Khamis, 29 Oktober 2009

ADUN Pelabuhan Klang dijangka umum sertai parti lain hari ini.

MSTAR ONLINE


ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah dijangka akan membuat pengumuman parti baru yang akan disertainya malam ini

PETALING JAYA: ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah dijangka akan membuat pengumuman untuk menyertai sebuah parti politik lain hari ini.

Beliau adalah wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau mengambil keputusan tersebut berikutan perkembangan terbaru hari ini yang memperlihatkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengeluarkan kenyataan rasmi meminta adun berkenaan meletakkan jawatannya sebagai wakil rakyat.

Menteri Besar itu mendakwa, pada 20 Ogos lalu, Badrul Hisham telah diberikan surat tunjuk sebab setelah Parti Keadilan Rakyat (PKR) setelah menerima aduan daripada penduduk di kawasan berkenaan.

MStar Online difahamkan, beliau akan bertindak keluar daripada PKR bersama-sama beberapa penyokongnya dan juga pemimpin PKR dari Negeri Selangor.

Episod terbaru ini menambah satu lagi bebanan kepada PKR yang baru sahaja menikmati tampuk kekuasaan di Selangor dan berkongsi kuasa dengan rakan-rakan dalam pembangkang di Kedah, Pulau Pinang dan buat seketika di Perak selepas pilihan raya umum yang lalu.

Malah dalam tempoh dua minggu ini sahaja, PKR telah diuji dengan pelbagai isu dalaman yang kelihatan seperti satu krisis.

Berikut adalah kronologi krisis kepimpinan yang melanda PKR:

* 16 Oktober - Zaid Ibrahim ambil cuti politik enam bulan selepas Anwar Ibrahim menghalang beliau daripada menyertai program parti itu di Sabah atas jemputan Naib Presiden PKR Datuk Dr.Jeffrey Kitingan.

* 18 Oktober - Dalam pertemuan secara eksklusif dengan mStar Online Azmin Ali nafi beliau mempunyai masalah dengan Zaid dan menjadi punca mengapa Anwar halang Zaid ke Sabah.

* 18 Oktober - Zaid langar arahan Anwar dan tetap menjejakkan kaki ke Sabah. Bertemu dengan Jeffrey Kitingan dan pemimpin-pemimpin PKR Sabah yang lain.

* 27 Oktober - Dr Jeffrey umum letak jawatan sebagai naib presiden dan semua jawatan politik termasuk anggota Biro Politik PKR.

* 28 Oktober - Ketua Bahagian Kota Kinabalu Christina Liew pula mengumumkan peletakan jawatan sebagai anggota majlis tertinggi PKR.

* 28 Oktober - Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim menafikan beliau meletak jawatan selepas khabar angin bertiup kencang mengatakan beliau telah melepaskan jawatannya itu ekoran krisis kepimpinan yang berlanjutan dalam parti tersebut.

* 29 Oktober - Menteri Besar Selangor arah ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah melepaskan jawatan sebagai ADUN.

Tiada ulasan: