Khamis, 29 Oktober 2009

SPRM Perak siasat

UTUSAN ONLINE


IPOH – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak hari ini membuka kertas siasatan berhubung kejadian jambatan gantung runtuh di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dipang, dekat Kampar, malam tadi.

Pengarahnya, Bahari Mohamad berkata, sepasukan pegawai penyiasat SPRM telah dihantar ke tempat kejadian pagi ini untuk memulakan siasatan kes tersebut.

‘‘Kita akan tengok dari sudut mana yang menyebabkan jambatan itu roboh. Kita akan ambil tindakan jika ada unsur-unsur rasuah dalam pembinaan jambatan tersebut,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai insiden jambatan gantung runtuh di SK Kuala Dipang yang menyebabkan tiga murid dihanyutkan air deras, malam tadi.

Ditanya berapa lama tempoh kertas siasatan itu akan disiapkan, Bahari berkata, ia bergantung kepada maklumat yang diperoleh termasuk keterangan daripada saksi-saksi.

‘‘Jika memerlukan keterangan daripada pakar forensik, kita akan dapatkan untuk melengkapkan siasatan.

‘‘Selepas itu, kita akan hantar segala hasil siasatan kepada ibu pejabat SPRM untuk tindakan lanjut,’’ katanya.

Sementara itu, di KOTA KINABALU, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata, siasatan menyeluruh akan dilakukan sekiranya terdapat unsur-unsur tersebut dalam pembinaan jambatan itu.

Pada masa ini, kata beliau, pihaknya menyerahkan kepada pihak-pihak berwajib bagi mengenal pasti punca kejadian.

‘‘Saya difahamkan daripada laporan televisyen, jambatan itu baru siap dan tiangnya tercabut.

‘‘Kita biarkan mereka periksa. Kita tengoklah kalau ada (unsur penyelewengan) kita akan ambil tindakan. Kalau ada berlaku kita akan siasat,’’ katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian penutupan seminar pencegahan rasuah membabitkan pendatang asing di sini, hari ini.

Tiada ulasan: