Memaparkan catatan dengan label ISA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ISA. Papar semua catatan

Sabtu, 8 Ogos 2020

OKU terkesan teruk semasa PKP

Law King Yew berkata, kerajaan terlepas pandang keperluan individu yang 
mengalami kecacatan fizikal semasa pelaksanaan PKP. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kerajaan didakwa terlepas pandang individu dengan kecacatan fizikal ketika memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan selepas ia menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) Mac lepas.

“Komuniti kelainan upaya tertinggal dan tidak dibantu,” kata bekas jaguh angkat berat Paralimpik Law King Kiew kepada FMT.

Beliau berkata, kehidupan semasa pelaksanaan sekatan menjadi lebih sukar bagi mereka yang memerlukan bantuan penjagaan diri.

Bercakap mengenai rakannya yang mengalami kecederaan leher dan tinggal bersendirian beliau berkata, mereka terpaksa menjaga diri sendiri selama beberapa bulan.

“Kehidupan sangat sukar bagi mereka. Tiada sukarelawan yang datang untuk memandikan atau memakaikan pakaian mereka.”

Law, yang menghidap kecederaan saraf tunjang berkata, beliau kehabisan makanan berkhasiat pada minggu ke-2 sekatan dan terpaksa bergantung pada mi segera semata-mata.

Katanya, beliau berasa “putus harapan dan tertekan”, selain bimbang berhubung OKU lain yang mungkin terlalu lemah untuk terus bertahan.

Pengarah eksekutif Majlis Kebangsaan Orang Buta Malaysia (NCB) Moses Choo berkata, kerajaan sering terlepas pandang cabaran yang dihadapi oleh OKU.

Ramai daripada kira-kira 3,000 tukang urut buta di negara ini tidak mendapat bantuan yang diberikan oleh kerajaan semasa PKP.

“Salah satu kesukarannya ialah ramai tukang urut bekerja berdasarkan komisen dan tidak mendapat kemudahan Socso, yang merupakan sumber bantuan kerajaan semasa PKP,” kata Choo.

“Ketika bantuan diberikan kepada rakyat Malaysia yang lain, mereka tidak mendapat apa-apa.”

Bagi membantu golongan itu, Choo bekerja rapat dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi membangunkan prosedur operasi standard (SOP) untuk membolehkan pusat urut dibuka semula dengan selamat supaya mereka boleh bekerja.

“Kami perlu berbuat sesuatu, dan dengan segera,” katanya.

Bagaimanapun beliau menghargai sifat dermawan rakyat dengan berkata, ramai yang memberi sumbangan ”seperti wang, baucar makanan dan makanan masak” di samping dana RM250,000 yang dijanjikan oleh NCB untuk ahli persatuan gabungannya.

Law mengucapkan terima kasih kepada NGO “yang datang membantu”.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat, bilangan rakyat Malaysia yang berdaftar sebagai OKU pada 2017 adalah seramai 453,258 orang.

Selasa, 19 Mei 2020

Kuala Selangor kembali ke zon kuning

Norzamira Che Noh

GAMBAR hiasan

KUALA Selangor kembali memasuki zon kuning apabila empat mukim di daerahnya merekodkan kes aktif Covid-19, semalam.

Berdasarkan maklumat yang dikongsi Pasukan Petugas Pencegahan COVID-19 Selangor (STFC) di laman web menteri besar, amirudinshari.com, sehingga 12 tengah hari semalam, daerah itu merekodkan tujuh kes aktif baharu sekali gus menjadikan kembali ke zon kuning.

Empat mukim berkenaan adalah Ijok, Jeram, Kuala Selangor dan Pasangan.

"Hari ini (semalam) pertambahan kes baru mempengaruhi demografi kes aktif Selangor di mana daerah Kuala Selangor kembali ke zon kuning.

"Kami sudah ingatkan berulang kali bahawa penjarakan sosial, menjaga kebersihan diri dan pakai pelitup muka itu bukanlah soal main-main, ia semata-mata untuk keselamatan dan keselesaan anda juga. Sekiranya terjadi jangkitan baharu, kesemua kebebasan ini akan ditarik balik," katanya.

Selain Kuala Selangor, daerah lain masih berada dalam zon kuning adalah Hulu Langat (33 kes), Gombak (14 kes), Klang (11 kes), Hulu Selangor (lapan kes) dan Sabak Bernam (tiga kes) dan satu kes di Sepang.

Petaling masih kekal di zon merah dengan pertambahan satu kes kepada 50 kes berbanding 49 pada Ahad lalu, manakala Kuala Langat pula kekal memegang status zon hijau sejak 8 Mei.

Sementara itu, sebanyak lapan kes baharu Covid-19 direkodkan di Selangor, semalam menjadikan jumlah kes terkumpul sebanyak 1,644 kes.

Sebanyak 127 kes aktif, 1,450 kes sembuh serta 21 kematian direkodkan sehingga kini.


Sabtu, 28 Disember 2019

Pakar antikeganasan sokong ISA dikembalikan

HASPAIZI ZAIN




Pakar Kajian Strategik & Anti Keganasan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Dr Mizan Aslam menyokong cadangan agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikembalikan.

Beliau berkata, ini kerana situasi negara kini berdepan dengan pelbagai ancaman yang boleh menggugat keharmonian negara.

Jelasnya, hanya mereka yang bersalah saja pasti akan takut jika akta itu dikembalikan.

"Hari ini Malaysia berdepan beberapa ancaman berat dan merbahaya yang dipuncakan daripada agenda tersembunyi dan licik seperti, komunis, Syiah, LTTE (Harimau Pembebasan Tamil Eelam), kristianisasi, wahabi dan ajaran sesat serta kegiatan jenayah terancang.

"Hanya dengan memperkenalkan semula ISA maka ancaman-ancaman ini sudah pasti dapat dikekang bagi menjamin keharmonian rakyat.

"Apabila ISA dimansuhkan kita dapat lihat kelompok-kelompok ini semakin berani menonjolkan diri dan menyebarkan ideologi mereka secara terbuka,"  katanya kepada Malaysiakini.

Kelmarin, Presiden Parti Pesaka Bumiputera Malaysia (Putra) Ibrahim Ali mencabar kerajaan untuk memperkenalkan semula ISA bagi membendung ideologi komunis di negara ini.

"Bila ISA dimansuhkan, mereka (penyokong komunis) menjadi berani. Di bawah nama manifesto Pakatan Harapan, mereka berkerja keras untuk mansuhkan Sosma (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012).

"Ia cerita lain jika mereka nak memperbaiki Sosma, tapi ini nak mansuhkan.

"Dan mereka (juga) nak Suruhanjaya Aduan dan Salah laku Polis Bebas (IPCMC); ini menunjukkan perjuangan komunis.

"Untuk menghargai pengorbanan oleh polis dan tentera, dan mengambil kira kekecewaan mereka, saya menjemput rakyat, dan mencabar kerajaan, untuk mengembalikan ISA demi kebaikan negara," katanya.

Untuk rekod, Ibrahim merupakan bekas tahanan ISA dan dipenjarakan sebanyak dua kali pada tahun 1974 dan 1987.

Pakatan Harapan dalam manifesto berjanji untuk mansuhkan peruntukan dalam beberapa akta tertentu, termasuk Sosma, selain akan membentang Rang Undang-Undang (RUU) IPCMC 2019 yang dijadual pada Mac tahun depan.

Sementara itu, Mizan berkata pihak yang menantang ISA harus melihat dari sudut kebaikan undang-undang ini dalam mengawal keganasan dan jenayah serta keselamatan negara ini.

Katanya, selama ini ISA telah berjaya "menyelamatkan jutaan nyawa rakyat" di negara ini termasuklah pemimpin kerajaan dan juga pembangkang.

"ISA juga telah berjaya menyelamatkan harta benda rakyat dan kelompok-kelompok yang menentang undang-undang ini, jika tidak maka banyaklah kerosakan dan kemusnahan yang boleh menggagalkan perniagaan mereka.

"Apa akan terjadi pada negara ini jika ISA tidak diwujudkan sejak zaman komunis dulu lagi? Pastinya Malaysia tidak semaju dan semakmur apa yang dikecapi hari ini.

"Hanya yang bersalah takutkan ISA. Yang tidak bersalah tidak perlu rasa takut. Yang perlu dikawal adalah pengurusan ISA, jika salah guna kuasa di pihak polis, maka pihak polislah yang harus dikenakan tindakan bukannya undang-undang yang dibangunkan untuk mengawal keselamatan negara," katanya.


Khamis, 5 April 2018

Mahkamah batalkan ganti rugi RM300,000 pada bekas tahanan ISA

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang membenarkan pemberian ganti rugi kepada seorang bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 kerana tahanan salah.
 
Panel lima hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membenarkan rayuan oleh penguasa Pusat Tahanan Kamunting, timbalan menteri dalam negeri dan kerajaan, untuk mengetepikan ganti rugi RM300,000 yang diberi kepada Badrul Zaman P. S. Md Zakariah oleh Mahkamah Rayuan.
 
Badrul Zaman dibenarkan pemberian ganti rugi RM3.3 juta oleh Mahkamah Tinggi pada 2010 tetapi dua tahun kemudian, mahkamah rayuan mengurangkan jumlah itu kepada RM300,000.
 
Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ramly Ali ketika menyampaikan keputusan mahkamah berkata, berdasarkan seksyen 8B (1) dan seksyen 8C ISA, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dakwaan bekas tahanan ISA terhadap timbalan menteri dalam negeri dan pemberian ganti rugi kepadanya kerana tahanan salah.
 
Beliau berkata keputusan timbalan menteri dalam negeri menggunakan budi bicara untuk mengeluarkan perintah tahanan tidak boleh dipersoal di mahkamah perundangan, melainkan berkaitan isu ketidakpatuhan dengan keperluan prosedur.
 
"Kami menegaskan bahawa prosiding dan keputusan serta perintah Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan adalah batal dan tidak sah dan tidak membawa kesan. Keputusan ini tidak boleh dibenarkan bertahan," kata Hakim Ramly.
 
Beliau berkata ISA adalah undang-undang keselamatan dan kuasa serta budi bicara Menteri Dalam Negeri untuk mengeluarkan perintah tahanan mengikut seksyen 8 (1) ISA melibatkan keselamatan negara, justeru, terpulang sepenuhnya kepada menteri atau eksekutif untuk membuat keputusan, kecuali atas asas ketidakpatuhan prosedur.
 
"Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa dan tidak boleh melaksanakan apa juga bidang kuasa untuk berurusan dengan dakwaan responden (Badrul Zaman). Tindakan semasa oleh responden tiada kena mengena dengan sebarang persoalan berkaitan pematuhan apa-apa keperluan prosedur di bawah ISA," katanya.
 
Tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang turut bersidang dalam panel itu ialah Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Datuk Seri Balia Yusof Wahi.
 
Badrul Zaman, yang meninggal dunia pada 2015 akibat kanser, ditahan selama dua tahun mulai 1991, atas dakwaan terlibat dalam pengeluarkan permit dan pasport palsu kepada pekerja asing.
 
Perintah tahanannya kemudian dilanjutkan dua tahun lagi, berkuat kuasa 14 Sept 1993. Badrul Zaman tidak mencabar kesahihan perintah tahanan awal selama dua tahun tetapi hanya mencabar perlanjutan perintah tahanan dua tahun yang dikeluarkan timbalan menteri dalam negeri.
 
​​​​​​​Dia dibebaskan pada 1994 selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membenarkan permohonan habeas corpus olehnya, dan kemudiannya memfailkan saman sivil terhadap perayu dalam tahun sama.
 
Badrul Zaman menang dalam tuntutannya di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan turut membuat keputusan yang memihak kepadanya selepas menolak rayuan dikemukakan oleh penguasa pusat tahanan, timbalan menteri dalam negeri dan kerajaan atas liabiliti.
 
Mahkamah Rayuan, bagaimanapun, mengurangkan kuantum ganti rugi.
 
Peguam kanan persekutuan Alice Loke Yee Ching hadir bagi pihak perayu manakala peguam M. Manoharan mewakili Badrul Zaman.
 
 

Rabu, 4 April 2018

MAHATHIR PERTAHANKAN ISA, SELAR ATM

Foto Zul Hafiz Bahrin@watan-Online

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad tetap mempertahankan tindakannya melaksanakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sepanjang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.

Sebaliknya, Mahathir menyelar Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 yang digubal oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah lebih ‘dahsyat’ berbanding ISA.

“Masa itu tidak ada salah guna undang-undang, sekarang ini seperti tidak ada peraturan undang-undang lagi.

“Zaman saya siapa yang saya telah tangkap, berbanding sekarang ini,” beliau berkata demikian pada sidang media PH di Bangunan Parlimen, pada Selasa.

Mahathir juga menunjukkan rasa terdesak PH apabila menyelar kenyataan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor kononnya ATM telah melanggari Perlembagaan kerana tidak taat dan menunjukkan kesetiaan kepada raja dan negara.

“Itu bertentangan dengan perlembagaan kita yang mana angkatan tentera mestilah setia kepada Raja dan negara. tapi sekarang kita dapati bahawa tentera kita akan setia kepada Najib dan kerajaan.

“Bermakna Najib sekarang sudah ada tentera dia sendiri,” katanya.

Dalam ucapannya pada 31 Mac lalu, Raja Mohamed Affandi berkata Najib sentiasa memberi perhatian khusus kepada pasukan keselamatan di samping menyediakan aset keselamatan terbaik.

Selain itu beliau berkata kerajaan juga telah melakukan banyak perkara untuk menjaga kebajikan anggota tentera dan keluarga mereka.


Khamis, 25 Januari 2018

Tangkapan ISA 1987 disebabkan Pemuda Umno, Pemuda MCA, kata Anwar

 
Anwar mendakwa dia merayu pada Dr Mahathir untuk membebaskan mereka yang tidak bertanggungjawab atas kenyataan berbaur perkauman tetapi PH berkata serahkan pada polis.


anwar-isa-1987

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu tangkapan 106 aktivis dan ahli politik pembangkang bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 1987 disebabkan kenyataan berbaur perkauman oleh pimpinan Pemuda Umno dan Pemuda MCA.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ketika itu naib presiden Umno dan menteri pendidikan, berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika itu ketua Pemuda Umno.

Anwar berkata Pemuda MCA diketuai Lee Kim Sai, yang ketika itu menteri buruh.

“Ketegangan disebabkan oleh Pemuda MCA dan Umno kemudian menyebabkan Operasi Lalang (tangkapan ISA),” katanya, menyatakan bahawa ini adalah sebab sebenar kejadian pada 27 Oktober 1987 itu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Mohammed Nasser Yusof, yang tampil bagi pihak ketua gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Yunos, yang disaman Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah kerana fitnah.

Nasser bertanyakan pada Anwar mengapa suami Maria, Yunus Lebai Ali, ditangkap polis bawah undang-undang pencegahan itu.

Anwar, yang dipecat Umno dan kerajaan pada 1998 atas dakwaan salahlaku seks dan salahguna kuasa, berkata beliau bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad untuk membebaskan semua yang tidak terlibat dalam membina ketegangan itu.

“Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata perkara itu melibatkan keselamatan negara dan lebih baik diserahkan pada Cawangan Khas polis,” katanya.

Dr Mahathir ketika itu adalah menteri dalam negeri.

“Bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin saksi saya semasa saya bertemu perdana menteri di Seri Perdana menggesa beliau hanya menahan pelaku ketegangan kaum untuk siasatan.”

Anwar berkata beberapa orang seperti bekas editor kumpulan Berita Harian Ahmad Sebi dan presiden Aliran ketika itu Chandra Muzaffar dibebaskan selepas penahanan maksimum 60 hari untuk siasatan.

Tahanan lain dihantar ke kem tahanan Kamunting untuk tempoh 2 tahun termasuk veteran DAP Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan penasihat Suaram Kua Kia Soong.

Menurut laporan media, Pemuda MCA menimbulkan beberapa isu sensitif, seperti mempersoalkan Dasar Ekonomi Baru dan penguasaan politik orang Melayu.

Terutamanya, pada awal November 1986, MCA Selangor, yang diketuai oleh Lee, meluluskan usul di konvenysen tahunan menyeru kerajaan mengkaji semula Akta Hasutan dan menjadikan satu kesalahan memanggil mana-mana 3 kaum utama pendatang.

MCA dan Lee juga menyertai tunjuk perasaan bersama DAP membantah pelantikan penolong kanan dan penyelia tanpa kelayakan Bahasa Mandarin di sekolah-sekolah rendah Cina.

Menurut laporan media, Pemuda Umno melihat perkara itu seperti mencabar status Bumiputera orang Melayu, yang membawa kepada seruan menuntut Lee dipecat oleh ahli parti dan penarikan gelaran Datuk oleh Sultan Selangor.

Anwar berkata dia seorang aktivis pelajar pada 1970-an dan terlibat dalam beberapa tunjuk perasaan, antaranya membantah kejatuhan harga getah yang menjejaskan golongan miskin luar bandar.

Beliau berkata dia juga ditangkap poli pada Disember 1974 di bawah ISA dan dihantar ke Kamunting untuk 2 tahun.

Anwar berkata dia mengenali Yunus sebagai seorang aktivis sebelum 1974 dan hanya kemudian mendapat tahu yang Yunus terlibat secara aktif dalam Pertubuhan Pembebasan Palestin, diketuai Yasser Arafat.

Maria menyaman Jamal kerana didakwa memfitnah beliau dan Bersih pada sidang media di luar Pusat Dagangan Dunia Putra pada 28 September 2016.

Beliau juga mendakwa pada 4 Oktober tahun yang sama, Jamal mengeluarkan kenyataan fitnah yang sama terhadap Bersih pada sidang media di Bukit Aman.

Dalam penyataan tuntutan yang difailkan pda 7 Oktober, Maria berkata reputasi dan nama baiknya sudah tercemar.

Beliau menuntut ganti rugi dan injunksi menghalang Jamal daripada mengeluarkan kata-kata yang sama secara lisan, cetak atau atas talian.

Jamal bergantung pada justifikasi dan komen yang adil untuk membela dirinya.

Kes yang didengari oleh Hakim Zaki Abdul Wahab bersambung 5 Februari.

Rabu, 24 Ogos 2016

Keluarga Megat Junid Pelik Tun Mahathir Cuba Lepas Tangan Isu Tahanan ISA

 

 



Anak sulung Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub pasti arahan penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ditandatangani bapanya semasa menjadi timbalan menteri dalam negeri dibuat selepas mendapat kebenaran Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu merupada Perdana Menteri Malaysia.


Datuk Megat Fairouz Junaidi berkata adalah sesuatu yang pelik jika kuasa sebesar itu diberikan kepada seorang bertaraf timbalan menteri selama 11 tahun tanpa pengawasan dan pengetahuan Tun Mahathir selaku menteri dalam negeri dan perdana menteri ketika itu.

“Kami (sekeluarga) harap Tun Mahathir yang sememangnya dihormati oleh arwah, hanya terlepas cakap semasa mengungkap kenyataan itu walaupun secara teknikal arwah mungkin menandatangani surat arahan tersebut.

“Dalam konteks penahanan ISA, jika benar arwah yang menandatangani surat penahanan, sudah pasti ia telah mendapat kebenaran dan pengetahuan malah kemungkinan besar ia adalah arahan Tun Mahathir sendiri selaku menteri dalam negeri dan perdana menteri (ketika itu),” katanya pada sidang media hari ini.

Megat Fairouz, yang mewakili dua lagi anak Allahyarham serta ibunya Puan Sri Faizah Shuaib mengulas laporan laman blog yang melaporkan Tun Mahathir menafikan beliau adalah menteri yang menandatangani perintah tahanan ISA sepanjang menjadi menteri dalam negeri dan perdana menteri.

Tun Mahathir dipetik sebagai berkata selepas mengambil alih sebagai menteri dalam negeri daripada Tun Musa Hitam pada 1986, yang berkuasa menahan mana-mana individu di bawah ISA, beliau telah menurunkan kuasa itu kepada Megat Junid sepanjang 11 tahun Allahyarham berkhidmat sebagai timbalan menteri dalam negeri di bawah pentadbirannya.

Sebelum ini, bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Tun Musa Hitam mengakui beliau sudah penat menanggung beban sejarah menjadi ‘kambing hitam’ dalam peristiwa Memali.

Jelas Tun Musa, situasi tidak menyebelahi beliau hingga dipersalahkan sebagai individu yang bertanggungjawab ke atas peristiwa berdarah berkenaan.

Katanya, dalam perjalanan politik beliau, peristiwa Memali dianggap paling kontroversi. Kerana peristiwa itu, beliau dikaitkan dengan gelaran pembunuh.

“Signifikan peristiwa Memali adalah mudah, selama 30 tahun saya dikatakan menjadi pembunuh, bolehkan anda bayangkan?

“Pembangkang menyalahkan UMNO dan saya sebagai individu yang bertanggungjawab, dan ‘rakan-rakan’ saya dalam UMNO, apabila situasi ini berlaku, mereka meninggalkan saya.

“Mereka seolah-oleh mengatakan biarlah Musa menjadi ‘kambing hitam’ daripada kami,” kata beliau ketika menjadi tetamu undangan rancangan bual bicara Obviously Harith Iskander (OHI).

Tun Musa juga turut menolak spekulasi yang mendakwa Tun Mahathir selaku Perdana Menteri berada di luar negara ketika berlakukan peristiwa berdarah itu.

“Pada hari insiden, Ketua Polis Negara (KPN) pada waktu itu dan saya bertemu dengan Dr Mahathir di pejabatnya dan KPN memaklumkan kepada beliau mengenai apa yang terjadi sewaktu operasi Memali, yang mengakibatkan kematian empat anggota polis dan 14 orang awam,” katanya.

Menurutnya, beliau juga bukan pemangku Perdana Menteri ketika itu sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak.

“Isu utamanya dalam hal ini adalah sama ada pada hari insiden saya merupakan Pemangku Perdana Menteri atau tidak kerana Tun Dr Mahathir masih dalam negara. Berdasarkan selidikan saya dari pelbagai sumber, ianya jelas bahawa Tun Dr Mahathir masih dalam negara dan saya bukan Pemangku Perdana Menteri sewaktu hari insiden Memali.

“Pada hari perbicaraan saman saya terhadap seorang penulis beberapa tahun lalu, di mana saya menang kes tersebut (Tun Dr Mahathir masih berkuasa pada waktu itu), peguam saya bertanyakan dia (penulis) soalan sama, sama ada Dr Mahathir berada dalam negara pada hari insiden dan adakah saya merupakan Pemangku Perdana Menteri.

“Jawapan saya konsisten bahawa beliau (Dr Mahathir) masih dalam negara dan saya bukan Pemangku Perdana Menteri,” katanya lagi.

LIHAT VIDEO - 1
LIHAT VIDEO - 2 


Sabtu, 23 Julai 2016

Kembalikan ISA Untuk Kekang Daesh


Kerajaan perlu mengkaji keperluan mengembalikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi mengekang fahaman Daesh daripada berkembang di Malaysia.


Seruan itu dibuat Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global, GMMF, Ustaz Dr. Nasharuddin Mat Isa sewaktu sesi Sidang Khas: Ancaman Daesh Bertapak di Malaysia yang diadakan di Ibu Pejabat Utusan Malaysia semalam.

“Idea ini mungkin sedikit kontroversi, namun kita tak dapat nafikan ia berkesan dalam tangani anasir yang mengancam keselamatan negara,” katanya.

LIHAT VIDEO DI SINI 

Khamis, 30 Jun 2016

Bekas tahanan ISA dapat ganti rugi RM 5.2 juta

ANTARAPOS.COM


Post Pic



PUTRAJAYA: Lima individu mendapat sejumlah RM5.2 juta ganti rugi termasuk faedah dan kos selepas Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan kerajaan Malaysia dan dua pihak lagi gagal dalam rayuan mereka untuk mengurangkan ganti rugi ekoran kesemuanya ditahan secara salah, 15 tahun lalu.

Lima individu itu Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, Hishamuddin Rais, Saari Sungib, Badaruddin Ismail dan Dr Badrulamin Bahron.

Masing-masing ditahan secara salah di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk tempoh yang berbeza.

Kelima-lima mereka akan mendapat ganti rugi dalam tempoh kira-kira setahun selepas melalui beberapa prosedur.

Panel lima hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum sebulat suara memutuskan demikian selepas menolak rayuan pihak kerajaan dan memerintahkan kos RM30,000 dibayar kepada responden-responden.

Kerajaan merayu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 11 Disember 2014 yang memerintahkan bayaran ganti rugi RM10,000 sehari serta faedah lapan peratus setahun kepada pihak responden. Saman itu dikemukakan pada April 2004.


Ahad, 13 Mac 2016

Bekas tahanan ISA terus komited lawan penahanan tanpa bicara

Bekas tahanan ISA dan pemimpin politik yang hadir bergambar ramai seusai majlis.Bekas tahanan ISA dan pemimpin politik yang hadir bergambar ramai seusai majlis.


Kumpulan bekas tahanan ISA yang berkumpul di Kota Bharu semalam bertekad untuk terus komited menentang segala bentuk kezaliman khususnya yang dilakukan pihak berkuasa menerusi pelbagai undang-undang yang jelas bercanggah dengan konsep keadilan sejagat.

Pengarah program "Tribute to ISA detainees", Che Kamaruzaman Che Ismail berkata semua yang menyampaikan ucapan di majlis itu menzahirkan komitmen masing-masing untuk terus menentang penahan tanpa pembelaan yang menyebabkan berlaku penindasan yang amat luarbiasa.

"Kita berjaya menghimpunkan 24 bekas tahanan ISA dan beberapa waris tahanan untuk memberikan gambaran kepada masyarakat pengalaman pahit yang mereka lalui akibat perlaksanaan undang-undang yang tidak berperikemanusiaan ini," katanya.

Beberapa tokoh yang bukan bekas tahanan turut dijemput kerana menurut Che Kamaruzaman, perjuangan menentang kezaliman adalah tanggung jawab seluruh lapisan masyarakat.

"Kita amat berpuashati kerana kehadiran tokoh-tokoh pejuang rakyat seperti Datuk Husam Musa dan Dr. Mariah Mahmud turut bersama melahirkan solidariti kepada mereka yang dizalimi semata-mata berjuang untuk membela orang ramai yang sentiasa menjadi mangsa kezaliman pemerintah," katanya.

Lim Kit Siang bertanya sesuatu kepada Dr Mohd Nasir.Lim Kit Siang bertanya sesuatu kepada Dr Mohd Nasir.Pihak penganjur katanya amat berpuashati dengan kehadiran bekas-bekas tahanan dan keluarga mereka yang sanggup berkongsi pengalaman masing-masing bagi memberi kesedaran kepada rakyat dan pemerintah sendiri supaya bentuk penindasan seperti ini tidak berulang pada masa depan.

"Kita amat bimbang walaupun ISA telah dihapuskan kezaliman serupa boleh berlaku dengan pengenalan beberapa akta baru seperta Pota, Sosma dan Akta MKN yang baru diperkenalkan," katanya lagi.

Antara pemimpin politik bekas tahanan ISA yang berucap pada majlis itu ialah Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang, Presiden Amanah Mohd Sabu dan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.

"Mereka inilah sebenarnya amat berjasa kepada rakyat dan negara kerana tanpa kesanggupan mereka berkorban banyak perubahan yang berlaku khususnya berkaitan ISA tidak akan menjadi kenyataan," ujarnya.

Kamarruzaman juga merakamkan penghargaan kepada penasihat program, Pengerusi Amanah Kelantan, Dato' Wan Abdul Rahim Abdullah, badan penganjur bersama dan seluruh yang membantu menjayakan program tersebut.

Antara orang ramai yang hadir mendengar pengalaman para tahanan ISA di Kota Bharu.Antara orang ramai yang hadir mendengar pengalaman para tahanan ISA di Kota Bharu. 

Isnin, 12 Oktober 2015

Pertahan Sosma, menteri ingatkan Dr M guna ISA

MALAYSIAKINI


 


Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Keruak mengingatkan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kepada penentangnya sebelum ini.

Kenyataan itu dibuat bagi menjawab kritikan Mahathir dan beberapa tokoh Umno, termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin, terhadap penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) terhadap pengkritik dalam isu 1MDB.

Membandingkan dengan ISA, Salleh berkata Sosma yang menggantikannya membenarkan perbicaraan untuk mempertahankan diri dan akan dibebaskan jika tidak bersalah.

“Semasa Mahathir menjadi perdana menteri, dia gunakan ISA kepada penentang dan pengkritik kerajaan yan gmana tiada perbicaraan,” kata Salleh.

Pada 2011, katanya lagi, sepuluh penyokong bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, ditahan tanpa bicara atas dakwaan menjadi pengganas.

“Enam orang menjalani hukuman penjara dua tahun dan mahkamah kemudian memutuskan mereka bukan pengganas dan penahahan mereka tidak sah,” katanya di blog.

Mahathir dan musuh politiknya Tengku Razaleigh Hamzah hari ini mengambil langkah mengejutkan dengan membuat sidang media bersama bagi menyatakan rasa tidak senang dengan penangkapan bekas naib ketua Umno Batu Kawan.

Datuk Khairuddin Abu Hassan ditahan selepas membuat laporan kepada pihak penguatkuasaan di negara luar, termasuk Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) berhubung isu 1MDB. Peguamnya Mathias Chang turut ditangkap baru-baru ini.

Lebih mengejutkan, bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri Datuk Seri Shafie Apdal turut hadir.

Kedua-dua mereka digugurkan daripada kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Selain mereka, bekas menteri besar Kedah dan bekas menteri Tan Sri Sanusi Junid dan bekas presiden MCA Tan Sri Ong Tee Keat juga hadir.

Jumaat, 18 September 2015

Kembalikan ISA: Beri peluang pada akta baharu

Kembalikan ISA: Beri peluang pada akta baharu
Dari kiri: Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak, Prof Madya Dr Mohd Fuad Othman dan Prof Madya Datuk Dr Samsu Adabi Mamat


SHAH ALAM - Rakyat negara ini perlu memberi peluang kepada akta-akta baharu yang menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dilaksanakan sebelum mendesak agar ISA dikembalikan dalam sistem perundangan.

Penganalisis politik berpendapat, sekiranya akta-akta baharu itu mencukupi untuk mengawal keselamatan awam, maka tiada keperluan mengembalikan ISA.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, mengembalikan ISA adalah satu langkah yang berpatah balik.

“Mereka (himpunan baju merah) berhak menyatakan pandangan mereka tapi saya fikir, kita sudah ada undang-undang baharu seperti Sosma (Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas 2012) dan Akta Anti Keganasan (Pota) dan sebagainya.

“Jadi, saya fikir jika akta-akta yang baharu ini sudah mencukupi untuk mengawal keselamatan awam termasuk mengawal isu keganasan dan isu ekstremisme, maka mungkin kita tidak perlu kembalikan ISA,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Semalam, himpunan baju merah mengisytiharkan 14 resolusi yang dibacakan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Annuar Musa antaranya menuntut agar ISA dikembalikan.

Mengulas lanjut, Prof Mohamed Mustafa berkata, kajian yang terperinci perlu dilaksanakan bagi menunjukkan bahawa undang-undang sedia ada ini cukup berkesan untuk mengawal ketenteraman negara.

“Penguatkuasaan undang-undang itu lebih penting daripada nak buat undang-undang baharu atau kembalikan yang lama. Pada saya, kalau kita nak kembalikan ISA itu, kita balik ke belakang, sedangkan kerajaan dah buat pindaan kepada undang-undang baharu di mana ia masih berupaya menjamin keselamatan negara.

“ Jangan tergesa-gesa untuk kembalikan ISA kerana kita harus memberi peluang kepada undang-undang yang baharu ini untuk dilaksanakan. Yang penting, penguatkuasaan itu harus tegas. Jika tidak cukup, kita kaji semula aspek-aspek yang boleh diperkasakan,” katanya.

Senada dengannya, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Fuad Othman berkata, meskipun ISA telah dimansuhkan, kerajaan telah menggantikannya dengan akta yang lebih jelas.

“Apa yang telah dilakukan kerajaan adalah menuju ke arah hadapan lagi. Walaupun ISA tiada, ada akta-akta lain yang asasnya boleh digunakan untuk mengawal keselamatan negara. Malah akta yang baharu ini lebih jelas berbanding ISA...kenapa kita ditangkap dan sebagainya.

“Kerajaan telah pun memperkenalkan akta-akta yang baharu yang saya kira boleh dan mampu menangani masalah-masalah keselamatan,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsu Adabi Mamat berkata mengembalikan ISA adalah tindakan tepat dalam menuju negara maju.

“ISA ini satu akta yang berbentuk preventif atau mencegah. Mencegah ini lebih baik daripada mengubati. Dari segi pembinaan negara, ISA ini amat penting. Cuma apabila kita menghadapi desakan pembangkang yang besar pada 2008 terhadap perundangan atas tiket kemanusiaan. Maka ia didesak supaya dihapuskan. Sedangkan ISA ini satu undang-undang yang amat baik untuk negara.

“Jadi, kesedaran untuk melahirkan semula ISA ini adalah tepat pada masanya kerana negara semakin bergerak ke negara maju, akan menghadapi cabaran yang semakin rumit. Jadi, akta ini diperlukan,” katanya.

Menurutnya, idea mengembalikan ISA mungkin akan ditentang pembangkang namun beliau mengingatkan bahawa walaupun pembangkang penting dalam negara ini, namun rakyat lebih penting kerana mereka yang akan menerima akibat daripada sebarang situasi.

“ISA dulu pun dimansuhkan atas desakan pembangkang. Jadi, mereka akan rasa tercabar jika ia dikembalikan. Pembangkang itu penting dalam negara tapi masyarakat awam atau rakyat itu lebih penting kerana mereka adalah mewakili sebahagian besar rakyat dan merekalah yang akan mendapat kesan. Bukan pembangkang.

“Jadi, untuk kerajaan kaji semula amat penting dan mendapat maklum balas daripada rakyat. Memang wajar untuk dipertimbangkan oleh kerajaan untuk mengembalikan ISA,” katanya.


Khamis, 11 Disember 2014

5 bekas tahanan ISA dapat ganti rugi RM4.5 juta

MALAYSIAKINI


 


Lima bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), termasuk dua wakil rakyat Pakatan Rakyat, ditetapkan ganti rugi keseluruhan RM4.5 juta ekoran penahanan mereka pada 2011.

Mereka ialah anggota parlimen Batu Tian Chua, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang assemblyperson Saari Sungib, aktivis Hishamuddin Rais dan Badaruddin Ismail serta bekas pemimpin PKR Badrul Amin Baharom.

Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tetapi mengurangkan jumlah ganti rugi daripada RM15,000 kepada RM10,000 sehari.

Kesemua mereka dianugerah ganti rugi teladan RM30,000 dan empat orang diberikan ganti rugi RM25,000 akibat fitnah terhadap mereka.

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Mahkamah Rayuan Abdul Wahab Patail.

Dua lagi hakim ialah Rohana Yusof dan Umi Kalthum Abdul Majid.

Selasa, 9 Disember 2014

Hanya pembodek Umno yang mahu ISA hidup semula – Tian

Oleh Azuan Ab Rahman


KUALA LUMPUR: Saranan beberapa penganalisis politik yang mahu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dikembalikan sebagai tidak masuk akal.

Jelas Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua, cadangan tersebut tidak akan diterima oleh individu yang arif perihal politik kecuali si
pembodek kerajaan.

anti-isa“Saya yakin tiada siapa pun yang mahu akta berat sebelah itu dikembalikan, ia tidak relevan langsung.

“Yang kemukakan cadangan ini bukan penganalisis atau orang yang arif dengan politik, tetapi cuma pembodek Umno,” tegas Ahli Parlimen Batu itu ketika dihubungi.

Sebuah portal melaporkan beberapa penganalisis politik tanah air berpendapat ISA, yang telah dimansuhkan kerajaan pada 2011,
sebenarnya masih relevan.

Malah kerajaan turut disaran mempertimbang saranan agar ISA dikembalikan bagi mengekang tindakan pihak tertentu mengganggu-gugat
keselamatan negara selain menangani perlakuan subversif.

“Kita menentang akta ini bukan kerana ia dikenakan kepada pemimpin pembangkang, tetapi prinsip akta itu sendiri yang tidak adil.

“Kita tidak boleh melaksanakan undang-undang yang tidak ikut hak asasi dan proses perundangan yang betul,” jelas Tian lagi.

Sambung beliau, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) yang diluluskan Dewan Rakyat pada 2012 bagi

menggantikan ISA tidak memberi sebarang makna kerana ia masih dibayangi ISA.

“Sosma masih mempunyai ciri-ciri ISA iaitu tidak memberi hak pengadilan kepada tahanan.

“Sama seperti ISA ia bukan sahaja melanggar hak asasi manusia tetapi melanggar klausa perundangan,” ujar Tian yang pernah ditahan tanpa bicara di bawah ISA selama dua tahun.

Ahad, 7 Disember 2014

Kerajaan disaran pertimbang kembalikan ISA

SINAR HARIAN

Analisis
 
 
KUALA LUMPUR - Undang-undang pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, amat diperlukan bagi menangani anasir-anasir subversif, sekali gus memastikan keharmonian dan kestabilan sesebuah negara.

Beberapa penganalisis politik tanah air berpendapat ISA, yang telah dimansuhkan kerajaan pada 2011, sebenarnya masih relevan dan kerajaan disaran mempertimbangkan saranan agar ISA dikembalikan bagi mengekang tindakan pihak tertentu mengganggu-gugat keselamatan negara selain menangani perlakuan subversif.

Bagi menggantikan ISA serta memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan dan kerukunan hidup rakyat dan negara, dua undang-undang baharu iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau ringkasnya Sosma dan Akta Perhimpunan Aman 2012 diluluskan Dewan Rakyat pada 2012.

Seperti yang dinyatakan bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad baru-baru ini bahawa keputusan kerajaan memansuhkan ISA sebagai satu kesilapan dan kerajaan harus mempertimbang keperluan untuk mengadakan semula akta tersebut tanpa takut kepada kritikan mengenainya.

Perlukah ISA dikembalikan? ‎

  
Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Jabatan Perdana Menteri Prof Dr Jayum Jawan berkata, akta seperti ISA sememangnya diperlukan untuk sesebuah negara menangani pelbagai ancaman baharu yang menggugat ketenteraman awam dan kestabilan politik.

"Daripada satu sudut, undang-undang seperti ISA bersifat menyekat sesuatu perbuatan walaupun ia masih di peringkat perancangan (belum dilakukan lagi).

"ISA mampu menentang perbuatan subversif kerana sifatnya yang boleh dirumuskan sebagai tahan dulu, bukti kemudian berbanding amalan biasa jika ada bukti baru boleh tahan (prinsip tidak bersalah selagi belum dibuktikan bersalah)," katanya.

Namun, yang menjadi kebimbangan sesetengah pihak adalah penyalahgunaan ISA untuk tujuan selain daripada menangani ancaman keselamatan.

Katanya ini kerana ISA sebelum ini didakwa sebagai terlalu mudah digunakan terhadap lawan politik terutama apabila ada pihak yang merasakan kedudukan politik mereka terancam.

Bagi pensyarah Kanan Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berkata, ISA menyumbang kepada keamanan dan kestabilan rakyat di  negara ini.

"ISA bersifat mencegah sebelum parah namun malangnya ia dibubarkan ekoran janji politik.

Falsafah di sebalik kemudahan sesebuah akta perlu difahami setiap pemimpin agar akta yang disifatkan sebagai benteng utama negara tidak dijadikan korban hanya kerana agenda politik.

"Pemansuhan ISA juga bermaksud tiada lagi peluang besar untuk kerajaan menggubal akta sekukuh ISA disebabkan faktor komposisi pembangkang di Parlimen semakin bertambah. ISA sepatutnya diperkukuhkan dengan beberapa penambahbaikan," katanya kepada Bernama.

Pada masa sama, Md Shukri berkata, sesebuah undang-undang atau akta perlu bersifat menjuarai elemen mempertahankan keselamatan negara dan faktor 'akta lama yang sudah lapuk' tidak wajar dijadikan isu untuk akta berkenaan dimansuhkan.

"Amerika Syarikat mempunyai akta seumpama ISA, dikenali sebagai 'Patriot Act'. Mereka bukan sahaja menahan rakyat mereka yang disyaki terlibat dengan jenayah subversif bahkan turut menahan rakyat dari negara lain yang dianggap menggugat keselamatan mereka.

"Persepsi antarabangsa mendesak kita memberi kebebasan penuh sedangkan mereka sendiri melanggar hak asasi manusia berkali-kali dan berterusan melakukannya. Justeru, Malaysia tidak harus tunduk dengan tekanan antarabangsa yang sememangnya mahu ISA dimansuhkan," katanya.

Bersependapat dengan Md Shukri, Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, ISA masih relevan dalam konteks pencegahan terutama melibatkan pelbagai anasir negatif, yang berleluasa sehingga membawa kepada kerosakan negara.

Katanya keadaan menjadi sukar apabila terdapat pihak tertentu menggunakan media sosial termasuk mempunyai rangkaian antarabangsa yang sukar dikawal.

"Justeru, keperluan kepada undang-undang pencegahan seperti ISA amatlah diperlukan bagi mengawal negara daripada kumpulan yang cuba merosakkan keharmonian dan kestabilan negara.

"ISA sebetulnya amat sesuai untuk mencegah anasir subversif seperti komunis, ektremis agama serta ektremis politik. Undang-undang yang ada pada hari ini kurang berkesan sebagai mekanisme pencegahan kerana ia terpakai apabila seseorang itu ditangkap dan diambil tindakan sahaja sedangkan apabila sesuatu berlaku, kemungkinan ia telah membawa kerosakan besar kepada negara," katanya.

Daripada satu aspek kebebasan bersuara, Jayum berkata keputusan kerajaan memansuhkan ISA merupakan satu tindakan tepat dalam memberi ruang demokrasi lebih luas kepada rakyat.

Beliau berpendapat setelah 57 tahun negara merdeka dan meneliti amalan demokrasi negara, rakyat merasakan diri mereka sudah cukup matang untuk berpolitik dalam suasana baharu selain faktor ISA yang sering disalahguna oleh pihak tertentu, menyumbang kepada desakan menuntut pemansuhan ISA.

"Pemansuhan ISA adalah satu kredit kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bukti beliau mendengar suara dan tuntutan rakyat.

"Namun, mungkin apa yang tidak terbayang ketika itu (keputusan memansuhkan ISA) ialah kecekapan dan keberkesanan anggota keselamatan dalam menangani pelbagai ancaman yang boleh menggugat keselamatan negara akan terjejas apabila tiada ISA.

"Ini kerana pemansuhan dibuat secara tiba-tiba dan selama ini pihak keselamatan bergantung kepada akta ini. Apabila ISA tiada, mungkin persediaan untuk mengisi kekurangan itu memerlukan usaha giat dan sedikit masa," katanya.

"Justeru, pihak keselamatan perlu diberi kuasa supaya mereka dapat menjalankan tanggungjawab dengan lebih cekap dan berkesan dalam meningkatkan kepercayaan awam bahawa negara dalam keadaan selamat dan bebas daripada ancaman pihak tidak bertanggungjawab.

"Sekiranya kerajaan berhasrat memperkenalkan undang-undang seperti ISA rakyat perlu diyakinkan bahawa ia tidak akan menjadi senjata politik untuk mengekang mereka bersuara termasuk menutup suara lawan politik. Selain itu, jaminan semakan (review) perlu ada supaya undang-undang  baharu itu dikendalikan dengan penuh tanggungjawab," katanya. - Bernama

Selasa, 25 November 2014

Mansuh ISA langkah tepat



SHAH ALAM – Keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) merupakan langkah tepat, selaras dengan realiti negara yang terbuka lagi dinamik.

Bekas Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh mendakwa, ISA merupakan satu akta yang mengekang prinsip keadilan dan kuasa.

Jelasnya, kewujudan akta tersebut menyebabkan lahirnya kongkongan ke atas demokrasi dan kebebasan bersuara rakyat.

"Saya memahami keselamatan negara tidak boleh diabaikan dan kedudukan Malaysia di mata dunia juga perlu dijaga demi kesejahteraan negara dan rakyat.

"....Namun keadilan dan kebebasan insan sama sekali tidak boleh digadaikan," katanya menerusi kenyataan sebagai respons terhadap kenyataan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang menentang pemansuhan akta itu.

Menurut Syed Ibrahim, beliau agak kecewa dengan aliran hujah yang disampaikan Abdul Hamid.
“Adakah semata-mata kerana faktor kedudukan negara di mata dunia dijadikan sandaran untuk ISA dikembalikan?

“Apakah sebenarnya hujah dan asas dalam menggubal dan memansuhkan sesebuah akta atau peruntukan undang-undang?” katanya lagi.

Semalam, Abdul Hamid menyifatkan keputusan kerajaan memansuhkan Akta ISA sebagai satu kesilapan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan mansuh ISA satu kesilapan] 

Terdahulu, pada 15 September 2011, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemansuhan akta tersebut ketika menyampaikan perutusan khas Hari Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia 2011.

Jumaat, 5 September 2014

Akar umbi Umno gesa ISA diwujud semula


Shahidan Kassim Shahidan Kassim
 
 
 
BACHOK – Hampir semua perwakilan Umno Bahagian di negara ini menggesa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diwujudkan semula berikutan pelbagai provokasi melampau yang berleluasa kini.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, suara dari akar umbi dan ketua- ketua Umno Bahagian yang ditemuinya menyatakan hasrat itu untuk mengembalikan keamanan dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Saya terima banyak maklum balas agar wujudkan semula ISA dan ketatkan Akta Hasutan serta tambahkan hukuman untuk kesalahan seperti ini.

“Saya tak tahu kenapa maklum balas ini amat mendesak. Faktor ini perlu dikaji," ujar Shahidan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Perkara ini akan saya bawakan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk kita pertimbangkan dan perhalusi dengan baik,” ulasnya lagi pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno Bachok di Dewan Ko- Kurikulum Tangok, di sini, hari ini.

Ahad, 11 Mei 2014

Majoriti rakyat tidak mahu ISA dikembalikan

Najib Presiden UMNO, Datuk Sri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan pergulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO yang ke-67 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. - Foto Sinar Harian Zulfadhli Zaki
 
 
PUTRAJAYA - Kerajaan berdiri teguh dengan keputusannya, memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana yakin ia merupakan kehendak majoriti rakyat negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dalam keadaan masyarakat yang semakin terbuka dan matang, beliau percaya rakyat negara ini tidak mahu pendapat mereka dikongkong, atau hidup dalam ketakutan.

"Saya percaya majoriti rakyat Malaysia mahu ruang lebih luas dalam wacana politik tanah air.

"Kalau kita buat penilaian, tidak semua hendak balik kepada zaman ISA. Saya lihat ini sebagai satu perkembangan positif," katanya dalam rancangan Ruang Bicara Khas Bersama Perdana Menteri terbitan Bernama TV yang disiarkan melalui saluran Astro 502 malam ini.

Najib yang juga Presiden Umno ditemu ramah selama sejam di Pejabat Perdana Menteri oleh Ketua Pengarang Bernama Datuk Zulkefli Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama TV Datuk Ibrahim Yahaya dan Penolong Pengarang Jamaluddin Muhammad sempena ulang tahun Umno ke-68 Ahad ini.

Najib turut menepis tanggapan segelintir pihak, kononnya kesabaran beliau dalam mendepani suara-suara yang menentang, memperlihatkan 'kelemahannya' untuk bertindak.

"Saya tidak anggap itu (kesabaran) kelemahan. Kalau kita tanya apakah mereka mahu satu keadaan di mana ada saja yang mengeluarkan pendapat kita tangkap di bawah ISA?. Apakah itu yang kita hendak?.

"Tentu sekali majoriti rakyat Malaysia tidak mahu keadaan sedemikian. Mereka mahu kita merupakan masyarakat yang ada latitud atau ruang untuk mengeluarkan pendapat walaupun ia kontra atau berbeza," kata perdana menteri.

Bagaimanapun rakyat diingatkan agar tidak mengambil 'peluang' terhadap 'ruang' yang diberikan oleh kerajaan sehingga membawa kemudaratan kepada negara.

Kerajaan pada 2011 menunaikan janji untuk melaksanakan pelbagai pembaharuan dalam perundangan negara, antaranya membatalkan tiga Proklamasi Darurat yang membawa kepada pemansuhan Ordinan Darurat, Akta Keselamatan Dalam Negeri ISA) 1971, Akta Buang Negeri 1959 dan Akta Kediaman Terhad 1933 serta meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan  memansuhkan Seksyen 27 Akta Polis.

Susulan itu, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) diwartakan pada Jun 2012 bertujuan mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan setelah pemansuhan ISA antaranya melibatkan penahanan tanpa bicara di bawah undang-undang lama itu.

Turut diperkenalkan Akta Perhimpunan Aman 2012 yang bertujuan menjamin hak bersuara rakyat mengikut saluran sesuai di samping memastikan ketenteraman awam tidak terjejas bagi melindungi hak dan kebebasan orang lain.

Menjawab desakan sesetengah pihak yang mahu ISA dikembalikan, Najib berkata kerajaan yakin undang-undang baharu yang diperkenalkan menyediakan kuasa yang cukup untuk kerajaan bertindak terhadap mana-mana pihak yang cuba merosakkan keamanan dan keharmonian negara.

Katanya selain SOSMA, tindakan tegas juga boleh diambil di bawah Akta Hasutan terhadap mana-mana pihak yang cuba menyentuh perkara sensitif, menghasut atau melakukan tindakan yang boleh membawa pergaduhan dalam negara.

"Kita memang ambil tindakan berdasarkan undang-undang negara tetapi bukanlah dengan cara tangkap ikut rasa kepada mana-mana individu kita tangkap bawah ISA.

Saya percaya kalau buat macam itu, lagi ramai orang marah pada kerajaan," katanya yang mengambil perhatian kejatuhan rejim pemerintah di negara-negara Timur Tengah akibat mengamalkan dasar-dasar politik yang lebih keras.

 Atas dasar itu juga, kata Najib, sebagai kerajaan, tidak boleh hanya mengambil pendapat sekumpulan tertentu kerana yang lebih penting ialah pandangan dan suara kumpulan majoriti masyarakat.

Najib berkata sebagai pemimpin, beliau bersedia melakukan apa sahaja yang difikirkan terbaik selepas mengambil kira penerimaan masyarakat, namun pada masa sama yakin apa yang dilakukan kerajaan selama ini adalah yang terbaik untuk negara. - Bernama

Isnin, 5 Mei 2014

Rahim Noor cadang kembalikan ISA

MALAYSIAKINI



 
 
 
Bekas ketua polis begara Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor berpendapat Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) perlu diwujudkan kembali bagi membendung kegiatan militan di negara ini.

Katanya, bagi membendung kegiatan militan, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) dilihat mempunyai banyak kelemahan jika dibandingkan dengan ISA.

"Saya rasa pada hal-hal tertentu (ISA) boleh mengatasi. Undang-undang (yang) dinamakan Sosma ada kelemahan dan kekurangan.

"Tak semestinya (wujudkan) ISA tetapi undang-undang seperti ISA perlu diwujudkan bagi menahan dan mencegah (militan).

"Dulu pergerakan Jemaah Islamiah (JI), Al-Arqam kita sapu bersih menerusi undang-undang (ISA)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung penangkapan 11 individu yang disyaki militan yang diumumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar semalam.

Dalam laporan semalam Abdul Khalid berkata sebelas individu yang disyaki aktiviti militan ditahan kerana cuba merekrut warga tempatan untuk menjadi pengebom berani mati di luar negara.

Tambahnya, polis menahan individu-individu terbabit kerana aktiviti mereka mempunyai elemen "mengancam keselamatan negara dan rakyat".
 

Isnin, 13 Januari 2014

Tidak Perlu Layan Desakan Wujud Semula ISA - Musa Hitam

 MSTAR ONLINE
 
 
MARAN: Bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam berkata kerajaan tidak perlu melayan desakan mana-mana pihak untuk mewujudkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau berkata kerajaan juga tidak perlu mewujudkan semula ISA sebaliknya harus memberi tumpuan kepada aspek pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang sedia ada.

"Isunya sekarang bukan undang-undang atau akta tertentu yang perlu diperkenalkan atau dilaksanakan, tetapi kaedah dalam melaksanakan atau menguatkuasakan undang-undang sedia ada.

"Malaysia sebenarnya sudah mencapai tahap kemajuan tersendiri apabila kerajaan mengumumkan keputusan memansuhkan ISA. Jadi, apa keperluan untuk membawa balik ISA?," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog dan ramah mesra bersama 400 pelajar sempena Program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) tajaan Yayasan Sime Darby di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Jengka, di sini, Isnin.

Pada majlis itu, mereka berpeluang berdialog bersama Musa mengenai pelbagai isu semasa dan perkembangan program MDAB, yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2010.

Mengulas lanjut, Musa berkata pasukan keselamatan negara juga cukup matang untuk berdepan dengan pelbagai provokasi dan ini terbukti dengan kejayaan mereka menangani krisis dalam negara.

"Kita lihat sendiri bahawa pasukan keselamatan yang ada sekarang mampu menyelesaikan pelbagai krisis dan menangani ancaman. Sudah tentu semua ini mematangkan mereka dalam menguatkuasakan undang-undang," katanya.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan kerajaan supaya melaksanakan semula ISA bagi menangani ekstremis minoriti yang semakin melampau di negara ini. - BERNAMA