Mohd Shah Tumin melakar cerita Malaysia dengan ramuan yang luar biasa.
PETALING JAYA: Seorang pelukis menggunakan ramuan masakan seperti
sos, cili, serbuk kari, kicap dan mayonis untuk menghasilkan lukisan
sempena Hari Merdeka ke-63.
Itulah keunikan ditampilkan Mohd Shah Tumin, 36, yang cuba meneroka seni “di luar kotak”.
“Saya mahu orang boleh berfikir, lukisan boleh dihasilkan secara
kreatif, bukan sekadar menggunakan pensel dan kertas,” katanya kepada
FMT.
Beliau yang senang dipanggil Shahtumin berkata, dengan bahan luar
biasa itu dia mampu menghasilkan potret pemimpin dan selebriti seperti
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor
Hisham Abdullah, Sugu Pavithra, dan pemain bola sepak, Mohamed Salah.
Beliau memuat naik karyanya di laman sosial seperti YouTube untuk
berkongsi dengan orang ramai. Beliau tidak menyangka hasil seninya
mendapat sambutan yang baik.
Bersempena Hari Kebangsaan, Shah melukis bendera Malaysia, Tugu
Negara, bunga raya dan KLCC dalam satu lukisan, yang mengambil masa 60
hingga 90 minit untuk dihasilkan.
“Lukisan ini juga antara kandungan terbaru saluran YouTube sendiri
kerana mahu mencari kelainan, selain berasa masih belum ada lakaran
sedemikian dibuat di Malaysia,” katanya.
Shah meminati seni lukis sejak berumur 16 tahun lagi, sehinggalah 3
tahun lalu apabila beliau mendapat ilham apabila sengaja menconteng
permukaan pinggan sehingga terhasilnya suatu potret.
Shahtumin bersama potret pemain bolasepak Mohamad Salah yang dihasilkannya.
“Saya mula melakar potret Najib Razak sebelum pilihan raya umum
ke-14. Ketika itu isu Najib sedang panas dan saya gunakan sos cili untuk
melukis gambar bekas perdana menteri itu,” katanya.
Shah memberitahu FMT bahawa antara bahan paling sukar dikendalikannya adalah serbuk kari.
Potret Youtuber masakan Sugu Pavithra yang dihasilkan Shahtumin.
“Antara idea saya nak lukis gambar pendakwah terkenal, Ebit Lew, guna
minyak, atau lukis di kereta yang berhabuk, sebab dia masuk kawasan
ceruk bantu orang miskin,” katanya.
Penyelidik
Fakuti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan yang mengetuai eksplorasi Arham Muchtar Achmad Bahar berkata, aktiviti penyelidikan
yang bermula pada Mei 2017 itu berjaya menemukan fosil tapak dan laluan
trek dinosaur dari subkumpulan Sauropod. (Gambar Facebook)
KOTA BHARU: Pasukan penyelidik Jabatan Geosains, Fakulti Sains Bumi
(FSB), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menemukan kesan tapak kaki
dinosaur dipercayai daripada kumpulan spesies Sauropod berusia 145,000
tahun hingga 66 juta tahun di Bukit Panau, Tanah Merah.
Penemuan fosil tersebut adalah hasil kajian eksplorasi geosains
pasukan penyelidik UMK yang diketuai pensyarah FSB, Arham Muchtar Achmad
Bahar, Surono Martosuwito, Udi Hartono dan dibantu oleh Mohd Syakir
Sulaiman.
Arham Muchtar berkata, aktiviti dan penyelidikan itu bermula pada Mei
2017 dan berjaya menemukan fosil tapak dan laluan trek dinosaur dari
subkumpulan Sauropod.
“Lanjutan daripada penemuan itu, kami menerbitkan jurnal ilmiah
bertajuk “The Saurapod Dinosaur Trackways from Tanah Merah, Kelantan,
(Jejak Dinosaur Saurapod dari Tanah Merah, Kelantan) sempena penganjuran
“Conference on Tropical Resources and Sustainable Sciences (CTRESS)
2.0” (Persidangan Sumber Tropika dan Sains Lestari 2.0) secara dalam
talian pada 10 dan 11 Ogos lalu.
“Penemuan ini membuktikan bahawa suatu masa dahulu, dijangka antara
66 hingga 160 juta tahun yang lepas, dinosaur pernah hidup di lokasi
yang sekarang kita kenal sebagai Tanah Merah, Kelantan,” katanya dalam
kenyataan di sini, hari ini.
Arham Muchtar berkata, penemuan itu juga merupakan antara penemuan
hasil aktiviti eksplorasi dan penyelidikan yang dilaksanakan di
Kelantan.
Beliau berkata, penemuan itu membabitkan 7 tapak kaki fosil spesies
Sauropod berukuran purata 72 sentimeter (sm) panjang dan lebar dengan
purata 66sm yang tercetak di atas batu pasir kuarsa dari formasi panau
seluas 60 meter persegi.
“Fosil Sauropod yang ditemukan itu berusia antara 65 hingga 160 juta
tahun, iaitu pada kala Jura akhir sehingga Kapur awal dan adalah sejenis
reptilia berkaki 4 daripada spesies herbivor, iaitu hidupan yang
memakan tumbuh-tumbuhan.
“Berdasarkan bukti tapak kaki haiwan ini dahulu memiliki tubuh yang
besar dengan tulang belakang setinggi 9 meter, panjang sehingga 22 meter
dan berat sekitar 30 sehingga 40 tan.
“Spesies dinosaur ini juga dikenali sebagai haiwan terbesar yang pernah hidup di muka bumi ini,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan ini amat bermakna bagi UMK, terutamanya
dengan penubuhan Jabatan Geosains, Fakulti Sains Bumi yang menjalankan
penyelidikan ke atas hidupan dinosaur ini.
“Para penyelidik menghabiskan masa lebih 10,000 jam menyiasat dan
menjejak dinosaur di Kelantan dan kesan trek yang dijumpai turut
mendapat pengesahan daripada pakar dinosaur dunia yang berasal dari
Jepun.
“Kewujudan dinosaur di Bukit Panau ini juga sudah dijangka oleh
banyak ahli geologi berdasarkan keadaan geologi yang dapat dikaitkan
dengan beberapa kawasan di selatan Thailand yang turut mengandungi fosil
dinosaur,” katanya.
Beliau berharap dalam masa terdekat semua pihak dapat memberi
kerjasama yang positif bagi meneruskan kajian dan percaya masih ada
beberapa lagi jenis fosil dinosaur yang tersimpan dalam batuan di Bukit
Panau.
"MEMANG dah lama saya nakkan sebuah rumah yang selesa. Sekarang
ini, apabila anak-anak datang saya terpaksa sewa homestay," kata
penyanyi Alina Hassan meluahkan perasaannya yang ingin menyewa rumah
Program Perumahan Rakyat (PPR).
Kisah Alina, 52, yang juga Juara program Sinaran Pasport Kegemilangan
1996 dan pemenang tempat ketiga Mentor Otai 2018 tular apabila menghuni
bilik berkeluasan 1.5 meter X 2.4 meter di sebuah rumah kedai di
Setapak, Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu.
Dia yang menyewa bilik kecil itu dengan sewa RM230 sebulan,
bagaimanapun tidak pernah mengeluh kerana menyedari hanya setakat itu
kemampuannya.
Alina, bagaimanapun merahsiakan keperitan hidupnya daripada
pengetahuan anak-anak yang kini tinggal bersama bekas suami di
Terengganu kerana tidak mahu menganggu tumpuan mereka terhadap
pelajaran.
"Apabila kisah saya keluar di media, mereka tak tahu tapi kawan-kawan
dan guru akan bertanya. Ini mungkin menjatuhkan air muka, atau buat
mereka terperanjat.
"Saya tak pernah tunjuk susah depan mereka. Lagipun, mereka tak tahu
sangat kerana tak baca akhbar. Kalau tahu pun dari guru dan kawan-kawan
yang bertanya.
"Saya nak bawa anak-anak tinggal bersama. Bekas suami pun tiada
masalah nak benarkan. Tapi masalah utama, saya tiada rumah lagi,"
katanya yang sudah lama membuat permohonan kepada Dewan Bandaraya Kuala
Lumpur (DBKL).
Alina mempunyai empat anak lelaki, tetapi yang sulung sudah meninggal dunia.
Anak keduanya, Mohd Alif, 19, menghidap autisme, yang ketiga, Mohd
Amin, 18, akan mendaftar masuk di sebuah universiti pada Ogos nanti
manakala anak bongsu, Mohd Azam, 15, sedang belajar di Maktab Rendah
Sains Mara (MRSM) Kuala Terengganu.
"Kita mesti nak anak-anak membesar depan mata. Kalau duduk dengan
anak, walau tak berduit hidup susah makan ikan masin pun, kita gembira.
"Janji anak ada depan mata. Mohd Alif, takkan makan nasi kalau bukan
saya yang suapkan. Dia takkan makan, kalau orang lain suap. Bahkan dia
kerap memerap dalam bilik. Bila balik sana saya suapkan dia makan
"Kalau dapat rumah, saya nak bawa dia datang duduk dengan saya. Buat
masa ini, saya kerap juga balik tengok dia. Kalau ada duit lebih, saya
akan balik tengok dia," katanya.
Alina berkata, kadangkala dia terpaksa meminta jasa baik bekas suami memberikan wang untuk dia balik menjenguk anak-anak.
"Saya perlu berikan perhatian kepada Mohd Alif kerana dia suka
berkurung dalam bilik. Namun, Alhamdulillah dia pandai uruskan diri
seperti mandi sendiri.
"Bekas suami tiada masalah jika saya nak ambil Mohd Alif. Perkara ini
sudah kami bincangkan, cuma saya kena ada rumah bukannya bilik sewa
yang kecil," katanya.
Alina yang turut menghidap ekzema dan mempunyai masalah penglihatan
mata kanan akibat katarak, berkata dua lagi anaknya pasti nak datang
bertemunya setiap kali cuti sekolah.
Turut mempunyai masalah darah tinggi yang terkawal tanpa perlu
mengambil ubat, Alina juga meminta warganet tenang kerana kita tidak
tahu apa hikmah yang Allah nak beri pada setiap dugaan itu.
"Apa yang boleh saya kata, jangan doakan atau cakap benda yang tak
elok kepada nasib orang lain. Masing-masing di antara kita pasti ada
ujian hidup sendiri.
Lagipun saya minta rumah bukan nak duduk percuma, sebaliknya nak
bayar sewa," katanya yang bersyukur banyak pihak tampi membantu.
Sementara itu, tinjauan Harian Metro mendapati bilik Alina sememangnya sempit.
Disitulah tempatnya berehat melepaskan lelah, makan dan tidur.
Bahkan apabila mahu solat, dia terpaksa mengangkat tilam nipis untuk meletakkan sejadah.
KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya,
Haniza Mohamed Talha memberi bayangan memang dirinya menjadi pemenang
cabutan istimewa bernilai RM1 juta Cabutan Istimewa Sijil Simpanan
Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi bulan Jun 2020.
Namun Bekas Ketua Wanita Keadilan Pusat itu yang baru sahaja dipecat
dari parti tiga hari lalu enggan mengulas lanjut mengenainya.
“Tunggu pengumuman rasmi BSN esok,” katanya ringkas kepada MalaysiaGazette hari ini.
Ditanya jumlah pelaburan atau simpanan SSP dan tempoh simpanannya,
beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan sekadar membalas akan
menjawab mengenainya esok.
Berita keputusan kemenangan SSP bernilai RM1 juta itu telah diketahuinya selepas dimaklumkan oleh BSN.
Beliau juga mengesahkan kepada MalaysiaGazette akan hadir untuk
menerima wang cabutan itu dan majlis penyerahan wang RM1juta SSP BSN
yang dimenanginya akan berlangsung pada pukul 12.30 tengahari esok di
Wisma Ehsan BSN Cawangan Negeri Selangor di Shah Alam.
Cabutan bagi bulan Jun 2020 telah dikendalikan secara langsung dalam FB BSN semalam.
Dalam keputusan cabutan istimewa BSN SSP itu, Haniza diumumkan
sebagai pemenang RM1 juta dengan nombor sijil simpanan 018-88843761.-
MalaysiaGazette
Ketika kami tiba di sebuah rumah penjagaan warga tua persendirian di
pinggir ibu kota beberapa hari lalu, lelaki tua ini sedang berehat
setelah mengambil ubat akibat penyakit buah pinggang yang dihidapinya
sejak sekian lama.
Selepas kematian isteri yang sangat dicintainya, Joan Sylvia
Maureen tiga tahun lalu, lelaki ini mengambil keputusan untuk keluar
daripada kediaman mereka di Cheras dan tinggal di rumah orang tua-tua
itu bagi menghabiskan sisa-sisa usianya.
Ini kerana tiada lagi tempat untuk dia bergantung harap dan berkongsi
kasih sayang, apatah lagi perkahwinan yang mereka dirikan pada tahun
1956 itu tidak dikurniakan cahaya mata.
DSP
(B) Kenny Woodworth melihat gambar mendiang isterinya, Joan Sylvia
Maureen Webb di Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL
“Terima kasih kerana datang menjenguk saya di sini,” kata Kenny
Woodworth, bekas pegawai polis yang bersara daripada pasukan Polis
Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 1988 dengan pangkat Deputi Supritendan
(DSP) ini.
Sekali imbas, tiada apa yang istimewa dengan Kenny.
Namanya tidak pernah tersenarai sebagai penerima anugerah yang
membawa gelaran kehormatan. Namanya juga tidak pernah tercatat sebagai
antara penerima pingat keberanian negara.
Namun di sebalik semua itu, tak ramai yang tahu Kenny adalah di
antara 12 pegawai polis Cawangan Jenayah Berat, Ibu Pejabat Polis Kuala
Lumpur yang dipilih khas untuk menganggotai sebuah kumpulan yang
dinamakan ‘Magnificient 12’ – khusus untuk memburu penjenayah terkenal
suatu ketika dulu, Wong Swee Chin atau lebih dikenali sebagai Botak
Chin!
BOTAK CHIN
Gambar
wajah Wong Swee Chin atau lebih dikenali Botak Chin yang disimpan DSP
(B) Kenny Woodworth di Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL
Botak Chin tidaklah berkepala botak sebaliknya nama itu adalah
gabungan perkataan BO TAK CHIN dalam bahasa hokkien membawa maksud Tiada
(BO) Kerja (TAK) CHINA (Chin) atau ‘jobless chinese’.
Botak Chin menganggotai sebuah kumpulan kongsi gelap yang dikenali
sebagai Geng 360 sejak remaja dan berjaya ‘mencipta nama’ setelah
terlibat dalam banyak insiden rompakan besar-besaran di Kuala Lumpur dan
Selangor sekitar tahun 70-an.
Dia juga sangat ditakuti kerana sanggup bertindak kejam dan memiliki
pelbagai koleksi senjata api, ribuan peluru hidup dan menyimpan bom
tangan.
Pada September 1969, dia mula menubuhkan geng sendiri. Meraka
melakukan lapan rompakan pada bulan itu sahaja tetapi akhirnya ditahan
polis dan dipenjara tujuh tahun.
Selepas dibebaskan dari penjara, dia memulakan kehidupan baru sebagai
sebagai penjual sayur namun ia langsung tidak memuaskan hatinya.
Oleh itu, Botak Chin kembali aktif dengan menubuhkan geng baru yang
dianggotai Ng Cheng Wong (Ah Wong), Beh Kok Chin (Pangkor Chai) dan Teh
Bok Lay (Seh Chai).
Mereka semakin aktif melakukan rompakan dan antara lokasi yang
menjadi sasaran adalah seperti di pusat perjudian haram di Sentul,
sebuah bank di Jalan Imbi Kuala Lumpur, kuil Cina di Jalan Kolam Ayer
Kuala Lumpur, sebuah bar di Sentul, Kelab Kereta api Sentul dan juga di
Kelab Lumba Kuda sekitar Kuala Lumpur.
Segala hasil rompakan digunakan untuk membeli sejumlah senjata api dan peluru di Thailand.
Kedudukannya sebagai ketua mula terancam oleh anggotanya sendiri, Ah
Wong, dan Ketua Geng Lima Jari Gunung, Tua Pui Lek. Kedua dua mereka
ditemui mati dipercayai ditembak oleh Botak Chin di kawasan lombong
tinggal di Jinjang. Orang kanannya, Seh Chai, pula mati membunuh diri
selepas dikepung polis di Jalan Alor.
Awal 1976 Botak Chin mengambil anggota baru, diikuti tiga rompakan
dengan wang yang dilarikan kira-kira RM400,000. Pun begitu pada masa
sama, tujuh orangnya mati ditembak selain ada yang ditangkap. Polis juga
berjaya merampas senjata api, peluru dan bom.
CUBAAN BUNUH PEGAWAI POLIS
DSP
(B) Kenny Woodworth melihat gambar-gambar lama sepanjang menjalankan
tugas sebagai anggota PDRM di Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL
ZAINAL
Pada 22 November 1975, sebuah kereta Datsun hijau yang dinaiki oleh
Botak Chin dan ahli gengnya mengekori rapat sebuah kereta yang dinaiki
oleh pegawai kanan polis, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala
Lumpur, Deputi Superintendan (DSP) S Kulasingam.
Pegawai berkenaan adalah sasaran mereka. Setiba di lampu isyarat
Jalan Davis-Jalan Pekeliling, kereta Datsun berkenaan bergerak pantas
menghampiri kenderaan yang mereka ekori.
Sebanyak 18 tembakan dilepaskan bagi ‘menghapuskan’ DSP S Kulasingam.
Bagaimanapun, tindakan itu gagal, sebaliknya pegawai polis itu masih
berupaya memandu ke Balai Polis Cheras, tidak jauh dari lokasi tersebut
walaupun tubuhnya bermandikan darah.
MAGNIFICIENT 12
Antara
gambar-gambar lama yang disimpan DSP (B) Kenny Woodworth sepanjang
menjalankan tugas sebagai anggota PDRM di Petaling Jaya, Selangor. foto
HAZROL ZAINAL
Menurut Kenny, disebabkan peristiwa tersebutlah ‘Magnificient 12’
ditubuhkan dan Kenny adalah antara pegawai polis yang dipilih khas untuk
menganggotainya.
“Akhbar guna perkataan ‘Magnificient 12’ tetapi saya sendiri lebih
gemar menggelarkan kumpulan kami sebagai ‘Dirty Dozen’…ini kerana selain
kami ada 12 orang, kami kadang-kadang keluar sampai empat ke lima hari
kumpul dan cari maklumat.
“Adakalanya tak tidur, tak mandi kerana nak ikut pergerakannya (Botak Chin).
“Banyak kali kita ‘missed’ (terlepas) kerana dia ‘pandai’ dengan
masuk ke tempat yang ramai orang, banyak orang Cina…jadi kita (polis)
tak boleh nak melepaskan tembakan.
“Bila kami selalu kotor, tak mandi…jadilah ‘Dirty Dozen’,” kata Kenny tersenyum.
Bagaimanapun sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah
juga. Bak kata pepatah Melayu, pelanduk boleh lupakan jerat tetapi jerat
tak mungkin melupakan pelanduk. Begitulah apa yang menimpa Botak Chin
dan konco-konconya.
Setelah sekian lama menganalisis pergerakan serta merancang tindakan,
akhirnya Kenny dan rakan-rakannya dalam ‘Magnificient 12’ berjaya
menjejajaki tempat persembunyian penjenayah licik dan kejam itu.
SERBUAN KILANG PAPAN
Antara
keratan akhbar lama yang disimpan DSP (B) Kenny Woodworth sepanjang
menjalankan tugas sebagai anggota PDRM di Petaling Jaya, Selangor. foto
HAZROL ZAINAL
Lokasi sasaran adalah sebuah kilang papan ‘Eng Leong Sawmill’ yang terletak di Batu 3, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
Pada 16 Februari 1976 iaitu pada pukul 8.40 malam, Kenny dan tiga
rakan setugasnya iaitu Inspektor Bahwandi Hiralal, ASP M. Rajalingam dan
Detektif Konstabel Lee Tet Chong telah bergegas ke lokasi sasaran
dengan menaiki sebuah kereta.
Sebuah lagi pasukan yang disertai DSP Gilbert Ang, ASP Lim Meng Aw,
ASP Chua Leng Kee, ASP Gui Pooh Choon, Inspektor Ong Kim Hock, Detektif
Sarjan Chong Kam Hwa dan Detektif Koperal Leong See Fok turut berkejar
ke sana.
Di sekeliling kilang papan tersebut, telah tersedia 120 orang anggota
polis dari dua trup Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan 60 anggota
Pasukan Polis Hutan (PPH) yang tiba bagi mengawal tempat berkenaan.
‘Magnificient 12’ berpecah kepada dua kumpulan di mana Kenny pergi ke
bahagian belakang kilang manakala yang lain membuat serbuan di bahagian
hadapan.
Sebaik sahaja sampai di kawasan belakang, beberapa orang lelaki Cina
yang berada di kilang itu ternampak kelibat Kenny lalu mereka
mengejarnya.
Ketika ini salah seorang daripada mereka, yang memiliki pistol di
kedua-dua tangannya, telah melepaskan tembakan liar ke arah Kenny namun
ia tidak kena pada sasaran.
Serentak dengan itu, Kenny yang tidak menghiraukan keselamatan
dirinya terus menghalakan senjata ‘sub machine gun’ jenis Sterling yang
dibawanya ke arah lelaki-lelaki Cina tadi dan membalas tembakan.
Dalam keadaan kelam-kabut dengan peluru bersimpang-siur itu, Kenny
terjatuh dan ketika ini Bahwandi serta Tet Chong melepaskan tembakan
bagi memberi perlindungan padanya.
Melihat Kenny terjatuh, salah seorang daripada lelaki Cina tadi
melemparkan sebutir bom tangan ke arah mereka bertiga namun mereka
bernasib baik kerana bom tersebut tidak meletup.
Kenny kemudian sekali lagi mengangkat senjata Sterlingnya dan terus
menghamburkan tembakan ke arah lelaki-lelaki Cina tadi hingga
menyebabkan dua daripadanya mati di tempat kejadian!
Antara
keratan akhbar lama yang disimpan DSP (B) Kenny Woodworth sepanjang
menjalankan tugas sebagai anggota PDRM di Petaling Jaya, Selangor. foto
HAZROL ZAINAL
Menurut Kenny, kedua-dua mayat itu kemudiannya dikenal pasti sebagai orang kanan Botak Chin iaitu Pangkor Chai dan Sakai Chai.
Namun, katanya, kedua-duanya bukan Botak Chin, sasaran utama mereka!
“Saya dapat tahu ada di antara peluru yang saya lepaskan melalui
senjata saya tadi telah menembusi dinding papan dan mengenai tubuh Botak
Chin.
“Tetapi Botak Chin yang berlumuran darah itu berjaya merangkak
mencari tempat persembunyian hingga kita tak dapat menemuinya pada
mulanya,” ujar Kenny.
Selepas itu, kata Kenny, sebuah pasukan lain masuk ke kilang tersebut untuk mencari penjenayah kejam yang licik itu.
Menurut Kenny, mereka akhirnya berjaya menemui Botak Chin yang
terbaring berlumuran darah dengan kecederaan parah di bahagian kaki dan
tangannya.
Ujar Kenny, Botak Chin sempat meminta air daripada salah seorang anggota polis tadi kerana mendakwa terlalu dahaga.
TANGKAL KEBAL
Antara
gambar-gambar lama yang disimpan DSP (B) Kenny Woodworth sepanjang
menjalankan tugas sebagai anggota PDRM di Petaling Jaya, Selangor. foto
HAZROL ZAINAL
Tambahnya, selain pistol, jam mewah berjenama Rolex, barang kemas,
dua keping gambar wanita dan wang tunai yang dirampas dari poket seluar
dan baju yang dipakai Botak Chin, turut ditemui sejenis tangkal yang dia
percaya ‘kebal’ dan boleh memberikan perlindungan diri kepadanya.
Ketika ditanya mengenai perkara tersebut, Kenny mengakui yang Botak
Chin memang memiliki dan memakai pelbagai ‘tangkal kebal’ sepanjang dia
melakukan jenayah..
“Selepas menembaknya, saya pergi jumpa dia di hospital dan dia mengaku membeli tangkal dari Indonesia dengan harga RM50,000.
“Saya kemudian mengambil tangkal itu dan ini membuatkan dia marah!
“Tetapi saya rampas juga (tangkal itu) dan jadikannya sebagai salah satu bahan ekshibit di mahkamah,” kata Kenny.
Selepas peristiwa berbalas tembak itu jugalah baru Kenny tahu yang selain Kulasingam, Botak Chin juga pernah mahu membunuhnya.
Antara
gambar-gambar lama yang disimpan DSP (B) Kenny Woodworth sepanjang
menjalankan tugas sebagai anggota PDRM di Petaling Jaya, Selangor. foto
HAZROL ZAINAL
Malah katanya, Botak Chin mengakui yang penjenayah itu hampir-hampir
berjaya membunuhnya selepas insiden serangan ke atas Kulasingam.
“Botak Chin cakap kat saya, pernah satu ketika dia sudah hampir
melepaskan tembakan ke arah saya tetapi saya bernasib baik kerana kereta
yang saya pandu berpusing hingga dia gagal mengesan kereta tersebut,”
ujar Kenny.
Dalam pada itu, Kenny menegaskan yang beliau sebenarnya tidak
menyimpan sebarang perasaan benci dan dendam terhadap penjenayah
tersebut.
Ujarnya, apa yang berlaku dan terjadi antara beliau dan Botak Chin
adalah perkara ‘profesional’, bukan bersifat peribadi kerana sebagai
pegawai polis, beliau perlu mengambil tindakan terhadap mereka yang
melanggar undang-undang tanpa mengira siapa si pelakunya.
DSP
(B) Kenny Woodworth melihat gambar-gambar lama sepanjang menjalankan
tugas sebagai anggota PDRM di Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL
ZAINAL
Malah menurut Kenny, ketika di mahkamah, beliau sempat menasihati
Botak Chin agar tidak mengaku salah begitu sahaja sebaliknya terus
berjuang untuk mendapatkan pengadilan.
Ini kerana, menurut Kenny, seseorang penjenayah perlu menggunakan
haknya di mahkamah untuk mencabar tindakan yang diambil terhadap mereka
dan bukannya menyerah kalah begitu sahaja.
“Saya kata kat Botak Chin…kita ni dah bermusuh agak lama tetapi nasib
kamu tidak baik hingga kena tembak…kenapa awak terus nak mengaku salah
dan hendak membiarkan diri untuk digantung?
“Kamu lawanlah kes kamu di mahkamah…mana tahu kamu boleh terus hidup,” kata Kenny kepada Botak Chin.
‘ROBIN HOOD’
Mengenai persepsi masyarakat yang mendakwa Botak China sebagai ‘Robin
Hood’, Kenny berkata, beliau kesal kerana ada yang sanggup memberi
pengiktirafan tersebut kepada penjenayah licik ini.
Tegas Kenny, Botak Chin berjaya mengaburi pandangan masyarakat dengan
memberi wang kepada orang miskin sedangkan itu hanya satu taktik
untuk’berlindung’ di sebalik perbuatan jenayah yang dilakukannya.
DSP
(B) Kenny Woodworth melihat gambar-gambar lama sepanjang menjalankan
tugas sebagai anggota PDRM di Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL
ZAINAL
“Dia hanya bagi dalam RM20 ke RM30 seorang sahaja, bukannya dia bagi
beribu-ribu… tetapi saya tak pedulilah kalau ada yang terus hendak
mengagungkan penjenayah itu, yang penting saya sudah menjalankan tugas
saya.
“Biarpun ramai yang lebih mengenali Botak Chin, saya tak ada alasan
untuk marah atau menyesal apatah lagi jika tiada yang mengenang jasa
saya, ini kerana saya sendiri yang memilih untuk memasuki polis, saya
terima saja apa saja keadaannya, saya suka kerjaya ini,” kata Kenny.
Selepas bersara daripada PDRM, Kenny telah dihubungi oleh jutawan Tan
Sri Lim Goh Tong yang ketika itu mahukan beliau mengetuai pasukan
keselamatan di taman tema Genting Highland milik taukeh kasino itu.
Kenny bagaimanapun memberitahu beliau hanya sempat berkhidmat di situ
selama dua tahun kerana ia bertentangan dengan prinsipnya yang memang
daripada dahulu tidak begitu menggemari hal-hal berkaitan dengan
perjudian.
Perbualan kami hampir sejam kemudiannya terhenti apabila menyentuh mengenai kehidupan ‘barunya’ di rumah orang tua-tua ini.
KEMATIAN ISTERI
DSP
(B) Kenny Woodworth merehatkan diri sambil memeluk gambar mendiang
isterinya, Joan Sylvia Maureen Webb di Petaling Jaya, Selangor. foto
HAZROL ZAINAL
Dengan nada sayu, Kenny memberitahu kehidupannya ketika ini tidak
lagi ‘sama’ seperti dahulu apatah lagi bila mengenangkan kematian
isterinya yang tersayang.
Tambahnya, pemergian isterinya itu benar-benar meninggalkan kesan
kerana mereka berdua saling sayang menyayangi walaupun tidak dikurniakan
zuriat.
“Saya tak boleh lupakan dia (isteri)…saya puas hati dengan apa yang
saya lakukan pada negara tetapi saya kesian (sedih) bila mengenangkan
masa saya bertugas sebagai pegawai polis dulu, dia selalu tinggal
berseorangan kerana tuntutan kerja saya, tetapi apa boleh buat.
“Akhir kata saya nak bagitahu, saya lahir di sini, saya nak mati di
sini…keluarga saya ada banyak di luar negeri tetapi saya tak pergi
pun…mereka minta saya datang ke England, Amerika Syarikat, New Zealand
tetapi saya bagitahu mereka saya tak mahu…ini saya punya negeri,”
katanya dalam nada perlahan.
Temubual bersama DSP (B) Kenny Woodworth di Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL
Setelah kira-kira sejam berada di rumah orang tua-tua persendirian
itu, kami mengambil keputusan untuk beredar, apatah lagi bila melihat
keadaan Kenny semakin keletihan.
Sebelum beredar, Kenny mengakui, beliau terpaksa mengeluarkan wang
simpanan dan menggunakan duit pencen bulanannya untuk membiayai
kehidupannya di rumah orang tua-tua persendirian itu namun beliau
sendiri tidak mempunyai pilihan.
Ujarnya, sekurang-kurangnya di sini makan minumnya terjaga dan pihak
pengurusan rumah tersebut boleh menghantarnya ke hospital untuk
mendapatkan rawatan.
Apabila melihat tubuhnya terpaksa dipimpin untuk masuk ke dalam
biliknya, kami seolah-olah tidak percaya yang lelaki tua itu satu ketika
pernah dianggap antara pegawai polis terbaik yang pernah ada dalam
PDRM, pernah satu ketika cukup ditakuti oleh penjenayah tegar dan pernah
satu ketika pernah berbalas tembak secara berhadapan dengan Botak Chin.
Sayang, tak ramai yang tahu kisah wira yang tak didendang ini, tak
ramai yang tahu kisah sedih yang menyelubungi insan hebat ini, tak ramai
yang tahu betapa beliau sanggup menperjudikan nyawanya demi memastikan
kita tidur lena dan Malaysia terus aman serta sejahtera.
Sesungguhnya kita dan negara terhutang budi padanya…DSP (B) Kenny James Woodworth! – Malaysia Gazette
BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pagi ini melontarkan
persoalan sama ada sebuah lagi parti politik akan ditubuhkan di
Malaysia.
Ahli Parlimen Pekan itu dalam hantaran di Facebooknya bertanya, sama
ada benar atau tidak mengenai penubuhan sebuah parti bernama Anak-anak
Daddy.
“Selamat pagi Malaysia. Dengar kata sebuah parti politik baru yang
dinamakan parti Anak-Anak Daddy bakal ditubuh? “Sahih ke berita ni?
Tanya je,” tanya Najib.
Hantaran tersebut dipercayai menyindir kenyataan bekas Perdana
Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu menubuhkan sebuah parti baru
Apa Aku Dapat atau AAD.
Menurut Ahli Parlimen Langkawi tersebut, parti Apa Aku Dapat itu
ditubuhkan dengan tujuan hanyalah untuk memperkaya orang Melayu yang
belum mendapat apa-apa.
Dr. Mahathir berkata, cara untuk memperkayakan orang Melayu dalam
parti Apa Aku Dapat tersebut ialah dengan melantik mereka sebagai
pegawai dalam badan-badan yang akan ditubuhkan.
Badan itu khusus untuk memenuhi hasrat memberi pendapatan yang
lumayan kepada orang Melayu yang belum mendapat apa-apa dan yang ingin
mendapat lebih banyak lagi.
“Nama parti ini ialah Parti AAD atau Parti Apa Aku Dapat. Tujuan: Memperkaya orang Melayu yang belum dapat.
“Jemputan: Siapa yang belum dapat boleh buat permohonan untuk jadi
ahli, atau Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan lain-lain.
Yuran: Tidak perlu.,” kata Dr. Mahathir dalam coretan ringkas di
Facebooknya pagi ini.
Tulisan itu dipercayai menyindir beberapa pihak yang dahulunya
menyokong Pakatan Harapan kini beralih kepada Perikatan Nasional.-SM
Ahli
Parlimen Barisan Nasional (BN) Noh Omar melemparkan kata kesat
‘p*****k’ terhadap RSN Rayer selepas ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH)
itu menggelarnya “stupid”.
PETALING JAYA: 2019 merupakan tahun cukup signifikan buat Parlimen,
dengan sekurang-kurangnya 2 keputusan dramatik dibuat iaitu pemansuhan
Akta Antiberita Tidak Benar 2018 dan menurunkan had umur mengundi kepada
18 tahun.
Namun untuk senarai 10 peristiwa penting pada 2019, kami memasukkan
beberapa kejadian yang jarang-jarang berlaku, dimulakan dengan tingkah
laku “dahsyat” ahli-ahli Parlimen.
1. Noh Omar melempar kata kesat “p*****k”
Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Noh Omar pada November
melemparkan kata kesat “p*****k” ketika berbahas mengenai hantaran di
media sosial yang mengkritik Sultan Selangor.
Kata kesat itu ditujukan kepada ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) RSN Rayer kerana menggelarnya “stupid”.
Bagaimanapun pada keesokan harinya, Noh mendakwa beliau tidak menyedari menyebut perkataan itu.
2. Menurunkan had umur mengundi dan pendaftaran mengundi secara automatik
Dewan Rakyat pada Julai sebulat suara meluluskan rang undang-undang
meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan individu berusia 18
tahun mengundi dan menjadi calon pilihan raya.
Rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas juga boleh didaftarkan
secara automatik sebagai pengundi. Bagaimanapun, Pengerusi Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) Azhar Harun berkata ia tidak dapat dilaksanakan
sehingga penyesuaian yang diperlukan dibuat mengikut undang-undang.
Beliau menjangkakan pendaftaran automatik itu hanya boleh dilaksanakan
pada pertengahan 2021. 3. Kerajaan gagal meminda perlembagaan
Pada bulan April, kerajaan gagal mendapatkan majoriti 2/3 yang
diperlukan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan
status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi yang sama dengan
Semenanjung Malaysia di Persekutuan Malaysia.
Ahli Parlimen dari Sarawak berkata mereka tidak mahu mengundi kerana
pindaaan rang undang-undang itu tidak menyebut tentang Perjanjian
Malaysia 1963.
4. Akta Antiberita Tidak Benar dimansuhkan
Akta Antiberita Tidak Benar 2018 akhirnya dimansuhkan pada Disember
selepas Dewan Negara meluluskan percubaan kedua yang dibawa Pakatan
Harapan untuk memansuhkan undang-undang berita palsu itu.
Senat menolak rang undang-undang itu tahun lalu selepas Dewan Rakyat
meluluskannya pada Ogos 2018. Ia dibentangkan semula pada Oktober dan
memperoleh 92 undi berbanding 51 undi yang menolaknya.
5. IPCMC ditunda
Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah
Laku Polis (IPCMC) ditangguhkan pada Disember ke sesi persidangan Dewan
Rakyat pada Mac tahun depan.
Ini kali kedua rang undang-undang itu ditangguhkan di Dewan Rakyat.
Ahli-ahli Parlimen pembangkang melaungkan “kami menang” apabila Menteri
di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong mengumumkan penangguhan itu.
Ketua pembangkang, Ismail Sabri Yaakob menyuarakan harapannya untuk mengeluarkan sepenuhnya rang undang-undang tersebut.
6. Abu Chin Peng dikaitkan dengan abu suci Hindu
Pada bulan Disember, ahli Parlimen BN Tajuddin Abdul Rahman digantung
daripada menghadiri Dewan Rakyat selama 2 hari selepas mengaitkan abu
suci yang dipakai RSN Rayer di dahinya dengan abu mayat pemimpin
komunis, Chin Peng.
Dua minggu sebelum itu, ahli Parlimen Pasir Salak tersebut membuat
kecoh di lobi apabila bertikam lidah dengan ahli Parlimen BN Ismail
Mohamed Said. Teriakan “bodoh” kedengaran di sepanjang koridor.
7. Ahli Parlimen pengsan
Dalam insiden pada Oktober, perbahasan belanjawan 2020 terpaksa
dihentikan seketika apabila Ahli Parlimen Nibong Tebal Mansor Othman
rebah ketika berbahas. Beliau dilihat terdiam secara tiba-tiba, hilang
imbangan dan rebah perlahan-lahan, sebelum disambut Ahli Parlimen
Subang, Wong Chen yang duduk di sebelahnya.
Pada bulan November, prosiding dihentikan sekali lagi selepas
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Syah pengsan
semasa sesi soal jawab.
8. Perisytiharan aset
Seramai 160 orang daripada 222 ahli Parlimen mengisytiharkan aset
mereka kepada speaker Dewan Rakyat bagi tarikh berakhir 5 Dis. Hanya 22
daripada 84 anggota Parlimen pembangkang melakukannya.
Pemimpin pembangkang lain memberi pelbagai alasan tidak
mengisytiharkan aset mereka. Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata
beliau tidak percaya gerakan itu mengikut undang-undang dan menambah
keikhlasan (pengisytiharan aset) adalah lebih penting.
9. Kertas putih pertahanan dibentangkan
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu membentangkan kertas putih pertahanan
pertama negara yang mengandungi perancangan pertahanan untuk tempoh 10
tahun.
Mohamad berkata peningkatan ancaman pengganas, ketegangan di Laut
China Selatan, serangan keselamatan siber dan peningkatan pemerdagangan
manusia serta pengedaran dadah sebagai sebab utama pembentangan kertas
itu.
10. Kekurangan korum di Dewan Rakyat
Prosiding Dewan Rakyat dihentikan 2 kali tahun ini kerana kekurangan
korum, mencetuskan kritikan ketua pembangkang Ismail Sabri Yaakob dan
ahli Parlimen PH Wong Chen terhadap pentadbiran kerajaan PH.
Perdana Menteri mengeluarkan amaran kepada ahli-ahli Parlimen PH yang ponteng.
Hari ini, Malaysia akan berpeluang menyaksikan kejadian alam yang
jarang-jarang berlaku, gerhana matahari cincin atau anulus di Tanjung
Piai, Johor dan Serian di Sarawak.
Kali terakhir fenomena alam ini terjadi kira-kira 21 tahun yang lalu di Mersing, Johor pada 22 Ogos 1998.
Pengarah
Planeterium Negara Anita Bahari dilaporkan berkata sebelum ini bahawa,
fenomena alam yang berlaku setiap 20 tahun, kali ini hanya akan berlaku di dua kawasan tersebut sahaja kerana pada ketika itu kedudukan bulan, bumi dan matahari adalah selari.
“Tanjung Piai terkenal dengan gelaran Penghujung Paling Selatan Tanah Besar Benua Asia di Pontian, Johor.
“Kebetulan
Tanjung Piai adalah pusat pelancongan terkenal di Johor. Ia menjadi
tumpuan dunia kerana pergerakan gerhana berlaku di seluruh dunia,”
katanya.
Menurutnya, fenomena itu akan berlangsung pada jam 11.26
pagi (fasa pertama) dan menghasilkan Anulus (fasa empat) tepat jam 1.21
petang di Tanjung Piai - manakala di Serian bermula jam 11.49 pagi dan
menghasilkan gerhana penuh pada jam 1.46 petang.
Pengarah Planeterium Negara Anita Bahari, dua dari kiri.
Gerhana
matahari cincin berlaku apabila bulan bergerak tepat di hadapan
matahari dan disebabkan ketika itu, bulan berada sedikit jauh daripada
bumi, maka saiznya sedikit kecil dan tidak akan dapat menutupi
keseluruhan bentuk piring matahari.
Akibatnya di dalam kawasan atau berhampiran dengan kawasan laluan tengah gerhana ini, matahari akan kelihatan seperti cincin.
Sementara itu, pada hari ini berbagai masjid dan surat mengadakan majlis solat sunat gerhana di seluruh negara.
Planetarium Negara dengan kerjasama Masjid Negara turut mengadakan majlis serupa Solat Sunat Khusuf secara berjemaah.
Solat akan diimamkan Ustaz Muhammad Afif Jamal daripada Masjid Negara di Ruang Legar Planetarium Negara pada jam 11.30 pagi ini.
Laman Facebook Planetarium Negara pula membawakan laporan secara langsung fenomena alam ini.
Secara amnya, laluan gerhana cincin ini akan bermula dari
Semenanjung Tanah Arab, kemudian memasuki selatan India dan Sri Lanka,
seterusnya Asia Tenggara merentasi Malaysia, Indonesia, Singapura dan
Filipina sebelum ia berakhir di lautan Pasifik.
Di Taman
Negara Tanjung Piai, Johor gerhana matahari cincin boleh dilihat selama 2
minit 31 saat, menurut laman astronomi tempatan, Falak Online.
"Selain
daripada kawasan di atas, seluruh Malaysia dan Brunei, serta sebahagian
Singapura akan dapat menyaksikan gerhana matahari separa.
"Di
kawasan ini, ketika waktu puncak gerhana, matahari tidak akan kelihatan
seperti cincin, tetapi lebih menyerupai bentuk ‘bulan sabit’," kata Falak Online.
Fasa
gerhana matahari berlangsung selama kira-kira 3 jam 51 minit, bermula
dengan kemunculan bayang-bayang bulan dan sampailah ke saat bulan
kembali hilang.
Falak Online mengingatkan orang ramai untuk menggunakan kaedah yang betul dan selamat untuk melihat gerhana ini.
"Kena ingat matahari ini amat terang dan amat berbahaya.
"Jangan sekali-kali pandang ke arah matahari tanpa penapis matahari yang betul," katanya.
Yang
di-Pertuan Agong berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah
Peringkat Kebangsaan kepada Datuk Dr Siddiq Fadzil pada Majlis Sambutan
Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan 2018/1440 Hijrah di Masjid Wilayah
Persekutuan malam tadi. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Presiden
Kolej Dar Al-Hikmah, Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil diumumkan sebagai
penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1440H/2018M.
Pengerusi Panel Majlis Perundingan Islam (MPI) itu menerima hadiah wang
tunai RM100,000 dan pingat serta sijil penghargaan daripada Yang
di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada majlis sambutan Maal Hijrah
Peringkat Kebangsaan 1440H/2018M di Masjid Wilayah Persekutuan, malam
tadi.
Ditemui pemberita kemudian, Siddiq berkata beliau berasa amat terharu dan 'kerdil' apabila dianugerahi penghormatan itu.
"Saya berasa kerdil dan takut, tapi saya beranikan diri untuk
menerimanya dengan semangat untuk mewakili para daie (pendakwah),
ilmuwan dan pendidik yang telah lakukan amal soleh (bekerja) tanpa
mengharapkan balasan.
"Selagi hayat dikandung badan, saya akan
teruskan menegakkan syiar Islam dan ajaran Islam bersama prinsip dan
nilainya," katanya.
Siddiq turut menasihati masyarakat agar sentiasa positif dan menerima perbezaan kaum di negara ini.
"Perbezaan itu bukan masalah, sebaliknya individu itu yang bermasalah
dan gagal menyingkap di sebalik perbezaan itu, misalnya sebuah pasukan
akan lebih kuat jika terdapat kepelbagaian di dalamnya," katanya.
Siddiq pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijah peringkat Negeri Perak pada sambutan Maal Hijrah 1427H/2016M.
Datuk
Dr Siddiq Fadzil menunjukkan Anugerah Tokoh Ma'al Hijrah 2018 yang
diterima beliau pada Majlis Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan
2018/1440 Hijrah di Masjid Wilayah Persekutuan malam tadi. --fotoBERNAMA
Sepanjang tempoh 2006 hingga 2017, seramai 19 individu daripada
pelbagai latar belakang dan kerjaya dikurniakan anugerah itu antaranya
bekas Ketua Menteri Sabah Tun Sakaran Dandai (1439H/2017M) dan bekas
Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (1432H/2010M).
Di
SHAH ALAM, bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang terpilih
sebagai Tokoh Maal Hijrah 1440H Negeri Selangor pada sambutan yang
diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Ambrin,
69, menerima wang tunai RM20,000, trofi Maal Hijrah, sijil penghargaan,
sepersalinan pakaian serta pakej mengerjakan umrah yang disampaikan
Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah mewakili Sultan Selangor
Sultan Sharafuddin Idris Shah pada majlis sambutan berkenaan.
Ambrin yang juga Anggota Dewan Diraja Selangor, ketika ditemui pemberita
menyifatkan anugerah itu menerbitkan rasa istiqamah untuk terus
berusaha menyumbang kepada pembangunan negara dan membaiki kelemahan.
"Semasa bekerja dulu (Ketua Audit Negara) banyak masalah saya cuba
ketengahkan. Saya berharap penjawat awam dapat mengambil iktibar
daripada laporan audit yang dikeluarkan.
"Kita bukan saja kena
bertanggungjawab terhadap bos, dengan kerja kita tetapi juga sentiasa
beringat bahawa ia adalah amanah Allah," katanya yang kini menjadi
Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Khas Isu-Isu Tadbir Urus, Perolehan dan
Kewangan Negara.
Sementara itu, penceramah bertauliah JAIS,
Danial Hakim Boey Abdullah @ Boey Kong Yuen, 56, menerima anugerah
'Tokoh Saudara Kita' sebagai menghargai sumbangannya yang banyak
menyantuni mualaf di sekitar Selangor menerusi kelas-kelas pengajian dan
bimbingan.
Danial Hakim juga melakukan dakwah kepada golongan
bukan Islam dan dakwah perbandingan agama di masjid serta surau di
negeri ini.
Tokoh Aktivis Masyarakat pula diberikan kepada Abdul
Aziz Abu Bakar, 52, atas jasanya mengetuai misi kemanusiaan di bawah
Majlis Perundingan Islam Malaysia antaranya ke Syria, Lubnan, Jordan,
Bangladesh dan Myanmar.
Selain itu, pasangan Mohd Salleh
Ashaari, 76, dan Ruslawati Mat Isa, 53, dianugerahi Tokoh Keluarga
Mithali atas kejayaan mereka mendidik lima anak sehingga ke menara
gading dan menjawat jawatan penting dalam sektor kerajaan dan swasta.
Mereka masing-masing menerima wang tunai RM10,000, sijil penghargaan, trofi Maal Hijrah serta pakej mengerjakan umrah.
Pertubuhan Aman Palestin Berhad pula diiktiraf menerima Anugerah
Pertubuhan Dakwah Sukarela dan membawa pulang wang tunai RM10,000, sijil
penghargaan, trofi Maal Hijrah serta buku-buku ilmiah.
Sementara itu, di TUMPAT, Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan Datuk Hassan
Mohamood dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Kelantan 1440 Hijrah.
Di SEREMBAN, Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan Allayarham Datuk
Mustafa Ahmad dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri.
Anugerah disampaikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz
Tuanku Munawir kepada anak Allahyarham, Muhammad Hilal pada majlis
sambutan yang diadakan di Masjid Negeri, malam tadi. -- BERNAMA
KOTA KINABALU – Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) mengesahkan objek
bercahaya yang melintasi ruang atmosfera yang disusuli dentuman kuat di
Sabah semalam adalah batuan dari angkasa lepas yang memasuki atmosfera
bumi disebabkan tarikan graviti bumi.
ANGKASA dalam kenyataan di sini hari ini berkata pada kebiasaannya
batuan meteor itu berasal daripada serpihan asteroid yang bersaiz lebih
kecil iaitu kurang dari O.5 meter persegi.
“Apabila memasuki ruang atmosfera bumi dengan kelajuan yang tinggi
batuan itu bergesel dengan partikel di atmosfera bumi dan menghasilkan
haba yang menyebabkan ia terbakar dan bercahaya,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu bunyi dentuman yang kuat mungkin disebabkan
batuan panas itu meletup di ruang atmosfera iaitu selepas beberapa saat
cahaya meteor tersebut hilang.
Hasil daripada letupan berkenaan batuan meteor tersebut akan berkecai
menjadi debu atau serpihan kecil yang berkemungkinan akan jatuh ke
bumi.-BERNAMA
Bulan penuh kelihatan di belakang Kuil Poseidon sebelum gerhana bulan di Cape Sounion berhampiran Athens, Greece. - Foto Reuters
NAIROBI: Di seluruh dunia,
para pengkaji bintang memandang ke langit pada Jumaat malam hingga awal
pagi Sabtu untuk melihat sekilas gerhana bulan terpanjang abad ke-21
yang berwarna merah atau dikenali bulan berdarah.
Gerhana bulan
berlaku apabila Bumi terletak selari di antara matahari dan bulan. Ini
bermakna cahaya matahari disekat oleh Bumi dan bulan meneruskan
bayangannya.
Tiada penapis khas diperlukan untuk melindungi mata
anda, yang menjadikan gerhana bulan berlainan daripada menonton gerhana
matahari, menjadikan pemandangan ini benar-benar selamat untuk dilihat
dengan mata kasar.
Bulan penuh atau bulan berdarah kelihatan dari Eropah, Rusia, Afrika,
Timur Tengah, kebanyakan Asia dan Australia walaupun awan menyekat bulan
di beberapa tempat.
Jumlah gerhana berlangsung 1 jam dan 43 minit, dengan keseluruhan gerhana berlangsung hampir empat jam.
Gerhana bulan kelihatan di belakang Masjid Sheikh Zayed di Abu Dhabi. - Foto Reuters
Ahli Astronomi University of Cambridge menjelaskan kepada Reuters,
gerhana itu digelar bulan berdarah kerana cahaya dari matahari melalui
atmosfera bumi sebelum mengenai bulan.
"Manakala atmosfera mengubah warnanya merah, sama seperti matahari apabila terbenam," katanya.
Salah seorang astronomi bersemangat meninjau gerhana bulan di Jeti Marina, Singapura. - Foto Reuters
Bulan
berdarah kelihatan ketika gerhana bulan di Perkampungan Raisting,
Selatan Bavarian berhampiran Munich, Jerman. - Foto Reuters
Gerhana bulan dilihat dari belakang sebuah rumah di Minsk, Belarus. - Foto Reuters
Sebuah meriam yang dikatakan ada kaitan dengan perang Kedah–Inggeris.
BUTTERWORTH - Apabila disebut saja tentang Terminal Feri Sultan Abdul
Halim, sudah pasti ramai yang sedia maklum bahawa ia merupakan antara
kawasan pelancongan terkenal di Pulau Pinang.
Tidak lengkap melancong ke negeri ini jika tidak merasai pengalaman
menaiki feri berusia puluhan tahun yang menghubungkan antara Seberang
Perai dan kawasan pulau.
Walaupun ramai pelancong asing dan tempatan sering berkunjung ke situ,
tetapi tidak ramai yang menyedari akan kewujudan peristiwa sejarah
berdekatan kawasan tersebut.
Bagi masyarakat setempat mungkin ada sebahagiannya yang sudah sedia maklum mengenai sejarah yang tersingkap di kawasan itu.
Namun bagi pelancong luar, mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa
di situ terdapat satu tempat yang dikenali sebagai Meriam Timbul.
Secara umumnya, nama Meriam Timbul terhasil akibat daripada peristiwa perang Kedah–Inggeris yang berlaku sekitar 1791.
Tidak ramai yang menyedari akan kewujudan sejarah di situ dek kerana pembangunan yang semakin rancak di sekitarnya.
Pembangunan yang jelas kelihatan adalah Penang Sentral yang menempatkan kemudahan stesen kereta api, bas, feri dan teksi.
Tidak jauh dari situ juga terdapat sebuah kawasan perumahan, sekolah,
universiti, bank dan pusat komersial yang semakin membangun.
Peperangan Kedah-Inggeris
Berdasarkan dokumentari Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), satu
sejarah besar berlaku di Seberang Perai apabila Sultan Kedah menyiapkan
angkatan perangnya untuk melancarkan tindakan ketenteraan ke atas
Syarikat Hindia Timur Inggeris di Kuala Perai.
Peristiwa ini merupakan satu catatan sejarah apabila armada laut,
Francis Light yang telah berlayar dari Tanjung Penaga melalui laut
berhampiran kampung nelayan Balai Pukat tiba di kawasan berhampiran
muara Sungai Perai. Perairan Sungai Perai yang menyimpan sejarah tersendiri.Mereka kemudiannya melancarkan serangan hendap bedilan meriam ke arah
tentera Kedah yang pada ketika itu sedang bergerak menyusuri laluan
darat.
Pada awalnya, Sultan Kedah yang membawa angkatan perangnya dari Kota
Kuala Kedah ke Seberang Perai sebagai persiapan menyusun strategi untuk
menyerang kapal Francis Light dari arah Sungai Perai.
Namun Francis Light dikatakan telah mengetahui rancangan itu lebih awal
melalui seorang pembelot di pihak Kedah yang telah membocorkan rahsia.
Rancangan Kedah itu bagaimanapun berjaya dipatahkan dengan serangan
hendap yang dilancarkan oleh Francis Light yang dikatakan lebih awal
bersiap sedia menunggu di perairan berdekatan Kuala Perai.
Ketika tentera Kedah diserang hendap, satu daripada beberapa meriam
yang dibawa itu dikatakan telah terpelanting dan tercampak di tepi
pantai.
Manakala persiapan yang lainnya juga turut musnah termasuk sebahagian
askarnya yang terkorban akibat bedilan meriam dari tentera Inggeris.
Timbalan Presiden Persatuan Sejarah dan Warisan Pulau Pinang
(Perwaris), Dahalan Fazil, mengesahkan perkara itu kepada Sinar Harian.
“Punca berlakunya peperangan tersebut adalah disebabkan oleh kegagalan
Francis Light yang pada ketika itu telah memungkiri janji,” katanya.
Pengkaji sejarah tempatan itu berkata, perjanjian yang dimeterai itu
pada awalnya adalah untuk melindungi Kedah daripada serangan Siam
kira-kira lebih 200 tahun lalu.
Beberapa lama kemudian, sebuah meriam ditemui dan dikatakan timbul
sewaktu air pasang di kawasan berdekatan Kuala Perai. Dek peristiwa
itulah nama Meriam Timbul diambil.
SEBAGAI Daulah Islam
yang pertama di Nusantara dan berdiri selama 452 tahun, Perlak terpaksa
juga melalui perit dan getir dalam mempertahankan kelangsungannya.
Seperti mana runtuhnya beberapa Daulah Islam yang besar ketika itu
seperti Daulah Ummayah (750M), Fatimiyah (1179M), Ayubiyyah (1250M) dan
Abbasiyah Baghdad (1258M), akhirnya Perlak turut mengalami nasib yang
sama. Salah satu faktor utama kelemahan dan keruntuhan Perlak ialah
akibat serangan besar-besaran yang dilakukan oleh Sriwijaya dalam
perluasan pengaruh mereka. Namun begitu, keruntuhan Perlak bukanlah
dalam erti kata runtuh yang sebenar, tetapi kerajaannya diserap masuk
dalam Kerajaan Samudera-Pasai kerana ketiadaan waris takhta. Percantuman
Perlak ke dalam Samudera-Pasai telah menamatkan sejarahnya yang berusia
hampir setengah abad itu.
Sepanjang sejarah Perlak selama 452
tahun, tidak banyak krisis dan pergolakan besar yang berlaku, sekali gus
membolehkan kerajaan ini bertahan dalam tempoh yang lama, walaupun ia
adalah Kerajaan Islam yang pertama di Nusantara. Krisis terbesar yang
dihadapi pada hujung abad kesembilan Masehi dan berlanjutan lebih
sedekad, adalah kerana pertembungan antara Sunni dan Syiah. Kejayaan
kelompok Sunni menguasai Perlak telah menamatkan sama sekali pengaruh
Syiah di Nusantara dan seluruh rantau ini menjadi Wilayah Sunni. Selepas
krisis Sunni-Syiah berakhir, hampir tidak ada catatan berkait dengan
krisis-krisis dalam negara di Perlak, sehinggalah Sultan Makhdum
Alaiddin Malik Mohamad Amin Shah Johan Berdaulat II (1230-1267M)
bersemenda dengan Raja Samudera yang menyebabkan kerajaannya diserap
masuk ke dalam wilayah yang baru di-Islamkan itu.
Krisis Syiah-Sunni: Perpecahan awal
Kemasukan pengaruh Sunni di Perlak
ekoran penubuhan Dayah Bukit Ce Breek pada zaman Sultan Sayyid Abdul
Rahim Shah (864-888M) telah menggugat kestabilan politik Perlak yang
beraliran Syiah sebelumnya. Para ulamak yang dibawa dari Parsi dan Arab
ke Perlak untuk mengajar di dayah tersebut telah menyebarkan fahaman
Sunni, terutama kepada keluarga Meurah Shahrun Nuwi. Ini menyebabkan
timbul krisis takhta selepas kewafatan Sultan Sayyid Abdul Rahim Shah
pada 888M di mana Sultan Sayyid Abbas Shah (888-913M) mulai tergugat
dengan gerakan untuk menaikkan semula keturunan Meurah Shahrun Nuwi
menggantikan keturunan Sayyid Ali. Ketika Sultan Sayyid Abbas wafat pada
913M, perebutan takhta telah membawa kepada pergolakan dan perang
saudara. Perang ini berlangsung selama dua tahun, yang berkesudahan
dengan kemenangan Dinasti Sayyid, lalu Sultan Sayyid Ali Mughyat Shah
(913-918M) dapat menjadi Raja. Namun, ia mengakibatkan Perlak berpecah
dua kepada Perlak Pesisir dan Perlak Pedalaman.
Perlak Paroh di Selatan yang dikuasai
oleh Sultan Sayyid Ali Mughyat Shah menjadi Kerajaan Syiah, sedangkan
Perlak Tunong di Utara dikuasai oleh Sultan Makhdum Malik Ibrahim yang
beraliran Sunni. Selepas kematian Sultan Sayyid Ali Mughyat Shah pada
918M, berlaku semula pergolakan perang saudara selama hampir 10 tahun,
sehingga Sultan Makhdum Malik Abdul Kadir yang beraliran Sunni dapat
menguasai dan menyatukan kedua-dua kerajaan pada 928M dan pihak Sunni
menjadi kerajaan baru di Perlak di bawah Dinasti Johan Berdaulat, iaitu
keturunan Meurah Shahrun Nuwi. Sejak Dinasti Johan Berdaulat dapat
menguasai kerajaan, boleh dikatakan hampir tiada lagi pergolakan yang
melibatkan perebutan takhta. Salah satu faktor yang membolehkan
penyatuan semula Perlak ialah kerana gerakan yang dilancarkan oleh
Sriwijaya untuk meluaskan jajahan mereka ke Utara, sehingga Wilayah Deli
dan Aru dapat dikuasai, termasuk jatuhnya Kerajaan Langkasuka di
Semenanjung Tanah Melayu ke tangan Sriwijaya. Demi mempertahankan
kelangsungan politik Perlak, wilayah yang berpecah ini bersatu semula di
bawah Sultan Makhdum Malik Ibrahim Shah Johan Berdaulat (986-1023M).
Serangan Sriwijaya dan Penyatuan Perlak
Pada akhir alaf pertama Masehi, Kerajaan
Buddha Sriwijaya telah melakukan perluasan wilayahnya ke bahagian Utara
Nusantara meliputi Utara Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu hingga
ke Ligor. Berdasarkan Prasasti Ligor (775M), perluasan Sriwijaya ke
bahagian Utara ini berlaku pada akhir abad kelapan Masehi. Sebelum ini,
Sriwijaya telah menguasai Minangatamwan (Jambi) pada 658M, sebelum
menjajah Kedah (682-685M) dan menyerang Jawa pada 686M. Kejayaan
perluasan ini telah mendorong Sriwijaya untuk menguasai Utara Sumatera,
dan dikatakan serangan Sriwijaya ke atas Perlak berlaku pada zaman
Sultan Malik Ibrahim Shah Johan Berdaulat (986-1023M), di mana serangan
telah berlaku selepas kewafatan Sultan Abdul Malik Shah Johan
Berdaulatan (856-983M). Disebabkan oleh serangan Sriwijaya ini, Raja
baru Perlak tidak dapat bertakhta sehingga baginda dapat menyatukan
semula semua Wilayah Perlak yang berpecah kerana isu Sunni-Syiah
sebelumnya. Raja Sriwijaya, Raja Sri Sudamaniwarmadewa dan Raja
Marawijayo Tunggawarman telah menyerang Perlak dan mengadakan hubungan
rapat dengan Kerajaan Chola di India, untuk mengepung Wilayah Islam ini.
Ketika Sriwijaya sedang mengepung
Perlak, sebagai wilayah terakhir yang akan dikuasai selepas Kedah,
Langkasuka dan Ligor dikuasai oleh mereka, di Selatan Sriwijaya berlaku
serangan daripada Dharmawangsa pada 1006M, diikuti oleh serangan Chola
ke atas Sriwijaya pada 1007M. Keadaan ini memaksa Sriwijaya meninggalkan
Perlak tanpa mencapai kemenangan. Sebahagian pengkaji mengatakan
serangan Sriwijaya ini memberi kesan besar terhadap kelangsungan kuasa
Perlak ke atas wilayah-wilayah kecil di Aceh. Kekuatan Perlak telah
terjejas sehingga ia menjadi salah satu punca kemerosotan kerajaan ini
kemudiannya. Namun begitu, walaupun Perlak mengalami kerugian tentera,
politik dan ekonomi yang besar akibat serangan ini, dari sudut yang
lain, Sultan Perlak berjaya menjadikan serangan ini asas untuk
menyatukan kembali Perlak dan menamatkan pergolakan dalaman, sehingga
Perlak dapat berdiri kukuh di bawah Dinasti Johan Berdaulat ini untuk
200 tahun sehingga 1292M.
Pembubaran Perlak dan kemunculan Samudera-Pasai
Sultan Makhdum Aladdin Muhammad Amin
Shah Johan Berdaulat II (1230-1267M), telah melalukan hubungan
diplomatik dengan Raja-raja sekelilingnya untuk mengukuhkan kedudukan
kerajaannya. Dikatakan, baginda mengahwinkan dua puterinya dengan
kerajaan-kerajaan sekitar, termasuk mengahwinkan puterinya, Puteri
Ganggang Sari (Puteri Raihani) dengan Raja Pasai, Meurah Silu.
Perkahwinan politik ini merapatkan hubungan kedua-dua kerajaan yang
telah Islam. Selepas, kewafatan Sultan Muhammad Amin Shah Johan
Berdaulat pada 1267M, putera baginda, Sultan Makhdum Aladdin Malik Abdul
Aziz Shah Johan Berdaulat (1267-1292) telah menjadi Sultan. Selepas
kematian Sultan Malik Abdul Aziz Shah Johan Berdaulat, iparnya, Meurah
Silu, Raja Samudera-Pasai telah bertindak menggabungkan Kerajaan Perlak
ke dalam Kerajaan Samudera-Pasai untuk membentuk sebuah Kerajaan Islam
yang lebih besar. Sejak itu, berakhirlah sejarah Kerajaan Perlak sebagai
Daulah Islam yang pertama di Nusantara.
Keseluruhannya, Kerajaan Perlak yang
berdiri sejak 840M adalah Kerajaan Islam yang pertama di Alam Melayu.
Pada peringkat awal, Islam yang berkembang adalah beraliran Syiah yang
didukung oleh Dinasti Sayyid, sebelum Dinasti Johan Berdaulat
mengembangkan mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah. Walaupun Perlak adalah
sebuah Kerajaan Islam yang baru dan terawal di Nusantara, mereka telah
berjaya melaksanakan Syariat, membangunkan pendidikan Islam dan
mengembangkan dakwah ke seluruh Nusantara. Dalam tempoh 452 tahun ini,
walaupun terpaksa berhadapan dengan beberapa krisis, perebutan takhta
dan serangan luar, namun Perlak tetap menjadi sebuah pelabuhan yang
terkenal pada abad ke-10 hingga 13M yang dikunjungi oleh pedagang dari
China, India, Arab, Parsi dan Alam Melayu sendiri, sehingga ia menjadi
pemangkin kepada perkembangan Islam.
Kerajaan negeri Sarawak memutuskan untuk meneruskan urusan pembayaran
elaun bagi ketua-ketua kaum di Sarawak, yang akan disegerakan sempena
ketibaan sambutan Hari Gawai pada 1 Jun ini dan sambutan Hari Aidilfitri
pertengahan bulan depan.
Menurut kenyataan Pejabat Ketua Menteri malam tadi, kerajaan negeri
membuat keputusan untuk meneruskan dan menanggung pembayaran elaun
berkenaan bagi ketua-ketua kaum di Sarawak.
Ini susulan pekeliling Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang
menangguhkan sementara semua urusan berkaitan Jawatankuasa Kemajuan dan
Keselamatan Kampung (JKKK/JKKK
Persekutuan) termasuk urusan pelantikan,
pertukaran, bayaran elaun dan lain-lain hal yang berkaitan.
Pengumuman kementerian itu adalah ekoran keputusan kerajaan pusat
semalam untuk membubarkan beberapa agensi dan badan kerajaan untuk
mengurangkan perbelanjaan kewangan negara.
21 pelajar SK Jabi keracunan makanan
Seramai 21 pelajar asrama Sekolah Kebangsaan Jabi di Pokok Sena
mengalami keracunan makanan selepas dipercayai makan daging masak hitam
ketika bersahur, awal semalam.
Semua pelajar membabitkan tujuh lelaki dan 14 perempuan berusia 11
dan 12 tahun menikmati hidangan berkenaan di kantin asrama pada jam 4.30
pagi sebelum mengalami cirit-birit dan muntah.
Kesemua pelajar berkenaan menerima rawatan awal daripada pasukan
perubatan dari Klinik Kesihatan Pokok Sena di sekolah berkenaan sebelum
dirujuk ke Jabatan Kecemasan, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor
Setar untuk menerima rawatan pesakit luar.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail,
dalam kenyataan, berkata hidangan daging masak hitam yang disediakan
oleh pengusaha kantin untuk bersahur disyaki punca keracunan. Asrama
sekolah tersebut menempatkan sejumlah 57 pelajar.
Dadah: Wanita warga emas Australia dihukum mati
Mahkamah Rayuan di Putrajaya menjatuhkan hukuman mati terhadap
seorang wanita warga emas dari Australia, Maria Elvira Pinto Exposto,
kerana mengedar 1,142.8gm methamphetamine yang disembunyikan dengan
dijahit pada suatu bahagian beg galas dibawanya.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki
mensabitkan kesalahan Exposto bagi tududuhan mengedar dadah selepas
membenarkan rayuan pihak pendakwa agar keputusan Mahkamah Tinggi Shah
Alam yang membebaskan dan melepaskan wanita itu, diubah.
“Kami dapati rayuan itu mempunyai merit. Kami membenarkan rayuan itu
dan mengetepikan keputusan pembebasannya,” kata beliau sambil
menjelaskan bahawa Exposto disabitkan bagi kesalahan itu.
Ibu kepada tiga anak itu dituduh mengedar dadah berkenaan di Cawangan
Pemeriksaan Penumpang 1 (CPP1), Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal
Utama Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada kira-kira 3.40 petang
7 Dis 2014.
BNM serbu Axios Group kerana guna perkataan 'Bank'
Bank Negara Malaysia (BNM) melakukan serbuan ke atas Axios Group Sdn
Bhd berikutan syarikat itu disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen
139(1)(a) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) kerana menggunakan
perkataan “bank” pada papan tanda premis pejabat mereka di Cheras dan
laman web tanpa kelulusan bertulis daripada bank pusat itu.
Dalam satu kenyataan semalam, BNM berkata semasa serbuan dilakukan,
dokumen yang berkaitan dan komputer dirampas untuk membantu siasatan.
“Di bawah seksyen 139 (1) FSA, adalah suatu kesalahan bagi mana-mana
pihak menggunakan perkataan ‘bank’ tanpa kelulusan bertulis kecuali
pihak tersebut dilesenkan di bawah Akta ini untuk menjalankan perniagaan
perbankan atau perniagaan perbankan pelaburan, di mana jika sabit
kesalahan boleh dipenjara untuk tempoh tidak melebihi lapan tahun atau
denda tidak lebih RM25 juta atau kedua-duanya,” katanya.
MCCC optimis harga barang turun dengan pemansuhan GST
Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) optimis harga barang akan
turun dengan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan
pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Presiden MCCC Tan Yew Sing berkata beliau akan terkejut jika harga
barang tidak turun apabila perpindahan dua sistem cukai itu berlaku.
“Pelaksanaannya akan mengambil sedikit masa, tetapi saya akan
terkejut jika ada barang yang tidak turun harga, mungkin ada sesuatu
yang tidak betul dan mungkin peniaga tidak memberikan respons,” katanya
kepada pemberita selepas bertemu dengan Majlis Penasihat Kerajaan
semalam.
Pakatan Harapan yang membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu
selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 antaranya berjanji untuk
menghapuskan GST secara keseluruhan dan memperkenalkan semula SST dalam
tempoh 100 hari.
Siri KEN: JPJ Kedah sasar lebih 2,500 permohonan tender
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah menjangkakan menerima lebih
2,500 permohonan tender apabila siri plat nombor pendaftaran KEN dibuka
pada penghujung bulan ini.
Pengarahnya, Ismasuhaimi Shariff berkata, ia dijangka mencatatkan
permohonan paling banyak berbanding siri plat nombor pendaftaran sebelum
ini, malah harganya juga dijangka mencecah sehingga RM500,000.
"Permohonan tender bagi siri plat nombor pendaftaran KEN akan dibuka
kepada umum selewat-lewatnya penghujung Mei ini dan permohonannya
dijangka paling banyak berbanding siri plat sebelum ini.
"Dari segi harga, sebelum ini bidaan mencecah RM300,000 bagi
satu-satu nombor, namun kali ini saya percaya akan ada nombor yang
mencecah bidaan sehingga RM500,000, selain bidaan lebih RM100,000 bagi
nombor 'satu digit'," katanya kepada pemberita di Sungai Petani semalam.
KPS mahu pengambialihan Splash diselesaikan segera
Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS) berharap semua isu mengenai
pengambilalihan syarikat konsesi air, Syarikat Pengeluar Air Selangor
Sdn Bhd (Splash) akan dimuktamadkan dengan segera di bawah kerajaan
Persekutuan dan negeri yang baharu.
Pengerusinya Raja Datuk Idris Raja Kamarudin berkata KPS, yang
memiliki pegangan sebanyak 30 peratus dalam Splash, mahu Selangor dan
kerajaan Persekutuan pada masa ini menyelesaikan semua isu tertunggak
berkaitan pengambilalihan syarikat konsesi air pada 4 Julai, susulan
tarikh akhir yang ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini.
“Kami berharap tarikh akhir ini (bagi pengambilalihan Splash) akan
muktamad dan tiada lagi lanjutan...supaya kita semua boleh meneruskan
kehidupan kita dan tidak membincangkan mengenai pengambilalihan itu
lagi. Jika ia (Splash) akan dijual, hendaklah dijual.
“Kumpulan berharap terdapat keazaman yang kuat untuk menyelesaikan
isu pengambilalihan ini bukan sahaja atas dasar KPS dan kerajaan
Selangor tetapi juga untuk pengguna di negeri ini yang ingin melihat
wujud penambahbaikan dari segi kualiti air dan sistem pengedaran,”
katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan dan luar biasa
KPS semalam.
Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd dan
Konsortium Abbas Sdn Bhd menjual aset air mereka, masing-masing pada
nilai RM2.47 bilion, RM3.11 bilion dan RM990 juta kepada Pengurusan Air
Selangor Bhd.
Splash merupakan aset air terakhir yang akan diambil alih di bawah langkah penstrukturan semula air Selangor.- Bernama
“Sokongan saudara-saudari kepada
Najib akan memburukkan lagi keadaan negara tercinta ini. Takkanlah
saudara-saudari tidak sedar bahawa dari sebuah negara yang dikagumi
dunia, Malaysia sudah jadi negara rasuah pimpinan penjenayah yang
diketawakan dunia.”
Demikian petikan surat terbukan Pengerusi Pakatan Harapan, merangkap
mantan perdana menteri keempat Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada
ahli-ahli UMNO seluruh Malaysia.
Baca dan sebarkan kepada rakan-rakan yang masih tegar menyokong kepimpinan kleptokratik UMNO-BN.
KUANTAN: Seekor ular sawa sepanjang tujuh meter berjaya ditangkap oleh
pasukan bomba ketika sedang menjalar di padang tembak, Jalan Penor-Ubai
di sini, awal pagi tadi.
Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)
Pahang, Mohd Sani Harun, ular seberat lebih 100 kilogram berkenaan
ditangkap kira-kira jam 2.13 pagi tadi.
Menurutnya, ular berkenaan mengalami kecederaan selepas dipercayai dilanggar kenderaan ketika melintas jalan berkenaan.
"Bagaimanapun kelibat ular sawa itu sedari oleh pengguna jalan raya
yang lain sebelum menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan.
Sepasukan lapan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja
menerima panggilan kecemasan dan apabila sampai memang terdapat seekor
ular sawa sedang menjalar di padang berdekatan jalan, namun ia berada
dalam keadaan lemah.
"Pada mulanya anggota ingin menghalau ular berkenaan ke dalam hutan
berhampiran, namun disebabkan ia mengalami kecederaan, kita terpaksa
membawanya pulang," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, anggota bomba terpaksa mengambil masa hampir satu jam
untuk menangkap dan membawa pulang ular berkenaan kerana ia terlalu
besar serta agak agresif walaupun mengalami kecederaan.
Katanya, haiwan berkenaan kemudian diserahkan ke Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) pagi ini.
Biarpun dikategorikan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) fizikal,
namun itu tidak menghalang Rahmat Martudi, 23 untuk menyertai pasukan
beruniform Kesatria Negara Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Pelajar tahun pertama Diploma Embedded System, Institut Mara itu
berkata, minat untuk memakai baju beruniform dan menjalani latihan kawad
lahir sejak beliau di bangku sekolah lagi.
Malah beliau tidak kekok untuk menjalani aktiviti ala tentera sepertimana yang dilakukan masyarakat normal lain.
“Dulu saya pernah menyertai badan beruniform di sekolah, saya nak
cuba nak rasa sebagaimana orang normal rasa dalam menyertai badan
uniform, saya ambil peluang ini berdasarkan minat,”
katanya selepas
selesai menyertai Latihan Intensif Bakal Komander (LIBK) siri ke 52 di
Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Saya rasa saya tidak ada beza dengan peserta lain, kalau kita rasa berbeza dengan orang lain sampai bila kita nak dipinggirkan.
“Kalau kita golongan OKU tidak boleh lakukan sebagaimana orang biasa
lakukan, maka kita akan tetap ditakok lama, kita perlu ubah pemikiran
bahawa badan uniform bukan untuk orang normal sahaja.
“Pada mulanya agak susah untuk saya hadapi kerana langkah saya
berbeza dengan langkah orang normal, tetapi bila sudah selalu berkawad
maka saya sudah boleh ikut rentak mereka berkawad.
Rahmat antara 113 peserta yang menamatkan siri dwi-tahunan LIBK ke 52 yang diadakan di Padang Kawad UiTM hari ini.
Hadir menyempurnakan majlis tamat latihan berkenaan, Datuk Nurulhdayah Ahmad Zahid.
Menurut beliau, disiplin terhadap pelajar-pelajar universiti amat
penting bagi menyediakan mereka dalam menghadapi alam pekerjaan pada
masa akan datang.
“Aktiviti melibatkan disiplin dan memerlukan masa yang lebih di
padang kaedah boleh membina sahsiah diri yang tinggi, jadi remaja perlu
memainkan peranan sendiri dalam memastikan masa depan mereka lebih
terjamin.
“Semua ini untuk anak bangsa kita juga, displin sangat penting masa
kini bukan hanya masa belajar tetapi juga di bidang pekerjaan mereka
nanti,” katanya selepas merasmikan majlis penutup LIBK kali ke 52 hari
ini.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Pusat Kokurikulum, Hal Ehwal Pelajar
(HEP) UiTM, Noor Afzan Zakaria, pihak pengurusan tidak menghalang
mana-mana pelajar di bawah Mara untuk menyertai badan uniform itu selagi
ada minat dan displin yang mendalam.
Malah katanya, pihak pengurusan juga berbangga dengan pencapaian
Rahmad sehingga dinobatkan Pelatih Terbaik Keseluruhan bagi siri latihan
kali ini.
“Dalam Kesatria Negara UiTM, untuk menjadi Komander tidak ada syarat
khusus sebagaimana untuk menyertai Palapes dan Suksis. Janji mereka ada
minat dan sihat sudah boleh menyertai Kesatria UiTM.
“Malah dia sangat menunjukkan semangat yang tegar dan bukan
menunjukkan beliau seorang yang OKU. Jurulatih juga kata bahawa Rahmat
adalah seorang yang mempunyai semangat luar biasa,” katanya lagi.
Selain Rahmat, LIBK ke 52 turut mengangkat Mohd Syazwie selaku
peserta terbaik UiTM bagi kategori lelaki dan Nursyahida Razi bagi
kategori sama untuk perempuan. -MalaysiaGazette.