Khamis, 29 Oktober 2009

MB S'gor tangguh bayar RM66.7 juta

BERNAMA


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk
menggantung satu perintah bagi membayar RM66.67 juta kepada Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) sementara menunggu perbicaraan samannya terhadap bank itu, yang ditetapkan awal Februari tahun depan.

Hakim Datuk Rohana Yusuf membuat keputusan di dalam kamar selepas mendengar penghujahan daripada kedua-dua belah pihak.

Pada 21 Ogos, Abdul Khalid diarahkan oleh mahkamah untuk membayar kepada BIMB bagi satu pinjaman yang diambilnya untuk membeli saham-saham dalam Guthrie pada 2001 semasa beliau menjadi ketua pegawai eksekutif syarikat itu, selepas mahkamah membenarkan permohonan bank itu untuk penghakiman terus.

Abdul Khalid juga merayu ke atas perintah itu di Mahkamah Rayuan tetapi tiada tarikh telah ditetapkan.

Peguam bela Abdul Khalid, Malik Imtiaz Sarwar memberitahu media bahawa beliau telah berhujah bahawa mahkamah perlu membenarkan permohonan penggantungan itu sementara menunggu keputusan penuh perbicaraan saman Abdul Khalid terhadap bank itu kerana ia membabitkan reputasi anak guamnya kerana beliau tidak dapat membayar jumlah wang itu.

Peguam bela bagi bank, N Ganesan berhujah bahawa perintah itu adalah ke atas penghakiman wang dan bukan mengenai reputasinya.

Abdul Khalid memfailkan saman pada 18 Mei, 2007, dengan mendakwa bahawa terdapat penjualan yang salah saham-saham dalam Guthrie bawah kemudahan pinjaman Al-Bai Bithaman Ajil (BBA) bertarikh 30 April, 2001.

Beliau memohon pengisytiharan bahawa ada kontrak kolateral antara beliau dan bank itu berhubung kemudahan pinjaman BBA.

Abdul Khalid, yang merupakan CEO Kumpulan Guthrie Berhad dari 1995 hingga 2003, juga memohon ganti rugi daripada BIMB, dengan mendakwa bahawa bank itu telah menjual saham-sahamnya dalam Guthrie.

BIMB memfailkan saman balas untuk mendapatkan jumlah wang itu pada 24 Mei 2007, dengan mendakwa bahawa perjanjian Al-Bai Bithaman Ajil telah dilanggar berikutan kegagalan Abdul Khalid membayar semula pinjaman itu.

Tiada ulasan: