Sabtu, 31 Oktober 2009

Khalid tidak peduli Badrul lompat parti

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau tidak peduli jika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah menjadi wakil rakyat Bebas atau melompat ke mana-mana parti.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri tidak akan menyimpan sesiapa juga yang tidak tahu membuat kerja kerana beberapa masalah akan timbul dan menyukarkan kerajaan untuk membangunkan kebajikan dan sosial rakyat.

“Saya tak kira... dia wakil rakyat, dia mewakili semua rakyat sebab dia sudah terpaksa buat kerja ... nak jadi Bebas, Keadilan, UMNO, MCA itu terpulang kepada dia, yang penting dia buat kerja,” katanya, semalam.

Abdul Khalid, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor berkata demikian ketika ditenui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor di sini, semalam.

Menurutnya, PKR hanya sanggup menerima Badrul jika beliau sanggup bekerja menyempurnakan amanah yang diberikan rakyat kepadanya.

“Masalah dia kenapa dia ingin masuk pilihan raya berjanji kepada rakyat untuk tolong rakyat lepas tu dia tak nak buat kerja? Masalah dia nak pergi ke mana-mana tidak kira,” katanya.

Sebelum ini, Abdul Khalid menasihatkan Badrul supaya berhenti daripada menjadi wakil rakyat Pelabuhan Klang sekiranya tidak lagi mempunyai keinginan untuk berkhidmat kepada masyarakat yang diwakilinya.

Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Kerajaan Negeri tidak akan bertolak ansur dengan pemimpin yang tidak bertanggungjawab kerana menggagalkan usaha meningkatkan taraf ekonomi dan sosial rakyat.

“Kerajaan Negeri prihatin terhadap aduan penduduk di Pelabuhan Klang berkenaan dengan ketidakupayaan ADUN mereka dalam menjalankan kewajipan sebagai wakil rakyat.” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurutnya, sejak surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada Badrul pada 20 Ogos yang lalu, beliau tidak mengambil sebarang langkah untuk memperbaiki prestasi kerja beliau.

Nik Nazmi berkata, dalam surat jawapannya, Badrul telah menyatakan kesudian untuk berjumpa dengan pimpinan negeri dan parti.

Tiada ulasan: