Khamis, 29 Oktober 2009

Belanjawan 2010: Rakyat digadai ! Keuntungan diutamakan!

KENYATAAN MEDIA


Parti Sosialis Malaysia amat kecewa dengan Belanjawan 2010 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri pada Jumaat 23hb Oktober 2009. Nampaknya Kerajaan BN masih belum belajar daripada krisis kewangan yang melanda dunia tahun ini. Krisis ekonomi sedunia dengan jelas membawa kita kepada tiga hakikat:-

1. Sistem pasaran bebas tidak mampan kerana ianya diacu oleh ketamakan badan-badan korporat dan akan menyebabkan kegawatan ekonomi dan kesengsaraan rakyat awam dari semasa ke semasa.

2. Ketamakan kaum korporat telah mengurangkan gaji pekerja di seluruh dunia dengan kaedah-kaedah seperti "outsourcing", "sistem kontrak", kegunaan pekerja migran dan lain-lain. Ini telah mengecutkan permintaan kasar (aggregate demand) - suatu punca utama yang mencetuskan krisis ekonomi 2008.

3. Sistem pasaran bebas tidak boleh dipercayai untuk menjamin kesejahteraan rakyat jelata, ataupun menjaga alam sekitar dunia.

Malangnya, kerajaan kita langsung tidak ambil kira hakikat-hakikat ini dalam merancangkan Belanjawan 2010. Kerajaan meneruskan pendekatan sektor korporat antarabangsa di mana penjanaan terpenting adalah dalam perkembangan ekonomi Malaysia.

Rakyat tergadai, Untung diutamakan

Sememangnya, slogan Perdana Menteri sedap didengar - "Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan". Malangnya cakap tak serupa bikin. Wujudnya beberapa strategi utama dalam Belanjawan yang menjejaskan kepentingan rakyat awam, menimbulkan persoalan "Rakyat tergadai, Untung diutamakan".

Kami menimbulkan lima isu penting intisari Belanjawan 2010 iaitu,

I. Meningkatkan usaha untuk menarik lebih ramai pelabur asing untuk datang dan melakukan pelaburan di Malaysia. Satu antara usaha ini adalah untuk meliberalisasi ekonomi dan menghapuskan sekatan yang sedia ada berkaitan pelaburan asing.

II. Meneruskan dengan dasar penswastaan walaupun penswastaan kemudahan awam membebankan rakyat.

III. Menggalakkan pelancongan kesihatan dengan memberi insentif mengurangkan cukai pada hospital-hospital swasta yang berjaya menarik lebih ramai lagi pesakit daripada negara lain ke Malaysia.

IV. Mengurangkan kadar cukai pendapatan untuk kumpulan yang terkaya di Malaysia.

V. Meneruskan dengan rancangan untuk melaksanakan suatu jenis cukai yang membebankan rakyat jelata ia-itu cukai "GST – cukai terhadap segala barangan dan perkhidmatan yang dibeli oleh rakyat biasa.

Gaji rendah

Penglibatan kerajaan Malaysia dalam perebutan persaingan dengan Negara jiran untuk menarik pelabur asing ke negara ini telah dan sedang membawa beberapa kesan buruk kepada rakyat biasa kita. Pelabur asing mahu sesebuah negara di mana gaji adalah rendah, pekerja mudah dikendalikan, kesatuan pekerja lemah dan tidak berkesan dan undang-undang yang melindungi pekerja adalah hanya seperti melepaskan batuk di tangga.

Oleh kerana kerajaan Malaysia telah menjadikan pelaburan asing (FDI) suatu aspek utama dalam strategi pembangunan ekonomi Negara, kerajaan kita sanggup mewujudkan suasana seperti ini untuk menarik pelabur koporat asing.

Oleh ini terdapatlah di Malaysia gaji harian serendah RM16 sehari, tiga juta pekerja migran yang sanggup berkerja dengan gaji yang murah rendah dan juga usaha-usaha yang berterusan untuk melemahkan lagi undang-undang yang melindungi pekerja daripada dimangsakan oleh majikan mereka.

Kaum pelabur tidak suka dicukai. Untuk menarik lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia kerajaan kita telah menurunkan cukai terhadap korporat dari 40% pada 1988 dan telah menurun ke 26% pada masa ini. Dalam belanjawan ini, cukai terhadap individu yang kaya di Malaysia dikurangkan juga ke 26%.

Pada takat ini, cukai terhadap korporat dan individu telah menyumbang RM 47 billion kepada pendapatan kerajaan pada tahun 2009. Bila cukai terhadap lapisan kaya dikurangkan, pendapatan kerajaan juga akan berkurangan.

Cukai "GST"

Oleh itu kerajaan terpaksa mengurangkan pembekalan kemudahan asas kepada rakyat ataupun akan memindahkan beban cukai ke atas rakyat biasa dengan melaksanakan cukai "GST". Kedua-dua langkah ini tentu akan menyusahkan rakyat biasa - tetapi kita diberitahu "rakyat didahulukan"!

Cadangan dalam belanjawan 2010 untuk mempergiatkan lagi pelancongan kesihatan adalah suatu bukti lagi bahawa kerajaan kita ini tidak mempedulikan kebajikan rakyat biasa. Memang jelas kepada semua pemerhati bahawa masalah utama di Hospital Awam di Malaysia adalah kekurangan doktor pakar. Terlalu ramai doktor pakar telah berhijrah ke sektor swasta kerana pendapatan di Hospital Swasta jauh lebih lumayan.

Perkembangan perniagaan hospital swasta yang akan dijanakan oleh pendatangan lebih ramai pesakit asing ke Malaysia akan mempercepatkan lagi penghijarahan doktor pakar ke sektor swasta. Inikah ertinya "Rakyat didahulukan"?

Adakah Perdana Menteri tidak menyedari kontradiksi antara slogan manis beliau dan cadangan-cadangan spesifik yang terkandung dalam belanjawan 2010? Ataupun adakah cogan kata manis itu hanya untuk memesong rakyat jelata sambil beliau bertungkus lumus membantu pihak korporat, lapisan kaya dan para kroni BN?

*Kenyataan media oleh Jeyakumar Devaraj, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, merangkap Ahli Parlimen Sungai Siput.;

Tiada ulasan: