Jumaat, 30 Oktober 2009

Foto mayat: Saman bapa Nurin dibicarakan

BERNAMA


Kes saman kecuaian yang difailkan oleh Jazimin Abdul Jalil, bapa kepada Nurin Jazlin, kanak-kanak yang diculik dan dibunuh dua tahun lepas, berhubung penyebaran gambar bedah siasat anaknya melalui internet, mesti ditentukan menerusi perbicaraan penuh, Mahkamah Tinggi memutuskan hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Datin Zabariah Mohd Yusof menolak permohonan Jazimin untuk penghakiman ringkas mengikut Aturan 14A Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980.

Zabariah membuat keputusan itu dalam kamar selepas selesai mendengar hujah daripada peguam Jazimin, Akbardin Abdul Kader, dan Peguam Kanan Persekutuan Noorin Badaruddin.

Beliau menerima hujah Noorin yang menyatakan kes itu tidak sesuai untuk diberi penghakiman terus.

Jazimin memohon penghakiman terus dengan alasan pihak polis telah mengaku dalam pernyataan pembelaan bahawa pihaknya membawa keluar gambar bedah siasat itu.

Mahkamah menetapkan 17 Dis ini untuk pengurusan kes berhubung permohonan itu termasuk permohonan pihak polis untuk membatalkan saman tersebut.

Akbardin memberitahu pemberita beliau akan memanggil tiga atau empat saksi daripada ahli keluarga dan saudara Nurin untuk memberi keterangan.

Pada 21 Ogos 2008, Jazimin pekerja di syarikat keselamatan, menyaman Ketua Polis Negara, Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya dan Kerajaan Malaysia kerana didakwa cuai menyebabkan gambar itu tersebar di internet.

Dalam pernyataan tuntutannya, Jazimin berkata penyebaran gambar bedah siasat itu telah memalukan keluarganya dan mengganggu emosi mereka.

Dalam saman kecuaian itu, Jazimin tidak menyatakan jumlah ganti rugi tetapi memohon ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi melampau, faedah terhadap ganti rugi am, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Nurin, 8 tahun, ditemui mati selepas 27 hari dilaporkan hilang pada 20 Ogos 2007, ketika keluar bersendirian ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju.

Mayat pelajar tahun dua SRK Desa Setapak itu ditemui dalam sebuah beg pakaian sukan yang diletakkan di hadapan premis perniagaan di Petaling Jaya dan hasil bedah siasat mendapati Nurin juga didera secara seksual.

Tiada ulasan: