Jumaat, 30 Oktober 2009

Pengiraan merit ke IPTA guna gred baru mulai tahun hadapan

BERNAMA


PUTRAJAYA: Mulai tahun depan, pengiraan merit untuk kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 dan setaraf akan menggunakan penggredan baru.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Prof Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi berkata perubahan itu selaras dengan sistem penggredan baru Kementerian Pelajaran yang memperkenalkan peringkat kelulusan A+ untuk pelajar SPM 2009 berbanding gred 1A sebelum ini .

"Sistem ini diperkenalkan untuk memilih yang terbaik di kalangan terbaik bagi memasuki IPTA supaya ada perbezaan contohnya antara A+ dengan A dengan A," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Melalui sistem baru itu, pelajar yang mendapat A akan dikategorikan kepada A+, A dan A dengan merit masing-masing 18, 16 dan 14, katanya.

Beliau berkata gred 3B ditukar kepada B+ dengan merit 12, 4B kepada B(10), 5C kepada C+ (lapan), 6C kepada C (enam), 7D kepada D(empat), 8E kepada E (dua) dan 9G kepada G dengan merit sifar.

Bagaimanapun Dr Radin Umar berkata kaedah baru itu akan mengambil kira syarat khas kemasukan program pengajian seperti gred 6C (kepujian) sebelum ini, tarafnya tidak akan diturunkan ke gred lebih rendah.

"Pemprosesan, pengiraan markah merit, syarat am universiti, syarat khas program pengajian serta pemilihan calon akan dilaksanakan secara dua kaedah dalam proses transisi iaitu kaedah sedia ada bagi lepasan SPM 2008 dan sebelumnya serta kaedah terkini bagi calon lepasan SPM 2009," katanya.

Beliau berkata ini bagi memastikan peluang pelajar lepasan SPM terdahulu untuk melanjutkan pengajian ke IPTA tidak terjejas.

Katanya pelaksanaan kaedah pengiraan markah merit terkini itu akan disebarkan melalui Karnival Pengajian Tinggi Negara 2010 mulai Januari hingga Mac tahun depan di 10 zon terpilih seluruh negara.

"Kementerian juga akan mengadakan taklimat kepada guru bimbingan dan kaunseling serta mengemas kini maklumat itu melalui cetakan dan agihan brosur ke Jabatan Pelajaran Negeri dan sekolah serta di laman web kementerian (Pengajian Tinggi) dan Kementerian Pelajaran," kata Dr Radin Umar.

Tiada ulasan: