Jumaat, 30 Oktober 2009

Lembaga Disiplin PAS bersidang esok

Harakahdaily


KUALA LUMPUR : Lembaga Disiplin PAS akan bersidang buat pertama kalinya esok mulai jam 10.30 pagi selepas mendapat arahan menyelesaikan segera beberapa isu dalaman PAS, kata ketuanya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Namun, dimaklumkan bahawa, tidak akan ada sebarang sidang media atau kenyataan media berkaitan dengan hal ini sehinggalah keputusan diserahkan kepada Jawatankuasa Pusat, katanya.

"Kami akan bermesyuarat esok dan akan melihat dokumen-dokumen yang ada sebelum membuat apa-apa tindakan lanjut," kata Tuan Ibrahim kepada Harakahdaily.

Lembaga ini, katanya, mempunyai lima anggota termasuk beliau. Mereka terdiri dari peguam, tokoh agama dan anggota veteran PAS.

"Namun saya tidak bercadang untuk mendedahkan nama mereka," kata Tuan Ibrahim.

Lembaga Disiplin PAS telah diarahkan bersidang segera bagi menyiasat beberapa dakwaan kepada PAS Selangor.

Arahan ini dibuat oleh mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat baru-baru ini. Ia dimaklumkan kepada media oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam sidang medianya kira-kira jam 1.00 pagi 29 Oktober semalam.

Selain Lembaga Disiplin diminta bersidang segera, PAS juga akan mengadakan satu seminar khas yang bakal disertai lebih 1,000 pemimpin parti di semua peringkat 7 November nanti.

Ia akan diadakan di Dewan Datuk Fadzil Noor, Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar. Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub diamanahkan untuk menguruskan seminar ini.

Turut diputuskan dalam mesyuarat khas itu adalah, isu kerajaan perpaduan telah ditutup dan tidak akan dibicarakan lagi.

Menurut Tuan Ibrahim, beliau telah menerima beberapa dokumen yang disampaikan kepada beliau.

"Ada yang sampai melalui Setiausaha Agung. Dan ada yang disampaikan kepada saya melalui presiden sendiri," katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, lembaga ini akan meneliti segala dokumen itu apakah ia bertentangan dengan didiplin parti atau ia hanya ijtihad peribadi individu berkenaan sahaja.

Dari situ, katanya, lembaga ini akan membuat cadangan kepada Jawatankuasa PAS Pusat apakah bentuk tindakan yang akan diambil. _

Tiada ulasan: