Jumaat, 30 Oktober 2009

Kontraktor bukan dari Perak

UTUSAN ONLINE


IPOH - Kontraktor jambatan gantung yang runtuh di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan, Kuala Dipang, Kampar, Isnin lalu, akan dipanggil menghadap Jawatankuasa Siasatan dalam tempoh terdekat.

Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Radzi Abd. Jabar bagaimanapun berkata, pihaknya masih cuba mendapatkan maklumat lanjut mengenai kontraktor terbabit yang difahamkan bukan beribu pejabat di Perak.

''Saya difahamkan kontraktor yang membina jambatan itu bukan dari negeri ini dan kos bagi pembinaan jambatan itu juga masih belum diperoleh,'' katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai siasatan terhadap syarikat yang terbabit dalam pembinaan jambatan gantung runtuh di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan, Kuala Dipang di Kampar, Isnin lalu.

Tiga murid lemas dihanyutkan arus dalam tragedi pukul 10.30 malam itu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam lawatan ke tempat kejadian Selasa lalu mengumumkan serta-merta penubuhan satu Jawatankuasa Siasatan bagi mencari punca kejadian tersebut.

Tiada ulasan: