Sabtu, 31 Oktober 2009

Majlis Peguam diminta teliti 5 perkara ISA

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA – Majlis Peguam diminta meneliti dahulu lima perkara yang sering menjadi pertikaian berhubung Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum bertegas mahu akta itu dimansuhkan.

Lima perkara itu membabitkan soal tempoh tahanan, layanan ke atas tahanan dan nasib ahli keluarga mereka, kuasa menteri persepsi tentang penyalahgunaan ISA bagi kepentingan politik dan penahanan tanpa bicara.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sekiranya mereka membuat penilaian secara terperinci, tidak ada sebab akta itu dihapuskan dan digantikan dengan akta baru.

‘‘Saya minta Majlis Peguam meneliti dahulu lima perkara itu sebelum membuat pendirian untuk memansuhkan akta tersebut.

‘‘Dalam hal ini, sesi kita untuk berjumpa dengan pihak-pihak berkenaan merupakan satu pendekatan yang baik dan membawa hasil yang membantu daripada kita membuat pendirian yang beremosi atau berdemonstrasi di tengah-tengah jalan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet kementeriannya di sini hari ini.

Kementerian Dalam Negeri sebelum ini mengadakan lima sesi pertemuan awam melibatkan agensi-agensi penguat kuasa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar-pakar akademik, pengamal undang-undang, ahli-ahli politik, ahli-ahli Parlimen serta individu-individu.

Pertemuan terakhir semalam pula melibatkan Majlis Peguam, Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Biro Tatanegara, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam dan Majlis Pertubuhan Wanita Kebangsaan (NCWO).

Tiada ulasan: