA, menjadi jurucakap rasmi badan itu.

"...sehinggakan dalam beberapa hari kebelakangan ini, mereka masing-masing membuat kenyataan bagi pihak jawatankuasa pusat, yang mempunyai 42 orang anggota," kata Ong.

Menurut Ong lagi, tarikh mesyuarat jawatankuasa pusat akan ditetapkan beberapa hari lagi di mana beliau akan membentang dan membincangkan pelan damai dengan anggota jawatankuasa tersebut.

Menurutnya, adalah tidak mungkin bagi beliau berbuat demikian secara terbuka atau melalui media.

Ong menjelaskan bahawa komponen utama pelan damai itu sudah diketahui umum di mana beliau dan bekas timbalannya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bersetuju mengenepikan perbezaan dan menggembleng tenaga dan penyokong untuk bekerjasama memperkukuhkan parti.

"Saya keliru kerana ada pihak-pihak tertentu bertanggapan bahawa saya sebagai presiden, perlu mendapatkan kebenaran mereka atau jawatankuasa pusat, untuk berdamai dan bekerjsama dengan Datuk Seri Dr Chua, yang telahpun diterima semula sebagai ahli MCA dalam EGM baru-baru ini," katanya.

Komponen lain pelan damai itu, katanya, membabitkan proses pemulihan dan transformasi yang perlu dilalui parti itu sebelum ia dapat menyembuhkan luka lalu dan memperkukuhkan sumber-sumbernya bagi memenangi semula keyakinan dan kepercayaan ahli parti dan rakyat Malaysia.

"Mengapa orang-orang ini gugup sangat dengan iniasiatif damai itu?" soalnya.

Tiada ulasan: