Sabtu, 31 Oktober 2009

Nik Aziz dedah penggantinya

Oleh Lanjusoh & Mohd Nor Yahya


Umpama bulan dan matahari, apabila sang suria bersembunyi di sebalik ufuk barat maka cahaya bulan akan mulai kelihatan.Itulah perumpamaan yang digambarkan Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika ditanya siapa penggantinya.

Kata beliau selagi ada matahari, cahaya bulan tidak akan kelihatan dengan jelas.Rahsia itu didedahkan ketika ditemui semasa berkunjung di sini pada akhir Ramadan lalu.

Katanya pengganti yang dimaksudkan itu sudah ada, cuma tidak menonjol kerana beliau masih ada (ketua).

“Kalau saya tiada orang itu akan muncul dengan sendirinya. Samalah seperti ketika zaman Datuk Asri Muda dahulu, ramai orang berkata PAS akan berkubur tanpa Asri.

“Namun selepas Asri menyertai parti lain, PAS terus kuat sehingga semakin gagah sekarang,” katanya.

Ditanya siapa nama penggantinya, kata beliau memang sudah ada. Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan siapa orang berkenaan.

Sementara itu di majlis berasingan di Kota Bharu 3 Syawal lalu, Menteri Besar berkata, kejayaan sesebuah negara bagi meneruskan legasi pentadbirannya bergantung kepada barisan pelapis yang ditinggalkan.

“Maka mahasiswa sebagai golongan terpelajar akan menjadi pemimpin pelapis kepada negara pada masa akan datang.

“Ini kerana golongan mahasiswa diberikan kelebihan ilmu. Tidak semua anggota masyarakat berkemampuan untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada majlis Mesra Aidiltitri Mahasiswa Kelantan Balai Islam.

Program itu dianjur Markaz Siswazah Kelantan (MSK) dan kerjasama Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO.

Bagaimanapun Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, kelebihan ilmu itu tidak akan ke mana-mana sekiranya cara berfikir dan tingkah laku masih dibelenggu fahaman sekular.

Pada majlis itu beliau berharap agar anak-anak tidak melupai jasa dan penat lelah ibu bapa yang menyara mereka sejak kecil sehingga dewasa.

Beliau juga berharap mahasiswa menghayati prinsip asas ilmu iaitu taat kepada Allah dan Rasulullah saw dalam segenap lapangan hidup.

“Sijil, diploma dan ijazah serta pekerjaan bukannya matlamat terakhir dalam pencarian ilmu, sebaliknya jadikanlah ia sebagai kunci untuk terus menggali khazanah ilmu dan menimba pengalaman,” ujarnya.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO, Haji Abdul Fattah Mahmood dan Ketua Pemuda PAS Negeri, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman.

Turut hadir Pengarah Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO, Abdul Aziz Abdul Rahman dan Presiden MSK, Borhanuddin Ahmad.

Abdul Fatah ketika berucap berkata, terpulang kepada mahasiswa yang ada sekarang meneruskan kesinambungan pemerintahan Kelantan pada masa akan datang.

“Adalah menjadi harapan kerajaan negeri untuk melihat pemimpin akan datang juga mampu melakar sejarah,” katanya.

Program itu turut diselit dengan wacana siswa bertajuk “Mahasiswa Memacu Perubahan”. Tiga panelis iaitu pensyarah UPM, Prof Madya Dr Mat Rofa Ismail, aktivis masyarakat, Kamarudzaman Mohamad dan Pangarah Nisa’ Kelantan, Ilvira Mohd Dasuki.


Naib Presiden MSK, Ustaz Abdul Fatah Jaafar bertindak sebagai pengantara.

Tiada ulasan: