Sabtu, 31 Oktober 2009

MIC dan MCA tidak setuju sistem pendidikan satu aliran

BERNAMA


KUALA LUMPUR: MIC dan MCA menentang cadangan melaksanakan sistem pendidikan satu aliran, dengan mengatakan bahawa sekolah jenis kebangsaan yang ada sekarang tidak akan menghalang usaha ke arah mewujudkan perpaduan nasional.

Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu hari ini berkata sekiranya cadangan itu dikemukakan dalam usaha menjalin perpaduan kaum, ada banyak cara lain lagi untuk melakukannya dan bukan melalui sistem pendidikan satu aliran.

"Bagi sekolah Tamil, pelajar (India) akan berpeluang bergaul dengan kanak-kanak daripada kaum lain apabila mereka memasuki sekolah menengah," katanya kepada pemberita sebelum menyerahkan cek bernilai RM1 juta kepada lebih 50 kuil Hindu di sini.

Samy Vellu mengulas mengenai isu itu yang dibangkitkan barubaru ini oleh tokoh akademik dan sejarawan Tan Sri Prof Emeritus Dr Khoo Kay Kim.

Beberapa anggota Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang menyokong sistem satu aliran itu ketika di Dewan Rakyat pada Rabu lepas.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata beliau mahu semua pihak supaya meneruskan perbincangan mengenai perkara itu supaya semua cadangan berhubung perkara itu boleh diteroka.

Samy Velly berkata sistem sekarang berjalan dengan baik, sambil menambah adalah tidak wajar untuk "menjolok sarang tebuan" apabila persetujuan telah pun dicapai semasa Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri bahawa sekolah jenis kebangsaan akan dilindungi dan dibenarkan wujud.

Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong berpendapat sistem persekolahan pelbagai aliran patut diteruskan kerana ia tidak akan menjejaskan perpaduan di kalangan masyarakat majmuk negara ini.

"Ia bukan penghalang kepada perpaduan nasional, sebaliknya bantu menerapkan semangat bersatu padu di kalangan masyarakat majmuk," kata Wee kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemuda MCA di Wisma MCA hari ini.

Dr Wee yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata walaupun bahasa pengantar di sekolah pelbagai aliran bukannya bahasa kebangsaan namun ia tidak menggugat pelajar untuk menghayati konsep 1Malaysia.

Tiada ulasan: