Memaparkan catatan dengan label KRISIS PARTI POLITIK. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KRISIS PARTI POLITIK. Papar semua catatan

Isnin, 31 Ogos 2020

PM usul bantuan JKM dinaikkan dari RM200 ke RM1,000

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengusulkan agar bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang pada masa ini berjumlah antara RM200 dan RM300 kepada mereka yang layak dinaikkkan ke RM1,000.

Katanya cadangan itu akan beliau kemukakan pada mesyuarat jemaah menteri minggu depan.

"Saya tahu cakap (kenyataan) saya ini mempunyai implikasi besar, but I don't care (tapi saya tidak peduli).

"What is important is the livelihood of our people down there (Yang penting ialah mata pencarian rakyat di akar umbi) … they have suffered for a long time (mereka menderita sejak sekian lama)," katanya pada majlis perjumpaan bersama pimpinan masyarakat, di Sandakan hari ini.

Muhyiddin berkata usaha membantu golongan itu termasuk B40 merupakan aspirasi kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinannya.

Beliau juga meluahkan rasa sedih dengan nasib golongan itu walaupun negara telah lama merdeka.

"Mereka ini manusia yang masih hidup, tetapi dengan pendapatan kecil, sukar untuk hidup.

"Kalau mereka sakit, saya tidak jamin mereka boleh hidup sejahtera," katanya.

Muhyiddin kini dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Sabah, bermula semalam.- Bernama

Selasa, 31 Disember 2019

Rakyat muak dengan pertelagahan politik, kata bekas menteri

Naib Presiden Kanan PBB, Fadillah Yusof.

PETALING JAYA: Seorang bekas menteri mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan agar tidak terjebak dalam isu perpecahan, mengatakan ia kelihatan seperti tiada hubungan antara Putrajaya dan rakyat yang mengundi mereka untuk memegang kuasa.

“Rakyat percaya kerajaan yang memerintah sekarang tidak lagi memperjuangkan perubahan tetapi bekerja untuk status quo,” kata Fadillah Yusof yang juga naib presiden kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

PBB adalah sekutu pentadbiran dalam Gabungan Parti Sarawak.

Dalam kiriman Facebook sempena tahun baru, Fadillah, yang merupakan ahli Parlimen Petra Jaya, berkata kerajaan PH terlalu leka dalam polemik disebabkan kontroversi yang dicetuskan oleh mereka sendiri.

“Kerajaan nampaknya tidak mempunyai bahasa untuk bercakap dengan rakyat.

“Lepaskan dan hentikan polemik masing-masing dengan segera,” katanya.

Fadillah juga merujuk pembangkang, mengatakan ahli politik dari kedua-dua belah pihak terlalu sibuk membincangkan dan menurut kemahuan kepada isu yang membahagi dan yang memecah belahkan lagi negara”.

“Rakyat jelas muak oleh perpecahan yang ditunjukkan oleh mereka yang sepatutnya memimpin dan mentadbir negara, sama ada mereka berada di pihak pemerintah atau yang pihak yang membangkang,” katanya.

Beliau berkata ahli politik bukan sahaja tidak selari dengan rakyat tetapi berjuang dalam “pertempuran eksistensial untuk kekal relevan”.

“Hasilnya, rakyat dan janji mereka hampir menjadi tidak dapat dilihat dalam lebih banyak cara berbanding satu.”

Fadillah berkata golongan belia, terutama mereka yang bersedia memasuki alam dewasa dan bekerja menjadi mangsa ahli politik yang bertelagah berhubung polemik.

“Belia Malaysia muda yang cita-cita kecewa dengan ekonomi suram dan kekurangan pekerjaan. Dan ini adalah trend yang semakin meningkat,” katanya, sambil menambah kekecewaan belia memudaratkan kerajaan seperti yang ditunjukkan di banyak negara yang mengalami krisis politik.

“Sekiranya trend ini berterusan dan berkembang, belia kita berpotensi terjejas sama.

“Generasi akan datang akan menghakimi kita jika kita tidak bertindak secara kolektif dan tegas pada masa ini dalam menunjukkan sayang kita kepada negara tercinta ini,” katanya.

Isnin, 23 September 2019

Saya tidak perlu jawab komen Wan Azizah – Zuraida

Muhammad Azizul Osman
MGF23092019_Pra-Pelancaran-Kempen-Pemilikan-Rumah-Mampu-Milik_09
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bercakap pada sidang media pada Majlis Pra Pelancaran Kempen Pemilikan Rumah Mampu Milik (HOC) 2019 di KL Sentral, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI
 

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berkata beliau tidak perlu melayan komen-komen sampingan daripada kepimpinan parti mengenai ketidakhadirannya dalam mesyuarat peringkat parti.

“Tidak payah sebut lagi, tidak payah jawab. Ini komen sampingan, saya tidak perlu jawab,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pra Pelancaran Kempen Pemilikan Rumah Mampu Milik (HOC) 2019 di KL Sentral.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Datuk Seri Wan Azizah Ismail yang juga Timbalan Perdana Menteri hari ini menasihati Naib Presiden parti itu agar hadir ke mesyuarat PKR.

“YB Zuraida, datang ke mesyuarat,” ujar Wan Azizah selepas merasmikan Kompleks Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing™) di Universiti Putra Malaysia, hari ini.

Kemelut antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Zuraida berlarutan sehingga kini apabila ahli Parlimen Ampang itu beberapa kali tidak menghadiri mesyuarat parti dan menuntut diadakan pertemuan berasingan dengan Anwar.

Bagaimanapun, Presiden PKR itu enggan melayan tuntutanZuraida yang mahu mesyuarat diadakan antara Anwar dan ahli Majlis Pimpinan Pusat yang terpilih.

Anwar berkata, beliau boleh berjumpa dengan mereka dalam banyak mesyuarat biasa PKR yang telah mereka pulaukan. -MalaysiaGazette

Selasa, 17 September 2019

Anwar jawab Zuraida: Semua dipersila, teh dan kopi disediakan

MALAYSIAKINI

   

Anwar Ibrahim tidak bersedia untuk berganjak dengan tuntutan Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin yang mahu “mesyuarat rekonsiliasi” diadakan antara presiden dan mereka yang tidak puas hati dengannya.

Sebaliknya, kata Anwar, beliau boleh berjumpa dengan mereka dalam banyak mesyuarat biasa PKR yang telah mereka pulaukan.

“Mesyuarat biro politik setiap Rabu, Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bermesyuarat tiap-tiap bulan.

“Semua dipersilakan dengan segala hormatnya dan teh kopi disediakan,” katanya kepada wartawan ketika diminta mengulas kenyataan Zuraida semalam selepas menghadiri majlis sambutan Hari Malaysia di Kota Belud, Sabah.

Semalam, Zuraida berkata bahawa beliau tidak akan menghadiri mana-mana mesyuarat parti melainkan Anwar bersetuju bertemu beliau dan beberapa pemimpin lain yang memihak kepada Mohamed Azmin Ali.

Kumpulan yang memihak timbalan presiden PKR itu telah memulaukan semua mesyuarat rasmi PKR yang dipengerusikan oleh Anwar.

Ia dipercayai berkaitan dengan video seks yang didakwa membabitkan Azmin dengan penyokongnya mendakwa Anwar adalah dalang di sebaliknyaAnwar telah menafikan sebarang peranan dalam video itu.

Antara pengikut setia Azmin adalah Zuraida dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.


Isnin, 16 September 2019

Zuraida mahu pertemuan khas dengan Anwar atasi perbezaan dalam PKR

Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin berkata, beliau hanya 
mahu satu pertemuan diadakan antara semua pemegang jawatan 
yang dipilih dengan Anwar.
 
GEORGE TOWN: Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak boleh menafikan permintaan pemegang jawatan parti yang dipilih untuk mengadakan pertemuan khas dengan presiden bagi membincangkan hala tuju parti tersebut, kata naib presidennya, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, mesyuarat, yang tidak termasuk kalangan pemegang jawatan yang dilantik, akan menjadi saluran terbaik bagi Anwar untuk menyelesaikan apa-apa isu atau perbezaan yang timbul antara beliau dan beberapa pemegang jawatan yang dipilih.

“Kami semua hanya mahu satu pertemuan antara semua pemegang jawatan yang dipilih dengan presiden parti.

“Kami tidak mahu orang salah anggap kami untuk sesuatu yang tidak dapat kami sampaikan kepada orang awam.

“Kami harap presiden (Anwar) akan bersetuju untuk bertemu dengan kami,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan PKR Cabang Bagan, Jelutong dan Tanjung, di sini hari ini.

Beliau membuat kenyataan tersebut bagi menjelaskan ketidakhadirannya dalam beberapa mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), yang menurutnya bukan jalan untuk membincangkan rekonsiliasi yang perlu dibincangkan hanya antara presiden dan pemegang jawatan yang dipilih.

“Saya mempunyai alasan yang baik untuk tidak menghadiri mesyuarat. Kami harus diberi peluang untuk bercakap (secara langsung kepada Anwar) bagi pihak penyokong kami…demi kebaikan parti,” katanya.

Zuraida, yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan parti pembangkang akan mengambil kesempatan daripada situasi yang kini dihadapi oleh PKR, tetapi yakin ia tidak akan menjejaskan parti itu sebagai sebahagian daripada kerajaan.

“Parti pembangkang tidak akan mendapat kelebihan. Parti lain juga mempunyai masalah sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menyifatkan penyatuan antara Umno dan PAS menerusi pemeteraian Piagam Muafakat Nasional sebagai gimik politik dan langsung tidak memberi kesan kepada PKR sebagai parti berbilang kaum.

“Ia sekadar gimik politik (untuk mendapatkan sokongan dalam kalangan orang Melayu). Kamu juga ada orang Melayu, India, Cina dalam parti kami dan saya tidak bimbang mengenai kerjasama tersebut,” katanya.

Beliau mengulas mengenai piagam tersebut yang dimeterai Umno dan PAS pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Ahad, 9 Jun 2019

Nik Nazmi sokong petisyen gesa Latheefa letak jawatan

MALAYSIAKINI

   
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Nik Nazmi Nik Ahmad tetap menyeru orang ramai menandatangani petisyen menggesa Latheefa Koya meletakkan jawatan sebagai ketua pesuruhjaya SPRM meskipun Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam berkata pelantikan itu muktamad.

"Pakatan Harapan telah beri komitmen untuk pelantikan Pesuruhjaya SPRM disahkan oleh Jawatankuasa Khas Pemilihan Parlimen.

"Mari kita sama-sama tandatangan petisyen ini agar komitmen ini dipenuhi.

"Isu ini lebih besar daripada Latheefa tetapi tekad reformasi yang kita janjikan kepada rakyat," kata Nik Nazmi yang juga merupakan ahli parlimen Setiawangsa.

Selain Nik Nazmi, Ahli Parlimen Wangsa Maju Dr Tan Yee Kew sebelum ini turut menandatangani petisyen sama.

Setakat 12.17 tengah hari ketika berita ini ditulis, petisyen berkenaan mencecah 5,580 penandatangan.

Sementara itu, setakat berita ini ditulis, petisyen berasingan yang menyokong pelantikan Latheefa,  mendapat jumlah tandatangan yang lebih banyak iaitu 10,887.

Pengkritik pelantikan Latheefa rata-rata bersetuju perwatakan tegas peguam itu sesuai bagi menggalas tugas berkenaan, namun mempersoalkan latar belakang beliau sebagai bekas ahli PKR yang pernah memegang jawatan dalam parti.

Selain itu, pengkritik juga mempersoalkan cara pemilihan Latheefa yang dibuat oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tanpa berbincang dengan kabinet atau melalui Jawatankuasa Khas Pemilihan Parlimen bagi Pelantikan Jawatan Awam Utama.

Nik Nazmi sebelum ini menyifatkan cara pelantikan Latheefa sebagai ketua pesuruhjaya SPRM tidak selari dengan janji yang dibuat PH dalam manifesto pilihan raya untuk memastikan SPRM melapor terus kepada parlimen dan bukan lagi kepada perdana menteri.

Dr Mahathir semalam berkata pelantikan Latheefa adalah muktamad.

Bagaimanapun, pengerusi PH itu berkata, Presiden PKR Anwar Ibrahim - yang meminta beliau menjawab kritikan berhubung pelantikan berkenaan - berhak mendapatkan penjelasan.

Latheefa dilantik bagi jawatan itu berkuat kuasa 1 Jun lalu bagi kontrak selama dua tahun.

Pelantikan itu dibuat selepas penyandang jawatan itu sebelum ini, Mohd Shukri Abdull memohon perkhidmatannya dipendekkan.

LIHAT FB DI SINI


Selasa, 23 April 2019

Saya ‘team player’ dan DAP tak rancang plot jatuhkan MB, kata Aziz Bari

MALAYSIAKINI

   

Exco Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bari menegaskan beliau tidak terbabit dalam sebarang rancangan untuk menyingkirkan Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu.

“Tidak ada plot atau apa-apa usaha untuk menjatuhkan menteri besar oleh saya. Jadi tak betul kata saya nak jatuhkan menteri besar. Langsung tak masuk akal dan melawan sistem.

“Macam mana saya nak jatuhkan dia (menteri besar) saya sudah sebut tidak ada undi tak percaya, kalau Umno nak cakap, itu soal dia.

“Saya ‘team player’ (kerja berpasukan) dan saya tak buat keputusan seperti ini,” katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian Online, hari ini.

Malah kata naib pengerusi DAP Perak itu, dakwaan bahawa beliau secara sendirian merancang usaha menyingkirkan Ahmad Faizal juga adalah tidak munasabah kerana ia bukan sesuatu yang mudah.

Portal itu turut memetiknya sebagai berkata, pelantikan menteri besar perlu diputuskan kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) Perak dan memerlukan perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sekali gus bukan sesuatu yang boleh dibuat serta diubah begitu sahaja.

Abdul Aziz berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar yang mendakwa beliau sanggup menukar ‘baju’ dari DAP kepada Bersatu bagi memastikan dirinya dilantik sebagai menteri besar.

Ditanya hubungan beliau dengan Ahmad Faizal, Abdul Aziz berkata hubungan mereka berdua secara peribadi adalah baik sebagai rakan, malah dari aspek dasar kerajaan juga setakat ini tidak ada percanggahan.

Mengulas lanjut, katanya, DAP juga tidak merancang sebarang usaha untuk menjatuhkan menteri besar kerana berpegang teguh atas semangat setia kawan dalam PH.

“Jika ia (menjatuhkan menteri besar) dilakukan, segala-galanya akan jatuh. Ini kerana menteri besar ditukar oleh kepemimpinan dan bukan melalui undi tak percaya,” katanya.


Sabtu, 20 April 2019

Audio singkir MB: Ingatkan rakaman lama, kata exco Perak


   

Pengerusi Parti Amanah (Amanah) Perak, Asmuni Awi mendakwa beliau belum mendengar rakaman audio yang dikaitkan dengan seorang pemimpin kerajaan negeri itu berhubung cubaan menyingkirkan Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu.

Asmuni yang namanya turut dikaitkan dalam rakaman audio itu turut menafikan tuduhan itu.

Exco Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan itu berkata, beliau tidak tahu jika wujud gerakan baru untuk menggulingkan Ahmad Faizal.

"Saya belum mendengar lagi (rakaman suara). Saya masih menunggu dan berharap akan ada orang sampaikan pada saya.

"Saya ingatkan yang lama (rakaman suara), rupanya baru. Tapi dalam kerajaan, kami Amanah, PKR, begitu juga DAP, berdiri teguh di belakang MB," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Rakaman audio berdurasi 4 minit 22 saat yang tular sejak 17 April lalu itu mengandungi perbualan yang menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap cara Ahmad Faizal mentadbir kerajaan negeri Perak selepas PH menumbangkan BN pada pilihan raya umum ke-14.
Salah seorang individu dalam rakaman audio itu yang mengaku mempunyai hubungan baik dengan pihak istana negeri juga berkata usaha untuk menukar penyandang jawatan menteri besar itu hanya menunggu "lampu hijau dari Tun" yang dipercayai merujuk kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Turut dikaitkan dalam rakaman audio itu ialah Asmuni.

Selain itu, rakaman audio tular berkenaan turut mengandungi kritikan yang mengatakan Ahmad Faizal sering lewat menghadiri mesyuarat.

"Tak timbul soal MB lewat datang, kita pagi-pagi ada sesi taklimat. Saya pun kadang-kadang lewat, macam kita datang sidang DUN, adakalanya perlu keluar, ada mesyuarat dan sebagainya. Bukannya balik tidur," kata Asmuni.

'Tidak lagi tergagap-gagap'

Semalam, Exco Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Abdul Aziz Bari, menafikan rakaman audio itu miliknya.

Sementara itu Asmuni mengakui bahawa pada peringkat awal Ahmad Faizal menjadi menteri besar masih lagi "tergagap-gagap", namun semua itu tidak lagi berlaku kini.

Bahkan katanya, Ahmad Faizal kini mula mantap dan sudah mula menguasai kerajaan dan boleh menerima teguran mahupun pandangan.

"Saya nampak MB makin lama makin mantap menguasai kerajaan. Walaupun "tergagap" sana-sini, biasalah masih baru," katanya.

Ditanya sama ada beliau sudah bertanyakan Abdul Aziz Bari berhubung rakaman audio berkenaan, Asmuni berkata beliau masih belum berkesempatan untuk berbuat demikian.


Khamis, 7 Jun 2018

PBB tetap keluar BN, tak endah rayuan Zahid

MALAYSIAKINI

   

Meskipun selepas rayuan daripada pemangku presiden BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang merupakan parti pemerintah Sarawak tetap dengan keputusan keluar daripada BN

Langkah ini akan menyebabkan kerusi parlimen BN berkurang lagi 13 kepada 66.

Langkah itu juga dikatakan mungkin menyebabkan parti komponen BN lain di Sarawak akan dipinggirkan dari negeri itu.

Ketika kunjungan ke Putrajaya pada 31 Mei lalu Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memaklumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tentang keputusannya meninggalkan BN.

Abang Johari juga memberi jaminan Sarawak akan menyokong kerajaan yang kini di bawah pentadbiran Pakatan Harapan dalam hal-hal berhubung kepentingan negeri itu dan Malaysia secara keseluruhannya, katanya seperti dilapor The Malaysian Insight.

Abang Johari kemudian turut berjumpa Ahmad Zahid di Kuala Lumpur.

Ahmad Zahid dikatakan meminta agar Abang Johari tidak meneruskan langkah untuk keluar BN dengan berkata bahawa gabungan itu akan hancur sekiranya ia terjadi.

Ketika dihubungi, Setiausaha Agung PBB, Alexander Nanta Linggi mengaku beliau tidak tahu tentang keputusan partinya keluar BN.

"Saya tidak tahu. Abang Johari belum memaklumkan anggota termasuk saya apa yang dibincangkan dengan perdana menteri.

"Beliau bagaimanapun akan mengadakan mesyuarat dengan parti-parti BN pada 12 Jun.

"Saya harap, apa-apa yang dibincangkan dengan Dr Mahathir akan dibawa ke mesyuarat itu," katanya kepada Malaysiakini.

PBB menggantikan MCA dan muncul sebagai parti kedua terbesar BN dalam tiga pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

PBB menang 19 daripada 31 kerusi parlimen di Sarawak.

Abang Johari bagaimanapun tidak menjawab apabila diminta mengulas dakwaan bahawa PBB mungkin akan kalah dalam pilihan raya negeri 2021 sekiranya tidak menjarakkan diri dari rasuah yang dikaitkan dengan BN.

Selepa PRU ke-14 pada 9 Mei lalu, Gabernor Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dilapor berjumpa Dr Mahathir, yang menyebabkan timbul spekulasi PBB mungkin akan menyertai Pakatan Harapan (HARAPAN).

HARAPAN Sarawak bagaimanapun menolak sebarang hubungan dengan PBB.

Selasa, 5 Jun 2018

Akhirnya…kemelut MB Perlis selesai

MALAYSIAKINI
 


KANGAR: Kesemua sembilan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) akur dengan pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar manakala pelantikan dan istiadat angkat sumpah anggota Exco dijangka selesai sebelum Aidilfitri ini.

ADUN Chuping Asmaiza Ahmad berkata pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim yang dimaklumkan mengenai keputusan itu juga tidak membantah.

”Keputusan ini dicapai sebulat suara atas nama rakyat oleh semua sembilan ADUN tersebut sebelum kami menghadap Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Ahad lepas.

“Kami akur dengan titah Tuanku….. tidak akan toleh belakang lagi,” katanya kepada pemberita semasa ditemui selepas penyampaian sumbangan Ramadan oleh Azlan kepada 1,531 penerima dalam DUN Mata Ayer di Dewan 2020 di sini, hari ini.

Asmaiza berkata semua ADUN terbabit membuat keputusan itu supaya mereka yang dipilih dapat memberi khidmat kepada rakyat tanpa gangguan selain agenda pembangunan negeri dilaksanakan dengan lancar.

Katanya Azlan dijangka menghadap Tuanku Syed Sirajuddin minggu depan bagi memohon perkenan untuk melantik anggota Exco dan diikuti dengan istiadat mengangkat sumpah jawatan sebelum Aidilfitri ini.

“Kita menang dengan keputusan majoriti dan tidak pernah terlintas dalam hati kami untuk lompat parti. Isu ini termasuk menubuhkan kerajaan perpaduan, tidak berbangkit,” tambahnya.

Kemelut pelantikan Menteri Besar bermula apabila sembilan ADUN BN tidak menghadiri istiadat pelantikan dan angkat sumpah jawatan itu di Istana Arau pada 24 Mei lepas.

Setiausaha UMNO Perlis Datuk Zahidi Zainul Abidin memberi alasan mereka menolak Azlan atas beberapa sebab antaranya kegagalan Azlan menghadiri mesyuarat Perhubungan Negeri selama empat tahun, tidak membincangkan isu polisi tanah dengan UMNO dan beliau didakwa gagal di bahagian Kangar.

Sebelum itu, Shahidan mencadangkan Azlan dipecat daripada UMNO selepas menerima jawatan tersebut walaupun majoriti ADUN BN tidak menyokong beliau.

Shahidan kemudian mengemukakan 11 nama selepas tiga nama yang dicadangkannya tidak mendapat perkenan Tuanku Syed Sirajuddin.

Dalam pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei lepas, BN Perlis memenangi 10 daripada 15 kerusi DUN yang dipertandingkan termasuk Azlan yang menang di DUN Bintong.

Dalam perkembangan lain, Azlan yang ditemui kemudian berkata 1,203 penjawat awam termasuk berstatus kontrak di Perlis bergred 41 ke bawah akan diberi bonus sempena Aidilfitri sebanyak RM400 seorang manakala 20 orang pesara diberi RM200 seorang.

Katanya pemberian itu melibatkan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM485,200 manakala tarikh pembayaran akan diumumkan dalam masa terdekat.– Bernama

Isnin, 4 Jun 2018

Azlan teruskan tugas sebagai MB Perlis walaupun diboikot Adun BN

Azlan ketika berucap dalam majlis penyampaian sumbangan Ramadan semalam.


Walaupun kemelut pelantikan Menteri Besar (MB) Perlis belum selesai, MB yang telah mendapat perkenan Tuanku Raja Perlis, Datuk Seri Azlan Man tetap meneruskan tanggungjawab beliau kepada rakyat negeri ini.

Beliau meneruskan tugas dengan turun padang menemui rakyat Perlis termasuklah menyampaikan sumbangan kepada anak yatim, orang kurang upaya, ibu tunggal dan warga emas di Dun Bintong.

Selain itu beliau juga melawat mangsa ribut di Kampung Baru Sungai Batu Pahat dan Kampung Syed Omar.

Semalam beliau meneruskan lagi tugasan dengan menyampaikan sumbangan sempena Ramadan kepada 2,332 penduduk kurang bernasib baik di Dewan 2020, dalam kawasan Dun Chuping pula.

Ketika bercakap kepada media semalam beliau berkata, beberapa rancangan termasuklah pembangunan yang telah direncanakan akan diteruskan.

“Terdapat beberapa perancangan yang telah pun dibuat sejak penggal yang lalu.

“Manakala ada sesetengahnya pula telah pun dimulakan.

“Pembangunan yang telah pun dipersetujui akan terus dilaksanakan,” jelasnya.

Ketika ditanya bagaimana beliau dapat meneruskan tugas tanpa barisan exco, beliau berkata ini merupakan suatu cabaran biasa.

Dalam majlis sumbangan Ramadan yang diadakan semalam, ia merupakan sumbangan kerajaan negeri yang berjumlah RM349,000 melibatkan semua Dun di negeri Perlis dan akan disalurkan secara berperingkat.

Turut hadir dalam majlis sumbangan tersebut ialah dua Adun BN bagi Dun Chuping, Asmaiza Ahmad serta Adun Mata Ayer, Siti Berenee Yahaya.

Ahad, 3 Jun 2018

Kemelut jawatan MB Perlis boleh selesai jika wujud kerajaan perpaduan

Wartawan MalaysiaGazette
Mohd Shukri Ramli
Mohd Shukri Ramli

KUALA LUMPUR – Kemelut politik yang berlaku di Perlis dapat dirungkai sekiranya diwujudkan kerajaan perpaduan di negeri itu.

Pesuruhjaya Pas Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, Pas negeri itu mencadangkan agar diwujudkan kerajaan perpaduan demi masa depan rakyat di negeri tersebut.

“Mencadangkan nama baru untuk dilantik sebagai MB Perlis oleh BN sekali lagi adalah tidak wajar.

“MB baharu telah pun dilantik dan mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

“Oleh kerana itu tindakan tersebut adalah tidak perlu dilakukan kerana pelantikan telah pun dibuat secara rasmi oleh Tuanku,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan terbaru Barisan Nasional (BN) Negeri Perlis menghantar 11 nama calon Menteri Besar yang baharu kepada Raja Perlis.

Mohd Shukri berkata, Pas Perlis tidak menuntut sebarang jawatan dalam kerajaan negeri.

Malah, turut menasihatkan PKR agar tidak menuntut sebarang jawatan sama yang telah pun diperkenankan oleh Tuanku.

“Bagi Pas perkara yang lebih mustahak dan perlu diberi keutamaan ialah selesaikan kemelut politik ini dengan segera.

“Dengan penyelesaian konflik ini secepat mungkin maka kerajaan negeri dapat menunaikan tanggungjawab serta berbakti kepada rakyat,” tegas beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Sanglang.

Konflik berpanjangan isu pelantikan MB Perlis memperlihatkan bagaimana barisan exco kerajaan negeri tidak mampu dibuat sehingga kini.

Ia bukan saja memberi impak yang buruk kepada kepimpinan kerajaan negeri, sebaliknya memperlihatkan harapan rakyat Perlis agar nasib mereka diberi pembelaan tidak dapat dilaksanakan lagi. – MalaysiaGazette


Khamis, 31 Mei 2018

BN senarai 11 nama baharu untuk jawatan MB Perlis


Datuk Zahidi Zainudl Abidin





Selepas nampak seakan ada jalan penyelesaian, krisis pelantikan Menteri Besar Perlis dijangka terus meruncing apabila Barisan Nasional (BN) Perlis memutuskan untuk menghantar 11 nama baharu, termasuk nama Datuk Seri Shahidan Kassim kepada istana.

Setiausaha BN Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata 11 nama itu terdiri daripada sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta dua Ahli Parlimen.

Dua ahli Parlimen itu termasuk Zahidi dari Padang Besar dan Shahidan, sebagai ahli Parlimen Arau, merangkap Pengerusi BN Perlis dan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Umno negeri.

Zahidi berkata pihaknya sehingga kini masih menunggu tarikh bagi menghadap Raja Perlis dan dijangka mungkin seawal minggu hadapan.

“Seperti yang saya nyatakan semalam kita akan adakan sidang media bagi memohon ampun kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan selepas itu kita akan menghadap baginda.

“Kita akan serahkan 11 nama calon Menteri Besar kepada Tuanku bagi dipertimbangkan,” katanya seperti dilaporkan BHonline.

Ditanya mengenai pencalonan Shahidan dan beliau sendiri yang bukannya ADUN, Zahidi berkata ia boleh berlaku kerana mengikut Artikel 39(4) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, Raja Perlis berhak melantik sesiapa sahaja sebagai Menteri Besar termasuk dalam kalangan Ahli Parlimen.

“Sebelum ini kita hanya menghantar satu nama, mungkin sukar untuk Tuanku membuat pilihan jadi kita hantar 11 nama untuk Tuanku pertimbangkan,” katanya.

Kemelut Menteri Besar Perlis akan memasuki minggu ketiga Khamis ini walaupun Datuk Seri Azlan Man sudah mengangkat sumpah bagi jawatan itu Khamis lalu.

Krisis bermula apabila Shahidan menamakan adiknya, Datuk Ismail Kassim yang juga ADUN Tambung Tulang sebagai calon Menteri Besar Perlis selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu.

Bagaimanapun, pencalonan Ismail tidak mendapat perkenan Tuanku Syed Sirajuddin kerana baginda tidak mahu Menteri Besar Perlis menjadi ‘boneka’ kepada pihak tertentu.

Sembilan ADUN BN memboikot istiadat berkenaan sebagai bantahan terhadap perlantikan semula Azlan yang berlangsung di Istana Arau pada Khamis lalu.

Kejadian itu menimbulkan murka Tuanku Syed Sirajuddin kerana semua ADUN berkenaan telah mendapat surat jemputan dari pihak Istana dua hari sebelum majlis berlangsung.

Selasa, 29 Mei 2018

Tujuh lagi Adun Perlis nyata pendirian junjung titah Raja Perlis

 
Tujuh lagi Adun Perlis nyata  pendirian junjung titah Raja Perlis

Tujuh lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) yang tidak menghadiri Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Menandatangani Watikah Pelantikan Menteri Besar di Istana Arau dekat sini pada 24 Mei lalu, menyatakan pendirian menjunjung titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Perkara itu dimaklumkan Adun Santan, Azizan Sulaiman yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Padang Besar yang mewakili mereka kerana kesemuanya telah bersepakat untuk menjunjung titah baginda.

Sebelum ini, dua Adun BN telah menyatakan pendirian masing-masing untuk menjunjung titah baginda dalam kemelut pelantikan Menteri Besar iaitu Adun Kayang, Hamizan Hassan pada kelmarin dan Adun Beseri, Ruzaini Rais, semalam.

Azizan menjelaskan, beliau yang mewakili wakil-wakil rakyat itu tidak berniat menderhaka terhadap Tuanku Syed Sirajuddin.

Kata beliau, namun situasi yang berlaku secara di luar kawalan iaitu perjumpaan bersama pucuk pimpinan parti di ibu negara pada tarikh dan waktu yang sama, telah menyebabkan mereka tidak dapat menghadiri majlis pelantikan Menteri Besar.

“Kami bersepakat berada di ibu negara untuk menghadiri satu perjumpaan parti bersama Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim dengan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti),” katanya seperti dilapor Utusanonline hari ini.

Berhubung pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar, Azizan walau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu isu tersebut dipanjangkan lagi.

Mengenai perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, kesemua wakil rakyat terbabit akan memohon sembah menghadap Tuanku Syed Sirajuddin dalam masa terdekat untuk menjernihkan suasana dan hubungan baik antara Adun BN dan pihak istana.

“Insya-Allah perkara ini (kemelut pelantikan Menteri Besar) akan dapat diselesaikan segera secara harmoni,” katanya.

Beliau berkata, kesemua Adun BN tersebut telah pun kembali berada di negeri ini sejak empat hingga lima hari lalu untuk menjalankan tugas-tugas sebagai wakil rakyat.

Azizan turut menjelaskan dakwaan bahawa kesemua wakil rakyat BN itu telah menghilangkan diri ke Mekah untuk menunaikan umrah adalah tidak benar.

“Sebenarnya perancangan ini (menunaikan umrah) dibuat sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sekiranya BN mengekalkan kemenangan di Perlis. Namun atas situasi yang berlaku, perkara itu tidak dilaksanakan,” katanya.

Isu pelantikan Menteri Besar mendapat perhatian meluas media-media massa kerana semasa pelantikan Azlan yang diperkenankan Tuanku Syed Sirajuddin untuk memegang jawatan itu, kesemua sembilan Adun BN tidak menghadirinya.

Pada masa sama, Azlan yang juga Adun Bintong tersebut dipecat keahliannya.

Perkara itu diumumkan oleh Shahidan yang mengadakan satu sidang akhbar khas di ibu negara bersama sembilan wakil rakyat daripada BN.

BN memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri apabila memenangi 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Perlis.

Isnin, 28 Mei 2018

9 Adun BN sedia menghadap Raja Perlis

 
 
Adun Santan, Azizan Sulaiman berkata, semua Adun berkenaan sedia sembah menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi menjernihkan keadaan.
 
 
Menurut salah seorang Adun, pihak istana memaklumkan Tuanku bersetuju menerima sembah menghadap semua Adun terlibat. (Gambar Bernama)


KANGAR: Situasi melibatkan 9 Adun Barisan Nasional (BN) yang terpalit isu selepas tidak hadir Majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Menteri Besar Perlis di Istana Arau, 24 Mei lepas tidak seteruk yang digambarkan media.

Adun Santan, Azizan Sulaiman berkata, semua Adun berkenaan sedia sembah menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi menjernihkan keadaan dan menjelaskan kepada baginda tentang sebab insiden tidak diingini itu berlaku.

“Pihak istana memaklumkan Tuanku bersetuju menerima sembah menghadap semua Adun terlibat dan kini kami hanya menunggu tarikh (menghadap) sesuai yang akan ditetapkan oleh baginda.

“Kami semua tiada niat langsung untuk menderhaka, tetapi menjunjung titah Tuanku dan kami berharap perkara ini dapat dijelaskan kepada baginda sekaligus menyelesaikan kemelut ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Katanya yang juga timbalan ketua Umno Padang Besar, pihaknya akan segera memaklumkan kepada umum setelah selesai sembah menghadap Tuanku Raja Perlis kerana rakyat juga perlu tahu apa yang sebenarnya berlaku.

Azizan juga memaklumkan semua Adun BN berkenaan berada di Perlis dan menjalankan tugas masing-masing sebagai wakil rakyat.

Media sebelum ini melaporkan semua 9 Adun berkenaan enggan hadir ke majlis pelantikan menteri besar Perlis kerana membantah pelantikan Adun Bintong Datuk Seri Azlan Man memegang jawatan berkenaan.

Pada hari terbabit, Adun berkenaan bersama pengerusi BN negeri Datuk Seri Shahidan Kassim berada di Kuala Lumpur dan mengadakan sidang akhbar mencadangkan supaya Azlan dipecat dalam parti.

Sabtu, 26 Mei 2018

Krisis MB Perlis: Shahidan ‘tidak tahu’ Azlan pilihan parti

 
Ketua Pemuda Umno Perlis berkata 'nada’ Shahidan dan 9 Adun mungkin berbeza jika tahu Azlan dipilih kepimpinan parti. 





KANGAR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak mengetahui Datuk Seri Azlan Man dipilih oleh kepimpinan tertinggi parti untuk dilantik sebagai menteri besar.

Ketua Pemuda Umno Perlis, Syed Atif Syed Abu Bakar berkata “nada” Shahidan dan 9 Adun berkenaan mungkin berbeza jika mereka tahu Azlan dipilih kepimpinan parti.

Beliau mendakwa pada 22 Mei lepas, Pemangku Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pemangku Timbalan Presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein, sebagai pemimpin tertinggi parti yang menang dalam pilihan raya umum, menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bagi mengemukakan nama calon menteri besar.

“Terdapat 2 nama yang dibawa ke pertimbangan Tuanku iaitu Azlan dan Datuk Ismail Kassim.

Sumber yang boleh dipercayai memaklumkan bahawa kedua-dua mereka (Zahid dan Hishammuddin) bersetuju dengan cadangan melantik Azlan sebagai menteri besar Perlis.

“Tetapi keputusan ini tidak dimaklumkan kepada Shahidan serta Adun BN lain menyebabkan mereka terus mempertahankan sokongan kepada Ismail,” katanya hari ini.

Syed Atif berkata dalam keadaan tidak mengetahui keputusan pemimpin tertinggi parti, semua Adun menyuarakan pendapat Azlan membelakangkan parti dengan menerima lantikan menteri besar tanpa persetujuan pucuk pimpinan BN.

Sehubungan itu, keputusan memecat keanggotaan Azlan secara serta merta daripada parti dibuat Khamis lalu sejurus selepas majlis pelantikan dan angkat sumpah Menteri Besar dilaksanakan di Istana Arau.

Katanya sebelum pengumuman pemecatan Azlan, pada hari yang sama, satu mesyuarat bersama pimpinan tertinggi BN diadakan di Kuala Lumpur.

“Dalam situasi dan kemelut ini, mereka tersepit kerana panggilan majlis angkat sumpah dan panggilan berjumpa pucuk pimpinan parti diadakan pada masa yang sama.

“Namun 9 Adun BN memilih menghadiri mesyuarat tersebut bagi berbincang dan mendengar amanat daripada pimpinan tertinggi parti,” katanya.

Shahidan sebelum ini mengumumkan Ismail akan dilantik sebagai menteri besar selepas BN menang 10 daripada 15 kerusi DUN Perlis pada pilihan raya umum lepas.

Di MyPPP, Kayveas kembali ‘berkuasa’, Maglin, Loga Bala ‘dilucut keahlian’

THE MALAYSA TIMES
 


KUALA LUMPUR: Presiden MyPPP Tan Sri M. Kayveas kembali menguasai parti yang dipimpinnya selama lebih daripada 20 tahun selepas beberapa rakan karibnya yang beliau jadikan sebagai pendokong dan harapan utama dalam parti itu cuba menjatuhkan beliau melalui satu konspirasi politik yang terancang sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) baru-baru ini.

Kayveas dikatakan pada asalnya mahu menyerahkan proses kepimpinan parti itu kepada rakan karibnya Datuk Seri Maglin D Cruz melalui proses peralihan kuasa yang tertib namun beliau sedar wujudnya satu konspirasi politik termasuk perbuatan ‘tikam dari belakang’ beliau membatalkan hasratnya untuk meletakkan jawatanya sebagai Presiden.

Sebelum ini Kayveas dipetik berkata beliau menarik balik surat peletakan jawatannya kerana ia tidak “dikemukakan kepada mesyuarat majlis tertinggi secara sah” mengikut perlembagaan parti.

“Lebih-lebih lagi, memandangkan terdapat percubaan untuk merampas parti itu melalui konspirasi antara naib presiden kanan dan setiausaha agung, dan percubaan kudeta, saya akan kekal dan meneruskan tugas dan kuasa sebagai presiden yang sah…,” katanya dalam sepucuk surat yang dialamatkan kepada Majlis Tertinggi MyPPP. Surat terakhir itu bertarikh 27 April.

Berkongsi surat itu di media sosial, Kayveas berkata MyPPP perlu ‘dibersihkan’

Sebelum ini, dilaporkan bahawa MyPPP bertindak atas arahan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selepas Kayveas berkeras menuntut parti itu diberikan kerusi Parlimen Cameron Highlands.

PRESIDEN YANG SAH

Malah Kayveas yang juga seorang pemimpin politik yang berani bersikap lantang sepanjang karier politiknya selama ini turut telah menerima ‘pengesahan rasmi’ bahawa pemecatan beliau dianggap tidak sah selepas menerima surat rasmi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengesahkan bahawa beliau (Kayveas) masih presiden MyPPP yang sah.

KEPIMPINAN BARU

Dalam satu media khas selepas proses penamaan calon parti itu hari ini beliau berkata MyPPP kekal dengan pendirian sebagai parti bebas dan tidak merancang untuk menyertai kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Kayveas berkata parti itu tidak berhasrat untuk menyertai PH selepas keluar daripada Barisan Nasional (BN).

“MyPPP tidak merancang untuk menyertai PH. Buat masa ini, kita fokus untuk memulihkan kepimpinan dalaman parti.

“Sejujurnya, saya kecewa dengan layanan yang diberikan oleh BN sepanjang bersama gabungan itu,” katanya.

Terdahulu, Kayveas mempengerusikan mesyuarat pertama parti bersama 22 anggota Majlis Tertinggi (MT) yang baharu bagi lantikan sesi 2018/2023 di Wisma MyPPP di Jalan Rotan, di sini.

Mengulas lantikan baharu MT, beliau menegaskan pelantikan itu dibuat atas kuasa presiden mengikut perlembagaan parti.

Lantikan baharu berkenaan turut menyaksikan seramai lima naib presiden dilantik iaitu Datuk Seri Gandi Muthusamy (naib presiden kanan), Datuk Zakaria Abdul Rahman, Datuk A.Chandrakumanan, Datuk Soma Sundram dan Datuk Gilbert Goh Kian Puay.

Sebelum ini, MyPPP dilanda konflik dalaman selepas parti itu memecat Kayveas daripada jawatan presiden dan surat pemecatannya turut dikeluarkan oleh Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bertarikh 24 April lepas.

DILUCUT KEAHLIAN

Dalam satu lagi langkah yang drastik, Kayveas yang turut dikenali sebagai ‘uncle bond’ turut mengumumkan 13 pemimpin tertinggi parti itu ‘hilang keahlian’ kerana telah terlibat dalam konspirasi menjatuhkanya mengikut perlembangaan parti. Mereka juga telah diarahkan pulangkan kad keahlian masing – masing.

Mereka yang dilucut keahlian termasuk, Naib Presiden Kanan Datuk Seri Maglin D Cruz, Setiausaha Agung Datuk Mohan Kandasamy, Naib Presiden dan juga bekas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Loga Bala Mohan, Ketua Penerangan Datuk Simon Suresh dan Ketua Pemuda Sathiah Sudhakaran.

Kayveas turut mengumumkan perhimpunan agung tahun tahun 2018 parti itu akan diadakan pada 27 Mei ini.

Kemelut BN Perlis, cadangan pecat Azlan tidak wajar - Hisham

MALAYSIAKINI

    Kemelut di Perlis melibatkan pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai menteri besar dan usaha pemecatan beliau selaku anggota Umno adalah tidak wajar, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata keputusan pelantikan Azlan sebagai menteri besar haruslah dihormati kerana semestinya Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail telah mengambil pertimbangan yang sebaiknya untuk rakyat di negeri itu.

"Perkara seperti ini tidak boleh berlaku. Setiap daripada pemimpin Umno harus berjiwa besar dan menampilkan kepimpinan yang terbaik.

"Dalam keadaan Umno yang masih dalam proses pemulihan, rakyat sedang memerhati dan menilai setiap tindakan kita. Rakyat telah berikan mandat kepada BN untuk memimpin di Perlis dan kepercayaan ini harus dilaksanakan dengan penuh amanah," katanya dalam catatan di laman sosial Instagram beliau malam tadi.

Mengenai pemecatan anggota Umno, Hishammuddin yang menjalankan tugas timbalan presiden parti itu, ​​​​​berkata sebarang keputusan untuk memecat anggota parti perlu dibawa kepada Lembaga Disiplin dan merupakan kuasa Majlis Tertinggi Umno, dan bukannya pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.

Pada majlis pelantikan dan angkat sumpah Azlan sebagai menteri besar di Istana Arau semalam, sembilan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN tidak hadir pada upacara itu. Hanya tiga wakil rakyat Pakatan Harapan dan dua wakil rakyat PAS yang hadir.

Pada hari sama, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan sembilan ADUN BN dalam satu sidang media, mencadangkan agar pucuk pimpinan Umno memecat Azlan sebagai anggota Umno dengan serta merta.

BN memenangi 10 daripada 15 kerusi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lepas, sekali gus Shahidan mendakwa BN Perlis sebulat suara memilih ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim sebagai menteri besar Perlis yang baharu.

Ismail dakwa kelemahan Zahid, Hisham punca krisis MB Perlis

Anne Muhammad

   
Dalam perkembangan terbaru, Datuk Ismail Kassim mendakwa krisis menteri besar Perlis berpunca daripada kelemahan Pemangku Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi dan Naib presiden Umno yang menjalankan tugas timbalan presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambung Tulang itu mendakwa kedua-dua mereka gagal melaksanakan tugas dengan baik meskipun BN hanya memenangi dua negeri sahaja pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Kelemahan ini berpunca pucuk pimpinan parti yang lemah selepas Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak letak jawatan. Hishammuddin dan Zahid tak menepati kriteria memimpin parti setakat ini.

“Dan setakat ini, mereka buat keputusan ini, negeri yang sekecil ini... tak dapat diselesaikan dengan bijaksana,” katanya kepada Malaysiakini di luar Balai Polis Jalan Eusoff, semalam.

Malah Ismail turut melahirkan hilang keyakinan terhadap Zahid dan Hishammuddin.

“... mungkin dalam pemilihan agung Umno nanti saya dan rakan-rakan perwakilan akan memikirkan orang baru, yang ada nafas baru untuk memimpin Umno,” katanya.

Ismail turut memberi saranan kepada Zahid untuk mencari orang kanan di kalangan mereka yang menang dalam PRU14 supaya tidak mengulangi kesilapan Najib.

“Datuk Seri Zahid kalau ingin berkuasa, (jadi) pemimpin yang dihormati, pakailah orang di kiri kanan yang menang dalam PRU, jangan pakai orang kalah PRU,” katanya.

Khamis lalu kesemua anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis memulaukan istiadat angkat sumpah Menteri Besar Azlan Man kerana mahukan Ismail, adik pengerusi BN Perlis Datuk Seri Shahidan dilantik ke jawatan itu.

Menyifatkan Azlan tidak mempunyai sokongan majoriti ADUN dan tidak patuh pada keputusan BN negeri, Shahidan 'memecat' menteri besar dan mengisytiharkannya wakil bebas.

Pemulauan majlis itu juga menyebabkan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail murka dan menegaskan tidak mahu seorang menteri besar boneka.

Ismail menafikan menjadi boneka sesiapa dan mencadangkan pihak lain dilantik selain beliau dan Azlan.


Jumaat, 25 Mei 2018

Ismail Kassim enggan jadi MB, kemuka nama lain

Anne Muhammad


  • Datuk Ismail Kassim merafak sembah kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail merayu untuk tidak melantik dirinya dan Datuk Seri Azlan Man sebagai menteri besar Perlis.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambun Tulang itu sebaliknya mencadangkan lapan lagi ADUN BN dilantik sebagai menteri besar.

    “Kita merayu tuanku untuk memberi pertimbangan terakhir kepada kami semua, bukan Ismail Kassim bukan Azlan Man selain daripada itu, 8 daripada ini.

    “Saya cadang lapan daripada kawan saya, tak ada masalah nak pimpin negeri, walaupun orang baru tapi asalkan bukan saya dan Azlan Man,” katanya dalam medianya di Hotel Seri Pacific bersama lapan ADUN yang lain.




    Katanya, perancangan melantik MB di kalangan lapan ADUN yang lain demi memperbetulkan keadaan dan taat setia kepada Raja Perlis tidak pernah berubah.

    Ismail turut berkata, tindakan itu dibuat kerana tidak mahu dilihat sebagai gila kuasa kerana dinamakan oleh abangnya Datuk Seri Shahidan Kassim (gambar, atas) sebagai calon menteri besar BN.

    “Saya tak mahu dikatakan gila kuasa, saya tak mahu arwah bapa saya dalam kubur tersentak-sentak dengan perbuatan yang tak berhemah di permukaan muka bumi, saya tak mahu macam itu demi untuk ayah saya,” katanya.

    Hari ini, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail murka dengan tindakan sembilan ADUN BN yang tidak menghadiri istiadat angkat sumpah jawatan menteri besar hari ini.



    Baginda kecewa kerana semua ADUN terbabit berada di Perlis ketika jemputan dihantar kepada mereka dua hari lalu.

    Walaupun daripada parti sama, kesemua ADUN BN Perlis hari ini memulaukan majlis angkat sumpah Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man, di Istana Arau.

    Baginda turut bersyukur Azlan akhirnya mengangkat sumpah sebagai menteri besar Perlis, walaupun Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah berakhir dua minggu lalu.

    Mengulas lanjut, Ismail turut menyatakan sebab mereka menolak Azlan sebagai menteri besar Perlis.

    “Orang marah dia jadi ADUN Pauh, Arau, dia tak jaga kawasan ini tinggal kawasan itu dan pindah kawasan baru.

    “Orang tahu rekod dia di Pauh tak jelas dan mencuba di kawasan baru sekarang. Di bahagian dia gagal, macam mana kita bagi seorang ketua bahagian yang gagal untuk mengetuai negeri,” katanya.

    Ismail turut menuduh Azlan seorang yang tidak boleh ditegur.

    “Dia tak boleh ditegur, anda boleh tanya siapa-siapa yang berurusan dengan dia, boleh tanya. Dia tak boleh terima pendapat, dengan semua orang,” katanya