Sabtu, 31 Oktober 2009

Dedah kandungan pelan perpaduan

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong meminta Presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat mendedahkan kandungan 'Pelan Perpaduan Lebih Unggul MCA' yang dipersetujui antara beliau dan bekas timbalannya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Ka Siong berkata, permintaan itu tidak bermakna beliau menentang pelan perpaduan tersebut sebaliknya Tee Keat tidak boleh menganggap Jawatankuasa Pusat (CC) MCA boleh menerima begitu sahaja tanpa melihat isi kandungannya.

“Beliau (Tee Keat) tidak boleh anggap yang Jawatankuasa Pusat akan terima pelan perpaduan tersebut begitu sahaja tanpa mengetahui isi kandungannya.

“Jawatankuasa Pusat bukan mahu menentang pelan perpaduan itu, sebaliknya kita cuma mahu tahu isi kandungannya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, semalam.

Pelan Perpaduan itu merupakan satu rancangan yang dipersetujui Tee Keat dan Soi Lek minggu lepas dalam usaha menyelesaikan perbalahan antara mereka demi perpaduan MCA.

Pelan itu juga mendapat restu dan sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun Selasa lepas,, beberapa orang anggota CC, diketuai Timbalan Presiden MCA yang baru, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Wanita, Datin Paduka Chew Mei Fun mendakwa tidak tahu mengenai pelan itu kerana tidak dijemput untuk berunding mengenainya.

Ka Siong berkata, semua anggota parti tidak mempunyai masalah dengan pelan perpaduan yang dipersetujui itu tetapi sebagai anggota parti mereka juga berhak mengetahui apakah isi kandungannya.

Menurutnya, MCA bukannya milik individu malah parti itu adalah milik semua dan dengan yang demikian semua anggota perlu dibawa berbincang kerana jika tidak tiada maknalah melantik barisan pemimpin.

“Kita di sini bukan untuk bergaduh sesama sendiri, sebaliknya untuk menyatupadukan semua anggota. Perpaduan tidak seharusnya terhad kepada satu atau dua ahli dalam parti sahaja,” katanya.

Tiada ulasan: