Sabtu, 31 Oktober 2009

Gali semula kubur Teoh, mahkamah dengar permohonan Rabu depan

BERNAMA


SHAH ALAM: Mahkamah Koroner di sini, hari ini menetapkan Rabu depan bagi mendengar permohonan menggali semula mayat Teoh Beng Hock, bagi membolehkan bedah siasat kedua dilakukan oleh pakar patoloji Thailand, Dr Porntip Rojanasunan.

Ketika dihubungi, peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, mengesahkan tarikh pendengaran permohonan tersebut.

Pada Selasa lalu, abang mendiang, Teoh Meng Kee, memfailkan satu permohonan di Mahkamah Tinggi di sini supaya mayat adiknya dikeluarkan semula daripada tanah perkuburan untuk tujuan bedah siasat kedua dan mendapatkan pandangan kedua daripada Dr Porntip.

Sebelum ini, Dr Porntip memberitahu inkues bahawa ada 80 peratus kemungkinan setiausaha politik kepada ahli exco Selangor, Ean Yong Hian Wah itu mati dibunuh dan kesan-kesan kecederaan dialami semasa mangsa masih hidup.

Pada 16 Julai lalu, Beng Hock, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam selepas memberi kenyataan mengenai dakwaan salahguna peruntukan kerajaan negeri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di bangunan yang sama.

Mayatnya sudah dikebumikan empat hari kemudian di Nirwana Memorial Park, Semenyih, Selangor.

Tiada ulasan: